CLICK HERE FOR BLOGGER TEMPLATES AND MYSPACE LAYOUTS

Thursday, April 16, 2009

Kalau Dah Jodoh Tak Ke Mana, kan yang?



“Kalau tak balik tak boleh ke? Mengada-ngada betullah awak ni. Asyik merengek je!” aku terus terdiam mendengar kata-kata Helmi. Hampir mengalir air mataku apabila dimarahi begitu. Tak pernah sebelum ini dia memarahiku apabila aku memintanya menemaniku pulang ke kampung. Air mata cuba ku tahan, tak mahu menunjukkan kelemahanku padanya.

”Sabar Tia, jangan nangis depan dia. Bertahan.” Desis suara hatiku. Tanpa rasa bersalah, Helmi meneruskan suapannya yang terhenti tadi. Kenapa dia berubah? Dulu dia tak macam ni pun, dulu kalau apa yang aku minta semua dia turuti, tapi kenapa sekarang macam dah lain. Kami tidak lagi berborak selepas itu, aku juga sudah tawar hati untuk meneruskan perbualan dengannya. Setelah siap, Helmi membayar harga makanan di kaunter.

”Jom balik.” Tanpa banyak soal aku menurutinya, dia berjalan di hadapanku. Aku memandang belakang tubuhnya, hatiku sayu.

”Ini bukan Helmi Tia!” Hatiku meruntun sedih. Helmi sudah banyak berubah, aku tidak lagi dapat melihat kasih sayangnya melalui belakangnya. Kalau dahulu, aku sangat suka melihat belakang badannya, kalau boleh macam nak peluk-peluk sahaja. Tapi sekarang tidak lagi. Setibanya di dalam bilik, sebaik sahaja aku menutup pintu bilik, air mataku turun tanpa dapat di tahan-tahan lagi. Aku cuba menahan tangis supaya tidak di dengari oleh orang lain. Sampaikan bahuku terhenjut-henjut menahan tangis. Sedih! Kenapa sekarang bila Tia jumpa Helmi, Tia akan menangis. Kenapa dah tak macam dulu, setiap kali Tia jumpa Helmi mesti hati Tia berbunga-bunga. Tia atau Helmi yang berubah sebenarnya. Akhirnya aku tertidur dengan air mata masih lagi bersisa di pipi.

Sebulan sudah Helmi tidak mengendahkanku, bukan aku tidak menghubunginya, tapi sikapnya yang mahu tidak mahu sahaja apabila menjawab panggilanku membuatkan aku tawar hati untuk menelefonnya. Akhirnya aku biarkan sahaja. Aku juga tawar hati untuk meneruskan perhubungan ini. Juga sudah bersedia sekiranya lafaz putus di ucapkan olehnya. Suatu hari dia memberi mesej padaku.

”Tia, maafkan Helmi. Bukan maksud Helmi nak abaikan Tia.” Aku mengeluh setelah membaca mesejnya.

”Habis tu, apa sebenarnya yang Helmi nak dari Tia sebenarnya?” Aku membalas mesejnya.

”Maafkan Helmi, Tia. Kita bincang lepas habis exam ok.”

“No! Tia nak kita selesaikan masalah kita sebelum exam. Tia tak kira. Sekarang turun jumpa Tia kat bawah.” Aku memberi kata putus.

”Tia, janganlah macam ni.”

”Tak mahu, Tia tak nak tangguh-tangguh.” Geram hatiku, ingat aku ni perempuan yang mudah diperkotak-katikkan. Biarpun hubungan ini sudah bertahan selama tiga tahun tapi apalah gunanya kalau hati aku merana. Dalam masa dua bulan sahaja hatinya telah berubah.

Aku menunggu Helmi di kafeteria dengan sabar. Cincin silver berbentuk dua hati di jari manisku ku pandang lesu. Cincin ini merupakan cincin pemberiannya ketika hari jadiku tahun lepas. Tidak lama kemudian, dia turun. Nampak riak wajah bersalahnya tapi aku tak peduli.

”Tia..” Dia menegurku. Aku tidak sanggup lagi melihat wajahnya. Tiga tahun memadu kasih belum cukup kuat mengikat hatinya. Hatiku pedih sangat. Aku tahu siapa sebenarnya yang membuat hatinya beralih arah. Rina, rakan sekelasnya yang selalu bersama dengannya atas alasan belajar. Tidak mungkin aku boleh menghalang mereka berjumpa dan berdiskusi jika alasan yang diberikan untuk belajar. Aku juga pelajar, jadi aku tahu kepentingan belajar secara berkumpulan. Tapi akhirnya dia mensia-siakan peluang yang telah kuberikan padanya. Tak sangka, dalam mereka belajar, sempat mereka bermain mata.

”Awak tak payah cakap apa-apa. Saya cuma nak pulangkan satu saja.” aku mengeluarkan cincin di jariku lalu menyerahkan padanya. Helmi nampak terkejut dengan tingkah lakuku.

”Tapi Tia, janganlah macam ni. Kitakan nak exam, nanti ganggu perasaan Tia.” Tahu pula nak jaga perasaan aku, sebelum ni asyik buat aku menangis saja.

”No! Tia tak nak tanggung beban lagi. Tia nak ucapkan terima kasih sebab jaga Tia selama tiga tahun ni.” Ucapku lalu bangkit dari kerusi. Wajahku nampak tenang dan langsung tidak menunjukkan tanda-tanda aku akan menangis. Ye, sikapnya sebelum ni membuatkan jiwaku semakin tabah. Malam itu, aku langsung tidak boleh tidur. Farah, teman sebilikku sudah lama di buai mimpi. Aku bangkit dari katil dan membuka tingkap. Merenung cahaya bulan. Tiba-tiba hatiku sayu. Air mataku laju menuruni pipi tanpa dapat di tahan-tahan. Aku menutup mulutku, bimbang tangisanku di dengari Farah, pasti dia terkejut melihatku menangis. Sehingga ke pagi aku menangis. Hilang sudah ketabahanku tadi, hatiku rasa terseksa. Walaupun aku yang melafazkan kata putus, tapi aku sedih kerana tidak dapat mempertahankan hubungan ini. Sayangnya....

Setahun kemudian...

Walaupun sudah setahun kami berpisah, namun kami masih berkawan. Teman sebilikku juga sudah bertukar. Natilie namanya. Orangnya cantik dan baik. Alim, pakai tudung labuh. Tapi satu yang membuatkan aku hormat padanya, sekiranya dia mahu menegur, tegurannya sangat halus dan tidak membuat kita terasa dengan tegurannya. Dulu, ada juga teman serumahku yang memakai tudung labuh, tapi tudung yang dilabuhkan itu tidak langsung menunjukkan personalitinya yang sebenar. Dahlah suka mengumpat, pengotor pula tu. Tapi dengan Natilie ni aku memang suka, tidak berpura-pura.

“Tia nak tahu tak, ustaz Natilie pernah cakap. kalau kita nak suami kita yang macam kita nak, kita tulis kat satu kertas. Kemudian kita simpan, jangan bagi orang baca. Cuma kita je yang tahu. Kita doa banyak-banyak semoga kita akan dapat lelaki yang kita impikan tu suatu hari nanti.”

”Oh, ye ke? Natilie pernah buat?” Aku bertanya.

“Pernah, lepas ustaz Natilie cakap je, balik tu terus Natilie buat. Tapi nak tahu tak, Natilie rasa macam bodoh je. Ada ke Natilie tulis nak suami yang pakai glasses. Konon dulu nampak smart tengok laki yang pakai glasses ni. Tapi bila dah besar ni, barulah Natilie terfikir, buat apalah nak laki yang pakai glasses juga. Dahlah Natilie ni pun pakai glasses, dua-dua pakai glasses. Habislah anak Natilie, mewarisi gen mak ayahnya yang rabun.”

Aku tergelak mendengar kata-kata Natilie, tak sangka salah satu permintaannya dulu adalah lelaki memakai glasses. Tapi yelah, budak-budak. Mana tahu berfikir sangat, tahu nak enjoy je. Tapi mungkin ada kebenaran atas kata-kata Natilie tadi kerana tunangnya sekarang juga memakai glasses. Kalau dah jodoh....

”Tia nak buat juga boleh tak?” Sengaja aku mengusiknya.

”Boleh, manalah tahu kot-kot Tia dapat lelaki yang impikan ke, manalah tauuuu..” Aku tersengih mendengar kata-katanya. Sejak putus cinta dengan Helmi, bukan tiada yang melamar aku menjadi kekasih mereka, ramai. Tapi hati aku sudah terlalu tawar dan aku sudah bernekad hanya menerima seorang lelaki yang betul-betul aku ingin kahwini sahaja Aku sudah tidak mahu berkasih-kasihan lagi. Tidak mahu pisang berbuah lebih dari sekali. Setiap kali ada insan yang cuba masuk line, aku tepis dengan halus, dan setiap kali itulah aku akan menceritakannya kepada Natilie. Natilie pernah bertanya, kenapa tidak mahu menerima mereka. Aku sendiri tidak tahu, mungkin belum terbuka hati agaknya. Sebab itulah Natilie menggalakkan aku mencuba tips yang diberi oleh ustaznya tadi. Lagi satu, prinsipku, aku tidak mahu bercinta dengan rakanku sendiri, rakan yang sudah lama aku kenal. Bukan apa, aku tidak mahu kehilangan mereka sekiranya terjadi sesuatu dalam perhubungan kami. Maksudku, jika kami putus atau bergaduh, aku tidak suka jika melibatkan orang lain. Yelah, jika kami bergaduh, mungkin dia akan menceritakan masalah kami kepada kawanku yang lain. Tak pasal-pasal mereka akan mengecopku yang bukan-bukan. Ish! Tak suka, tak suka.

Suatu hari, Natilie tiada di dalam bilik, mungkin berdiskusi agaknya. Tiba-tiba aku teringat apa yang dikatakan Natilie dahulu, cepat-cepat aku mengambil sehelai kertas.

Lelaki saya.....

• Baik: Sudah tentu.
• Tak panas baran: Bukan apa, aku ni udahlah panas baran, tambah seorang lagi panas baran. Haru rumahtangga aku nanti.
• Good looking: Aku tak adalah nak yang hensem, cuma aku nak yang mata aku sejuk mata memandang. Tak adalah setiap pagi kalau aku bangun, aku asyik terkejut sebab tengok muka laki aku macam gorilla berbulu lebat, hehe...
• Tak tamak harta: Aku tak suka yang suka ambil harta orang lain, bukan apa, harta boleh kumpul sendiri. Memanglah mula-mula tak ada apa-apa. Tapi bila kita berusaha sama-sama nanti lama-lamakan jadi bukit harta kita, kan..kan..
• Boleh jadi pemimpin: Risau kalau aku yang jadi pemimpin, herot habis.
• Beriman: Apakan daya, aku cuma insan yang lemah memerlukan pegangan dan bimbingan insan bergelar suami.
• Faham hati dan perasaan aku: Agar aku juga dapat memahami hatinya.
• Ada di saat aku memerlukan dirinya.
• Sayang padaku: Tak romantik tak apa janji aku tahu dia sayang aku.
• Tak kuat jeles: Sakit hati aku kalau jeles terlampau kuat ni. Psiko!
• Pendengar yang baik dan setia.
• Mempercayai aku: penting untuk perhubungan.
• Komunikasi yang baik: penting untuk hari tua.
• Bukan kasanova: Aku insan biasa yang tidak bisa menerima kenyataan bahawa aku akan dimadukan..tidakkkkkk!
• Patuh pada orang tua: ini penting maa..
• Keluarganya sayang padaku dan dapat menerimaku seadanya...dia juga...
• Pandai goreng ikan..Haha...aku allergik dengan perkataan goreng ikan.

Tammat

f.n: Kalau nak laki yang kaya n comel boleh tak?..hehe...(gatai)

Aku tergelak sendiri apabila membaca semula apa yang aku tulis tadi. Hehe..galak! Sempat plak tu buat footnote. Lantaklah, bukan ada siapa-siapa pun yang baca. Aku je pun. Aku menyelitkan kertas tesebut di salah satu buku notaku yang ku letak dia atas meja. Aku mengeliat di atas katil. Mmm..kalaulah boleh dapat macam apa yang aku nak, kan best. Tapi beranganlah kau Tia...hehe..

*****
Aku termenung di atas katil, terimbas kembali senario tadi. Senario di mana aku melihat Helmi dan Rina sedang bergelak-gelak di kafeteria, walaupun sudah setahun berlalu. Namun aku masih tidak mampu melihat mereka berdua-duaan di hadapanku. Sesak nafasku, walaupun aku sudah lama memaafkan Helmi dan mendoakannya bahagia tapi aku tak dapat menipu diriku sendiri. Seksanya rasa hati ni. Kenapalah aku diuji seperti ini. Aku mengeluh.

”Tia ni kenapa?” Terkejut aku apabila disergah Natilie. Pucat seketika wajahku.
”Natilie, terkejut Tia tahu.” Natilie tersengih, tahu kesalahan sendiri.
”Natilie, Tia rasa nak kahwinlah. Tapi Tia tak ada calon. Macam mana yek?” Tiba-tiba aku menyuarakan hasrat hatiku pada Natilie. Natilie tersenyum.

”Apa kata Tia baca Surah Yasin, ayat 36. Ayat tu untuk doa cepat jodoh. Tak salahkan kalau kita amalkan benda-benda baik ni.” Aku mengangkat kening.

”Betul ke?” Aku bertanyanya kembali.
“Betul, takkan Natilie nak tipu pula. Lagi satu, Surah Yusuf, ayat 4. Itu untuk doa pengasih. Semoga kalau kita baca ayat tu, orang yang melihat kita akan jatuh kasih pada kita. Elok juga untuk di amalkan. Ayat pengasih ni bukan untuk suruh lelaki jadi sayang pada kita tahu, ayat ni sebenarnya elok di amalkan sebab kalau orang tengok kita, sejuk je mata dia memandang. ”

”Ooo... ye ke, kejap,kejap, nak ambil pensil. Apa tadi?” Natilie mengulangi kata-katanya tadi sementara aku menulis. Siap aku menulis, aku melekatkan kertas tersebut di tempat memo yang aku buat sendiri. Aku tersenyum puas.

”Terima kasih Natilie, awak memang baik.”
“Tak apa, ilmukan lebih baik untuk disebarkan.” Aku menganggukkan kepala, setuju dengan kata-katanya. Sejak hari itu, hari-hari aku mengamalkan ayat tersebut. Memang beruntung aku mengenali Natilie, orangnya tidak lokek memberi ilmu yang di ketahui pada orang lain.

********
Di kampung

”Tia tahu tak Abang Tam beritahu umi dia nak bertunang tahun depan.” Adikku Tina memberitahuku gosip hangat.
“Ha? Biar betul?”
“Betul..Kak Tika yang beritahu Tina semalam.” Waaahh...Abang Tam nak kahwin. Seronoknya, dua tahun lepas abangku yang ketiga dan kakakku sudah melangsungkan perkahwinan. Adik beradikku memang ramai, 8 orang. Untuk mengurangkan kos, Umi dan Abi memutuskan untuk melangsungkan dua pasangan sekaligus. Lima tahun lepas, abang sulung dan kakakku yang kedua dilangsungkan bersama.
”Kak Tia dah ada calon ke?” Tina mengusik.
” Ish! Apa kena mengena dengan Kak Tia pula.”
”Akak tak tahu ke tradisi keluarga kita, sekali buat kenduri, dua sekali, tak paham-paham bahasa?” Tina tersengih-sengih. Mukaku pucat. Betul juga tu, macam mana aku boleh lupa.
”Haha..pucat!” Tina mengejekku lagi. Aku membaling bantal ke arahnya. Geram!
”Ish! Tina, macam mana ni, akak mana ada calon, bulu hidung calon pun akak tak ada.”
”Ha, tulah Kak Tia. Dulu Abang Helmi ada, akak buang dia buat apa.” Aku mencapai sebiji bantal lagi yang ada di sebelahku dan membaling ke arah Tina.
”Jangan sebut pasal budak tu lah mangkuk! Terbakar jantung aku ni tahu.” Sempat Tina mengelak balinganku dan mengekek-ngekek ketawa.
”Habislah akak, entah-entah nanti Umi dengan Abi carikan akak suami kot. Ha, apa kata akak pilih Leman gemuk tu jadi suami akak. Walaupun dia gemuk, tapi dia kaya wooo...solo lagi tu.”
”Tinaaaa...”Aku menjerit geram. Ada ke dia nak padankan aku dengan Leman gemuk tu, takut aku. Badan Leman tu dua kali ganda besar dari aku. Walaupun aku ni taklah kurus sangat tapi kategori kecillah juga. Karang ditindihnya, penyek aku..huhu...Ish! Simpang malaikat 44.

”Umi, macam mana nak goreng ikan keli ni umi. Asyik meletup je. Takutlah Tia.” Aku menjerit memanggil Umi, aku memang tak suka goreng ikan. Lagi-lagi yang jenis meletup-letup macam ikan keli ni, lagilah. Aku menutup mukaku dengan tudung saji. Takut mukaku terkena minyak panas.

”Ya Allah anak Umi ni, apa kenalah goreng ikan dengan tudung saji ni.” Umi menjerit melihat kelakuanku. Aku tersengih. Syiqa, anak saudaraku sudah tergelak-gelak.
”Hahaha..Kelakarlah Mak Teh ni.” Mak Teh merupakan panggilan untuk anak saudaraku padaku.

”Alaaa, Umi ni macam tak tahu. Tia ni lemah sikit kalau goreng ikan. Meletup, Umi tolong Tia ek. Melekat, takut nak terbalikkan.” Umi menggeleng-gelengkan kepala.
”Macam mana nak kahwin macam ni, goreng ikan pun tak lepas.”
”Ala Umi, kalau Tia dah kahwin, Tia suruhlah laki Tia goreng ikan, hikhikhik..”
”Ish! Kamu ni..” Tiba-tiba penyapu yang aku letak di tepi dinding terjatuh.
”Omak kau, hait..hait...” Syiqa tergelak berguling-guling. Apa tidaknya, aku siap bersilat lagi. Kuss semangat, aku ingat ikan goreng dalam kuali tu meletup lagi. Aku menjengilkan mataku kepada Syiqa, dia menyorok di belakang Umiku. Takut dicubit kerana menggelakkanku.

”Nah, Umi dah terbalikkan. Nanti kamu angkat, tak meletup dah.” Kata Umi seraya menyerahkan sudip kepadaku. Aku mengangguk.

”Pow!” Syiqa mencucuk pinggangku. Terlompat aku dibuatnya, terkejut!

”Syiqaaaaaaa!” Mencicit dia melarikan diri sambil ketawa berdekah-dekah. Umi juga ketawa melihat tingkahku. Penakut dengan minyak goreng ikan.

******
”Tia, kamu dah ada calon belum. Abang Tam kamu nak kahwin dah.” Opsss! Soalan cepumas tu dah keluar dah.

“Ala, Kat Tika..belum ada lagi, rilekslah. Tia ni belajar pun tak habis lagi.”
”Kamu perempuan, bukan kamu yang tanggung laki kamu, jadi apa kena mengena kamu belajar lagi ke tak.” Kak Tika ni, kalau aku ada calon memang lama dah aku setuju.
”Nantilah Kak Tika, Tia tak ada calon lagi. Kalau Tia tak ada, Kak Tika suruhlah Tina kahwin dulu, dia pun dah mengenyam tu. Asyik tukar pakwe je. Kahwinkan je, biar betul sikit otak mereng dia.” Tina yang memang berada di situ mencapai bantal dan terus membaling ke arahku. Kami ni memang suka main baling-baling bantal. Aku menjelirkan lidah kepadanya apabila bantal yang di balingnya tidak mengenaiku.

”Ala Kak, kahwinkan je dengan Leman tu. Memang serasi...macam lagu Nurul dengan Ajai tu.. Serasi..” Belum sempat dia menghabiskan lagu yang ingin didendangkannya tadi, aku terus membaling bantal. Tepat di mukanya. Hehe…
“Kak Tia!”
“Ish! Kamu ni, Tia. Main-main je. Umur dah berapa?”
”Baru 24, rileklah!”
“Akak tak tahu ye kalau Abi tanya pada Tia nanti. Pandailah kamu menjawab. Silap-silap Abi yang carikan calon untuk kamu.” Aku menelan air liur. Takutnyaaa...

Mujur sehingga aku pulang ke kolej, Abi tidak bertanyakan soalan cepumas tersebut. Ini bermakna aku masih di beri peluang untuk mencari pasanganku sendiri. Tapi mana aku nak cari lelaki yang nak kahwin dengan aku. Ada ke? Ish! Takkan nak pilih yang aku dah reject dulu. Malulah aku. Lagipun hati aku ni tak pernah berkocak bila dengan mereka. Macam mana aku nak kahwin dengan mereka. Tak nak..tak nak..apa pun, kalau Abi tanya, aku akan cakap aku tak bersedia lagi. Lagipun aku belajar lagi, berilah aku peluang bekerja dan pegang duit dulu. Ah! Abi mesti setuju punya. Boleh kow timlah dengan Abi.

*****
Di kolej

Bosannya malam ni, nak study tak ada mood. Nak buat apa ye, bosan tahap gaban ni. Aku menghidupkan laptop yang baru ku beli sebulan yang lalu.

”Yes, wireless ada, bukan senang ma nak ada wireless bilik aku ni. Chattinglah.
Aku memasuki chat room dan memasuki ruang Selangor. Mmm..malam ni ramai juga orang kat Selangor ni. Aku memilih nama yang rasa macam best dan mem’buzz’ mereka.

“Syot22”

Syot22: Hi! A/s/l pls
Kasperskycome: Hi! 24/f/selangor, you..
Syot22: 25/m/S. Alam
Kasperskycome: Oic….
Syot22: Kita borak pasal seks nak?

Eeeeee…gelinya, bengong punya orang. Tak ada benda lain ke nak diborakkan. Benci! Gersanglah tu..eekkk

Kasperskycome: Sorry, saya tak berminat. Cari orang lain ye.
Syot22: Ala..mula-mula tak minat, nanti lama-lama minatlah.

Tak faham bahasa betullah mamat ni, ingat aku tak bertamadun macam dia. Malaslah nak layan. Aku mencari orang lain.

”Bext_09”

Bext_09: Hi! Nak tengok saya bogel?

Aduh! Malam ni malam gersang sedunia ke apa. Malas layan lagi. Akhirnya aku membiarkan YM ku begitu sahaja kerana bosan, asyik menerima rakan chat yang tak senonoh.

Aku menyelak-nyelak buku di atas meja. Mencari isi-isi penting untuk dimuatkan ke dalam tugasan. Satu jam kemudian, aku mula terasa mengantuk. Aku melihat jam, mm...patutlah, dah nak pukul satu pagi. Tiba-tiba satu YM terpapar di skrin laptopku.

”Syedn_n”

Syedn_n: Hi!
Kasperskycome: Hi!
Syedn_n: Tak tidur lagi ke?
Kasperskycome: Belum…awak duduk mana?
Syedn_n: KL, awak?
Kasperskycome: Ooo…Saya duduk Selangor.
Syedn_n: Selangor di mana?
Kasperskycome: Kuala Selangor. Awak dah kerja ke?
Syedn_n: Yup, awak dah kerja ke?
Kasperskycome: Tak, saya study lagi.
Syedn_n: Umur awak berapa?
Kasperskycome: 24, awak?
Syedn_n: Sweetnya….
Kasperskycome: Apa yang sweet?
Syedn_n: Umur awak, hehe…
Kasperskycome: Umur awak berapa?
Syedn_n: 29..Awak study kat mana?
Kasperskycome: Kat kolej je…
Syedn_n: Awak dah ada special?
Kasperskycome: Tak ada, awak?
Syedn_n: Tak ada juga.
Kasperskycome: Betul ke?
Syedn_n: Betul…dulu ada tapi dah clash. Lepas ni kalau ada saya ajak kahwin je terus. Malas nak bercinta lama-lama.

Amboi, advance gila budak ni. Tapi samalah dengan prinsip aku. Malam itu kami berborak sehingga ke pagi. Tak tahu kenapa aku terlekat pula dengan budak ni. Dia pandai melayanku, sudahnya sampai ke pagi kami berchatting. Hilang sudah rasa mengantukku. Dia mengenalkan dirinya sebagai Mohd Fariz..wahh…lebih kurang nama anak Dr. Fazley, Fariedz yang dipanggil Payish..Sedap gak kalau panggil dia Payish.hehe..suka-suka je menukar nama orang. Sejak hari itu, aku memang memanggil namanya Payish. Kami mulai rapat dan saling berhubung tiap-tiap hari melalui YM. Kami juga pernah keluar bersama dan mula berkawan rapat.

Selepas sebulan berkawan, suatu hari Payish memberitahuku bahawa dia akan outstation ke Kedah selama empat hari. Aku sudah mula gelisah. Satu hari tidak berborak dengannya pun aku rasa lain, nikan pula empat hari, mak aih! Lamanya...Mesti rindu tak tertahan.

Selama dia di Kedah, dia jarang menghubungiku. Cuma aku sahaja yang rajin memberi mesej kepadanya walaupun dia tidak membalasnya. Aku mulai rasa kelainan. Rindu memanglah, rasa macam nak pecah dada ni menanggung seorang diri. Setelah empat hari dia di sana, aku menelefonnya.

“Awak dah balik KL ke?” aku bertanya.
“Inilah nak cerita, sebenarnya saya tak jadi balik hari ni, kawan-kawan saya ajak saya berjalan-jalan ke Danok.”
“Ha, Danok tu di mana?”
“Siam.” Dia menjawab pendek.
“Mak aih…habis tu bila nak balik sini?” Terkejut aku dibuatnya. Boleh pula dia pergi ke Siam. Aku kat sini dah separuh mati menahan rindu padanya.
”Esok saya balik, kalau kawan-kawan saya tak nak balik, saya balik sendiri naik bas.”
”Janji!”
”Janji...awak nak apa-apa tak? Saya nak masuk kedai beg tangan ni.”
“Tak nak apa-apa, saya cuma nak awak balik je.” Lirih suaraku.
“Awak nak saya balik je..Mmm..Esok saya balik tau. Oklah, saya nak letak ni. Miss u.” Ucapnya lalu meletakkan telefon. Waaa….tak balik lagi rupanya.

Esoknya aku cuba menghubunginya lagi tapi tidak diangkat. Aku mula risau. Kenapa dia tak nak angkat. Angkatlah! Angkatlah! Sudahnya, sampai ke petang panggilanku tidak di angkat. Hatiku mulai gelisah, kenapa dia senyap je ni. Janganlah buat orang macam ni. Hukhukhuk…

Malam itu aku berbaring di atas katil sambil merenung telefon bimbitku sehingga tidak sedar tertidur. Tiba-tiba telefon bimbitku berbunyi, aku menggosok-gosok mata melihat skrin telefon. Payish!

“Hello, Tia..Fariz ni.” Aku terdiam. Air mataku hampir mengalir mendengar suaranya.
“Tia…Hello..Tia…” Tanpa ku sedari air mataku mengalir laju. Terdengar esakanku sekali sekala.
“Tia…Hello, kenapa ni? Ish, janganlah macam ni. Kenapa menangis ni?” Fariz bertanya kerisauan.
”Payish jahat, kenapa buat Tia macam ni, Tia risau tahu tak.” Kataku di selangi sedu sedan.
”Laaa...Fariz saja nak buat suprise, Fariz ada kat bawah kolej Tia ni.”
”Ha??? Payish ada kat bawah?”
”Ye, cepat turun. Fariz tunggu ok.” Aku mengesat air mata yang masih bersisa di pipi. Kelam kabut aku bersiap dan terus turun ke bawah.

”Payish!!!” Aku mendapatkannya sambil mencekak pinggang. Awal-awal lagi dia sudah tergelak dengan tingkahku.
“Tak baik buat Tia macam ni tau! Tia ni macam lembu hilang anak dah.” Fariz tersengih nakal.
“Baru lembu, hehe..sayang juga Tia kat Fariz ye.” Merah pipiku menahan malu.
”Ala...merah dah muka dia. Ni buat Fariz tak lena tidur malam ni.” Aku menumbuk dadanya, manja.. malu diperlakukan begitu. Fariz mengaduh kecil.
“Saya datang ni sebab nak bagi awak barang-barang ni, nah!” Mak aih, punyalah banyak barang-barang yang di beli dari Kedah dan Siam untukku.
“Banyaknya awak.” Fariz tersengih-sengih.
“Saya nampak barang je, mesti saya teringatkan awak. Tak sedar rupanya banyak gila barang yang saya beli untuk awak.”
“Payish! Payish! Kenapalah awak membazir. Ish!Ish!”
“Ala, untuk awak, apa salahnya.” Dia merenungku manja. Aku tersenyum simpul.
”Kenapa Payish pandang Tia macam tu.” Dia menggeleng-gelengkan kepala.
“Awak seorang je panggil saya Payish. Rasa macam lain je tapi saya suka.”

Malam itu, kami berdating sehingga saat-saat terakhir pagar ditutup, barulah aku masuk ke kawasan kolej. Alaa...tak puas lagi nak tengok muka dia. Huhu...Malam itu, selepas Fariz sampai di rumah, kami berborak melalui YM. Namun, topik yang dibualkan berlainan dari malam-malam biasa. Dan, dia juga sudah membahasakan dirinya sebagai Payish, hehe..pengaruh kuat maa...Malam itu, Fariz seolah-olah mengajakku kahwin. Waa...pucuk di cita ulam mendatang. Aku mengangguk-angguk tanda setuju di depan laptop, tapi sebaliknya yang aku tulis di YM. Aku mengatakan bahawa aku masih belajar dan tidak cukup duit untuk berkahwin. Aku menyuruhnya memberi tempoh 3 tahun untuk aku menyelesaikan semua perkara dan untuk aku mengumpul duit. Dia terdiam tetapi aku tidak tahu samada dia bersetuju dengan cadanganku atau tidak.

******

Harijadi Tia-(3 bulan kemudian)

Hari ni harijadi aku, tapi kenapa Fariz tak wish apa-apa pun. Dahlah senyap je. Nak kata aku tak beritahu hari ni harijadi aku, seminggu lepas aku dah siap announcement dah. Siap suruh buat reminder lagi. Hukhukhuk.....

Tiba-tiba handphoneku berbunyi. Panggilan dari Kak Tika.

”Assalamualaikum, Tia.”
”Waalaikumsalam, kenapa Kak Tika?” Aku pelik. Selalunya kalau tiada apa-apa, jarang Kak Tika menelefonku.
”Ni ha nak beritahu, keluarga Fariz datang tadi. Mereka datang nak merisik Tia, so macam mana?”
Ha!!!! Keluarga dia datang merisik aku, kenapa aku tak tahu pun?
”Biar betul Kak?”
”Ish, apa pulak nak main-mainnya. Ni ha, ada kat luar tu.” Jantungku berdegup kencang mendengar kata-kata kakakku.
”Kejap Kak Tika, nanti Tia telefon akak balik.” Aku mula mendail nombor Fariz tapi tidak berangkat. Aku jadi tak senang duduk. Berpuluh-puluh sms aku kirimkan tapi tidak berbalas. Aku mula berpeluh. Terngiang-ngiang kata-kata Fariz dua bulan yang lepas sewaktu dia bertanyakan tarikh harijadiku.

”Harijadi Tia bila?”
”Lama lagi, bulan Ogos, kenapa?”
”Mmm..tak ada apa-apa.”
”Ha, nak belikan Tia kek ye?”
”Haah, nak bawak kek special, kek atas dulang.”

Sangkaku kata-katanya dahulu hanya gurauan. Tak sangka dia betul-betul mengotakan kata-katanya. Telefonku tiba-tiba berdering kembali. Abi!

”Assalamualaikum Tia, Abi ni.”
”Waalaikumsalam, ye Abi?”
”Ni, keluarga Fariz bertanyakan Tia ni. Tia setuju tak?” Aku menelan air liur basiku. Tak tahu apa jawapan yang sesuai untuk diberi.
”Ikut Abi lah, Tia ikut je.” Takkan aku nak jawab aku setuju direct, karang tahulah Abi yang aku memang menggatal nak berlaki. Hehe...
”Ish, apa pulak ikut Abi, Tia yang nak kahwin.” Abi tergelak kecil mendengar jawapanku. Alamak, lemahnya. Macam mana ni.
”Tia setuju je kalau Abi setuju.” Akhirnya....
”Kalau macam tu, Abi terus cakap setuju je lah ye dengan keluarga Fariz. Tak payah Abi minta tempoh-tempoh.” Selepas Abi memberi salam, aku terus meletakkan telefon. Seperti tidak percaya bahawa diriku telah dirisik. Fariz ni memang nak kena. Suka buat kejutan, nasib baik aku tak ada sakit jantung.
Telefon bimbitku berbunyi lagi, aku melihat nama di skrin. Bulat mataku!

”Payish!!!” Terdengar Fariz tergelak-gelak di corong telefon. Aku memarahinya kerana membuat keputusan tanpa memberitahuku namun dia memberi penjelasan yang membuatkan aku tidak jadi marah padanya.

”Thanks sayang sebab tak tolak lamaran Payish.” Merah mukaku di panggil sayang. Mujur dia tiada di depanku, kalau tidak mesti Fariz akan menarik hidungku jika melihat mukaku memerah. Sengaja mengusik. Aku tersenyum, rasa bahagia mula menyelinap di seluruh sanubariku.

Andai ini jodohku, aku terima dengan hati yang terbuka. Majlis pertunangan diadakan 2 minggu kemudian diikuti majlis pernikahan seminggu kemudian. Agak kelam kabut jugalah persiapan yang aku lakukan. Mujur hanya majlis pernikahan sahaja akan berlangsung manakala majlis bersanding akan diadakan bersama-sama abangku lima bulan lagi. Namun persediaan awal Fariz sedikit sebanyak mengurangkan peningku untuk menyediakan barang-barang hantaran. Semua barang-barangku sudah dibelikan lebih awal bersama barangannya. Untuk majlis pertunangan, semua di tanggung Fariz. Rupa-rupanya Fariz telah merancang terlebih dahulu semua perancangannya. Mujur juga dia bijak mengatur strategi...


Aku menyidai tuala basah yang aku gunakan tadi di tempat penyidai. Aku melihat Fariz khusyuk membaca sesuatu sambil tersengih-sengih sendiri. Aku pelik.

”Payish baca apa tu, kenapa tersengih-sengih macam kerang busuk.” Fariz tergamam melihat kemunculanku yang tiba-tiba. Cepat-cepat dia menyorokkan buku yang di pegangnya tadi ke belakang. Tapi mataku sempat melihat cover buku yang dipegangnya tadi. Mataku terbeliak.

”Payish! Bagi balik buku Tia tu.” Aku rasa mukaku sudah bertukar warna pink sekarang. Mana tidaknya, buku tu ada kertas tentang ’lelaki saya’ yang gatal aku tulis dahulu. Fariz mengelak dariku supaya aku tidak dapat mengambil buku yang dipegangnya tadi sambil tergelak-gelak.

”Payish...” Aku sudah putus asa. Aku memandangnya dengan muncung yang panjang. Malunya yang amat, kenapalah aku tak buang dulu kertas tu. Pelupa betullah!

”Tak nak bagi tak apalah!” Aku menghentakkan kaki dan berura-ura mahu keluar. Fariz menarik tanganku semula dan memelukku. Gelaknya masih bersisa. Aku cuba menolaknya dari terus memelukku namun pelukannya makin kejap sehingga aku hampir tidak dapat bernafas. Tetapi dia masih lagi tidak menghabiskan gelaknya. Malunyaa akuu.... Aku memukul dadanya.

”Janganlah gelak lagi, malu!” Aku menyorokkan mukaku di sebalik dadanya yang bidang.

”Ok!Ok! Payish tak gelak lagi..hehe..”
“Tu gelak lagi!” Aku mencubit perutnya.
“Ouch! Ganaslah isteri Payish ni.”
“Padan muka, siapa suruh baca hak milik orang lain.”
”Tak sengaja, kertas tu terjatuh dari buku ni masa Payish alihkan, Payish baca jelah, tak sangka isinya menarik, lagi-lagi permintaan yang terakhir tu.” Aku menutup mukaku. Kali ni memang aku malu tahap gaban. Fariz menarik tangan yang menutupi mukaku tadi.
”Tapi muka Payish tak macam muka gorillakan?” Fariz tersengih. Aku menggigit bibirku, tak tahu mana nak letak muka dah. Mukaku memang dah jadi merah padam. Ish! Kenapalah aku lupa!
”Tapi, segala permintaan Tia insyaallah Payish akan tunaikan.” Aku memandangnya.
”Betul ke?” Aku bertanyakannya kembali. Dia mengangguk. Aku tersenyum.
”Dengan satu syarat!” Aku mengangkat keningku.
”Tukar nama Payish jadi abang ek, tak naklah panggil Payish lagi.” Aku tersenyum lega, takut dia meminta yang bukan-bukan.
”Ok!Pa..Bang” Tergagap-gagap percubaan pertamaku.
”Abang, bukan pabang.” Fariz membetulkan perkataanku. Aku tersengih.
”Baikkkk.....tapikan, Tia tak ingat dah apa Tia tulis. Apa permintaan Tia sebenarnya ye?” Aku mengambil bukuku dari tangannya dan membaca helaian kertas yang dibacanya tadi. Sudahnya aku sendiri tergelak membaca tulisanku sendiri, ada yang tak masuk akal.
”Ala, rugi tak tulis banyak-banyak.” Tiba-tiba Fariz memelukku dari belakang. Aku tergamam.
“Wanginya isteri abang ni, baru lepas mandi ye.” Aku terkaku, masih tidak biasa di peluknya.
“Hehe…Abang, jom turun. Tadi Umi panggil makan.” Fariz mengambil buku dari tanganku dan meletakkan di tepi meja solek. Aku berdebar-debar. Takut pun ada sebenarnya. Aku membiarkan sahaja perlakuannya. Tangannya merayap dan mencapai jemariku Tiba-tiba dia berkata...
”Jom makan, abang pun lapar dah ni.” Haha...bikin aku suspend aje. Aku dah fikir lain dah tadi. Nasib baik aku tak lebih-lebih. Kihkihkih...

Memang benar apa yang tuhan janjikan. Setiap musibah yang berlaku itu ada hikmahnya. Kalau aku tidak putus dengan Helmi dahulu, mustahil aku akan akan bertemu Fariz dan tidak mungkin aku berpeluang sehidup semati dengannya. Rahmat Allah itu terlalu besar. Aku bersyukur dikurniakan seorang suami yang penyayang walaupun perkenalan kami hanya beberapa bulan sahaja sahaja.

” Kalau dah jodoh tak ke mana, kan yang..” Sempat Fariz membisikkan kata-kata tersebut sebelum kami keluar dari bilik. Aku tersenyum simpul sambil mengangguk. Memang, kalau dah jodoh tak ke mana....

0 comments: