CLICK HERE FOR BLOGGER TEMPLATES AND MYSPACE LAYOUTS

Wednesday, September 2, 2009

Kotak Hati 2

Sewaktu aku pulang, aku terdengar Sofia merungut-rungut dengan Iman tentangku di dapur. Malah dia mengatakan mahu menghalauku dari rumah jika masih tidak mampu membayar sewa rumah untuk bulan depan. Iman hanya mampu menasihati Sofia supaya memberikanku sedikit masa lagi. Hatiku terguris mendengar kata-kata Sofia, tergamak dia mahu menghalauku keluar dari rumah. Air mataku menitis lagi, senyap-senyap aku memasuki bilik dan terus berbaring di atas katil. Iman memasuki bilik tidak lama kemudian, dahulu teman sebilikku adalah Sofia, namun setelah Sofia berubah sikap denganku, dia meminta Iman untuk bertukar bilik dengannya. Iman pula hanya menurut, dia tidak mahu mengeruhkan lagi keadaan yang sedia ada. Iman menghampiriku.

”Hana...”Aku memakukan diri.

”Hana..Iman tahu Hana tak tidur lagi.” Barulah aku mengesotkan badan dan duduk menghadapnya.

”Hana menangis ke?” Iman bertanya.

”Taklah Iman, mata Hana masuk habuk.” Alasan lapuk, namun aku tidak tahu apa lagi alasan yang patut diberikan pada Iman.

”Jangan nak tipu Imanlah, Iman tahu Hana dengar apa yang Sofia cakap tadikan. Hana jangan risau, Iman akan cuba pertahankan Hana. Iman sendiri tak tahu apa masalah Sofia dengan Hana sebenarnya tapi percayalah, Iman yakin Hana tak bersalah sebenarnyakan?” Aku mengangguk.

”Hana sendiri tak tahu apa salah Hana pada Sofia, tiba-tiba sahaja dia buat Hana ni macam musuh. Dia langsung tak beri Hana peluang minta penjelasan kenapa dia berubah. Hana nak tak tahu juga apa salah Hana, kalau betul salah Hana, Hana akan minta maaf.” Air mataku mula mengalir lagi.

”Sabarlah Hana, mungkin dia ada masalah lain. Nanti Iman akan cuba risik. Buat masa ni, Hana kena sabar je dengan kerenah Sofia, ok?” Aku mengangguk lagi.

”Tapi, kalau berterusan macam ni, Hana rasa baik Hana pindah rumah saja.”

”Hana, janganlah macam ni, kita akan cari jalan penyelesaian. Kalau Hana pindah rumah, hubungan Hana dengan Sofia takkan pulih. Lagipun mana Hana nak cari duit untuk cari rumah sewa baru.” Aku terdiam. Mengakui kebenaran kata-kata Iman. Memang aku langsung tidak mempunyai duit sekarang.

”Dahlah, Hana jangan fikir banyak-banyak. Iman akan sokong Hana, Sofia takkan boleh halau Hana kalau Iman tak setuju. Jangan risau ye, dah..Hana sambung tidur, jangan fikir banyak-banyak tau.” Iman memujukku.

”Baiklah Iman..terima kasih..”

*******

”Hana...” Seseorang melaungkan namaku dari jauh, aku menoleh untuk mengetahui siapa gerangannya yang memanggilku tadi. Burhan rupanya, aku tersenyum.

”Ha.. Burhan, kenapa panggil Hana dari jauh ni ada hal penting ke?” Burhan merupakan orang pertama yang menyapaku setibanya aku di sini. Ketika itu, kami berada di lapangan terbang, pertama kali menjejakkan kaki di bumi asing membuatkan aku takut dan bingung. Bingung bagaimana caranya mahu ke Univesiti. Mujur Burhan yang ketika itu juga ingin ke tempat yang sama mengajakku menyertainya. Aku yang memang memerlukan bantuan tidak melepaskan ajakannya dan sejak dari hari itu kami berkawan rapat.

”Saja panggil, rindu dah lama tak nampak muka Hana yang comel ni.”

”Pandailah, puji-puji ni mesti ada sesuatu nak minta dari Hanakan?” Aku meneka. Burhan menggeleng.

”Mana ada, tak baik tau Hana cakap macam tu. Burhan bukan apa, lama dah tak bercakap dengan Hana. Susah betul nak jumpa Hana sekarang, busy memanjang.”

“Mestilah, kitakan dah tahun akhir sekarang ni. Mestilah kena struggle lebih, kalau tak mcam mana nak dapat keputusan cemerlang, betul tak?”

”Yelah, semua apa ayang cakap semua betul.” Sengaja Burhan mengusikku. Wajahku merona merah di panggil ayang.

”Burhan ni, suka-suka panggil Hana, ayang. Nanti orang lain dengar malulah Hana.”

”Ala..mereka bukan tahu cakap melayu, buat apa nak risau. Kita berdua je. Hana dah makan?” Aku menggelengkan kepala.

”Kalau macam tu, biar Burhan belanja Hana makan.”

”Betul Burhan nak belanja? Wahh..banyak duit Burhan, Hana makan banyak tau, tak menyesal.”

”Ala..kalau setakat badan macam Hana ni berapa banyak sangatlah yang Hana makan, Burhan tak risau langsung. Jomlah...”

”Yelah...jom.” Aku menerima pelawaannya.

Tanpa aku sedari, sepasang mata yang marah sedang merenung tajam ke arah kami. Perasaan marah yang membuak-buak mula menular dalam diri.

*******
Sofia menghempaskan beg tangannya ke katil. Perasaan marah yang membuak-buak tidak mampu di tahan lagi. Dia merasa sangat geram apabila melihat kemesraan Burhan dan Raihana tadi. Sudah lama dia menyimpan perasaan terhadap Burhan, sejak di tahun pertama lagi namun Burhan tidak pernah menyukainya. Di matanya hanya melihat Raihana sahaja.

”Aku mesti singkirkan Hana tak kira apa juga cara. Burhan hanya milik aku seorang sahaja. Jangan harap kau nak dapatkan dia. Mampuslah kau..” Desis hatiku jahat.

Memang tujuan utama aku mendekati Raihana adalah untuk mendapatkan Burhan. Aku sendiri tidak tahu apa kelebihan Burhan yang membuatkan aku tergila-gilakannya. Dia tidaklah kacak, sedap mata memandang orang kata tapi itu bukan sebab utama aku meminatinya, kaya? Mmm...mungkin sebab inilah aku memujanya. Aku melihat sendiri ibu bapa Burhan ketika mereka menghantar Burhan dua tahun lepas. Bapanya orang ternama, wajahnya sering terpampang di muka-muka akhbar tentang kejayaan syarikat miliknya. Tapi aku agak pelik, tiada siapa yang tahu dia adalah anak orang kaya di sini. Burhan juga lebih suka bersikap low-profile, pakaiannya juga tidak menunjukkan dia adalah orang berada. Mungkin aku seorang sahaja yang tahu agaknya. Itupun secara kebetulan aku terserempak dengan mereka di lapangan terbang, kalau tidak mungkin sekarang aku tidak akan memandang sebelah mata pun pada Burhan.

Sejak itu, aku memang menetapkan target untuk memikatnya namun tidak berjaya. Jika kami bertemu, dia hanya akan memandang Raihana sahaja. Hanya tuhan yang tahu betapa sakitnya hatiku apabila diabaikan walhal aku ikut sekali dalam pertemuan itu. Dia hanya bercakap denganku jika ada hal yang penting sahaja. Itu pun selalu berkaitan dengan Raihana.

Aku mula memasang rancangan untuk menyingkirkan Raihana, mm...tapi yang pasti rancangan ini hanya boleh dilakukan jika Iman tiada, kalau tidak..mesti Iman akan menyokong Raihana dan tidak membenarkan aku menghalaunya. Aku melihat kalendar, teringat akan kata-kata Iman tempohari yang dia terpaksa bermalam di rumah Lucy, rakan sekuliahnya minggu hadapan untuk menyiapkan tugasan mereka. Aku menanda kalendar tersebut supaya aku akan sentiasa mengingati hari tersebut.

”Masa nilah yang sesuai untuk aku halau Raihana...” Ujarku dengan pandangan mata yang menyeramkan. Terimbas diingatanku peristiwa di mana aku meluahkan perasaanku pada Burhan beberapa bulan yang lepas.

”Hai Burhan..” Aku menyapa Burhan yang tidak perasan akan kehadiranku di situ kerana khusyuk melihat papan kenyataan. Burhan menoleh, wajahnya berubah.

”Hai..Sofia rupanya. Hana mana?” Wajahku berubah apabila Burhan bertanyakan Raihana.

”Mm...dia sibuk kot, tak apalah..Hana tak ada, Sofiakan ada.” Aku mengusiknya. Burhan tersengih.

”Sofia nak pergi mana ni?” Burhan bertanya.

”Tak ada pergi mana-mana, saja nak jumpa Burhan kat sini.”

”Oh, ye ke..kenapa nak jumpa Burhan kat sini.” Burhan mengerutkan wajah. Pelik kerana selama ini Sofia tidak pernah mengajaknya berjumpa atau keluar, tiba-tiba sahaja dia mahu menemuinya di sini.

”Kat sini tak bestlah nak cerita, kita pergi cafe nak? Sofia belanja Burhan minum.” Burhan mengangguk tanda setuju. Sofia tersenyum lebar, sudah lama dia menyimpan rancangan untuk meluahkan perasaannya. Kali ini dia mesti meluahkannya tidak kira apa terjadi.

Aku memilih tempat yang agak terceruk untuk memberikan aku lebih ruang privasi bagi meluahkan perasaanku. Setelah membeli dua gelas minuman, aku memberikan satu kepada Burhan dan satu lagi aku letakkan di hadapanku.

”Ada apa Sofia nak jumpa Burhan?” Burhan bertanya seraya menyedut air di hadapannya. Aku memandangnya lalu menarik nafas panjang.

”Sebenarnya Sofia sukakan Burhan.” Tersedak Burhan apabila mendengar kata-kataku. Aku mengeluarkan tisu dan memberikan padanya. Burhan memandangku seperti tidak percaya.

”What!!” Aku menganggukkan kepala tanda mengiakan kata-kataku tadi.

”I don’t think i can accept you more than friend.” Kata-katanya membuatkan wajahku berubah.

”What do you mean?” Aku bertanya kebingungan kerana luahanku ditolak mentah-mentah.

”I love Raihana..” Ujarnya pendek. Aku bengang apabila dia mengatakan begitu. Begitu berterus-terang tanpa menjaga hati dan perasaanku langsung. Aku terus mencapai begku dan berlalu dari situ. Perasaan marahku tidak dapat di kawal lagi. Burhan memanggilku namun oleh kerana hatiku sudah terguris, aku tidak mengendahkan panggilannya dan terus berlalu dari situ. Sejak itu aku memusuhi Raihana walaupun dia tidak mengetahui kenapa aku berubah sikap. Sengaja aku menyakiti hatinya dan melontarkan kata-kata pedas padanya supaya dia terluka. Puas hatiku setiap kali dia menangis kerana perbuatanku.

*******

”Hana makin manislah sekarang..” Burhan memandangku membuatkan aku menjadi tidak keruan.

”Kenapa pandang Hana macam tu?” Aku bertanya padanya, malu kerana ditenung sebegitu. Burhan tersenyum manis.
“Salah ke kalau Burhan pandang awek sendiri?” Aku menjelirkan lidah. Pandai-pandai dia sahaja mengaku aku aweknya.

“Bila masa entah Hana jadi awek Burhan.” Aku meneliti buku menu di tanganku, malas melayan usikannya lagi, kalau di layan makin menjadi. Pelayan mendekati kami, aku memesan makanan kesukaanku. Apabila pelayan tersebut mahu mengambil pesanan Burhan, dia hanya menggeleng-gelengkan kepala tanda tidak mahu memesan apa-apa.

“Tak nak makan ke?” Aku menyerahkan menu kepadanya. Burhan menggeleng-geleng, pelayan tersebut mahu pergi namun aku sempat menahannya.

“Kalau Burhan tak nak makan, Hana pun tak nak makan. Mesti Burhan tak ada duit tapi nak belanja Hana makan juga, kan? Kalau macam tu, jomlah balik.” Aku mengambil beg sandangku dan berura-ura mahu keluar. Burhan menarik begku dan menyuruhku duduk semula.

”Yelah..yelah, Burhan order juga ni. Pandai je kata Burhan tak ada duit, berkepuk tau duit Burhan dalam dompet ni.” Ujar Burhan berseloroh.

”Betul ni..jangan sampai tak makan dua tiga hari sebab nak belanja Hana.” Burhan menggeleng-gelengkan kepala sambil tersenyum.

”Tak ada mananyaa...” Setelah mengambil order dari Burhan, pelayan tersebut pun berlalu. Kami terdiam, Burhan hanya memandangku tanpa sebarang kata-kata. Aku rimas apabila di pandang begitu.

”Burhan ni...” Aku mencampakkan napkin di atas meja ke mukanya. Burhan tersengih nakal.

”Ala..biarlah Burhan tengok pujaan hati Burhan ni lama sikit. Lama tau Burhan tak nampak. Busy memanjang..nak ajak dating pun susah.” Aku mencebik mendengar kata-katanya.

”Dahlah Burhan, hari ni tak habis-habis mengusik Hana tau. Tak sukalah Hana.” Ujarku berterus-terang.

”Ok..ok..Burhan tak kacau lagi, tapi nak tanya satu soalan boleh tak?” Aku mengangkat kening, sebagai tanda memberi kebenaran padanya untuk bertanyakan soalan yang hendak ditanyakannya.

”Hana...nak tak jadi makwe Burhan?” Terbeliak biji mataku mendengar pertanyaannya.

“Burhan!!” Aku menjengilkan mataku, berpura-pura marah dengan pertanyaannya tadi. Burhan tergelak kecil sambil mengangkat kedua tangannya tanda tidak mahu mengusikku lagi.

“Tak boleh ke?” Sempat lagi dia mengusikku, aku mencubit lengannya. Burhan menjerit kesakitan.

”Ha..usik Hana lagi. Gatal!” Burhan menyeringai kesakitan dan mengusap-usap lengannya yang berbekas kerana cubitanku tadi.

”Hana ni, garang betul.” Aku tergelak melihat mukanya yang mencerut menahan sakit. Makanan yang kami order sampai ke meja.

”Ok..ok...Sori, Hana tercubit kuat sikittt je...Sebagai tanda minta maaf, Hana akan layan Burhan makan. Burhan nak letak sos tak?” Wajah Burhan kembali ceria mendengar kata-kataku. Dia mengangguk. Aku meletakkan sos di atas makanannya dan melukis gambar ikon senyum dan menyerahkan padanya.

”Special untuk Burhan..” Kataku sambil meletakkan air di sebelah kanannya. Kami makan sambil berbual-bual tentang banyak perkara. Bersama Burhan memang seronok, dia selalu membuat kelakar dan sering membuatkanku ketawa apabila bersamanya. Namun, aku tak pernah jatuh hati padanya, entahlah..mungkin aku belum berjumpa dengan orang yang bisa mengocakkan hatiku lagi. Burhan memang lelaki yang baik, tapi hatiku tidak pernah terpaut padanya. Aku cuma melayannya seperti rakan-rakan yang lain namun bezanya dia ku anggap rakan baikku. Aku tidak pernah menganggap lebih dari itu.

Selesai makan, Burhan menghantarku sehingga ke depan pintu. Sempat kami berborak-borak sebelum aku masuk ke dalam rumah. Tanpa ku sedari, Sofia melihat saja perbuatan mesra kami melalui tingkap dengan perasaan marah yang makin membuak-buak.

”Mesra nampak?” Perli Sofia apabila aku memasuki rumah. Aku memandangnya sekilas dan terus berlalu masuk ke dalam bilik. Malas untuk berbual dengannya lebih lama, mungkin kami akan bergaduh lagi. Tanpa ku sedari, Sofia mengekoriku masuk ke dalam bilik. Sambil bercekak pinggang, dia bertanya padaku.

”Bila nak bayar duit sewa rumah, bil api, bila air semua tu?” Angkuh sekali dia bertanya. Aku tidak menghiraukan pertanyaannya dan terus membuka tudung yang meliliti kepalaku.

”Kalau rasa tak mampu nak bayar, Sofia syorkan..pindah rumah jelah…taklah menyusahkan orang.”Aku tersentak dengan kata-kata Sofia. Pedih hatiku apabila kawan sendiri menghalauku dari rumah. Selesai berkata begitu, Sofia terus keluar dari bilikku sambil menghadiahkan jelingan yang tajam. Aku terduduk di atas katil. Setitis air mataku mengalir jua.

”Sofia…” Desis hatiku sedih melihat perubahan demi perubahan sikapnya yang semakin hari semakin jelik melihatku. Jika memang itu keinginanmu untuk melihatku keluar dari rumah ini, aku akan tunaikan Sofia…

******
”Ada tak bilik untuk disewakan sekitar rumah-rumah awak tu?” Tanyaku, aku menghayunkan buaian dengan perlahan, Adrian berdiri di sebelahku.

”Kenapa, awak nak pindah rumah ke? Rumah sewa awak sekarang tak ok ke?” Lelaki tersebut bertanya. Aku terdiam sejenak, memikirkan alasan yang patut diberikan demi mengelakkan lelaki itu tahu masalah sebenarku.

”Taklah, ok je cuma saya nak cari tempat tinggal yang lebih dekat dengan kawasan kampus. Lagipun sekarang saya selalu balik malam untuk siapkan tugasan, bahaya kalau saya balik seorang diri, jauh pula tu.”

”Oh..bilik untuk di sewa...Mmm...Saya rasa tak ada jiran-jiran saya yang nak sewakan bilik. Awak terdesak ke?”

”Mm..taklah terdesak, tapi kalau boleh lagi cepat lagi bagus. Kalau boleh lagi, nak yang murah sebab saya tak cukup duit nak bayar bilik sewa tinggi-tinggi.”Adrian kelihatan seperti berfikirkan sesuatu.

”Mm..Rumah saya ada bilik kosong, awak nak?”

”Rumah awak?” Aku mengerutkan dahi lalu menghentikan hayunan buaian.

”Kenapa?”

”Tak ada apa-apa, cuma rumah awak tu ada siapa lagi?”

“Saya tinggal seorang diri je.”

“Ish, bahaya..tak bolehlah macam tu.”

“Kenapa?” Dia bertanya lagi.

“Mm...sebab awak lelaki. Bahaya bagi perempuan macam saya duduk rumah lelaki.”

“Awak jangan salah faham, saya takkan buat apa-apa pada awaklah, kalau awak di rumah tu, saya taklah sunyi. Lagipun saya memang cari orang untuk uruskan rumah saya, awak tahulah, sayakan buta. Saya perlukan seseorang untuk membantu saya. Orang yang uruskan saya dulu dah berhenti.” Aku memikirkan sejenak pelawaannya tadi.

“Berapa sewa bilik yang awak kenakan?”

“Itu boleh dibincangkan kemudian, sekarang awak nak ke tak nak?”

“Beri saya tempoh untuk fikir dulu, kalau saya nak, saya beritahu awak, boleh?” Bukan aku sengaja mahu menolak niat baiknya namun aku harus berhati-hati, walaupun dia buta namun dia masih seorang lelaki. Aku harus menimbang buruk baiknya sekiranya aku mahu tinggal dengannya.

“Awak boleh bagi tahu saya bila-bila masa yang awak suka. Tapi sebelum tu, boleh saya tahu nama awak?” Aku memukul dahiku, lupa langsung untuk bertanya namanya.

“Ha’ah, dah beberapa kali kita jumpa tapi asyik lupa nak tanya nama awak. Nama saya Raihana, panggil sahaja saya Hana.”

“Hena..Mm...Hena..” Ucapnya dengan slanga Inggerisnya memanggil namaku.

“Ha..na..” Aku membetulkan sebutan yang sedikit kelakar apabila dia menyebut Hana, perkataan tersebut bertukar menjadi Hena.

“Ha..na..nice..” Aku tersenyum.

“Nama awak?”

“Adrian, Carl Adrian..”

1 comments:

Anonymous said...

cte kotak hati ni da abes ke blom??