CLICK HERE FOR BLOGGER TEMPLATES AND MYSPACE LAYOUTS

Friday, October 30, 2009

Syurga Cinta 9

Alarm lagu ”Dancing Queen” kedengaran di subuh yang hening, aku membuka sebelah mata untuk melihat jam di telefon bimbit. Pukul 6.35! hah! Mampus aku! Sarapan tak siap lagi. Terkocoh-kocoh aku bangun. Selimut dan bantal tercampak merata. Aku mencapai tudung yang terletak di tepi pintu dan menuju bilik air di dalam rumah. Belum sempat aku keluar, barulah aku menyedari bahawa aku hanya memakai pijama sahaja. Alamak! Tukar baju dulu. Tak cukup lantai aku rasakan sekarang ini. Baru hari pertama bekerja sudah lewat. Ah! Tak sempat nak gosok gigi ni, tinggal beberapa minit je ni, masak nasi dulu baru pergi toilet. Jahat gila, rasakanlah nasi yang aku masak tanpa menggosok gigi..Haha..

Setelah membasuh dan meletakkan periuk ke dalam periuk nasi, barulah aku ke bilik air. Membersihkan apa-apa yang sepatutnya dibersihkan dan bersolat subuh. Setelah itu, aku kembali semula ke dapur. Sejak dari malam tadi aku sudah memikirkan untuk memasak sesuatu yang ringkas supaya tidak menyusahkan hidupku. Hari ni masak sardin, esok masak telur, esok lagi, masak ikan bilis, hari berikutnya, masak telur lagi, kemudian sardin lagi..dan ia akan berulang sekali lagi dan lagi dan lagi..Nasiblah, siapa suruh bela orang gaji yang ’pandai gila’ memasak..Hehe...

Ye, menu utama hari ini, sardin berkuah...erkk..macam mana nak masak ni yek. Mmm..belasah je lah. Aku memotong 2 ulas bawang besar dan kemudian ditumis. Selepas itu, aku memasukkan sardin dalam tin. Macam ni kot caranya. Betullah ni agaknya. Kemudian, aku memasukkan air supaya kuahnya tidak terlalu pekat. Alamak! Terlebih airlah pula. Macam mana ni, keluarkan sikit air dia. Tunggu sampai dia mendidih, lepas tu masukkan dalam mangkuk. Siap kerja aku. Haha.. Senang rupanya masak sardin ni, dulu masa aku duduk seorang, aku beli je kat kedai makan depan tu. Mana pernah masak. Kalau masak pun selalunya masak air je. Kalau Nina datang dengan Nazim, barulah dapur tu berasap.

Selesai sahaja aku memasak, Raikal turun dari biliknya dengan berpakaian lengkap untuk ke tempat kerja. Dia duduk di meja makan.

”Sardin je?” Dia bertanya. Aku menganggukkan kepala dan terus duduk di hadapannya.

”Ni sardin ke masak bawang ni?” Dia memerliku apabila melihat masakanku penuh dengan hirisan bawang.

”Masakan ini dinamakan sardin ala bawang..” Aku membalas pertanyaannya selamba. Dia menggelengkan kepala, pelik dengan masakanku. Dia menceduk sedikit sardin ke dalam pinggannya. Baru makan sesuap, dia tersedak.

”Ada lori garam terbalik ke kat luar tu?” Aku yang mendengar kata-katanya terus menjenguk ke luar tingkap untuk melihat samada terdapat lori terbalik di hadapan rumah kami.

”Mana ada?” Aku memandangnya sambil mengangkat kening tanda hairan. Mana ada lori accident pagi-pagi buta ni. Kalau ada mesti aku ada dengar dah! Aku menjenguk semula untuk memastikan tiada lori accident..

Raikal menepuk dahinya melihat kelurusan dan kebendulan Julita.

”Maksud saya, apasal sardin awak ni masin sangat. Ada lori baru terbalik ke kat luar tu sampai banyak sangat garam awak bubuh ni. Ish...apalah bendul sangat awak ni.” Aku menggaru-garu kepalaku yang tidak gatal sambil tersengih malu, barulah aku memahami maksud lori terbalik itu yang sebenarnya.

”Lupa..” Raikal menggeleng-gelengkan kepala.

”Awak ni tahu memasak ke tak?” Aku menggelengkan kepala. Raikal mengeluh.

”Awak tu perempuan, takkan tak tahu masak langsung? Mak awak tak ajar?” Raikal memerliku.

”Mak saya tak sempat nak ajar...” Aku menundukkan wajahku, sedih apabila nama ibuku disebut-sebut dan cuba dipersalahkan. Raikal terdiam sejenak, mungkin dia menyedari keterlanjuran kata-katanya padaku tadi.

”Lain kali belajar masak! Dahlah cair, masin pula tu. Masak sardin pun tak lepas.” Tiba-tiba Raikal memerliku lagi. Merah mukaku menahan malu..

”Satu lagi, baru masak sardin, dapur dah macam tongkang pecah. Ni baru masak sardin, tak jadi pula tu. Kalau masak yang berat-berat, saya tak tahu apa nak jadi dengan dapur ni. Lain kali lepas masak terus kemas..Rimas saya tengok dapur ni bersepah.”

”Baikk..” Aku menjawab perlahan sambil memuncungkan muka padanya. Nasib baik dia tidak memandangku ketika itu, jika tidak mesti panjang leterannya.

Raikal cuba menjamah nasinya sehingga habis walaupun sardin tersebut tidak sedap. Usai bersarapan, Raikal terus menuju ke kereta. Aku mengekorinya. Sebelum bertolak, sempat dia memberi list tugasan padaku supaya mengemas rumah, mencabut rumput di taman, membersihkan longkang, menyiram pokok bunga, lap cermin, kemas dapur..

”Mak aih! Banyak gila..mahu aku pengsan malam ni!” Terbelalak mataku melihat senarai tugasannya yang panjang.

”Jangan malas!” Sempat dia berpesan padaku sebelum memecut keretanya laju meninggalkan asap kereta kepadaku. Kurang asam betul! Dahlah bagi list panjang gila, bagi asap pula tu. Teruk betul manusia ni. Nanti kau, ada lori ada bas, ada hari aku pula yang bebas! Desis hatiku geram sambil mengacukan penumbuk pada kelibat Raikal.

******
Raikal mengurut-urut lehernya yang lenguh akibat terlalu fokus bekerja. Dia memandang radio yang terletak di penjuru bilik lalu mengambil alat kawalan dihadapannya seraya menghidupkan.

Tuhan kirimkanlah aku..
Kekasih yang baik hati...
Yang mencintai aku..
Apa adanya...

Lirik dari lagu ’Munajat Cinta’ ini bermain-main difikiranku walaupun selepas lagu ini habis didendangkan di radio. Aku mengetuk-ngetuk pen di tanganku sambil otakku memikirkan sesuatu...Bolehkah Medina mencintai aku, apa adanya aku? Aku mencapai telefon bimbitku di atas meja. Aku membelek-belek telefon tersebut sambil memutuskan samada mahu menelefonnya atau tidak. Akhirnya aku memutuskan untuk memberi mesej padanya terlebih dahulu.

”Sibuk ke?”

”Tak..kenapa?” Balas Medina. Aku terus memutuskan untuk menelefonnya terus.

”Hello..”Lembut suara Medina menyahut panggilanku.

”Hello...Mmm...Ganggu ke?” Aku bertanya.

”Tak...untuk Abang Kal tak apa, semua bereh!” Gurau Medina.

”Abang nak jumpa Med boleh?”

”Kenapa Abang Kal nak jumpa Med, ada hal penting ke? Kalau tak berapa nak penting, datang je butik Med.” Medina memberi cadangan.

”Tak mahu..Abang nak jumpa Med kat tempat lain. Abang nak jumpa Med esok malam. Abang jemput Med malam esok kat butik boleh?”

”Tak apalah Abang Kal, Med datang sendiri sebab Med ada temujanji dengan pelanggan Med. So, lepas jumpa dia, Med datang jumpa Abang terus, ok?” Aku terus bersetuju dengan cadangan Medina.

Sebenarnya sudah beberapa hari aku berfikir untuk melamar Medina. Malah aku sudah pun membelikan sebentuk cincin berlian untuknya. Aku mengeluarkan kotak cincin dari beg sandangku dan mengeluarkan cincin yang berada di dalamnya. Aku membelek-belek cincin tersebut. Tak tahulah samada dia menyukai citarasaku ataupun tidak. Kali ini aku nekad untuk melamarnya. Mustahil dia akan menolak lamaranku. Malah aku tidak nampak apa sebabnya dia akan menolak lamaranku. Dia tidak mempunyai kekasih, juga tidak mempunyai orang yang diminatinya. Betul ke dia tidak meminati sesiapa? Desis hatiku. Aku meletakkan semula cincin tersebut ke dalam kotak dan menyimpannya semula ke dalam beg sandangku. Aku kembali fokus kepada kerja yang aku tinggalkan tadi. Namun lirik lagu munajat cinta tadi masih lagi bermain-main difikiranku.

Tuhan kirimkanlah aku, kekasih yang baik hati, yang mencintaiku apa adanya....

Berdebar rasanya hatiku menunggu hari esok. Tak sabar meluahkan segala perasaan yang terpendam di hatiku selama ini.

******

Kerana terlalu berdebar, aku langsung tidak dapat melelapkan mata. Terasa panas pula cuaca hari ini. Aku bangkit dari katil dan menghampiri beg sandang yang ku letak di atas kerusi. Aku mengambil kotak cincin dan terus berlalu keluar. Terasa ingin lepak pula di buaian bulat yang berada di tepi rumah.

Aku duduk di atas buaian sambil melihat langit. Bintang-bintang bertaburan di angkasa. Nampaknya cuaca elok hari ini. Lama aku termenung di situ sambil merenung cincin di tanganku. Bermacam-macam bermain di fikiranku. Adakah dia akan menerima lamaranku? Adakah dia sudah ada kekasih tanpa pengetahuanku?

Mm..esok cemana nak buat ayat nak lamar dia ye...fikir-fikir!

”Med..abang dah lama suka pada Med, sudikah Med jadi isteri abang?” Ish! Skemanya ayat.

”Med..abang cintakan Med, Med nak jadi isteri abang tak?” Ayat macam tak seriuslah pulak. Aku menggaru-garu kepalaku yang tak gatal.

”Yo..Med! Be my wife and you’ll be happily ever after..yeah!!”

”Apa awak buat kat sini?”

”Ha! Argggghhhh!!!” Terkejut aku melihat Julita berada di tepiku sehingga aku jatuh terduduk, lebih terkejut lagi apabila melihatnya memakai bedak sejuk bertempek di muka. Aku mengurut-urut dadaku.

”Kenapa? Macam nampak hantu!” Marah Julita sambil menyuruhku ke tepi. Aku yang masih terkejut terkebil-kebil melihatnya duduk di hadapanku.

”Hei...lain kali jangan buat macam tu boleh tak. Nasib baik tak gugur jantung saya tahu tak?”

”Haha..itu pun takut! Pengecut...” Aku duduk semula di atas buaian.

”Apa awak buat kat sini malam-malam ni. Apa tadi? Be my wife and happily ever after? Lirik lagu baru ke? Macam ayat budak-budak. Happily ever after..” Julita menempelakku. Aku memandangnya dengan perasaan geram.

”Berapa lama awak kat situ tadi? Apa lagi yang awak dengar?”

”Baru je..saya dengar ayat tu je..apa nama lagu baru tu? Bahagia selamanya?” Aku menjeling Julita.

”Sibuk!” Ujarku pendek.

”Ni apasal malam-malam kat luar lagi ni? Pergilah tidur! Tak takut ke?”

”Saya pergi toiletlah..takkan itu pun tak boleh?” Aku kehilangan kata-kata mendengar perkataan toilet. Takkanlah nak tahan orang pergi toilet, karang dapat batu karang pula minah ni.

”Ehemm...lain kali maghrib tu terus buang apa yang patut. Malam tak payah nak keluar-keluar lagi.”

”Awak gila ke?” Julita menjelingku.

”Gila kenapa pula?”

”Boleh ke awak ramal bila awak nak buang air besar, bila awak nak buang air kecil, manalah saya nak tahu bila saya nak membuang.” Aku berfikir sejenak, haah ek. Betul juga apa dia cakap.

”Ah..saya tak kira, yang saya tahu awak tak berkeliaran masa malam-malam macam ni. Bahaya tahu, kalau orang lain nampak, dia report pula kat JAIS, ha tak pasal-pasal kita kahwin free!”

”Kahwin free?? Oh tidak sama sekali. Simpang malaikat empat puluh empat. Rela saya kahwin dengan Pak Usop Jongang tu dari kahwin dengan awak. Dahlah tengin, bengong pula tu!” Selamba katak je dia ni mengutuk aku depan-depan. Aku menuding jari telunjukku ke arahnya, mahu membalas kata-katanya namun tak terucap. Tak tahu apa yang ingin aku katakan padanya lagi.

”Apa!” Ujarnya sambil menjeling.

”Ni, nak tanya..awak kalau cipta lagu memang lagu jiwang-jiwang ke? Lagu cintan-cintan je? Lagu lain awak tak tahu cipta ke?”

”Kenapa? Awak tak suka?” Aku menggerakkan buaian perlahan.

”Taklah..saja tanya. Sebab lagu awak semua lagu berkarat je.” Berkarat! Ciss! Budak ni memang mulut tak ada insurans.

”Berkarat! Hei..selalu masuk carta hotfm nombor satu tahu!” Julita mencebik memandangku.

”Memanglah masuk carta, tengoklah siapa yang nyanyi, Siti Nurhaliza, Ziana Zain, Faizal Tahir...Cuba kalau Hetty Koes Endang yang nyanyi. Dengar sebelah telinga pun orang tak nak!”

”Amboi, sedapnya mengutuk orang..dah lama hidup!” Julita tersengih.

”Awak tak sumbangkan lagu untuk drama-drama ke? Filem ke?”

”Ada...kenapa, sekarang pun memang saya tengah cipta lagu untuk cerita baru.”

”Lagu tadi tu ke? Yang childish tadi?” Julita tersengih nakal. Aku mencekak pinggang.

”Ok..ok..tak kutuk lagi. Awak tak nak berlakon ke? Kalau awak berlakon mesti box office. Tapi tulah, cerita sekarang ni semua sterotype..sama je. Cuba jadi macam saya, cerita yang saya hasilkan lain dari yang lain. Orang lain je tak tahu nak hargai cerita saya.”

”Awak buat cerita apa?”

”Awak nak dengar?” Aku menganggukkan kepala.

”Cerita ni pasal si hero, hero ni cinta sangat kat heroin ni sejak dari kecil lagi. Mereka memang membesar bersama-sama. Lama dah hero ni memendam rasa. Heroin ni pula, hero ni memang tahu, dia tak ada sesiapa pun kawan lelaki selain dari hero ni. Aaa...lupa nak cakap, hero ni ada sepupu, ni pun berkawan dari kecil juga.” Julita berhenti seketika. Aku memandangnya penuh minat.

”Teruskanlah, kenapa berhenti.”

”Satu hari, Hero ni rasa, dia patut luahkan perasaan dia pada heroin ni. So, dia planlah nak lamar hero ni. Tapi sayang..bila hero ni lamar heroin ni, heroin tu tolak mentah-mentah. Dia kata dia sayang kat hero ni macam seorang abang. Lagipun dia kata dia cintakan sepupu hero ni. Ha..apa lagi, si hero ni frust gila. Awak rasa, kalau awak jadi hero tu, apa awak buat?”

”Mm...cuba tawan hati heroin tu semula.” Aku meneka berdasarkan situasiku sekarang. Sama cerita dia dengan kisah aku.

”Tettt! Salah! Lelaki tu bawa diri. Dia pun pergi satu tempat ni untuk cari ketenangan. Dia terjumpa satu tempat tu, cantik sangat..sebab dia dah lama tak mandi, dia pun mandi kat sungai tu. Tengok-tengok, rupanya sungai tu ada ikan piranha, macam kat sungai Amazon tu. Entah macam mana entah ikan piranha tu boleh tersesat kat sungai tu. Dia pun berenang nak selamatkan diri ni. Tiba-tiba ada orang menjala ikan piranha tu, ikan tu pun terperangkap. So selamatlah si hero ini. Rupa-rupanya yang selamatkan dia adalah seorang perempuan yang cantik rupawan. Tapi dia tak tahu, sebenarnya perempuan tu bunian, cantik sangat, ala macam nora danish yang berlakon cerita sumpah bunian tu. Ha, macam tulah cantiknya. Akhirnya hero tu kahwin dengan bunian tu dan hero ni tak dijumpai sampai sekarang...tamat!”

Melongo aku mendengar ceritanya. Ciss!!Tertipu aku, ingatkan cerita serius. Cerita mengarut macam ni tak ada siapa nak tengok. Buang karen aje aku dengar.

”Pergi tidur!” Arahku geram. Tak sangka aku mendengar penuh minat cerita mengarut dia.

”Tak best ke cerita saya?” Tanyanya dengan serius.

”Lain kali jangan buat cerita macam tu lagi. Buang masa je dengar. Dah, pergi tidur. Ingat, lepas ni saya tak nak awak berkeliaran!” Julita bangun sambil mulutnya merungut-rungut namun aku tidak dapat mendengar butir-butir percakapannya dan terus berlalu masuk ke kotejnya.

Aku memerhatikannya masuk ke dalam sambil tersenyum. Ada-ada je budak ni. Boleh pula dia buat cerita mengarut macam tu.

*****

Julita membelek-belek majalah di hadapannya, hajat hatinya ingin membeli barang keperluan dapur yang telah dipesan oleh Raikal sebelum dia pergi keluar bekerja tadi. Alang-alang, singgah sekejap di kedai buku.

”Kita kena banyak baca buku tentang cara menjaga bayi. Kitakan baru pertama kali jadi papa dan mama.”

”Ye..ye..kita beli buku ni, buku ni, buku ni...ha satu lagi abang, buku tu.”

Aku macam kenal suara dua ekor ni. Kejap nak check! Aku mengintai sedikit di celah-celah rak. Memang tepat sekali jangkaanku. Dua ekor monyet yang telah membuatkan aku susah selama ini berada di hadapanku. Aku menghampiri mereka.

”Bahagianya aku tengok korang berdua, so sweeeettttt.....” Ujarku memerli mereka dengan mencekak pinggang. Serentak kedua-duanya memandang ke belakang. Jatuh buku-buku yang mereka sedang pegang di tangan. Kedua-duanya seperti menggelabah.

”Lari sayangggg......” Nazim terus menarik tangan Nina. Sekelip mata mereka berdesup melarikan diri.
”Kurang asam! Sampai hati korang buat Julita macam ni!” Aku mengejar mereka dengan sepenuh tenaga namun mereka lebih pantas. Termengah-mengah aku mengejar mereka. Mereka terus keluar dari kedai buku dan melarikan diri seperti lipas kudung. Tapi mereka lupa, ini Julita..ratu pecut di sekolah dulu. Aku akan kejar mereka sampai lubang cacing. Kali ini, mereka takkan terlepas..ada perhitungan yang perlu diselesaikan.

Adegan kejar mengejar masih berlangsung. Sambil aku mengejar mereka, sambil itu mulut aku bising menyumpah seranah mereka. Tiba-tiba Nazim terlanggar tong sampah dan membuatkannya terjatuh. Peluang itu tidak aku lepaskan, aku terus mengambil botol yang terkeluar dari tong sampah yang dilanggar Nazim tadi dan memukulnya bertubi-tubi. Nina cuba menyelamatkan suaminya namun apabila melihat pandangan mataku yang garang, membantutkan usahanya. Hanya mulutnya yang tidak berhenti-henti menyuruhku menghentikan pukulan kepada suaminya. Nazim hanya mampu mengelak dengan menggunakan tangan. Aku menarik telinga Nazim untuk membawanya ke balai polis.

”Menjawablah kau berdua dengan polis nanti. Ha! Jahat sangat! Dengan kawan pun makan kawan! Nina! Kau tak nak temankan laki kau kat balai polis sekali!” Marahku apabila melihat Nina masih berdiri tegak dan tidak mengikut kami.

Tiba-tiba Nina rebah membuatkan kami berdua terkejut. Aku mendapatkan Nina, begitu juga Nazim.

”Nina! Nina! Nina...kau kenapa ni! Bangunlah...” Aku menggerakkan badannya namun tiada respon.

”Kita bawa Nina ke hospital, cepat! Takut jadi apa-apa kat kandungan dia.” Tanpa banyak soal, Nazim mengangkat Nina dan kami berlari menuju ke hospital yang tidak jauh dari tempat kami sekarang.

”Cepat-cepat...”Aku memandang ke belakang. Tiba-tiba mereka lesap. Aku mencari mereka di sekeliling. Tiada! Aku mencekak pinggang. Tiba-tiba air mataku mengalir tanpa dapat ditahan lagi. Mereka menipu lagi! Aku meneruskan perjalanan dengan langkah yang longlai dan air mata yang mengalir tidak berhenti-henti. Sedih kerana diperdayakan lagi buat sekian kalinya.