CLICK HERE FOR BLOGGER TEMPLATES AND MYSPACE LAYOUTS

Tuesday, January 12, 2010

Kotak Hati 3

Kakiku laju menuju ke taman, tempat aku dan Adrian selalu berjumpa. Sudah dua hari aku tidak menemuinya, memang hari ini kami berjanji untuk bertemu. Dari jauh aku sudah melihat Adrian sedang duduk di bangku yang selalu aku duduki jika ke taman ini.
”Hai..lama tunggu?” Aku menyapanya. Adrian berdiri mendengar suaraku.
”Tak, baru saja sampai.” Aku tersenyum mendengar jawapannya, yakin dia menipuku. Mesti sudah lama dia menungguku dari tadi.
”Betul ke ni? Ke dah lama awak tunggu saya ni?” Adrian tersenyum, kacak sekali wajahnya apabila tersenyum begitu.
”Taklah lama sangat. Awak dari kelas ke?”
”Yup! Mmm..apa kata hari ni kita jalan-jalan. Bosanlah asyik duduk sini je. Kita pusing taman ni nak?” Adrian mengangguk, bersetuju dengan cadanganku. Kami berjalan beriringan dengan tangan Adrian memegang lenganku seperti biasa. Dalam perjalanan, kami berborak-borak kosong. Adrian memang seorang yang kelakar, tidak henti-henti dia membuatku ketawa dan tersenyum. Ada sahaja ideanya untuk membuatkan aku ketawa. Tiba-tiba Adrian berhenti melangkah,.
”Hana, baik kita berteduh sekarang. Sekejap lagi nak hujan.” Aku memandang langit, taklah gelap sangat, cuma keadaan agak berangin sedikit. Bagaimana dia mengetahui sebentar lagi hujan akan turun.
”Macam mana...”
”Saya dapat rasakan.” Belum sempat aku bertanya lanjut, Adrian memotong kata-kataku. Seolah-olah dia tahu apa yang bermain di mindaku.
”Belum nak hujan lagi ni...” Sebaik sahaja aku habis mengatakan begitu, hujan turun dengan tiba-tiba. Adrian ketawa. Aku pula ternganga, terkejut kerana tekaan Adrian begitu tepat sekali. Aku menarik lengan Adrian dan kami berlari-lari anak ke pondok kecil yang kebetulan berada berhampiran dari tempat kami berhenti tadi. Habis basah lencun baju kami berdua. Aku mengibas-ngibas bajuku, Adrian pula mengibas-ngibas rambutnya yang basah. Kacak sekali melihatnya dalam keadaan begitu.
”Awak patut jadi peramal cuaca, tekaan awak memang tepat. Macam mana awak tahu hujan akan turun?” Ujarku seraya membantunya mengibaskan bajunya yang sudah lencun.
”Itu senang je, bila hujan nak turun..saya rasa bau awak lagi kuat.”Aku pelik, apa kena mengena bau badan aku dengan hari nak hujan. Aku menghidu badan dan ketiakku, mana ada bau.
”Apa kena mengena cuaca dengan bau saya?” Adrian tergelak mendengar kata-kataku.
”Percaya?” Terbeliak mataku mendengar kata-katanya, mati-mati aku percaya dengan kata-katanya tadi.
”Adrian!!” Jeritku sambil memukul lengannya. Adrian tergelak besar.
”Janganlah marah, saya bergurau sahaja. Macam mana saya tahu, entahlah...sejak saya buta ni, saya banyak belajar mengenai alam. Tentang perubahan-perubahan cuaca..contohnya macam tadi. Saya dapat rasakan hari nak hujan tadi, sebab saya dapat rasakan perubahan tekanan udara sekeliling saya. Mungkin betul kata orang, orang buta ni lebih sensitif dengan keadaan sekelilingnya.” Aku mengangguk-angguk, memahami kata-katanya tadi.

”Awak banyak kelebihan sebenarnya.” Kataku memuji.
”Ye ke? Tidak sebenarnya, saya terpaksa belajar banyak benda untuk sesuaikan diri saya dengan keadaan sekitar. Untuk memudahkan saya juga sebenarnya.” Adrian cuba menafikan kebolehan yang dimiliknya.
Aku terdiam, takut jika kata-kataku mungkin akan membuatnya kecil hati pula. Orang buta mungkin akan menjadi sensitif jika perkara tentang kecacatannya ini dibincangkan selalu. Aku memandang keluar, memandang hujan yang semakin lebat.
”Nampak gayanya, hujan makin lebatlah.” Sengaja aku menukar topik. Tanganku menadah air hujan. Aku mengangkat tangan Adrian supaya tangannya juga menadah air hujan sepertiku. Supaya dia dapat merasai betapa lebatnya hujan turun. Adrian tersenyum.
”Tak apa, hujan macam ni taklah lama sangat, dalam 15 minit berhentilah.” Aku memandangnya kagum.
”Ok...saya tak nak dah kagum pada awak, saya nak tengok je betul ke tak kata-kata awak, baru saya akan kata saya kagum.”
”Awak dengar tak?” Ujar Adrian tiba-tiba.
”Dengar apa?” Aku memandang tepat pada wajahnya.
“Irama...irama yang dihasilkan dari air hujan.” Aku mengerutkan dahi, cuba mencari irama yang dikatakan Adrian tadi.
“Tak ada pun...” Aku bersuara.
“Shh...jangan bercakap. Cuba dengar betul-betul.” Aku menuruti kata-kata Adrian, namun masih gagal mengesan sebarang bunyi selain bunyi air hujan yang terkena bumbung pondok kecil tersebut.
“Dengar tak?” Adrian bertanya.
“Mm....tak dengar apa-apa pun.” Aku berterus terang dengannya. Adrian memegang bahuku dan memusingkan aku supaya membelakanginya, kemudian dia menyuruhku memejamkan mata dan melarangku bersuara. Dia menyuruhku bertenang dan menarik nafas panjang. Kemudian dia menyuruhku memberi perhatian dan fokus. Adrian menyuruhku mendengar dengan teliti akan keadaan sekeliling. Aku cuba fokus, makin lama duniaku hanya mendengar bunyi yang dihasilkan oleh air hujan seperti yang dikatakan oleh Adrian.
“Cuba awak dengar betul-betul titisan air hujan tu..bila awak fokus betul-betul, awak akan dengar irama yang terhasil dari air hujan tu…tik..tik…tik…” Adrian bersuara perlahan di cuping telingaku. Aku mulai mendengar kebenaran kata-katanya, jika didengari betul-betul..titisan air hujan itu membentuk satu irama yang menarik. Aku tersenyum apabila dapat mendengar ritma dan rentak yang terhasil dari titisan-titisan air hujan yang semakin lebat itu. Aku membuka mataku dan terus menoleh ke arah Adrian. Terkejut aku apabila wajah Adrian betul-betul berada dekat dengan wajahku. Aku beranjak sedikit darinya, Adrian melepaskan tangannya di bahuku.
“Kenapa?” Adrian bertanya.
“Mmm...saya tak selesa.” Aku cuba berterus terang dengannya.
”Tak selesa, oh..saya faham, awak mesti tak selesa sebab bukan ahli keluarga awak yang pegang awakkan, apa tu..bukan muhim.” Hai, pandai pula Adrian ni bercakap tentang agama.
”Muhrim, bukan muhim.” Aku membetulkan perkataan yang salah dituturkan padanya.

”Ha, saya nak cakap yang itulah tapi saya lupa. Baiklah, saya takkan sentuh awak sesuka hati lagi. Asalkan awak selesa dengan saya.” Aku memandangnya, tidak sangka dia sangat memahami isi hatiku.
“Awak, jom balik. Hujan dah redha sikit.” Adrian tersenyum, aku hairan melihatnya tersenyum.
”Sekarang awak dah kagum belum?” Aku pelik mendengar pertanyaannya, kagum? Kenapa aku perlu kagum?
”Kagum, kenapa saya nak kagum pula?” Tiba-tiba aku teringatkan kata-kataku tadi, jika hujan berhenti dalam masa 15 minit, barulah aku akan kagum dengan kebolehannya.
“Ok! Ok! Awak memang hebat.” Aku tergelak kecil apabila teringatkan kata-kataku tadi, tidak sangka dia boleh mengingati ayatku tadi. Dia juga tersengih nakal.
******
Malam itu aku dan Sofia bertengkar lagi. Kali ini pertengkaran kami bertambah hebat, Sofia berterusan menghinaku dan mengatakan aku seorang anak yatim piatu yang tidak berguna, miskin dan tidak layak berkawan dengan orang yang mempunyai standard. Aku cuba melawan kata-katanya namun akhirnya aku mengalah. Kata-katanya lebih pedas dan menyakitkan hatiku. Air mataku mengalir deras buat sekian kalinya, malam itu juga aku mengemas pakaianku dan keluar dari rumah tersebut. Kebetulan Iman tiada untuk menyokongku kerana dia tidur di rumah rakan sekuliahnya untuk menyiapkan. Aku nekad untuk berpindah dari rumah itu tanpa memberitahu Iman terlebih dahulu. Sebelum aku keluar dari rumah, Sofia hanya menjelingku dan apabila aku keluar dari rumah, Sofia sempat menghinaku lagi dan menghempas pintu dengan kuat tanda betul-betul tidak menyukaiku. Sepanjang jalan, air mataku mengalir tidak berhenti. Akhirnya aku berhenti di taman yang selalu aku kunjungi untuk bertemu Adrian. Lama aku duduk di situ sambil memikirkan di manakah tempat yang patut aku tuju untuk berteduh malam itu. Tiba-tiba aku teringatkan tawaran Adrian untuk menyewa bilik untukku. Kebetulan rumahnya memang terletak tidak jauh dari situ. Aku bingkas bangun dan menarik begku menuju ke rumah Adrian. Rumah Adrian gelap. Ada orang tak ni?
“Tok!Tok!Tok!” Aku mengetuk pintu rumah Adrian. Tiada jawapan. Mungkin dia tiada di rumah agaknya. Aku duduk mencangkung di tepi pintu sambil menggigit kuku jari. Memikirkan destinasi lain yang harus ku tuju jika Adrian tiada di rumah. Tiba-tiba pintu rumah Adrian terbuka.
”Siapa?” Cepat-cepat aku berdiri menghadapnya.
”Hana?” Adrian bertanya, aku menundukkan kepala. Berfikir bagaimana dia mengetahui bahawa akulah yang datang ke rumahnya tengah-tengah malam ini.
”Macam mana awak tahu saya yang datang?” Aku menyoalnya, pelik buat sekian kalinya.
”Saya tahu bau awak, lavender..ingat apa yang saya cakap di taman tempohari?”
”Saya ingat.” Aku terdiam selepas itu.
“Kenapa awak datang ke sini malam-malam ni, sekarang dah pukul...” Adrian meraba jam tangan yang dikhaskan untuk orang buta di tangan kirinya.
”Pukul 11.30.” Adrian menyambung kata-katanya yang tergantung tadi.
”Mmm...Sebenarnya saya nak sewa bilik rumah awak, tawaran awak masih terbuka?”
”Sudah tentu, mari masuk.” Adrian membantuku dengan mengangkat beg yang ku bawa tadi. Aku cuba melarangnya namun dia bertegas mahu menolongku membawanya, akhirnya aku membiarkan sahaja dia mengangkat begku. Aku melangkah masuk ke dalam rumah, terpana aku seketika melihat susun atur rumah yang nampak mewah dan kemas apabila Adrian memetik suis lampu.
”Betul ke awak tinggal seorang diri?” Aku bertanya pada Adrian.
”Ya..kenapa?”
”Rumah awak nampak kemas, awak kemas sendiri ke?” Adrian tergelak mendengar pertanyaanku. Aku merasa pelik, kelakar ke pertanyaanku tadi?
”Kenapa awak gelak?”
”Mestilah bukan saya yang mengemasnya, saya tak tahu pun rumah ni bersih atau bersepah.”
”Habis tu? Rumah awak memang nampak kemas. Mesti ada seseorang yang mengemasnya..”
”Kan saya dah beritahu awak, pembantu saya baru berhenti. Jadi sebelum dia berhenti, saya minta dia kemaskan dulu rumah saya ni. Sebab tu rumah saya kemas dan bersih.”
”Ooo...Macam tu.”
”Mari saya tunjukkan bilik awak.” Adrian meraba-raba untuk mencari tanganku. Kemudian, dia menarik tanganku. Aku menariknya semula. Tidak selesa dipegang olehnya.
”Kenapa?” Aku mendiamkan diri, tidak tahu bagaimana mahu menerangkan padanya bahawa sentuhan kulit antara bukan muhrim adalah haram.
”Oh! Maaf, saya terlupa. Awak tak suka...” Dia menarik lenganku, dan sememangnya Adrian tahu aku tidak pernah memakai baju lengan pendek jika aku keluar ke mana-mana. Adrian membawaku menuju ke sebuah bilik. Dia membuka sebuah pintu.
”Ini bilik awak.” Aku menjenguk ke dalam bilik. Mataku terbeliak, bilik tersebut sangat cantik, dilengkapi perabot dan kemudahan yang lengkap. Tandas juga turut disediakan di bilik tersebut. Katil yang disediakan bersaiz king dan tilam empuk yang tebal turut disediakan. Aku mengusap-usap cadar katil, lembut..pasti dari kain yang mahal. Meja solek yang antik buatannya dan sangat besar tersergam di tepi katil. Permaidani tebal yang sangat lembut dihamparkan di atas lantai. Tebal sehingga kakiku tenggelam apabila melangkah.
”Awak pasti ini bilik saya, bukan bilik awak?” Adrian mengangguk.
”Bilik saya bertentangan dengan bilik awak. Saya memang sediakan bilik ini khas untuk awak. Perabot ni semua memang saya beli untuk awak, harap menepati citarasa awak.” Aku mengusap-usap lenganku sambil berfikir.
”Woo...mesti sewa dia mahal, saya tak mampu. Lagipun saya tak harapkan bilik seperti ni, kalau ada tilam nipis pun dah mencukupi bagi saya. Janji saya ada tempat berteduh dan tempat untuk belajar dengan tenang.”
”Mari kita bincang di luar.” Adrian meninggalkanku terkedu keseorangan di bilik tersebut. Aku memandang sekeliling buat sekian kali, aku rasa aku tidak akan mampu membayar sewa bilik ini, lebih baik aku mencari bilik lain.
”Adrian..”Aku mengekorinya. Adrian duduk di sofa. Dia menyuruhku duduk di sofa di hadapannya.
”Saya rasa saya tak mampu bayar sewa bilik awak tu. Saya fikir baik saya cari bilik lain, awak tak marahkan kalau saya tak jadi sewa bilik awak?” Adrian terdiam.

”Awak marah ke?” Adrian masih lagi mendiamkan diri. Aku merasa serba salah, dia terasa ke aku tak jadi nak sewa.
”Saya minta maaf ganggu awak malam-malam ni. Saya rasa tindakan saya datang ke sini adalah silap saya.” Ujarku seraya terus bangun. Rasa bersalah kerana menganggunya malam-malam begini.
”Tunggu..” Tiba-tiba Adrian bersuara. Tangannya meraba-raba mencariku. Dia menarik lenganku dan menyuruhku duduk semula. Aku menurutinya. Adrian duduk di sofa kembali.
“Siapa kata yang saya nak letak bayaran sewa bilik tinggi-tinggi?” Aku mengerutkan dahi.
“Habis tu, tengok bilik pun saya dah boleh agak dah, mesti bayaran sewa yang awak akan kenakan mahal.”
“Saya tak cakap pun. Saya tak akan kenakan bayaran untuk sewa bilik tu?”
“Ha? Betul ke?” Aku terkejut bercampur keliru mendengar kata-katanya.
”Ya..Tapi..”
”Tapi?” Aku memotong cakapnya.
”Awak kena bayar dengan tubuh awak.” Cepat-cepat aku bangun dengan perasaan marah.
”Saya dah agak dah bila awak kata awak tak kenakan bayaran untuk bilik tu, tapi saya tak sangka awak sanggup anggap saya seperti pelacur. Saya benci awak!” Ungkapku dengan keadaan marah sambil membaling dua bantal kusyen ke arahnya. Dia menepis lontaranku. Aku ingin segera berlalu namun sempat di tahan oleh Adrian.
”Bila masa pula saya anggap awak pelacur.” Aku memandangnya dengan perasaan marah. Adrian memegang lenganku. Takut jika aku melarikan diri.

”Tadi, awak kata awak nak saya bayar sewa dengan tubuh saya. Awak jangan cakap saya salah faham. Perkataan yang awak gunakan tu dah terang lagi bersuluh mengatakan awak nak saya jadi pelacur.” Adrian tergelak kecil.
”Awak dah salah sangka, bukan itu maksud saya. Ya, memang saya mahu awak bayar dengan tubuh awak, tapi bukan dengan melacur. Maksud saya, saya nak awak bayar dengan perkhidmatan awak.”
”Ha tu...bukan ke itu maksud awak, perkhidmatan tu samalah dengan melacur.” Aku merentap lenganku dari terus di pegangnya namun gagal, Adrian enggan melepaskannya.
”Dengar dulu saya cakap, janganlah marah-marah macam ni.” Aku terdiam. Ingin mendengar apa yang ingin dikatakan Adrian.
”Saya nak awak bayar dengan perkhidmatan tu maksudnya, saya nak awak jadi pembantu saya. Tolong saya kemas rumah, sediakan makanan untuk saya, bersihkan apa-apa yang patut, bukan nak awak jadi pelacur.” Aku menutup mulutku dengan sebelah tangan, mukaku berubah serta merta.
”Ooo...Kenapa awak tak cakap awal-awal.” Aku tersenyum malu, malu kerana memikirkan yang bukan-bukan tentang Adrian.
”Dah awak tak bagi saya peluang untuk terangkan, tahu-tahu awak dah mengamuk.” Aku menutup mulut untuk menutup gelak.
”Manalah saya tahu, awak patut gunakan ayat yang betul. Ni awak gunakan perkataan yang salah, memanglah saya salah sangka. Aku tersengih.
“Dah..mari saya angkatkan barang awak masuk dalam bilik.” Adrian menawarkan diri. Aku menolak.
”Eh..tak apa..tak apa..saya boleh angkat sendiri.” Ujarku lalu dengan cepat mengangkat barangku sendiri. Aku tidak mahu menyusahkan Adrian lagi. Adrian mengekoriku sehingga ke pintu bilik.
”Harap awak dapat duduk dengan selesa di rumah saya. Oklah..mesti awak dah penat, saya pun nak masuk tidur dah ni, esok saya kena kerja. Selamat malam..” Ucapnya sebelum berlalu. Sempat dia menutupkan pintu untukku.
Aku memandang beg-begku di tepi pintu, aku menarik begku menghampiri katil lalu membukanya luas-luas. Malam itu juga aku mengemaskan semua barang-barangku sehingga ke pukul dua pagi barulah selesai semuanya. Selepas itu, aku tertidur lena sehingga ke pagi, langsung tidak sedar keadaan sekeliling. Mungkin kepenatan mengemaskan barang di tambah tekanan perasaan yang ku alami membuatkan aku merasa letih sekali.
*******
Tidurku yang lena terganggu apabila sinar matahari menyilaukan mataku, aku menutup mataku dengan tangan. Kacaulah matahari ni, nak tidur pun tak senang!
Tiba-tiba aku teringatkan sesuatu, spontan aku terbangun dan duduk. Aku melihat jam tangan di tanganku, pukul 8!! Aku kena kerja ni, mampus aku!! Mujur sekarang aku sedang bercuti, kalau tak mesti terlepas sembahyang subuh. Cepat-cepat aku membasuh muka dan menggosok gigi. Tergesa-gesa aku membuka pintu bilik. Buka sahaja pintu, aku melihat Adrian sedang duduk di sofa sambil mendengar radio. Aku mendekatinya.
”Sorry..saya terlambat bangun. Saya buat sarapan sekarang.” Aku cepat-cepat pergi ke dapur.
”Hana..” Adrian memanggilku, membuatkan langkahku terhenti.
”Saya dah belikan sarapan tadi, makanan ada di atas meja.” Aku menggaru-garu kepalaku yang tidak gatal. Kali pertama aku bekerja di sini, tapi nampaknya aku telah gagal menjalankan tugasku.
”Adrian..saya betul-betul minta maaf, saya tak sedar tadi. Terlupa nak set jam malam tadi.”
”It’s ok..never mind. Ada kelas ke hari ni?” Adrian bertanya. Aku mendekatinya semula.
”Ada, pukul 10 nanti. Kalau saya tak sempat habis kemas, boleh tak saya sambung lepas saya balik kelas?” Aku cuba meminta keizinan padanya.
”Boleh, awak janganlah fikir saya ni diktator sangat. Yang penting pelajaran awak tu dulu. Dah, pergi makan sarapan.”
”Tak apalah, saya nak kemas rumah dulu.” Ujarku sambil berlalu ke dapur untuk mencari penyapu. Pukul sembilan lebih, aku bersiap untuk ke kuliah.
”Adrian, saya sambung kemas nanti tau. Saya pergi kelas dulu.” Adrian yang masih duduk di sofa hanya menganggukkan kepala. Tiba-tiba aku teringatkan kata-katanya malam tadi.
”Eh, awak kata malam tadi, awak nak pergi kerja?”
”Aa..Oo...saya sengaja ambil cuti tadi.” Ujarnya tergagap-gagap. Aku pelik namun kerana sudah terlambat, aku tidak jadi hendak bertanya dengan lebih lanjut lagi tentang perkara tersebut.
”Tak apalah, saya pergi dulu.” Ujarku lalu menutup pintu. Keadaan sunyi seketika.
Setelah memastikan Raihana benar-benar pergi, Adrian mencapai telefon bimbitnya.
”Anne..I think I’ll be here for a long time, but can you stop hire someone to clean my house..” Adrian terdiam seketika.
“Don’t worry, I meet someone..” Adrian tergelak kecil selepas itu.
“Just do your work, busybody girl!” Adrian tersenyum sebelum menekan punat off.
Senyuman Adrian masih terukir di wajahnya. Hari ini memang Adrian berasa senang hati, senang hati apabila Raihana kini di sisinya, menjaga makan minumnya..Adrian gembira sehingga dia mengambil cuti sempena kedatangan Raihana.
“Raihana…” Sebut Adrian perlahan sambil mengurut-urut dagunya yang licin.
Tepat pukul dua petang, Raihana sudah sampai ke rumah.
”Saya dah balik!” Katanya memaklumkan padaku. Aku tersenyum padanya, buku bertaip braille di peha kututup dan diletakkan di sebelah.
”Awak dah lapar? Kejap ye saya masak.” Raihana meninggalkanku dan berlalu ke bilik. Mungkin untuk menukar baju agaknya. Tidak lama kemudian, dia keluar semula dan menghampiriku.
”Awak nak makan apa?”
”Apa saja awak masak untuk saya, saya makan..” Aku dengar tapak kaki Raihana menuju ke dapur, tidak lama kemudian bunyi periuk berlaga kedengaran di dapur. Aku tersenyum lagi, terasa bahagia saat ini. Seolah-olah kami adalah sebuah keluarga, Raihana memasakkan makanan untukku dan aku menunggu di sofa sementara menunggu Raihana memasak.
Setelah selesai, Raihana memanggilku untuk makan.
”Awak..Ermm..nak tanya sesuatu boleh tak?” Raihana bertanya ketika aku sedang menyuap makanan. Aku mengangguk.
”Bilik saya tu memang macam tu ke?”

”Macam apa?” Aku bertanya pelik.
“Yelah, perabot-perabot semua tu. Ke ada orang pernah duduk di situ?”
“Tak ada, bilik tu memang saya hiaskan untuk awak sejak awak beritahu awak nak pindah rumah hari tu.”
“Memang untuk saya?” Aku menganggukkan kepala lagi.
“Ohh..Ok..” Kedengaran suaranya seperti tidak yakin dengan kata-kataku namun dia tidak meneruskan pertanyaannya lagi. Aku meneruskan suapanku. Perbualan kami tentang bilik itu terhenti sampai di situ.
Tiba-tiba telefon bimbitku yang terletak di meja sofa berbunyi nyaring, aku berlari-lari anak mengambil telefon tersebut. Iman! Cepat-cepat aku menjawab panggilannya.
“Assalamualaikum Iman..”
“Waalaikumsalam..Hana, kenapa Hana keluar dari rumah tak beritahu Iman?” Iman terus memarahiku sebaik sahaja aku menyapanya.
“Maaf Iman, Hana betul-betul tak tahan dengan Sofia, Hana minta maaf sangat-sangat sebab tak beritahu Iman.” Aku menjelaskan seringkas mungkin padanya.
“Tapi Hana..Hana tinggal kat mana sekarang, beritahu alamat Hana, Iman pergi jemput sekarang.”
“Tak apalah Iman, Hana dah jumpa bilik sewa baru. Iman jangan risau tau. Iman jaga diri baik-baik. Jangan risaukan Hana lagi.”
“Hana...janganlah macam ni. Iman dah janji pada Hana akan lindungi Hana..Hana duduk sini balik ye.” Iman cuba memujukku namun aku sudah nekad tidak mahu pulang kembali ke rumah itu. Hatiku memang benar-benar sudah terguris.
“Tak apalah Iman, Hana tak nak duduk sana lagi dah. Iman..Hana ada kerja sikit ni, karang Hana telefon Iman semula ye, bye..” Klik! Terus aku memutuskan talian. Aku tidak mahu terpujuk dengan rayuan Iman untuk pulang semula ke rumah sewa lama.
“Kenapa, Hana?” Adrian bertanya padaku. Aku memandangnya.
“Nothing..” Ujarku dan terus berlalu masuk ke dalam bilik. Tidak mahu Adrian menyedari kesedihan hatiku di saat ini. Makanan yang tadi sedang ku jamah kutinggalkan begitu sahaja.