CLICK HERE FOR BLOGGER TEMPLATES AND MYSPACE LAYOUTS

Monday, October 2, 2017

Percaya Padaku 2

Sudah hampir seminggu Natalia berlepas ke Australia untuk menyambung pengajiannya. Kini dia tinggal seorang diri. Pada Auntie Elena dikhabarkan bahawa dirinya baik-baik sahaja. Malah suaranya sengaja diceriakan apabila menghubungi mereka. Padahal sebenarnya hidupnya langsung tidak terurus. Album kenangan dia dan Jufri sentiasa dipeluk kemas ke mana sahaja. Apabila kerinduan pada Jufri datang, dia akan melihat album-album di dalamnya dengan linangan air mata. Selepas itu dia akan tertidur. Apabila bangun, dia akan mengulangi perkara yang sama. Makan minum langsung tidak diendahkan. Jika terasa lapar, dia akan minum air masak sahaja. Seleranya langsung hilang. Begitu juga kebersihan diri, seingatnya hanya beberapa kali sahaja dia mandi sepanjang tempoh seminggu itu. Dia betul-betul mengabaikan dirinya.
Malam itu dia membuka albumnya seperti biasa. Melihat gambar-gambar mereka semasa kecil sahaja sudah cukup merembeskan air matanya. Belum lagi dia membuka bahagian semasa mereka bersekolah, pasti banjir biliknya. Selepas melihat albumnya, dia akan memeluk kain pelikat Jufri. Bau badan Jufri masih melekat di kain tersebut. Sedikit sebanyak bau itu dapat mengubati kerinduannya pada Jufri. Jurina memeluk kain tersebut sehingga tertidur.
“Bangun!!” Terdengar suara seseorang mengejutkan Jurina dari tidur. Terpisat-pisat mata Jurina apabila dikejutkan secara mengejut begitu. Dia memandang ke tingkap. Dah pagi rupanya. Jurina memejamkan mata semula. Tiba-tiba dia terfikir, siapa yang mengejutkannya tadi. Sepantas kilat matanya terbuka semula. Jurina terduduk. Seorang lelaki memakai sweater kelabu oren berdiri betul-betul dihadapannya. Mata Jurina terbeliak.
“Aarrrgghhhhh!!!” Jurina menjerit sambil menyelimutkan dirinya seluruh badan termasuk kepala.
“Kau ni siapa? Macam mana kau boleh masuk sini? Keluar!!!” Tengking Jurina. Suasana sepi tiada balasan. Perlahan-lahan Jurina menjengulkan kepalanya dari celah selimut. Lelaki tadi masih berada di hadapannya. Cepat-cepat dia masuk semula.
“Keluar aku cakap! Keluar!”Tengking Jurina lagi. Juga tiada balasan. Sekali lagi Jurina menjengulkan kepala. Lelaki tadi masih berdiri di tempatnya tadi. Jurina bengang, dia bangun dan menyarungkan selimut tersebut pada kepalanya untuk melindungi rambutnya dari dilihat lelaki itu.
“Tak faham bahasa ke? Aku cakap keluar! Tak faham bahasa melayu ke?” Marah Jurina dengan wajah yang garang. Lelaki tadi masih ’steady’ dan hanya memandang Jurina sahaja. Jurina semakin bengang. Dia melompat dari katilnya dan berlari ke dapur mencari pisau. Lelaki tadi mengekori.
“Aku cakap keluar! Kalau kau degil, aku tikam dengan pisau ni karang. Jangan salahkan aku kalau kau cedera.” Jurina mengugut. Tapi nampaknya lelaki tersebut tidak takut dengan ugutannya malah makin mendekati Jurina. Jurina melangkah ke belakang dengan teragak-agak. Takut diapa-apakan.
“Jangan dekat! Kalau tak aku betul-betul tikam nanti!” Langkah lelaki itu berhenti sejenak, sebelum dia melangkah semula mendekati Jurina.
“Yaaaarrkkk!!” Jurina yang tiada pilihan menghayunkan pisau tersebut sambil menjerit dan memejamkan mata. Perlahan-lahan Jurina membuka mata. Jurina terkejut, matanya terbeliak. Pisau yang dipegangnya terlepas dari pegangan dan jatuh ke lantai. Tidak semena-mena tubuh Jurina rebah ke lantai.
******
Jurina menguis telinganya yang terasa gatal. Gatal lagi, dikuis. Gatal lagi, dikuis lagi. Ish! Siapa yang gatal tangan usik telinga aku ni. Nak kena betul! Jurina membuka matanya. Dilihatnya tiada siapa-siapa berada di situ. Jurina melihat dirinya berbaring di sofa. Eh! Sejak bila aku tidur kat sofa ni? Pelik betul! Macam mana aku boleh tidur kat sini? Apa aku buat sebelum aku tidur ye? Jurina mula berfikir.Dia nampak seorang lelaki, kemudian dia pergi dapur ambil pisau lepas tu dia cuba tikam lelaki tu. Tikam lelaki tu! Pisau tu tembus kat badan dia. Dia bukan orang! Hantu ke? Hantu!!!! Jurina mengambil bantal sofa dan melindungi separuh mukanya. Jurina mengengsot sedikit ke belakang dan melihat sekeliling dengan perasaan takut-takut. Eh! Tapi mungkin juga tu mimpi, mana mungkin ada hantu kat rumah ni. Selama aku tinggal kat sini, tak pernah pun terserempak dengan hantu. Mimpi je tu… Haha.. Tu lah, tidur banyak sangat sampai otak mereng. Sampai nampak hantu. Jurina tergelak sendirian.
“Seronok ke gelak sorang-sorang?”
“Arghh!!” Jurina terjerit kecil apabila lelaki tadi berada di sofa hadapannya. Macam mana dia boleh tak perasan tadi ada orang kat situ.
“Kau siapa? Macam..macam mana kau boleh masuk rumah aku. Kau ni..”Jurina menekup mukanya ke sofa dan memejamkan mata dengan hati yang berdebar. Jantungnya berdegup kencang seperti orang sedang berlari. “Hantu…” Jurina cuba mengingati ayat-ayat suci Al-Quran namun tidak berjaya. Dia langsung lupa kesemuanya. Apabila dia cuba membaca Al-fatihah, akan bercampur dengan surah Al-Ikhlas. Apabila dia cuba membaca Ayat Kursi, akan bercampur dengan doa Qunut! Rosak otak aku ni. Surah-surah senang pun tak boleh ingat. Ya Allah, bantulah hambamu ini…
Jurina terasa ada orang mencuit bahunya.
“Warrrrrrrrghhh!!” Jurina menjerit kuat sambil berlari menuju ke biliknya tanpa menoleh ke belakang lagi. Dia terus mengelubungi dirinya dengan selimut. Terasa tubuhnya menggigil-gigil seperti terkena demam kura-kura. Dia terasa seseorang duduk di atas katilnya.
“Sampai bila kau nak buat hidup kau terseksa macam ni?” ‘Lelaki’ itu bertanya. “Terseksa”, sejak bila dia menyeksa dirinya sendiri.  Mendengar pertanyaan  itu membuatkan Jurina tersinggung. Jurina menyelak selimutnya dan duduk bertentangan dengan ‘lelaki’ tadi. Hilang sudah takutnya tadi.
“Apa maksud kau?” Kasar Jurina bertanya kembali.
“Sampai bila kau nak abaikan diri kau?”
“Excuse me! Bila masa pula aku seksa diri aku, abaikan diri aku sendiri?” Ada riak-riak marah di wajah Jurina. ‘Lelaki’ itu mendekati Jurina. Jurina yang sebenarnya masih takut-takut mengengsot ke belakang.
“Sampai bila kau nak meraung dan menangis macam ni. Sampai bila kau nak meratapi kematian abang kau. Aku yang tengok ni pun dah naik sebal sebab tengok kau asyik menangis je pagi petang siang malam. Sampai bila kau berhenti bersedih dan teruskan hidup kau macam dulu!”
“Kau cakap senanglah!” Tiba-tiba Jurina menangis semula. “Aku yang tanggung semuanya, kau tahu tak aku dah tak ada siapa-siapa lagi selain dari abang aku. Kau ingat senang ke aku nak mulakan hidup baru. Waaaaaaaa…” Lelaki itu menggaru kepalanya yang tidak gatal. Aiseh, menangislah pula dia ni. Aku baru cakap sikit dan hujan. Karang aku bagi ceramah panjang lebar banjir pula nanti. Lelaki tadi duduk di di kerusi di sisinya sambil menyerahkan tisu yang di ambil dari meja solek.
“Kalau kau berterusan macam ni, macam mana abang kau nak hidup tenang kat sana? Sepanjang tempoh ni, ada kau doakan dia? Ada?” Lelaki itu bertanya perlahan, tidak mahu menyinggung lagi perasaan Jurina. Jurina pula hanya terdiam mendengar pertanyaan itu.
“Berapa hari kau tak mandi? Tau tak rambut kau ni, kalau ada kutu, lama dah kutu tu lemas sebab busuk sangat plus tak jumpa cari jalan keluar!” Jurina menjeling.
“Apahal kau ni nak sibuk-sibuk, suka hati aku lah nak mandi ke tak nak ke. Apa kau kisah!” Tengking Jurina tidak puas hati apabila dikritik begitu.
“Memang aku tak patut kisah! Tapi aku dah tak tahan tengok kau macam kucing hilang anak sejak abang kau meninggal, sejak kawan kau pergi! Kau dah lama tak makankan? Mari sini, aku nak tunjukkan sesuatu!” Lelaki itu bangun dan berdiri tegak di satu sudut.
“Tak nak!”
“Mari sini!”
“Kau nak tunjuk apa?”
“Langsuir.”
“Bengong! Mana ada langsuir kat dalam rumah ni. Langsir melambaklah!”
“Aku cakap mari sini!” Keras suara lelaki itu mengarahkannya. Jurina menjeling sebelum dia bangun dan mendekati lelaki tersebut.
“Hah! Mana dia langsuir tu! Aku pun nak tengok juga rupa langsuir sebenar!” Perli Jurina. Lelaki itu mengunjuk ke satu arah. Jurina menoleh.
“Makkk! Apasal rupa aku macam ni! Rambut aku! Dah macam rambut Alleycat dah ni. Mata aku asal macam mata panda ni! Hah! Cengkungnya pipi aku!! Kenapa aku macam zombie kampung pisang ni!” Jurina menjerit pada lelaki disebelahnya. Lelaki itu hanya mencebik.
“Tadi aku cakap tak nak percaya!”
“Eeee… Aku nak mandi. Uh! Tak boleh jadi ni. Kena sental satu badan!” Jurina mencapai tualanya dan terus masuk ke dalam bilik mandi.
***** 
Jurina keluar dari bilik mandi dengan perasaan takut-takut. Selepas lama berkubang di dalam bilik mandi barulah perasaan takutnya muncul semula. Dia berhadapan dengan sesuatu yang dia sendiri tidak pasti! Mustahil dia tidak takut..
Jurina menjenguk seketika sebelum keluar dari bilik air. Kosong, lelaki itu tidak kelihatan di mana-mana. Lega.. Nampaknya lelaki itu sudah pergi. Jurina duduk di hadapan meja solek. Dia tersenyum, wajahnya tidak seperti tadi, pucat seperti hantu.
“Aku dah masakkan untuk kau, pergi makan.” Terbeliak biji mata Jurina tatkala melihat lelaki itu berada di sebelahnya secara tiba-tiba. Hilang sudah perasaan takutnya tadi, diganti dengan perasaan terkejut yang amat sangat.
“Kau ni, kurang nyawa aku setahun! Boleh tak kalau kau tak keluar secara tiba-tiba macam ni. Lemah jantung aku tau tak!” Marah Jurina. Lelaki itu hanya mencebik sambil membelek-belek barangan kosmetik yang dipakai Jurina.
“Boleh tahan juga pilihan kau.”
“Sibuk! Dah jangan kacau aku.”
“Jangan lupa makan! Kau tu dahlah kurus kedengking. Karang betul-betul jadi zombie, baru tahu!” Jurina menjeling lelaki itu sebelum dia hilang di sebalik dinding. Tiba-tiba Jurina tersedar. Meremang bulu romanya. Adakah ini salah satu siri bercakap dengan jin seperti karya Tamar Jalis? Betul ke aku bercakap dengan hantu ni? Macam tak percaya je! Adakah aku masih hidup dalam khayalan. Bangun! Bangun! Jurina menampar pipinya beberapa kali. Auw! Sakitlah! Betul-betul kejadian ni, bukan mimpi! Waahh.. Serius aku tak nak anugerah ni. Aku tak nak tengok hatta bercakap pun dengan benda-benda ghaib ni. Kenapa aku boleh dapat anugerah ni. Ke sebenarnya aku ni dah gila? Hah! Aku dah meroyan ke ni? Sebab tu aku boleh bercakap dengan hantu?
“Apa kau merepek ni!” Terangkat kaki Jurina apabila ditegur sekali lagi. Wajahnya pucat sekali lagi. Sejak bila lelaki itu ada di atas katil sambil berbaring dan melepak santai di atas selimut busuknya yang terlupa dilipat tadi sambil membelek-belek majalah.
“Kau ni! Asal aku sebut pasal hantu je kau keluar! Kau boleh baca fikiran aku ke?” Jurina mengecilkan matanya sambil memandang sinis pada lelaki itu. Lelaki itu hanya diam dan hanya membelek-belek majalah yang dipegangnya.
“Kau mesti boleh baca fikiran akukan, sebab tu kau kata aku merepek tadi. Kan! Kan!” Jurina berkata dalam hati. Sengaja mahu menguji lelaki itu. Lelaki itu memandangnya.
“Pergi makan!” Jurina mencebik. Betul ke lelaki tu boleh membaca fikirannya. Macam tak je! Jurina mencapai sikat dan menyisir rambutnya ke belakang.
***** 
“Lauk ni boleh makan ke? Entah-entah lauk ni berulat ke, macam cerita kat TV tu. Mata kasar nampak lauk biasa tapi sebenarnya penuh ulat, lepas tu air sirap ni pula sebenarnya air darah, kan..kan..” Jurina menguis lauk dihadapannya. Lelaki itu mengetuknya dengan sudu.
“Boleh tak jangan banyak mengarut. Paranoid sangat dengan cerita hantu! Makan jelah! Lagipun kalau lauk ni berulat, kuali tu takkan panas!”
“Sakitlah, ingat kepala aku ni kau ke yang bayar zakat! Suka-suka hati je ketuk!” Lelaki itu mencebik.
“Aku takkan ketuk kalau kau tak mengarut yang bukan-bukan! Sekarang aku nak kau makan!” Arah lelaki itu dengan tegas. Aik, main paksa-paksa nampak. Suka hati akulah nak makan ke tak nak, apa hak dia nak paksa-paksa pula. Ini sudah lebih…
“Tak naklah, aku tak ada selera.” Ujar Jurina sambil tangannya menolak pinggan nasi dihadapannya. Lelaki itu berdecit perlahan dan kemudian mengeluh. Mengeluh pula, banyak masalah betul hantu ni. Aku tak nak makan pun susah hati.
“Kau nak aku suapkan ke?” Jurina membuat muka meluat sambil menjeling dengan pandangan yang tajam.
“Kau ingat aku ni baby ke sampai nak kena bersuap-suap! Geli aku!” Jurina mencebik.
“Memang pun, baby tua! Mengalahkan budak kecil! Budak pun senang je nak suruh makan!”
“Tak naklah aku ambil risiko, entah-entah makanan kau ni…”
“Aku ikhlas nak tolong kau, ok! Sekarang kau pilih, kau nak makan atau aku akan ikat kau dekat kerusi ni dan paksa kau makan!” Ugut lelaki itu dengan pandangan mata yang tajam, menakutkan Jurina. Terbayang Jurina ketika itu, bagaimana jika lelaki tidak semena-mena terkeluar biji matanya, atau pun bola matanya bertukar dari putih ke merah, atau pun jika wajahnya berubah menjadi hodoh yang amat sangat. Mahu pengsan atau tercegat je depan dia masa dia buat make over! Tak mungkin aku akan duduk-duduk saja sambil melihat dia bertukar seperti dalam cerita-cerita ultraman. Bertukar! Dan aku akan bertepuk tangan sambil berkata, Yay! Dah bertukar! Gila!! Aku memang berada dalam siri-siri bercakap dengan jin versi Jurina ni! Bukan Tamar Jalis lagi dah ni.. Ke sebenarnya aku dalam rancangan Bang Bom Bang!!
“Nak makan ke tak nak!” Tiba-tiba lelaki itu bertempik sambil menepuk meja membuatkan Jurina terkejut beruk.
“Kau ni kan, kalau tak buat aku terkejut tak boleh ke! Aku dah cakap aku tak nak makan, tak naklah! Apa hak kau nak paksa-paksa aku pula. Menyemak je kat rumah ni, pergilah cari tempat lain. Aku nak duduk sorang-sorang! Jangan kacau aku!” Tengking Jurina sebelum dia bangun dan mahu beredar dari situ.
“Ok, aku minta maaf, aku takkan paksa kau makan. Tapi kalau boleh, boleh tak kau jangan seksa diri kau dengan membiarkan perut kau kosong. Macam mana kalau nanti kau sakit, kau sendiri tahukan aku tak boleh tolong kau.” Langkah Jurina terhenti di hadapan pintu. Otaknya mula memikirkan semula kata-kata lelaki tadi. Tiba-tiba perutnya berbunyi. Seolah-olah mengiyakan kata-kata lelaki itu. Perlahan-lahan dia berpusing semula dan menuju ke meja makan. Direnungnya lelaki dihadapannya.
“Kenapa kau baik sangat dengan aku?” Tanya Jurina dengan kening berkerut. Lelaki itu menaikkan bahu, bermakna dia juga tiada jawapan pada persoalan Jurina tadi. Jurina menjadi semakin pelik. Pelik, jika tiada sebarang sebab, masakan dia begitu baik dengan Jurina. Mungkin dia ada udang di sebalik batu terhadapnya? Walaupun kepalanya sarat dengan pelbagai andaian, dia masih menjamah makanan yang tersedia di hadapannya. Matanya bulat!

“Sedapnya! Betul ke kau yang masak ni?” Lelaki itu mengangguk. Laju Jurina menyuapkan makanan ke dalam mulutnya. Dia sudah tidak kira perkara lain yang berada dalam fikirannya tadi. Sehingga licin makanan dalam pinggannya. Lelaki itu tersenyum melihat selera Jurina sudah kembali.

0 comments: