“Abang….” Telefon bimbit yang dipegang Jurina terlepas
dari genggamannya. Kakinya lemah dan terasa tidak jejak di bumi. Air mata Jurina
mengalir laju. Jurina menekup mukanya sambil menangis teresak-esak.
“Abangg.. “Berita yang diterimanya tadi membuatkan dia
merasa seperti dunia terhempap di kepalanya. Kepalanya terasa berat dan dia
terjelepok di situ juga. Sempat kedengaran suara-suara terkejut melihatnya
terjatuh sebelumnya dunianya gelap gelita.
Mata Jurina bergerak-gerak sebelum dia membuka matanya.
“Kau dah sedar.” Natalia, rakan baiknya berada di
sisinya. Jurina mula mengingat kembali
apa yang terjadi sebelum dia tidak sedarkan diri. Natalia memeluknya.
“Syukurlah kau dah sedar. Kau ni buat aku risau je.”
“Abang..abang aku Nat!” Jurina mula mengingati semula apa
yang terjadi dan mula menangis.
“Hei, kenapa ni? Kenapa dengan abang kau?”
“Abang aku dah tak ada!” Natalia tergamam.
“Apa kau cakap ni Ju?”
“Aku dapat panggilan tadi, orang tu cakap dari hospital.
Dia minta aku datang ke sana untuk pengecaman mayat. Mayat abang aku.Nat..
Abang aku dah tak ada, aku dah tak ada siapa-siapa lagi kat dunia ni.” Natalia
memeluknya dengan perasaan sebak. Turut sama merasai penderitaan yang dialami
rakan baiknya itu. Air matanya juga turut mengalir menangisi nasib yang
diterima oleh Jurina.
“Jangan macam ni, Ju. Kau masih ada aku. Kita kawan
baikkan? Aku..aku temankan kau ke hospital, ok!” Jurina mengelap air matanya sambil
mengangguk.
Perjalanan menuju ke hospital terasa seperti terlalu
dekat. Sekejap sahaja mereka sampai di hadapan hospital. Baru sekejap rasanya
dia melelapkan mata akibat kepenatan kerana asyik menangis sahaja dari mula dia
sedar dari pengsan tadi. Tup! Tup! Natalia mengejutkannya apabila mereka sudah
sampai. Menggeletar seluruh tubuh Jurina apabila mereka berada di hadapan bilik
mayat. Natalia di sisinya memeluknya erat. Cuba memberikan semangat kepada
Jurina. Pegawai polis yang mengiringi mereka sejak tadi membuka sebuah peti dan
menarik tray. Sekujur tubuh yang ditutupi kain putih terbaring kaku di atasnya.
Jurina menghampiri dengan langkah yang perlahan. Ditahannya Natalia yang mahu
mengikutinya. Jurina meneruskan langkahnya sendirian. Jika benar itu abang
kembarnya, biarlah dia melihatnya sendiri. Biar dia menyaksikan dengan biji
matanya sendiri walaupun pandangannya kabur kerana air matanya tidak berhenti
mengalir dari tadi.
Jurina memegang kain penutup di bahagian kepala. Sempat
dia beristighfar dan berdoa supaya tubuh yang terbaring itu bukan abangnya.
Jurina menutup matanya sebelum membuka kain tersebut. Sebaik dicelikkan mata,
terasanya dunianya berpusing. Tubuhnya sempat dicepung oleh pegawai polis di
sebelahnya sebelum menyembah lantai. Natalia cepat-cepat memapah Jurina semula.
Dengan bantuan polis tersebut, Jurina dipapah keluar dan didudukkan di atas
kerusi di hadapan bilik mayat.
“Sabar ye Jurina, kau duduk kat sini dulu. Biar aku yang
uruskan semua prosedur. Kau jangan ke mana-mana tau.” Ujar Natalia dengan
tangisan yang cuba ditahan-tahan. Jurina hanya menangis dan tidak mengendahkan
lagi kata-kata Natalia. Natalia bangun dan berbincang sesuatu dengan pegawai
polis itu. Sesekali Natalia memandang Jurina sebelum meneruskan perbincangan
mereka.
“Abang, sampai hati abang tinggalkan Adik” Sendu hati
Jurina. Segala prosedur untuk membawa balik mayat Jufri diuruskan oleh Natalia.
Jurina tidak mampu berbuat apa-apa. Kini dia pula seperti mayat hidup, hanya
diam membisu dan duduk di tepi sambil menangisi pemergian abangnya itu. Jurina
hanya menurut apabila Natalia menyuruhnya masuk ke dalam kereta. Saudara mara
Jurina yang masih ada, dekat dan jauh telah dihubungi oleh Natalia. Lebih
memudahkan Natalia kerana dia sudah mengenali Jurina dari kecil, maka dia mengetahui
semua saudara mara Jurina yang masih ada.
“Ju, aku dah call Auntie Elena kat Bandung. Dia akan
balik secepat mungkin. Aku pun dah beritahu emak ayah aku, mereka tunggu kita
di rumah.”Ujar Natalia sewaktu mereka sudah berada di dalam kereta. Jurina
masih mendiamkan diri namun air matanya masih mengalir di pipinya.
“Ju..jangan macam ni, aku sedih tengok kau macam ni.”
Natalia memeluk Jurina dan turut menangis. Dia sangat sedih melihat keadaan
Jurina yang seperti patung hidup itu. Esakan Jurina semakin kuat.
“Kau kena tabah, abang kau perlukan kau sekarang, Ju.
Sedekahkan Al-Fatihah untuk dia. Biar roh dia tenang di sisi ALLAH. Kau kena
kuat.. Aku..aku pun kena kuat. Macam mana aku nak tolong kau kalau aku pun..aku
pun..” Natalia tidak dapat meneruskan kata-katanya akibat terlalu sedih.
“Aku tak ada siapa-siapa Nat, masa Ibu dengan Ayah pergi,
sekurang-kurangnya aku masih kuat sebab abang aku masih ada. Dia janji nak jaga
aku. Sekarang.. semua dah pergi tinggalkan aku. Abang aku..satu-satunya ahli
keluarga aku.”
“Ju, kau masih ada Auntie Elena dengan Uncle Bad kan? Kau
masih ada mereka. Mereka akan jaga kau. Sekarang kita akan balik rumah, aku
pakaikan tali pinggang kau ye.” Jurina mengangguk perlahan namun dia masih menangis
teresak-esak. Selesai dipakaikan, Natalia mengelap pipinya yang masih digenangi
air mata sebelum meneruskan perjalanan.
******
Jenazah Jufri selamat disemadikan di sebelah kubur ibu
dan ayah mereka. Jurina masih lagi murung. Walaupun tiada lagi air mata
mengalir di pipinya namun siapa-siapa yang memandangnya pasti merasa sayu. Dia
masih lagi teringat ketika ibu dan ayah mereka dikebumikan, Jufri memegang erat
tangan Jurina dan langsung tidak dilepaskan. Itulah penguat hati Jurina
sebenarnya. Dia masih merasa dia memiliki seseorang dahulu tapi kini...jiwanya
kosong.
“Adik..”Jurina menoleh. Air matanya tumpah lagi apabila
melihat Auntie Elena dan Uncle Bad berada dihadapannya. Auntie Elena terus
memeluknya erat dengan tangisan. Hati Auntie Elena merasa sayu melihat anak
saudaranya yang sedang bersedih itu. Uncle Bad turut mengalirkan air mata.
“Auntie..abang dah pergi. Dia dah janji nak jaga Adik
tapi dia dah pergi dulu.” Sayu suara Jurina merintih.
“Sabar ye sayang, Auntie dengan Uncle masih ada. Kami
akan jaga Adik. Jangan macam ni, Auntie pun sedih juga. Macam mana roh Abang
nak tenang kalau Adik sedih sangat macam ni.”
“Adik rasa separuh dari hidup Adik dah tak ada…”Giliran
Uncle Bad memeluk Jurina.
“Kami tahu, Jufri kembar Adik. Separuh dari hidup Adik.
Tapi Adik kena redha. Biarkan dia pergi dengan tenang. Kalau Jufri nampak keadaan
Adik macam ni, dia mesti tak sanggup nak tinggalkan Adik.”Jurina mengangguk
perlahan apabila mendengar nasihat dari Uncle Bad. Uncle Bad menepuk bahu
Jurina perlahan.
“Adik dah makan?” Auntie Elena bertanya apabila melihat
wajah Jurina yang agak pucat. Jurina menggeleng.
“Auntie temankan Adik makan dulu.”
“Adik tak ada seleralah Auntie.” Jurina menolak. Memang
dia tiada hati untuk menjamah sebarang makanan sekarang.
“Ju tak makan lagi dari semalam, Auntie.” Natalia
mencelah.
“Adik, adik kena makan sikit. Kalau Adik pengsan nanti
macam mana. Auntie ambilkan nasi ye. Makan sikit pun tak apalah.” Jurina hanya
terdiam. Mengangguk tidak, menggeleng pun tidak. Auntie Elena mengelap pipi
Jurina yang basah sebelum dia bangkit secara tiba-tiba dan terus menuju ke
dapur. Uncle Bad mengekori.
“El, jangan macam ni. El dah janji akan tabah depan Adik.
Takkan menangis depan Adik.” Uncle Bad memujuk Auntie Elena yang sedang menekup
wajahnya yang basah.
“El
cuba
bang, tapi.. El tak sanggup tengok Adik macam tu. Adik dah tak ada siapa-siapa. Dia satu-satu waris Abang
Long yang tinggal. Macam mana El tak sedih.” Uncle Bad mengusap-usap belakang
Auntie Elena yang terhinggut-hinggut akibat menahan tangis.
“Dahlah, Abang pun sedih juga. Sekarang ni tanggungjawab
kita jaga Adik. Kita kena nampak tabah. Kalau kita pun lemah, macam mana Adik
nak teruskan hidup. Kita..kita..” Luruh juga air mata Uncle Bad walaupun dia
sedaya upaya tidak mahu menangis. Melihat suaminya juga menangis, mengundang
tangisan lagi pada Auntie Elena. Akhirnya mereka berdakapan. Saling memberi
semangat kepada pasangan masing-masing. Natalia yang kebetulan mahu ke dapur
juga mengalirkan air mata melihat kesedihan yang jelas terpampang pada wajah
mereka. Cepat-cepat dia beredar dari situ, takut disedari mereka. Walaupun
Jufri dan Jurina hanya anak saudara mereka sahaja, namun telah dianggap sebagai
anak mereka sendiri. Sementelah lagi, mereka telah berjanji untuk menjaga Jufri
dan Jurina sebelum ibu bapa mereka meninggal akibat kemalangan. Jika tidak
berjanji pun, mereka tidak akan membiarkan anak saudara mereka
terkontang-kanting sendirian melayari hidup penuh dugaan ini.
“Sayang, dah. Jangan menangis lagi. Lap air mata tu.
Ambilkan makanan untuk Adik. Dia tentu lapar.” Auntie Elena mengangguk dan
mengambil pinggan di atas rak. Diceduknya lauk dan sayur yang sedia ada di atas
meja sebelum di bawa keluar.
“Adik, makan sikit ye.” Pujuk Auntie Elena lembut. Jurina
mengambil pinggan di tangan Auntie Elena. Lama ditenungnya pinggan itu.
Langsung tidak dijamah.
“Adik, Auntie suap nak?” Pujuknya lagi. Jurina
menggelengkan kepala. Dia mengambil sudu dan menyudu nasi. Disuapnya ke mulut
dengan linangan air mata. Auntie Elena yang memandang tidak mampu menahan
sedih. Dipeluknya Jurina sambil menangis.
“Sabar Dik, tuhan lagi sayangkan Abang.” Makin lebat
tangisan mereka berdua. Sesiapa yang memandang turut mengalirkan air mata. Hujan
yang turun secara tiba-tiba bagai mengerti kesedihan yang dialami Jurina. Lebat
selebatnya, seperti juga hati Jurina ketika ini.
*****
Auntie Elena mengelus-elus rambut Jurina yang sedang tidur
di ribanya. Uncle Bad masuk sambil membuka songkoknya. Auntie Elena memandang
suaminya.
“Semua tetamu dah balik?” Uncle Bad mengangguk perlahan.
Uncle Bad duduk di sisi isterinya.
“Dah tiga hari, Adik macam ni juga. El
tengok dia makin kurus pula. Muka
dia pun nampak cengkung sangat.” Uncle Bad menarik nafas panjang.
“El dah cakap pasal rancangan kita nak bawa Adik ke
Bandung?” Auntie Elena menggeleng.
“El tak sampai hati nak cakap bang, Adik langsung tak
bercakap. El pun tak tahu nak mulakan macam mana.”
“El cuba pujuk dia, manalah tahu kali ni dia nak pula.
Dulu masa Abang Long dengan Kak Long baru meninggal, kita ajak mereka tak nak.
Saya boleh lagi consider sebab yakin Abang boleh jaga Adik. Tapi sekarang Adik
dah tinggal seorang, Abang risau pula. Macam mana dia nak hidup seorang diri di
sini.”
“Tu yang El risau tu, kalau dia tak nak betul macam mana?”
Jurina mengalihkan badannya sedikit namun matanya masih terpejam. Auntie Elena
menepuk bahunya perlahan.
“Kita bincang semula nanti, baru kali ni El tengok dia
tidur lena macam ni. El tak nak ganggu tidur dia.” Uncle Bad mengangguk. Dia
menjenguk sedikit wajah Jurina yang agak tertutup di sebalik rambutnya.
“El tidur dengan Adiklah malam ni. Abang takut dia
mengigau macam hari pertama Abang dikebumikan hari tu.” Auntie Elena juga turut
mengangguk.
“El pun baru nak minta kebenaran abang tadi. Terima kasih
abang..” Uncle Bad tersenyum. Dia bangun dan mencium pipi isterinya sebelum
keluar dari bilik. “Selamat malam sayang.” Ucap Uncle Bad sebelum menutup
pintu. Auntie Elena tersenyum. Dalam saat-saat ini pun, suaminya itu tetap
tidak lupa mengucapkan selamat malam seperti kebiasaannya.
*****
Jurina duduk membatu di atas buaian sambil memandang ke
hadapan. Buaian yang selalu diduduki untuk berborak dengan abangnya tidak
digerakkan. Dia masih mengingati segala kenangan mereka, masih segar
diingatannya gurauan-gurauan mereka.
“Adik nak kahwin dulu dari abang!”
“Mana boleh! Kita lahir sama-samakan, kahwin pun kenalah
sama-sama.” Jufri membantah.
“Tak nak, Adik nak kahwin dulu. Selagi Adik tak jumpa
sesiapa. Jangan harap Abang mimpi nak langkah bendul!”
“Oit, siapa langkah siapa ni?” Jurina tersengih.
“Ala, lahir berapa minit dari Adik pun berkira.” Jufri
tersenyum lebar.
“Kenapa Adik tak kasi Abang kahwin dulu?” Jurina
merangkul lengan Jufri dan melentokkan kepalanya di bahu. Jufri hanya
membiarkan sahaja. Buaian diayun perlahan.
“Sebab, kalau kita kahwin sama-sama, siapa nak jaga Adik
masa Adik kahwin nanti. Kalau kita kahwin sama-sama, mesti Abang busy dengan
isteri Abang. Siapa nak tengok-tengokkan Adik.”
“Hai, suami Adikkan ada?”
“Lain.. Adik nak Abang juga.” Jufri meluku kepala Jurina
perlahan.
“Manja! Sampai dah kahwin pun nak manja dengan Abang.
Buruk perangai Adik ni.” Jurina tersengih sambil mengusap kepalanya yang diluku
tadi.
“Biarlah!” Ujar Jurina sambil menjelirkan lidah pada
Jufri. Jufri melingkarkan tangannya ke bahu Jurina.
“Ok, dengan syarat. Adik bukan kahwin dengan Omar!”
Jurina mengangkat kepalanya dan menoleh pada abangnya. Dia memukul peha Jufri.
“Jahat Abang ni, Omar tu baik apa, hensem pula tu..”
“Kasanova jalanan macam tu, tak berkenanlah Abang. Lagak
macam hensem sangat je.”
“Abang!” Jurina merenung tajam wajah Jufri.
“Ok..ok, abang tak kutuk badigol tu lagi.”
“Abang!” Jufri tersengih. Tak nak kutuk tapi panggil dia
badigol!
“Ok! Ok..tapi
Abang serius ni, Abang yang akan carikan jodoh untuk Adik nanti.
“Tak mahulah Adik, Abang punya taste semua budak nerd.”
“Kalau macam tu, biar Abang kahwin dulu!”
“Ala…”
“Adik..” Terputus kenangan mereka apabila Auntie Elena
memanggilnya. Jurina menoleh. Auntie Elena duduk di sebelahnya.
“Dah berjam-jam Adik duduk sini sorang-sorang. Adik ingat
apa?” Jurina hanya tersenyum kelat.
“Auntie ada benda nak bincang dengan Adik.” Auntie
Elena mengelus lembut rambut Jurina. “Adik ikut Auntie pergi Bandung ye?” Mati terus senyuman Jurina. Dia
menggelengkan kepala.
“Adik, kat sini tak ada sesiapa boleh jaga Adik. Auntie
risaukan Adik.” Air mata Jurina terus merembes keluar.
“Auntie tak boleh lama-lama kat Malaysia, Uncle Bad kena
kerja sayang. Enam tahun je lagi kontrak Uncle Bad kat Bandung tu, lepas tu
kita sama-sama balik ke Malaysia.”
“Auntie, Adik tak mahu tinggalkan rumah ni, Adik tak mahu
tinggalkan Abang.” Auntie Elena turut menangis mendengar kata-kata Jurina.
“Sebab tu Auntie nak bawa Adik pergi dari sini. Untuk
lupakan semuanya.”
“Tak boleh Auntie.. Adik tak mahu lupakan Abang. Adik tak
nak lupakan semuanya.”
“Adik, jangan macam ni. Kita bukan tak balik langsung ke
sini. Sesekali kita akan balik. Auntie janji!” Jurina menggeleng.
“Adik rayu pada Auntie, biarkan Adik kat sini. Adik
langsung tak ada hati nak ke mana-mana. Adik nak tinggal kat sini. Auntie..
Auntie jangan risau. Nat ada untuk temankan Adik. Adik boleh jaga diri Adik
sendiri. Lepas tu Adik akan call Auntie hari-hari untuk beritahu perkembangan
diri Adik. Adik janji, Auntie.. tolong jangan bawa Adik dari sini. Adik tak
mahu pergi dari sini. Bandung bukan tempat Adik.” Jurina sudah melutut di
hadapan Auntie Elena membuatkan Auntie Elena tidak sanggup memaksa Jurina lagi.
Jurina memeluk pinggang Auntie Elena.
“Tempat ni banyak kenangan Adik dengan Abang, takkan
Auntie nak Adik lupakan. Adik tak sanggup. Adik boleh jaga diri Adik sendiri.
Tolong Auntie, jangan bawa Adik dari sini.. Jangan bawa Adik dari sini..” Rayu
Jurina dengan suara merintih sayu. Baju Auntie Elena sudah lencun dengan air mata Jurina. Wajah
Auntie Elena juga sudah lencun dengan air matanya sendiri.
“Jangan macam ni Adik, Auntie buat semua ni untuk keselamatan
Adik juga.”
“Adik tak nak, Auntie.. Tolong jangan paksa Adik.”
“Uncle Bad mesti tak bagi Adik duduk sorang kat sini.”
“Biar Adik cakap dengan Uncle Bad.” Jurina terus
menghilang sebelum sempat dihalang oleh Auntie Elena.
“Adik..kenapalah nasib Adik macam ni..” Rintih Auntie
Elena mengenangkan nasib yang menimpa anak saudaranya itu. Dia mengelap air
matanya menggunakan hujung lengan bajunya.
*****
Natalia membantu Uncle Bad memasukkan bagasi ke dalam
teksi. Auntie Elena memeluk Jurina dengan erat.
“Betul ni, Adik tak mahu ikut Auntie?” Jurina mengangguk
dengan wajah yang sugul. Uncle Bad dan Natalia yang selesai memunggah bagasi
menghampiri mereka.
“Pastikan Adik call kami, HARI-HARI!” Uncle Bad memberi
amaran. Jurina mengangguk.
“Nat, tolong temankan Adik ye. Auntie minta tolong sangat-sangat.”
Natalia mengangguk.
“Auntie tak payah risau, Nat akan jaga Ju macam Nat jaga
diri sendiri.” Auntie Elena memeluk Jurina buat sekian kali. Dia benar-benar
risau meninggalkan Jurina seorang diri di Malaysia namun apakan dayanya.
Suaminya perlu bekerja dan dia juga tidak boleh lama-lama di sini. Auntie Elena
merenggangkan pelukan mereka. Air mata masing-masing sudah merembes. Auntie Elena
mengelus pipi Jurina. Sedih dan berat hatinya mahu meninggalkan Jurina.
“Jaga diri Adik baik-baik tau.” Jurina mengangguk. Uncle
Bad turut memeluknya.
“Kalau Adik ubah fikiran, cepat-cepat beritahu Uncle.
Uncle akan uruskan semuanya.” Jurina mengangguk lagi. Uncle Bad memimpin Auntie
Elena yang kelihatan lemah masuk ke dalam teksi. Natalia memeluk bahu Jurina.
Auntie Elena menjenguk di tingkap teksi. Air matanya masih merembes keluar.
Begitu juga dengan Jurina.
“Kalau ada apa-apa call Auntie terus!” Pesan Auntie Elena
lagi sebelum teksi mereka meluncur menuju ke jalan besar dan hilang dari
pandangan. Natalia mengusap bahu Jurina untuk menenangkan hatinya. Mereka masuk
beriringan.
“Thanks
Nat sebab dah tolong aku.”
“Ju, aku sendiri pun berat hati nak bohong pada Auntie
Elena tadi. Kau pun tahukan, cuti semester aku dah nak habis. Aku kena balik ke
Australia. Siapa nak jaga kau kat sini. Kenapa kau tak nak ikut Auntie Elena?”
“Aku tak sanggup Nat, rasa macam aku tak boleh hidup
kalau aku pergi dari sini. Semua kenangan aku dengan abang aku semua kat sini.”
“Tapi kalau kau pergi dari sini, kau boleh mulakan hidup
baru.”
“Aku tak nak mulakan hidup baru, aku nak hidup dalam
kenangan lama aku. Itu yang buatkan aku rasa itulah diri aku sendiri.”
“Ju, aku betul-betul simpati pada kau. Aku nak sangat
temankan kau kat sini. Tapi aku minta maaf...”
“Nat, aku faham. Aku cuma nak kau tipu Auntie aku je. Itu sudah memandai. Yang lain aku boleh bereskan.”
“Boleh ke kau hidup seorang ni?” Jurina mengangguk.
“Janji dengan aku, kau akan selalu contact aku. Beritahu
apa perkembangan semasa kau. Yang penting, jangan tipu aku. Kalau betul kau
sedih, beritahu aku. Kalau kau gembira pun, beritahu aku. Jangan sampai kita
lost contact! Aku cubit kau guna jari ketam aku kalau kau sengaja diamkan diri
lepas aku balik sini balik. Janji!” Ujar Natalia sambil menunjukkan jari
kelingkingnya. Jurina tersenyum tawar. Jari kelingkingnya ditautkan pada jari
kelingking Natalia.
“Janji, tapi kau kena janji pada aku. Jangan sampai
Auntie Elena tahu!” Jurina mengangguk. “Deal!”
0 comments:
Post a Comment