Esoknya, tanpa bertangguh Jurina berjumpa seorang lelaki
yang dikatakan handal untuk membuang lelaki itu dari hidupnya. Dia tidak mahu
digelar dukun atau bomoh, cukuplah dia hanya dikenali sebagai Tok Lat dan
merupakan guru silat terkenal di kawasan silatnya.
“Apa dia ni nak buat.” Tanya lelaki itu setelah melihat Tok
Lat membakar kemenyan dan memerah limau. Jurina menjeling, tiada riak-riak
takut pun pada wajah lelaki itu. Tok Lat itu mengeluarkan keris dari bawah
tempat duduknya.
“Hiarrrrkkkkkk!” Jurina turut menjerit kerana terlalu
terkejut apabila Tok Lat itu langsung tidak memberi isyarat sebelum menjerit.
“Terkejut aku, bodoh punya Tok Lat. Lain kali beritahulah
kalau nak kentut, tak payahlah nak jerit kuat-kuat nak cover kentut!” Lelaki
itu mengusap dadanya perlahan. Kemudian dia memandang Jurina yang sedang
menjelingnya tajam.
“Dia kentut!” Lelaki itu menunjuk Tok Lat pada Jurina.
Jurina menepuk dahinya, nampaknya lelaki itu langsung tidak takut. Tok Lat mula
berpencak silat, begitu khusyuk sehingga hampir-hampir terlanggar Jurina yang
sedang elok duduk bersimpuh.
“Apa dia nak buat sebenarnya ni, tak faham!” Tanya lelaki
itu semula kepada Jurina. Jurina menjengilkan matanya. Lelaki itu menutup
mulutnya dengan jari sambil memuncungkan mulut.
“Salah bunga-bunga dia ni, sumbang habis!” Lelaki itu
memberi komen. Tidak semena-mena lelaki itu berdiri dan mula bersilat dihadapan
Jurina.
“Macam ni baru betul!” Lelaki itu tersenyum bangga sambil
menunjukkan beberapa gerakan lagi. Tiba-tiba gerakan silatnya terkena kaki Tok
Lat lalu membuatkan Tok Lat hilang keseimbangan dan akhirnya kepalanya terkena
tiang. Terus Tok Lat pengsan betul-betul di hadapan Jurina membuatkannya tubuh
Jurina melompat kerana terkejut. Lelaki itu juga turut terkejut. Kedua-duanya
terbeliak sambil memandang ke tempat yang sama. “Opss!!” Lelaki itu menekup
mulut.
Jurina panik, terus dia mengambil beg tangannya dan turun
dengan tergesa-gesa. Tanpa menoleh ke belakang, Jurina terus memecut keretanya.
Dia menarik nafas berulang-ulang kali untuk melegakan amarahnya yang memuncak.
Lain yang diinginkan, lain pula yang jadi. Dia mahu menghalau lelaki itu dari
hidupnya, sebaliknya Tok Lat itu pula yang pengsan.
Malam itu, dia berjumpa dengan dukun yang juga dikatakan
terhandal sekali untuk membuang ‘benda-benda’ yang ‘melekat’ pada seseorang
seperti kesnya.
Tiada apa yang berlaku ketika Jurina menceritakan apa
yang terjadi pada dirinya. Lelaki yang mengekorinya itu juga duduk sama
mendengar cerita Jurina dan sesekali mengangguk-angguk meniru gaya dukun
dihadapan mereka membuatkan Jurina merasa bengang. Kali ini juga dia langsung
tidak menunjukkan gaya ketakutan. Sesekali Jurina menjeling tajam ke arahnya.
Lelaki itu pula hanya tersengih. Upacara dimulakan dengan dukun itu memberi
salam.
“Salamku kepada penunggu langit, salamku kepada penunggu
bumi, bersemukalah kamu untuk membantuku.” Aik, apa bagi salam pada penunggu
langit dan bumi ni, ni dah pelik. Desis hati Jurina. Lelaki itu bersila dan
tangannya diletakkan di atas lutut seperti orang mahu bertapa.
“Haji Yahya! Haji Yahya! Haji Yahya! Haji Yahya!” Haji
Yahya mana pula ni, kenapa nama Haji Yahya? Kenapa tidak Haji Ali atau Haji
Abu. Apa istimewanya Haji Yahya ini sehingga boleh membantu menghilangkan
makhluk halus?? Arghhh! Dia sendiri tidak faham. Makin lama sebutan Haji Yahya
itu semakin kuat sehingga menaikkan bulu roma Jurina. Makin lama kedengaran
seperti jeritan kaum Red Indian mengelilingi unggun api yang biasa ditonton di
televisyen. Wooowwooooo…. Jurina mencari lelaki itu. Dia melihat lelaki itu
sedang mengelilingi unggun api yang entah datang dari mana di belakang dukun.
Jurina mengurut kepalanya yang tiba-tiba merasa pening melihat kerenah lelaki
itu yang langsung tidak takut akan perbuatan dukun yang dikatakan terhandal.
“Pakcik! Pakcik!!” Jurina memanggil dukun itu beberapa
kali. Tiba-tiba tubuh dukun itu menggeletar hebat membuatkan Jurina merasa
takut. Tubuh lelaki itu menjadi kekejangan pula seperti terkena sawan. Mulutnya
berbuih-buih. Jurina menelan air liur. Kenapa pula pakcik ni? Jurina memandang
ke kiri dan ke kanan sebelum membuka langkah seribu.
“Awimbawe..
Awimbawe..awimbawe..awimbawe…wee weeee wee weeeeee weeeee we weeebombooommmm.” Lelaki itu menyanyi di sebelahnya dengan muka
menjengkelkan, seperti mahu meraikan kemenangannya setelah Jurina tidak berjaya
lagi menghalaunya. Jurina mengerling tajam. Tak guna punya hantu, ketawakan
akulah tu! Nanti kau! Aku tak habis ikhtiar lagi tau tak! Nanti-nanti kau
tahulah nasib kau.
Dua hari selepas itu, Jurina bertemu pula dengan Tok
Mahang, kali ini dia pasti akan berjaya menghalaunya. Yeah!!! Setelah
menceritakan sedikit sebanyak tentang masalahnya, Tok Mahang hanya mengangguk.
Jurina tersenyum. Dukun kali ini nampak yakin, Jurina pasti dia akan mampu
menghalau lelaki itu dari hidupnya untuk selama-lamanya..Hahahahaha… Gelak
Jurina dalam hati. Dia menjeling lelaki itu yang elok duduk di antara Tok
Mahang dan Jurina sambil turut mengangguk-angguk ketika Jurina menceritakan
masalahnya. Tok Mahang memejamkan mata. Mulutnya berkumat-kamit namun langsung
tidak didengari sebutir pun apa yang disebut. Setengah jam berlalu, Tok Mahang
masih lagi berkumat-kamit membaca menteranya. Jurina mula merasa mengantuk
kerana tidak berbuat apa-apa namun cuba ditahannya sedaya mungkin. Sejam
berlalu, Tok Mahang masih begitu. Masuk kali ini, sudah hampir 50 kali Jurina
menguap.
Dua jam
kemudian, Jurina terjaga apabila dia hampir tersungkur ke lantai kerana
tertidur tanpa sedar. Dia mengelap air liur basinya. Dia menoleh mencari lelaki
itu. Mak aih! Siap tidur berbantal, mana dia dapat bantal ni? Siap berdengkur
tak tahan, hampeh punya hantu! Kau boleh tidur masa aku nak halau kau ye!
Dilihatnya, Tok Mahang masih memejamkan mata sambil berkumat-kamit seperti mula
tadi. Jurina menenyeh-nenyeh matanya yang masih mengantuk. Tak boleh jadi ni,
mahu sehari suntuk aku tunggu dia habis baca. Dia memandang lelaki itu yang
sedang enak nyenyak tidur dan Tok Mahang berulang kali. Otaknya mula berfikir
ligat. Akhirnya dia tersenyum. Perlahan-lahan Jurina mengengsot keluar dan
terus meninggalkan Tok Mahang dengan lelaki itu dengan senyap-senyap.
Harapannya, lelaki itu akan menemui teman baru dan tidak akan menganggunya
lagi.
“Huaarggghhh!!! Asal kau tak kejut aku sekali tadi?”
Hampir terbabas kereta Jurina ke dalam semak apabila dia terkejut dengan kehadiran
lelaki itu di sebelahnya secara tiba-tiba.
“Kau ni kan! Kurang nyawa aku sepuluh tahun. Jangan
kejutkan aku dengan cara tu boleh tak!” Marah Jurina sambil mengusap-usap
dadanya. Lelaki itu hanya menaikkan bahunya.
“Kenapa kau keluar senyap-senyap tak ajak aku sekali
tadi. Aku pun bosan orang tu kumat-kamit tak tentu butir.” Jurina mendengus.
Memang hajatnya mahu meninggalkannya di rumah itu, masakan mahu dikejutkan.
“Ke kau memang berhajat nak tinggalkan aku kat situ?”
Lelaki itu menaikkan keningnya. Jurina
membuat muka toya. Malas mahu menjawab pertanyaannya.
“Well…aku tak akan tinggalkan kau untuk lelaki yang
bosan. Kau lebih menghiburkan aku.” Lelaki itu membuat muka selamba sambil
tersenyum sinis. Jurina menghantukkan kepalanya ke stereng beberapa kali.
Nampaknya rancangannya gagal lagi!!
Malam
itu, Jurina mencari album gambar dan kain pelikat abangnya, Jufri yang selalu
dipeluknya sebelum tidur di merata-rata tempat. Jurina merasa gelisah, itulah
satu-satunya album yang mempunyai semua gambarnya dengan Jufri. Kain itu pula
adalah kain terakhir yang dipakai Jufri sebelum dia meninggal dunia. Habis satu
bilik diselongkarnya namun masih tidak berjumpa. Hampir menangis Jurina ketika
itu. Dia cuba mengingati waktu terakhir dia
melihat album tersebut. Dia cuba
membayangkan. Semalam, sebelum
tidur dia masih membelek dan memeluk album gambar itu dengan linangan air mata
sebelum dia tertidur. Paginya, dia tidak perasan sama ada album itu masih ada
atau tidak di sisinya namun dia masih ingat yang album itu tidak di bawanya
keluar. Jika tidak di bawa keluar, pasti ada di sini. Ini mesti kerja hantu tu!
Pasti dia yang menyorokkan album gambarnya. Jurina mencarinya di ruang tamu.
Lelaki itu sedang membaca buku.
“Mana album gambar aku?” Tanya Jurina.
“Aku simpan!”
“Apa hak kau ambil barang aku! Pulangkan balik!”
Tengkingnya dengan mata memerah menahan marah yang sedang mendidih di hatinya.
“Tak mahu!”
“Aku cakap aku nak album gambar aku balik!”
“Sampai bila kau nak hidup dalam kenangan lama. Aku nak
kau teruskan hidup dan tak nak kau bersedih lagi. Aku tak tahan tengok kau
bersedih tiap-tiap malam bila tengok album tu.”
“Arghhh… suka hati akulah
nak sedih ke, nak nangis ke, nak gelak ke.. aku nak album aku balik!”
Tiba-tiba lelaki itu hilang dari pandangan.
“Woi!!!! Aku nak album gambar aku balik!!!!!” Jerit
Jurina seorang diri. Kebengangannya sudah berada di tahap maksima. Dia
benar-benar pasti dia mahu menyingkirkan lelaki itu dari hidupnya secepat
mungkin. SECEPAT MUNGKIN!!!
Tanpa
berlengah, esoknya Jurina berjumpa dengan seorang lelaki yang dikenalkan oleh
rakan sekuliahnya. Itu pun setelah dia jenuh menelefon semua rakan kuliahnya
bertanyakan tempat terbaik untuk berubat. Setelah mengetahui lokasi rumah
lelaki itu, dia bergegas menuju ke sana. Tidak sabar benar dia mahu menghalau
lelaki itu dari hidupnya.
“Sebenarnya pakcik..” Jurina memulakan mukadimah apabila
dipersilakan masuk. Dilihatnya, rumah itu kosong dan nampak agak menyeramkan.
Namun digagahkan juga demi mencapai cita-citanya.
“Boleh..boleh.. Pakcik tahu semuanya.. Pakcik tahu hajat
kamu ke sini. Jangan risau, pakcik akan tolong kamu sedaya upaya.” Aik, aku tak
beritahu apa hajat aku lagi, dia dah tahu. Ini memang betul-betul nampak macam
pakar.
“Kalau macam tu, boleh saya tahu dulu berapa pengerasnya.
Maklumlah, saya ni belajar lagi. Takut tak mampu bayar kalau banyak-banyak ni.”
“Oh.. Belajar lagi, tak apalah. Pakcik tolong secara
ikhlas. Kamu tak payah bayar sesen pun. Pakcik ikhlas..” Pakcik itu tersenyum
sambil menunjukkan giginya yang lopong di hadapan. Jurina menelan air liur. Menyeramkan!
Tapi, demi mengambil hati pakcik, Jurina
turut tersenyum. Bagus! Lagi senang kerja aku.
“Pakcik masuk dululah, mahu siapkan air minuman. Rumah
pakcik ni tak ada apa-apa. Teh O bolehkan?”
“Apa-apa pun tak apa pakcik..” Pakcik itu mengangguk
sebelum masuk ke dalam.
“Keluar sekarang!” Tiba-tiba lelaki itu muncul di
hadapannya. Jurina membuat muka toya. Dia masih lagi marah dengan peristiwa
malam tadi.
“Aku cakap keluar sekarang!”
“Kau apahal nak suruh aku keluar ni! Suka hati akulah!”
“Kalau kau nak selamat, baik kau keluar sekarang sebelum
terlambat!” Jurina berpura-pura tidak mendengar.
“Kau tahu tak, orang tua tu dah masukkan ubat tidur dalam
teh kau. Tunggu masa je orang tua tu nak rogol kau, tahu tak!” Muka Jurina
berubah. Ubat tidur? Rogol?
“Betul ke?”
“Lantak kau! Nak dengar ke tak nak ke terpulang. Kalau
kau nak tidur dengan orang tua yang tak ada gigi tu silakan.. Aku ok je. Boleh
tengok wayang free.” Cepat-cepat Jurina mencapai begnya dan keluar dari rumah
itu. Terus dipecutnya kereta. Sewaktu dia memandang cermin pandang belakang,
dia melihat pakcik itu mengejarnya dengan membawa secawan teh. Meremang bulu
romanya apabila membayangkan yang dia bakal diperkosa lelaki tua tak sedar diri
tu.
“Apa masalah kau! Kau tahu tak kau hampir nak kena rogol
sebab perbuatan kau yang sia-sia ni!”
“Aku memang nak kau berambus dari hidup aku. Sebab kaulah
aku hampir nak kena rogol tau tak!”
“Ooo.. sekarang kau nak tuduh aku penyebabnya pula!”
Masing-masing tidak mahu mengalah.
“Memang, kaulah punca semua bencana ni berlaku, jadi apa
kata kau berambus je dari hidup aku tanpa disuruh-suruh!”
“Aku takkan pergi dari hidup kau! Selagi aku tak tahu apa
yang terjadi pada aku, aku akan melekat pada kau!” Sreettttttt! Bunyi brek kereta
ditekan kedengaran. Jurina menoleh lelaki yang berada disebelahnya dengan
pandangan yang jengkel.
“Kau ni kenapa, aku tak pernah kacau hidup kau masa kau
hidup. Kenal pun tak, kenapa pula kau nak kacau hidup aku pula sekarang. Aku
tak ada kena mengena dengan kau tau tak! Tak ada sebab kau nak melekat dengan
aku, jadi sekarang aku nak kau berambus!!!”
“Kau buatlah apa saja untuk halau aku tapi aku takkan
berganjak!”
“Eeee.. aku tak fahamlah kau ni. Entah hantu spesis apa
entah! Tolong jangan ikut aku lagi boleh tak! Tolonglah bebaskan aku!”
“Kenapa aku kena tinggalkan kau, kau beri aku sebab?”
“Sebab kau tak diperlukan dalam hidup aku, kau tak ada
kepentingan pun dalam hidup aku. Tu pun tak faham ke??”
Tok..Tok.. Tiba-tiba pintu kereta diketuk. Jurina dan
lelaki itu serentak menjerit. Jurina menoleh, dia mengusap-usap dada. Mujur
bukan pakcik tak ada gigi yang membawa teh itu tadi. Yang berada dihadapannya
seorang lelaki berjubah putih yang agak berusia. Jurina menurunkan tingkap
kereta separuh.
“Assalamualaikum…Boleh pakcik tanya, mana arah masjid?”
“Waalaikumsalam.. Ermm.. pakcik, saya bukan orang sini.
Saya pun tak tahu.” Pakcik itu mengangguk.
“Tak apalah, pakcik tanya orang lain. Tapi, kenapa anak
berdua ni macam bertengkar je?” Jurina memandang lelaki itu, begitu juga lelaki
itu. Masing-masing terkejut.
“Pakcik boleh nampak saya?” Lelaki itu bertanya
kehairanan. Pakcik itu mengangguk. Dia memandang Jurina.
“Ada sebab dia ada dengan anak sekarang ni. Biarlah dia
mencari jawapannya sendiri, sampai masanya dia akan pergi sendiri.” Pakcik itu
memberi nasihat, seolah-olah dia tahu masalah mereka berdua ketika itu. Jurina
dan lelaki itu saling berpandangan.
“Tapi pakcik..” Jurina menoleh untuk bertanya. Tapi
pakcik itu sudah ghaib membuatkan Jurina terpinga-pinga. Dia menjengah ke bawah
dan ke belakang. Manalah tahu pakcik itu sengaja bermain sorok-sorok dengannya
ke, namun puas dicari. Pakcik itu telah menghilangkan diri. Jurina menggarukan
kepala. Macam chipsmorelah pakcik ni. Pelik betul, sekelip mata je hilang.
Jurina keluar dari kereta. Begitu juga lelaki itu. Mereka mencari pakcik tadi,
Jurina juga menjenguk ke bawah kereta. Manalah tahu pakcik itu membuang tabiat
mahu bermain sorok-sorok dengan menyorok di bawah kereta pula. Tak ada..
“Ada pakcik tadi tu?” Jurina bertanya pada lelaki itu.
Lelaki itu juga menggeleng. Pelik.. Sudahnya dua-dua menggaru kepala. Kemudian
masing-masing terdiam.
“Entah-entah…” Serentak mereka bersuara. Jurina sudah
menjerit ketakutan sebelum berlari masuk ke dalam kereta. Lelaki itu juga begitu,
tidak cukup tanah dia berlari. Sebaik sahaja dihidupkan enjin kereta, terus
dipecutnya menuju ke jalan besar. Dia langsung tidak berani memandang cermin
pandang belakang. Lelaki itu juga hanya duduk diam di sebelahnya. Diam tidak
berkutik. Wajahnya pucat sekali. Melihat keadaan lelaki itu membuatkan Jurina
tidak dapat menahan gelak. Berdekah-dekah dia ketawa. Hilang sudah rasa
takutnya tadi.
“Kau ni kenapa? Tadi jerit macam apa, sekarang ni ketawa
macam orang gila pulak. Sewel ke?”
“Aku tak pernah pula tahu yang hantu ni sebenarnya takut
juga dengan hantu yang lain. Pucat beb! Hahahaha…” Lelaki tadi menyumpah dalam
hati. Gelakkan aku rupanya, kurang asam!
“Diamlah kau!” Marah lelaki itu dengan nada geram. Jurina
pula masih menggelakkannya sehingga berair matanya menahan tawa. Langsung tidak
teringat pertengkaran mereka tadi.
0 comments:
Post a Comment