CLICK HERE FOR BLOGGER TEMPLATES AND MYSPACE LAYOUTS

Monday, October 2, 2017

Percaya Padaku 7

”Jerrryyyy!!!!” Tom menjerit memanggil Jerry. Kepalanya pening melihat keadaan rumah yang kembali seperti dulu. Bersepah dan tidak teratur. Berderap-derap bunyi tapak kaki Jurina berlari mendapatkan Tom di ruang tamu.
”Yup!!” Jurina tersengih di hadapan Tom yang sedang naik angin.
”Kenapa rumah ni sepah balik?” Jurina menggaru kepalanya yang tidak gatal sambil tersengih.
”Nanti aku kemaslah balik. Kau ni, sensitif betullah!” Tom membeliakkan mata.
”Nanti kau nak kemas balik? Jangan harap!!”
”Yelah, nanti aku kemas. Percayalah...” Tom bercekak pinggang.
”Selagi kau tak kemas rumah ni, aku takkan muncul di hadapan kau lagi!” Tom mengugut Jurina. Jurina mencebik.
”Eleh, boleh ke?” Sengaja Jurina memerli Tom. Dia tahu, Tom pasti akan menganggunya lagi.
”Serius kau nak tengok aku tak muncul-muncul lagi?” Jurina mencebik.
”Fine, jangan cari aku lagi!” Terus Tom menghilang. Jurina tidak merasa hairan. Lambat laun pasti dia akan mencarinya semula. Dulu, sewaktu dia nekad untuk menghalaunya, dia tidak mahu berganjak. Masakan sekarang dia mahu menghilangkan diri terus. Hatinya langsung tidak percaya yang Tom tidak akan muncul-muncul lagi.
Hari pertama dan kedua..
Yeayyyyyyy! Tak ada siapa nak marah aku buat sepah. Aku boleh makan dalam bilik. Kalau Tom ada, mesti dia marah aku makan dalam bilik tidur. Dia tu, semua tak boleh! Nanti bersemutlah, bersepahlah, karang tikus datanglah, semua serba tak boleh. Apa pun tak boleh! Huh! Lagi, aku malas nak menyapu dan mengemas rumah hari-hari. Bukan ada habuk pun kalau setakat tak menyapu dua tiga hari. Isi air dalam bekas air dan masukkan di dalam peti sejuk. Inilah benda paling malas sekali yang Jurina mahu buat. Membebel Tom kalau dia melihat peti sejuk kosong. Penatlah, dah masak dalam cerek, biar jelah dalam tu. Kalau nak minum nanti barulah tuang dalam gelas. Kenapa nak susah-susah letak dalam peti sejuk pula. Lagipun kita ni bukan elok minum air sejuk. Apa-apa entah peraturan, tak faham betul!
Hari ketiga..
Jurina menyilangkan kaki dan meletakkannya di atas meja kopi sambil menonton televisyen. Dia masih menikmati hidup mem’bujang’nya. Kulit kacang yang sudah dikopek, dicampaknya ke lantai. Nanti-nanti boleh sapu... Seronoknya tak ada siapa membebel. Boleh buat sesuka hatinya sahaja. Apa pun boleh..
Hari keempat..
Jurina duduk di sofa berseorangan. Televisyen masih terpasang namun tiada cerita yang mampu menarik perhatiannya sekarang. Dia bosan! Lantas dicampakkan alat kawalan ke lantai.
”Bosannya!!!” Jurina bersandar pada sofa. Dia memandang ke atas. Tiada apa yang menarik, hanya dinding putih sahaja kelihatan. Dia memandang pula ke kiri dan kemudian ke kanan. Kosong.. Hatinya kosong kerana tiada teman yang boleh di ajak berbual. Tom... Mana kau?
Hari kelima..
Usai kuliah, Jurina bergegas keluar dari dewan dan terus mendapatkan keretanya. Hajat hati dia mahu mengemas rumah hari ini. Dia sudah tidak sabar mahu berjumpa Tom. Hatinya kosong apabila sudah hampir seminggu tidak bercakap dengan Tom. Biarlah aku bercakap dengan hantu pun, janji aku puas hati.
”Jurina!!!” Seseorang melaungkan namanya dari jauh. Jurina menoleh. Omar rupanya. Mati-mati dia ingat Tom sudah pulang. Nak apa pula malaun ni?
”Wait! Nak pergi mana tergesa-gesa ni?” Omar bertanya dengan suara termengah-mengah kerana dia berlari dari jauh semata-mata untuk mendapatkan Jurina yang hanya terpaku di sebelah keretanya.
”Nak baliklah, kenapa?” Jurina mengerutkan dahi.
”Alaa.. Janganlah balik dulu. I ada benda nak bincang dengan you ni. Jom pergi kafe, I belanja.” Belanja aku? Huh! Jangan haraplah aku nak tertipu dengan kata-kata kau lagi. Pergi campak lombonglah! Kali ni aku dah insaf, jangan harap aku nak kena kelentong. Jurina ni dah matang kau tau tak!
”Sorry, I busy, lain kali jelah ye.” Jurina menolak dan terus menekan alarm kereta.
”Wait... Ala, kejap je..” Omar cuba meraih tangan Jurina namun Jurina sempat menarik tangannya semula. Dia tidak rela dirinya dipegang-pegang oleh lelaki durjana ini.
”I kata I busy kan, you tak faham ke?” Suara Jurina sudah meninggi. Meluat dia melihat wajah Omar ketika ini. Kenapalah dia berkenan sangat dengan Omar ni dulu, dia sendiri tidak faham. Sekarang nak tengok mukanya pun rasa nak muntah.
”Ok..ok... Kalau you tak nak keluar dengan I pun tak apalah. Tapi I ada sesuatu nak minta tolong you ni. Urgent!”
”Tolong apa?”
”I tak fahamlah assignment yang I kena buat ni. Apa kata you tolong I fahamkan. You buat dulu nanti I cuba fahamkan jalan kerja you ni lepas you siap. Boleh tak, sayang?” Ermm... tak habis-habis nak pergunakan aku. Kita tunggu dan lihat macam mana aku nak kenakan kau Omar. Tanpa banyak soal, Jurina mengambil fail yang dihulurkan oleh Omar dan terus masuk ke dalam kereta. Omar sudah tersenyum lebar. Mungkin dia menyangka Jurina masih boleh diperbodohkan seperti dulu. Tapi kau silap Omar, silap besar!! Jurina terus berlalu dari situ tanpa menoleh ke belakang. Muak dia melihat wajah Omar yang budget handsome kononnya. Wekk!!
Hari keenam..
”Jurina!!!” Dari jauh Omar sudah memanggilnya. Jurina buat-buat tidak mendengar panggilan Omar dan terus berjalan. Omar mengejarnya.
”Hi sayang...” Jurina mengerutkan dahi. Ungkapan sayang bagi Omar agaknya seperti sampah yang langsung tidak dihargainya. Senang-senang je panggil aku sayang, yang lain pun dipanggil sayang. Ee.. tak ada makna baginya perkataan sayang itu. Menyampah aku!
”Dah siap dah assignment semalam tu?” Tanyanya manja. Kali ni Jurina sudah meluat.
”Assignment semalam? Opsss... Saya lupalah!” Jurina sengaja membuat-buat lupa.
”What?? You tahu tak assignment tu kena hantar hari ni? Kan ada tulis kat kertas tu dateline dia. You buta ke tak nampak!” Main kasar nampak!
”So? Do I care?” Sengaja Jurina membuat muka dan terus berlalu dari situ. Omar masih lagi mengejar.
”Hei, you pun tahukan Prof Syukri tu macam mana, you kena tolong I juga.”
”Sorry, I sibuk. Ambil balik fail you ni.”
”Janganlah macam ni, kali ni je. Please... tolong I” Sorry, kali ni aku takkan bersimpati pada mat buaya macam kau ni. Jurina tidak mengendahkan dan terus sahaja berjalan. Omar masih merayu padanya sehingga akhirnya dia bengang apabila diabaikan. Lantas Omar menarik lengan Jurina dengan kasar.
”Hei perempuan! Kau ingat kau tu cantik sangat ke sampai aku kena merayu-rayu dengan kau ni. Muka kau ni, satu sen pun tak laku tahu tak! Kalau aku tak kutip kau jadi makwe aku, Mat bangla tu je yang sanggup ambil kau jadi makwe dia. Kau sedar diri tu sikit. Muka kau ni langsung tak layak nak bergandingan dengan aku. Setakat muka kau yang macam kucing tersepit kerusi ni, buat malu aku je nak kenalkan dengan member. Buat kena caci orang je. Blahlah kau! Perasan cantik! ingat aku suka kau betul-betul ke? Jangan haraplah! Setakat muka kau ni melambaklah tepi jalan! Muka macam kau ni layak jadi pengelap kaki aku je tau tak!” Berkaca-kaca mata Jurina apabila mendengar kata-kata cacian dari mulut Omar sendiri. Jurina hanya mampu memandang Omar berlalu pergi setelah menghinanya. Dia tidak sangka Omar sanggup menghinanya sehingga demikian rupa. Kucing... tersepit kerusi dia kata muka aku. Terus menitik air mata Jurina.
Jurina memandang sekeliling. Ada yang berbisik dan ada juga yang hanya memandangnya. Dia tidak tahu sama ada pandangan itu pandangan simpati atau mengejek. Dia sendiri tidak mahu ambil tahu. Mukanya sudah setebal kamus Dewan Bahasa Dan Pustaka. Lantas Jurina mengelap pipinya dengan belakang tangannya. Selama ini dia hanya menonton adegan seperti itu di televisyen, tidak sangka kali ini dia pula yang menjadi heroinnya. Sungguh, dia tidak mahu menjadi heroin jika terpaksa menanggung malu yang teramat seperti ini. Malunya bukan kepalang! Laju Jurina meninggalkan tempat itu dan menuju ke keretanya. Di dalam kereta, air matanya luruh lagi. Kali ini bertambah lebat kerana hatinya tersangat sayu kerana dihina dan dicaci sebegitu rupa. Jurina menyandarkan kepalanya di stereng kereta.
”Tom... mana kau?” Jurina merintih dengan linangan air mata. Kali ini dia betul-betul memerlukan Tom. Pulang sahaja ke rumah, dia terus mencapai penyapu, mop, penyodok dan peralatan membersih yang lain dan terus membersihkan rumah. Walaupun dia membersihkan rumah dengan linangan air mata, namun dia tidak berhenti sehinggalah rumahnya kembali bersih. Dia memang memerlukan Tom sekarang. Dia mahu berjumpa dengan Tom. Dia tidak sanggup lagi menanggung kesedihan seorang diri.
”Tom, mana kau! Aku dah kemaskan rumah ni!” Jerit Jurina seorang diri. Namun Tom masih tidak muncul. Air mata Jurina jatuh lagi. Jurina duduk mencangkung dan menekup wajahnya ke lutut. Dia menangis lagi, kali ni lebih kuat dari sebelumnya. Dia merasa sunyi dan sendirian. Hatinya sangat pilu..
*****             
Jurina tidak mampu untuk bangun dari katil. Kepalanya terasa berat. Semalam, seharian dia menangis sehingga matanya bengkak. Hari ini badannya terasa lemah. Mungkin kerana semalam dia langsung tidak menjamah sebarang makanan. Tangannya diletakkan di dahi. Panas! Demam rupanya dia. Patutlah dia rasa tidak sedap badan. Jurina langsung tiada hati untuk melakukan apa-apa. Fikirannya masih lagi kusut dan apa yang diperlukan adalah tidur. Lantas dia menarik selimutnya dan diselubung satu badannya yang menggigil kesejukan.
*****
”I’m home!!” Tom menjerit gembira apabila kembali semula di rumah itu. Dia sudah tidak sabar mahu bercerita pada Jurina tentang percutiannya. Sangkanya Jurina akan menonton televisyen kerana selalunya di waktu-waktu ini, Jurina akan bersantai di hadapan televisyen sambil mengunyah makanan ringan. Tapi dia pelik apabila dipanggil beberapa kali, Jurina masih tidak menyahut. Keretanya ada di depan. Mana minah ni?
Tom segera menapak ke atas. Dia masuk ke bilik Jurina, bilik yang menjadi larangan bagi Tom demi mematuhi syarat pertamanya. Syarat yang dibuat Jurina jika Tom mahu terus berdampingan dengan Jurina.
”Jerry..” Tegur Tom apabila melihat Jurina masih berkelubung di dalam selimut.
”Hei, bangun! Lepas asar mana elok tidur ni!” Tom duduk di sisinya dan cuba menarik selimut yang menyelubungi Jurina. Jurina mengerang. Nafasnya berdengus kuat. Tom mula rasa tidak sedap hati.
”Jerry, kau ok ke?”
”Tom.. Tomm...” Panggil Jurina memanggil Tom dengan suara yang tidak bermaya.
”Jerry!!” Tom menarik selimut Jerry sehingga mendedahkan wajah Jurina. Wajah Jurina kelihatan pucat.
”Jerry, kenapa dengan kau ni??” Tanya Tom dengan perasaan tidak tentu arah.
”Tommm...Tommm...” Jurina masih memanggilnya. Tom mengambil tangan Jurina.
”Aku kat sini Jerry, Jerry... Jerry..” Beberapa kali Tom memanggil Jurina supaya dia sedar akan kehadiran Tom disisinya. Jurina membuka mata.
”Tomm...” Jurina memandang Tom dengan pandangan mata berkaca.
”Tommm...” Air mata Jurina mengalir. Tom merasa hiba melihat keadaan Jurina yang lemah ini.
”Kenapa ni Jerry?” Tom mengelus rambut Jurina dengan lembut. Jurina masih lagi menangis. Tiba-tiba dia memeluk pinggang Tom sambil menangis teresak-esak.
”Jangan tinggalkan Jerry lagi..” Sayu hati Tom melihat keadaan Jurina yang sangat lemah itu. Dia mengelus-elus rambut Jurina yang hitam pekat itu.
”Shh... Kenapa cakap macam tu?”
”Janji pada Jerry, Tom tak akan tinggalkan Jerry lagi.” Ungkap Jurina dalam tangisan yang masih belum reda.
”Jerry..”
”Janji dulu..”
”Janji!” Jerry mengangkat wajahnya yang basah dengan air mata.
”Jerry boleh percaya janji Tom ni kan?” Tom memandang wajah Jerry yang sayu merenung matanya. Akhirnya Tom mengalah. Dia mengeluh perlahan.

Trust me..” Akhirnya Tom berjanji. 

0 comments: