CLICK HERE FOR BLOGGER TEMPLATES AND MYSPACE LAYOUTS

Monday, October 2, 2017

Percaya Padaku 8

Dua hari Jurina demam, Dua hari itu jugalah Tom tidak dibenarkan ke mana. Sebaik sahaja Jurina bangun dari tidur dan didapati Tom tidak berada di sisinya, dia akan bangun dan mencarinya. Jurina takut Tom akan menghilangkan diri sekali lagi.
”Tommm..” Panggil Jurina perlahan. Tubuhnya masih lagi tidak bermaya namun digagahkan juga untuk bangkit. Tom cepat-cepat mendekati Jurina.
”Jangan bangun, Tom masak tadi. Kejap lagi Tom datang balik ok.” Pujuk Tom dengan lembut. Jurina mengangguk.
”Jangan pergi tempat lain tau..” Ujar Jurina bimbang. Tom menarik selimut Jurina semula. Tidak lama, Jurina sudah terlena semula. Tom tersenyum sendiri. Manja betul budak ni..
Masuk hari ketiga, demam Jurina sudah agak kebah. Tom menarik nafas lega. Dia amat bimbangkan keadaan Jurina ketika dia masih lagi sakit. Jurina asyik meracau memanggil-manggil nama Tom dan abangnya berselang-seli. Kadangkala dia akan menangis teresak-esak ketika sedang tidur menyebabkan Tom terpaksa mengejutkannya. Sebaik sahaja dia terjaga, pasti dia akan memeluk Tom sambil menangis. Hati Tom sayu melihat keadaan Jurina yang tidak stabil. Lebih teruk dari keadaannya apabila Jurina meratapi kematian abangnya. Untuk dia meminta Jurina menceritakan perkara sebenarnya mengapa dia begitu bersedih hati, dia tahu sekarang bukan masa yang sesuai. Tom tahu, pasti ada sesuatu yang terjadi padanya sehingga semangatnya menjadi lemah semula.
Jurina turun dengan berkelubung selimut dan duduk di sofa ketika Tom sedang memasakkan bubur untuknya. Tom menjenguk dari dapur.
”Kenapa turun?” Tanya Tom.
”Bosanlah asyik duduk kat bilik je. Nak tengok tv.” Ujar Jurina sambil menekan alat kawalan jauh untuk mencari siaran menarik. Tom datang dengan membawa semangkuk bubur dan ubat.
”Makan dulu, kemudian makan ubat ni.”
”Tak ada makanan lain ke? Asyik bubur je, nak KFC..” Tom mengetuk kepala Jurina perlahan. Ada hati mahu makan KFC walaupun belum baik sepenuhnya. Jurina mengaduh. Mulutnya memuncung. Tom meniup bubur yang masih panas itu sebelum menyuapkan ke mulut Jurina. Sudah tiga hari Jurina makan bersuap. Bukan dia yang mahu, Tom sendiri yang sukarela mahu menyuapkannya. Jurina apa lagi, sudah ada yang mahu memanjakannya lagi mahu ditolak. Inilah nikmat dunia. Bermanja pada yang sudi.
”Nanti nak makan benda lain boleh tak? Orang dah baiklah..” Sejak Jurina demam, mereka sudah menghilangkan perkataan aku dan kau. Kini Jurina lebih selesa menggunakan perkataan ’orang’ atau ’Jerry’. Begitu juga dengan Tom. Dia akan menggelarkan dirinya Tom dan tiada lagi beraku dan berengkau di antara mereka. Perkara ini juga sudah dipersetujui antara dua kedua-dua pihak.
”Erm..nak makan apa?”
”Nak makan nasi betul, tak nak makan bubur dah.” Tom mengangguk faham.
”Ok, nanti Tom masak sedap-sedap ye. Sekarang makan bubur ni dulu.” Jurina dan Tom sama-sama tersenyum.
”Awak pergi mana Tom? Kenapa tinggalkan orang?”
”Erm..bercuti..” Ujar Tom serba salah.
”Bercuti???” Bulat mata Jurina mendengar penjelasan Tom.
”Ya.. sebab...dulu...kan..kita..” Tersekat-sekat Tom mahu memberi penjelasan.
”Sampai hati..bercuti ke mana?”
“Pulau Tioman, ikut jiran kita pergi bercuti.”
”Apa??” Ternganga mulut Jurina. Pulau Tioman??
”Ye, saya tahu saya melampau. Tapi manalah saya tahu awak nak sakit. Kalau saya tahu awak nak sakit, tak adanya saya nak tinggalkan awak.” Mulut Jurina muncung.
”Sorry, betul..betul.. lepas ni Tom tak tinggal Jerry dah.”
”Yelah, lain kali janji tau jangan tinggal Jerry macam tu tanpa berita. Lain kali bagi note. Taklah orang tercari-cari.”
”Ok boss!” Mereka berdua terdiam. Mata masing-masing melekat di kaca tv.
”Jerry..” Tiba-tiba Tom bersuara perlahan. Tangannya masih menyudukan bubur ke mulut Jurina.
”Erm..” Mata Jurina masih terpaku di kaca televisyen.
”Apa yang terjadi sebenarnya?” Jurina menoleh.
”Jadi apa?” Tom menarik nafas panjang.
”Saya tahu, mesti ada sesuatu yang terjadi sampai awak jadi seteruk ini.” Giliran Jurina pula menarik nafas panjang.
”Sebenarnya, ini semua sebab Omar.”
”Omar?” Tom menaikkan sebelah keningnya. Jurina mengangguk.
”Dia hina orang depan khalayak ramai sebab tak mahu buatkan assignment dia. Orang sedih tau.”
”Dia hina awak?” Jurina mengangguk lagi.
”Dia kata apa?”
”Dia kata..” Jurina menarik nafas panjang. ”Hei perempuan! Kau ingat kau tu cantik sangat ke sampai aku kena merayu-rayu dengan kau ni. Muka kau ni, satu sen pun tak laku tahu tak! Kalau aku tak kutip kau jadi makwe aku, Mat bangla tu je yang sanggup ambil kau jadi makwe dia. Kau sedar diri tu sikit. Muka kau ni langsung tak layak nak bergandingan dengan aku. Setakat muka kau yang macam kucing tersepit kerusi ni, buat malu aku je nak kenalkan dengan member. Buat kena caci orang je. Blahlah kau! Perasan cantik! ingat aku suka kau betul-betul ke? Jangan haraplah! Setakat muka kau ni melambaklah tepi jalan! Muka macam kau ni layak jadi pengelap kaki aku je tau tak!” Tercetus ketawa Tom apabila mendengar Jurina mengulangi kata-kata Omar. Kucing tersepit kerusi?? Hahaha... Jurina membulatkan mata.
”Tommm!!! Sampai hati gelak!” Sampai berair mata Tom menggelakkan kata-kata Omar itu membuatkan Jurina sakit hati.
”Tak naklah kawan macam ni. Penat je orang cerita. Alih-alih kena gelak!” Jurina membuat muka masam. Tom mengelap air matanya dan cuba menghentikan tawanya yang masih bersisa.
”Ok..ok.. Hahaha..”
”Tom!!!!” Jurina mencekak pinggang.
”Please.. itulah cacian paling kelakar sekali pernah Tom dengar tahu tak!” Jurina sudah memuncung.
”Tapi orang malu tahu tak, kena hina macam tu sekali depan orang ramai.” Tom menongkat kepala dan bersandar di kepala sofa sambil menghadap Jurina.  Tom mencuit hidung Jurina yang sedang cemberut.
”Hei.. ” Jurina menoleh. ”Buat dia menyesal sebab malukan awak, Jerry.” Tom memberikan pendapat.
”Tapi, macam mana?” Jurina seakan berminat dengan rancangan membalas dendam itu. Dia turut sama menongkat kepala dan duduk bertentangan dengan Tom. Tom membuat mimik muka seperti berfikir.
”Awak tahu, awak dah buatkan semua assignment dia untuk semester ni?”
”Mana tahu?”
”Erm...Tahulah.”
”Jadi, kenapa pun kalau semua assignment tu orang yang buat?” Jurina mengerutkan dahi.
“Apa akan jadi kalau semua assignment dia tu kena buat semula.” Jurina mula berfikir. Tapi dia masih lagi tidak dapat menangkap rancangan Tom yang sebenarnya.
”Nak mampus, bukan senang tahu nak buat. Orang ni pun macam nak pecah kepala fikir dalam masa beberapa minggu, ni kan pula kalau ada masa beberapa hari je. Exam pun nak dekat dah. Kalau nak kena buat semula memang cari nahaslah. Tapi.. apa kena mengenanya dengan rancangan balas dendam kita ni?”
”Well...” Tiba-tiba Jurina seperti dapat menangkap idea Tom yang sebenarnya.
”Hah! Jerry faham. Kita buatkan semua pensyarah tahu yang selama ni bukan Omar yang buat semua assignment tu! Hahaha! Syabas mere bete!”
”Ha! Faham pun.”
”Tapi.. macam mana nak buatkan semua pensyarah tu percaya Jerry yang buat semua tu. Mesti kena ada bukti.”
”Bukti? Erm..masalah juga tu. Jerry pernah bagi soft copy tak semua assignment tu?” Jurina menggeleng.
”Tak sebab selalunya pensyarah nak hard copy je.”
“Tu pun dah boleh dijadikan bukti. Tunjukkan semua soft copy tu pada mereka dan suruh mereka minta soft copy dari Omar jika mereka tidak percaya.”
”Huihh.. pandainya! Esok juga Jerry pergi!” Ujar Jurina penuh semangat.
”Duduk dulu, habiskan bubur ni dan makan ubat. Lepas tu pergi tidur. Esok banyak kerja kita nak buat.” Jurina tersenyum.
”Yess boss!!”
Keesokannya Jerry membuat seperti apa yang dirancang. Sanggup dia menapak dari satu bilik ke satu bilik untuk berjumpa dengan semua pensyarah Omar semester ini. Sakit hati punya pasal, dia sanggup melakukan apa sahaja janji tidak memudaratkan diri Omar. Diterangkan dengan penuh keyakinan dan bukti-bukti yang kukuh bagi memastikan pensyarah-pensyarah itu percaya dengan kata-katanya. Akhirnya dia berjaya. Semua pensyarah itu berjanji akan menyiasat perkara sebenar. Jika didapati benar, mereka tidak teragak-agak akan memberi hukuman kepada Omar. Hatinya sangat girang. Jika dia tidak memalukan Jurina di khalayak ramai, tidak mungkin dia akan memulakan operasi membalas dendam ini. Siapa suruh menjolok sarang tebuan, memang sakit akibatnya selepas itu!
”Sudah?” Tom yang menunggu di luar bilik pensyarah bertanya. Sengaja Jurina tidak membenarkan Tom turut serta dalam perbincangan mereka kerana dia mahu berusaha sendiri. Dia tidak mahu kehadiran Tom membuatkan dia sebak atau pun menganggu konsentrasi ketika sesi meluahkan perasaan itu.
Jurina tersenyum lebar sambil mengangguk. Tom turut tersenyum.
”That’s my girl.” Jurina seperti tersentak dan memandang Tom dengan pandangan pelik.
”Kenapa?” Jurina menggeleng mendengar pertanyaan Tom. Tom memeluk bahu Jurina dan berjalan beriringan menuju ke kereta.
”Tahu tak, orang rasa lega sangat-sangat sebab dapat luahkan apa yang orang simpan selama ni.” Ujar Jurina ketika mereka sudah berada di dalam kereta.
”Awak menangis ke?”
”Hurm.. saya teremosi sikit masa saya luahkan perasaan dengan Prof. Sufiah tadi.”
”Apa yang awak cerita sampai awak menangis ni?”
”Saya ceritalah, saya dah insaf. Dulu saya ikutkan sangat perasaan jiwa muda saya. Bila boyfriend cakap apa semua nak ikut. Sebab tu saya nak Omar insaf dan tak nak dia terus hanyut. Sebab tu juga saya suruh mereka beri semula tugasan pada dia.”
”Bagus, itulah balas dendam yang terbaik sekali. Kita bukan sahaja dapat puaskan hati kita, kita juga dapat ajar dia supaya berusaha lebih. Jangan nak ambil jalan pintas je.” Jurina mengangguk.
”Kita pun dah berusaha, selebihnya kita serahkan pada yang pakar. Tapi kalau Omar buat sesuatu kat orang macam mana?” Jurina meluahkan kebimbangannya.
”Saya ada, saya akan lindungi awak selagi boleh. Jangan risau.” Jurina menarik nafas. Bukan dia tidak percayakan keupayaan Tom, namun dia tetap juga risau. Takut jika diapa-apakan oleh Omar ketika Tom tiada seperti hari itu.
Dont worry...trust me!” Tom menyentuh hidung Jurina membuatkan Jurina tersenyum.
”Okey..”
***** 
”Jurina!! Jurina!!!!” Laung Omar dari jauh. Ketika itu Jurina baru keluar dari dewan kuliah.
”Rileks, tunggu je dia datang. Jangan lari.” Tom menasihatkannya ketika wajah Jurina berubah ketakutan melihat Omar datang kepadanya dengan wajah yang marah. Omar semakin mendekatinya, kaki Jurina melangkah ke belakang sedikit demi sedikit.
”Apa pun yang terjadi, hadapi! Jangan lari!” Tom cuba memberi kata-kata semangat  pada Jurina. Jurina mengangguk perlahan walaupun sebenarnya debaran di hati hanya dia seorang yang tahu.
”Apa kau beritahu semua lecturer pasal assignment aku!” Tiada lagi perkataan sayang pada tiap patah perkataan yang dituturkan, berganti dengan kau dan aku. Huh! Masa nak mempergunakan aku, bukan main lagi sayang-sayang. Bila dah tak perlu, aku dan kau je yang aku terima. Teruk betul!
”Apa?” Jurina berpura-pura tidak mengerti.
”Kau jangan nak berpura-pura dengan aku! Aku tahu semua ni angkara kau. Kalau tak, takkan semua lecturer suruh aku buat semula semua assignment yang aku suruh kau buat dulu. Kau ni memang perempuan sial kau tahu tak! Menyesal aku jadikan kau awek aku. Satu sen pun tak guna!”
”Aku rasa aku lagi malang sebab kau pernah jadi boyfriend aku.” Ujar Jurina tenang. Dia berpusing mahu melangkah pergi namun Omar menarik lengannya. Dia masih lagi tidak berpuas hati.
”Hei perempuan bodoh, kau jangan ingat kau akan terlepas lepas kau buat semua ni pada aku! Kau akan terima akibatnya, aku akan pastikan kau akan menyesal!”
”Apa yang kau boleh buat? Apa, kau ingat aku ni bendul sangat nak lepaskan kau lepas kau hina aku dengan mulut busuk kau tu!” Omar tidak dapat menahan marah, tangannya sudah dinaikkan dan sedikit lagi mahu mengenai muka Jurina. Tom sudah mendekat untuk menghalang Omar dari memukul Jurina tapi..
”Kau nak pukul aku? Kau nak pukul aku??? Apa hak kau nak pukul aku! Kalau betul kau pukul aku tadi, memang kau jantan paling tak berguna sekali dalam dunia ni sebab kau hanya tahu mempergunakan perempuan. Malang siapa yang jadi makwe kau sebab kau ni memang tak guna satu sen pun! Hidup hanya mahu menyusahkan perempuan!!!” Tengking Jurina sebelum dia berlalu pergi. Omar terpaku mendengar tengkingan Jurina dan hanya melihat sahaja dia berlalu pergi. Omar melihat keadaan sekeliling, kedengaran bisikan-bisikan dan pandangan yang memberi isyarat bahawa mereka merasa jelik dengan perlakuan Omar apabila mendengar kata-kata Jurina tadi. Omar meraup wajahnya sebelum dia sendiri berlalu dari situ dengan perasaan malu.
Di dalam kereta, Jurina mula menangis. Sebenarnya dia sangat berdebar ketika Omar mahu menamparnya tadi.
”Hei, kenapa menangis ni?” Tom bertanya pelik.
”Sob..Sobb.. Tahu.. tak.. orang takut..sangat..tadi.. Kenapa ..tak selamatkan..orang!” Ujar Jurina dengan teresak-esak. Tom tergelak kecil.
”Awak tahu tak, tadi awak sangat.. awesomeee!!!” Tom menunjukkan kedua-dua ibu jarinya pada Jurina.
”Awesome.. apa! Tahu tak jantung ..orang macam.. nak tercabut ni.” Tom tersenyum.
”Hei, that’s my girl. Give me five!” Tom mengunjukkan tangannya pada Jurina. Jurina membalas dengan senyuman kepuasan.
”Saya tahu awak boleh pertahankan diri awak, sebab tu saya tak risaukan awak dah. Awak dah berani, kalau saya tak ada awak boleh berdikari sendiri.” Jurina menoleh.
”Apa maksud Tom?” Cepat-cepat Tom menggelengkan kepala.
”Tak ada apa-apa. Jom balik.” Tom terus menukar topik membuatkan Jurina tidak jadi untuk bertanya dengan lebih lanjut. Apa maksud Tom tadi?


0 comments: