CLICK HERE FOR BLOGGER TEMPLATES AND MYSPACE LAYOUTS

Monday, October 2, 2017

Percaya Padaku 9

Jurina hanya memerhatikan sahaja telatah Tom yang sedang membetulkan kedudukan perabot yang sengaja diubah oleh Jurina ketika Tom sedang sibuk di dapur tadi. Sebenarnya sudah lama dia memerhatikan, kali ini sengaja dia mahu memastikan yang sangkaannya adalah betul. Tom adalah seorang yang sangat teratur, pembersih dan sangat teliti. Jurina perasan apabila suatu hari dia dengan tidak sengaja teralih gelas di atas rak. Apabila dia masuk semula, dia perasan gelas itu telah kembali semula seperti mana sebelum dia teralih tadi. Itu satu, ada satu ketika, dia melihat Tom membetulkan kedudukan pasu bunga yang senget dari kedudukannya. Esoknya dengan sengaja Jurina mengubah semula pasu tersebut supaya senget seperti semalam. Balik dari kuliah, pasu itu sudah dibetulkan semula. Sejak Tom hadir dalam hidupnya juga, dapurnya sentiasa bersih walaupun dapur tersebut selalu digunakan oleh Tom.
”Tom, awak ni telitikan.” Tom menoleh. Dia tersenyum.
”Saya pun tak tahu, kalau ada yang tak betul macam biasa tu, rasa macam digaru-garu je hati ni nak betulkan balik.”
”Habis tu, kenapa awak tak pernah tukar baju awak tu. Asyik pakai sweater orange grey tu je.” Tom menelek baju yang dipakainya.
”Baju ni selesa. Lagipun mana boleh saya pakai baju lain. Karang orang lain terkejut tengok baju bergerak.”
”Ha’ah ek, saya lupa pula awak ni halimunan.”
”Dah, pergi tidur. Esok ada kuliahkan? Awak tu dahlah tidur mati. Bom kat sebelah pun tak sedar.” Jurina tersengih. Malu apabila diperli.
”Yelah, tapi awak jangan pergi mana-mana tau.” Memang itu yang akan dipesannya setiap malam sebelum tidur. Takut sangat Jurina jika Tom meninggalkannya lagi.
”Iye..risau sangat.” Jurina tersenyum. ”Good night.” Ungkap Jurina sebelum dia berlalu naik.
”Good night..” Tom membalas. Setelah memastikan Jurina sudah betul-betul masuk ke dalam bilik, Tom mematikan semua lampu dengan satu petikan di jari. Dia duduk di satu sudut dan mula membaca buku. Kelebihan menjadi ’orang ghaib’ digunakan sepenuhnya. Dia boleh membaca dalam gelap, boleh ke mana sahaja dalam sekelip mata, boleh ’mengintai’ Jurina ketika sedang mandi (ini rahsia, teruk dikenakan oleh Jurina jika diketahui.)
Ketika sedang asyik membaca buku, tiba-tiba Tom terdengar bunyi pelik di luar rumah. Dia terus menghilangkan diri dan muncul semula di luar rumah. Seorang lelaki berpakaian serba hitam mahu memecah masuk ke dalam rumah Jurina. Tom menghilangkan diri semula dan muncul di bilik Jurina.
”Jerry..” Kejut Tom dengan perlahan. Tidak mahu membuatkan Jurina terkejut. Jurina bangun sambil mengusap-usap matanya. Dia cuba membuka lampu tapi ditegah oleh Tom.
”Kenapa?” Jurina bertanya pelik.
”Ada pencuri kat luar, telefon polis sekarang.” Jurina panik dan hampir menjerit.
”Ada pencuri?”
”Shh.. jangan bising. Nanti perompak tu lari. Telefon sekarang.” Tom mengarah. Dia sudah bangun dan mahu beredar dari situ.
”Nak pergi mana tu? Orang takut.” Tom duduk semula.
”Jangan risau, telefon polis dan duduk sini diam-diam. Jangan buat sebarang bunyi. Pegang kayu ni buat pelindung kalau takut.”
”Tapi..” Namun Tom sudah bersedia untuk menjalankan rancangannya. Dia mematahkan-matahkan jarinya sehingga berbunyi.
”Showtime!” Terus dia menghilang tanpa sempat Jurina berkata apa-apa. Cepat-cepat Jurina menelefon polis dan kemudian menyorok di bawah katil dengan memegang kayu.
Sementara itu, Tom sudah bersedia menerima tetamu tidak diundang di hadapan pintu. Berpeluh-peluh pencuri itu cuba membuka pintu. Tom menunggu dengan sabar. Sebaik sahaja pencuri itu masuk, Tom mengunci semula pintu tersebut dan membuat seperti ada angin yang menolak pintu tersebut. Pencuri tersebut mula panik. Walaupun begitu, dia masih cuba mencuri barang-barang berharga di dalam rumah Jurina. Tom hanya memerhatikan sahaja tanpa membuat apa-apa tindakan. Pencuri itu membuatkan Tom tergelak apabila terkial-kial mahu merompak televisyen yang lebih besar dari dirinya itu. Perompak bangang! Macam mana nak bawa benda-benda besar kalau diri sendiri pun sekeping. Curi  jelah barang yang senang nak bawak. Bukan kau bawa lori nak angkut semua.
Apabila Tom melihat pencuri itu mahu naik ke atas, Tom mula bertindak. Dia cuba menghalang pencuri itu supaya tidak dapat mencari tangga atau jalan keluar. Tom membuatkan pencuri itu berjalan di tempat yang sama dari tadi. Sekejap-sekejap pencuri itu menggaru kepalanya. Mungkin dia pelik, tadi seperti dia menuju ke tempat lain, tetapi mengapa dia masih lagi di tempat yang sama.
”Lah, mana sih tangganya. Tadi sepertinya di sini, kok jadi lain. Apa..tempat ini berhantu. Ihh... seram aku.”
”Mana sih pintunya, gue mahu keluarrrr!”  Pencuri itu sudah berpeluh-peluh. Tom hanya menggelakkan tingkah pencuri itu yang sudah menggelabah.
”Aduh... aduh.. kok masih bingung deh aku!”
Polis tiba-tiba menyerbu masuk ke rumah Jurina. Pencuri itu melutut dengan sendiri.
”Tolong Pak, bawa saya keluar dari sini. Saya mahu keluar, saya mahu keluar. Tolong tangkap saya Pak! Saya mahu keluar!! Tempat ini angker!!” Kata pencuri itu dalam keadaan terketar-ketar.
Pegawai polis yang sedang mengacukan pistol di hadapan pencuri itu terpinga-pinga dan memandang satu sama lain sebelum memberkasnya. Tom mengarahkan Jurina turun supaya senang pihak polis membuat siasatan. Semasa polis itu sedang menyoal siasat, Tom menghampiri pencuri yang sedang kumat-kamit seorang diri di dalam kereta. Sengaja dia menghembuskan angin ke arah pencuri itu membuatkan pencuri itu menggigil ketakutan sambil menutup matanya rapat-rapat. Tom tergelak guling-guling nelihat pencuri itu berpeluh-peluh menahan ketakutan.
”Tolong Pak! Cepat bawa saya ke kantor polisi! Saya sudah enggak tahan dikacau aja dari tadi. Cepetan Pak!” Polis yang berada di tempat memandu menggaru-garu kepalanya dan merasa pelik, tidak pernah dalam sejarahnya seorang pesalah minta cepat-cepat di bawa ke balai polis. Ini sudah kes terbalik. Pegawai polis itu terus memasukkan gear dan berlalu pergi dari situ walaupun dia masih kehairanan. Sempat Tom melambai-lambaikan tangannya pada pencuri itu walaupun dia tahu pencuri itu bukan boleh melihatnya.
”Seronoknya kenakan orang!” Ujar Jurina dari belakang. Tom menoleh sambil tersengih.
”Apa Tom buat pada dia sampai dia jadi takut sangat macam tu?” Jurina bercakap perlahan, tidak mahu membuatkan pegawai polis yang masih ada di halaman rumahnya merasa pelik melihatnya bercakap sendirian.
The best part to be a ghost.” Tom tersengih lagi. Jurina menggelengkan kepala sebelum berlalu kerana dipanggil oleh pegawai polis yang menyoal siasatnya tadi.
***** 
Tom masih memerhatikan Jurina yang sedang nyenyak tidur. Sejak kejadian rumah mereka dimasuki pencuri itu, Jurina menyuruh Tom menemaninya tidur dan tidak membenarkannya ke mana-mana pun. Tom terpaksa menurut kerana Jurina hanya akan tidur jika dia duduk disebelahnya. Jika Tom tidak mahu, Jurina akan merengek-rengek sehinggalah Tom bersetuju. Nak tak nak, memang Tom perlu mengikuti kehendak Jurina yang akan membuat mimik muka kucing Shrek jika permintaannya tidak dipenuhi. Berat hatinya melihat Jurina menangis lagi dan Jurina seperti tahu untuk menggunakan kelemahannya itu.
Dia teringat, waktu itu..
”Abang...” Tom yang sedang berdiri di hadapan bilik mayat menoleh apabila mendengar suara sayu itu. Dilihatnya, seorang perempuan sedang menangis dan menggigil sambil memanggil abangnya. Di sisinya, seorang perempuan yang mungkin sebaya dengannya sedang memeluknya erat sambil memberinya kekuatan. Tom mengekorinya. Pegawai polis yang mengiringi mereka membuka sebuah peti dan menarik tray. Dihalang kawannya dari mengikutinya apabila dia mahu membuka kain putih yang menyelimuti tubuh mayat dihadapannya. Tom masih mengekori, hatinya tertanya-tanya, siapakah orang yang mahu dilihatnya itu. Sewaktu perempuan itu  membuka kain penutup itu, dia terus rebah. Tindakan refleksi Tom membuatkan dia mahu menyambut tubuh perempuan itu dari jatuh ke tanah namun anehnya tubuh itu tembus dari tangannya. Mujur pegawai polis itu sempat menahannya dari jatuh. Tom memandang kedua-dua tangannya dan memandang perempuan itu berulang-ulang kali. Tom cuba menyentuh tubuh pegawai polis itu namun masih dapat ditembusi. Tom menyentuh pipinya, tidak terasa apa-apa. Tom bersuara, cuba memanggil pegawai polis itu namun pegawai polis itu langsung tidak menoleh ke arahnya. Sudah matikah dia? Tom keluar dari bilik mayat itu dengan rasa tidak percaya. Tubuhnya menggeletar hebat. Dia melutut sambil melihat tangannya. Aku sudah mati.. Aku sudah mati... Aku masih tidak mahu mati, aku mahu hidup...Tidakkkkkkkkkkk!!!
Tom meraup mukanya. Dia tidak tahu mahu berbuat apa-apa lagi. Tiba-tiba dia terpandangkan perempuan tadi sedang menangis di kerusi panjang. Dia menghampiri.
“Abang, sampai hati abang tinggalkan Adik”
”Abang? Aku abang dia? Kalau tak, kenapa aku hanya fokus pada perempuan ini dan langsung tidak perasan orang lain dari tadi?” Tom duduk di sebelah perempuan itu sambil memerhatikannya. Kenapa hatinya merasa sedih melihat dia menangis begini. Adakah dia adikku?

“Abang, sampai hati abang tinggalkan Adik” Sayu perempuan itu berkata. Tom cuba mengusap pipi perempuan itu yang sudah basah dengan air mata. Mungkin aku ada hubungan dengannya, jika tidak kenapa hati aku ni rasa sedih melihatnya menangis. Tom mengekori langkah perempuan itu dan temannya sehingga mereka sampai ke rumah. Hatinya tidak dapat menahan sedih apabila perempuan yang sering dipanggil Adik dan Jurina itu asyik meratapi pemergian abangnya. Dia melihat gambar yang dikatakan abangnya itu, namun dia sendiri tidak mampu mengingati paras wajahnya, bagaimana dia mahu mengesahkan bahawa dialah abang kepada Jurina. Melihat keadaan Jurina yang agak teruk itu membuatkan dia terpanggil untuk membantunya. Malah dia yakin yang sebenarnya dia mempunyai hubungan dengan Jurina iaitu abangnya. Kerana itu, dia memunculkan dirinya di hadapan Jurina, demi membantunya pulih. Sebab itu juga dia tidak mahu berganjak apabila Jurina mahu menghalaunya dahulu. Kerana dia mahu menemani Jurina, melindungi Jurina dari kesedihan.

0 comments: