CLICK HERE FOR BLOGGER TEMPLATES AND MYSPACE LAYOUTS

Monday, October 2, 2017

Percaya Padaku 11

Tanpa pengetahuan Jurina, sebenarnya Tom melawat tubuhnya setiap hari ketika Jurina sedang tidur. Dapat dia melihat, wanita yang dilihatnya hari itu setia menunggu tubuhnya setiap hari. Pernah dia cuba untuk masuk semula ke dalam tubuhnya namun tidak berjaya. Mereka masih terpisah. Dia hanya akan pulang apabila waktu hampir pagi untuk mengelakkan Jurina mencarinya apabila dia membuka mata. Tom memerhatikan Jurina yang sedang nyenyak tidur. Malam ini dia tidak merasa mahu pergi ke hospital untuk menjenguk tubuhnya. Lama dia merenung wajah Jurina. Kemudian dia bangun dan berdiri di hadapan tingkap.
”Good morning..” Tanpa sedar, sehingga ke pagi dia berdiri di situ. Jurina menggeliatkan badan dan masih bermalas-malas di atas katil. Tom menoleh.
”Morning princess...” Jurina tersenyum.
”Tom buat apa berdiri kat tepi tingkap tu?” Tanya Jurina dengan suara yang masih serak-serak. Tom hanya menggeleng sambil tersenyum.
”Dah, bangun. Pergi sembahyang.” Jurina pun bangkit dari katil dan menuju ke bilik air apabila mendengar arahan Tom. Hatinya bahagia apabila dapat melihat lagi wajah Tom pagi ini. Seperti biasa, Tom menyiapkan sarapan untuk Jurina dan sibuk memasak di dapur. Sementara itu dihospital....
”Saya harap Encik Akram dan Puan Maria dapat bertenang dan dapat menerima takdir ini seadanya. Kita akan hentikan mesin hayat anak Puan tepat pukul lapan pagi.” Kata-kata doktor itu membuatkan Puan Maria menangis tersedu-sedu. Berat hatinya mahu melepaskan anak kesayangannya pergi begitu sahaja dan di depan matanya. Mahu sahaja dia menarik semula persetujuan yang telah ditandatanganinya semalam. Encik Akram mengusap-usap bahu Puan Maria untuk menenangkannya walaupun hatinya sendiri dipagut sendu. Dia sendiri tidak tegar melihat anaknya mati di hadapan mereka. Mereka ibu bapanya, sepatutnya mereka pergi dahulu daripada anak mereka itu. Ini tidak, sebaliknya anak mereka mati di tangan mereka. Namun apakan daya, dari menyeksanya baiklah merelakan sahaja pemergiannya. Keluarga mana yang tegar melepaskan pemergiaan anak mereka sendiri.
”Ya tak sanggup bang.. Akhil nak pergi tinggalkan kita.” Puan Maria menangis teresak-esak di bahu suaminya.
”Kita kena redhakan pemergiaannya Ya.. Dah lama dia menderita sebab kita tak benarkan dia pergi. Biarlah, kalau betul dah sampai ajal dia, kita sebagai ibu bapa kena relakan. Biar dia tenang kat sana. Jangan macam ni sayang.. Kita kena fikirkan keadaan Akhil juga. Walaupun kita sayangkan dia sepenuh jiwa pun tapi kita tak patut menyeksa dia. Setahun kita tunggu, nampaknya memang tak ada harapan. Kita lepaskan dia ye..” Air mata Encik Akram turut mengalir. Dia sendiri tak dapat menahan kesedihan di hatinya.
”Ya sayang dia bang..”
”Abang pun.. kita doakan yang terbaik untuk dia ye, sayang...” Akhirnya Puan Maria mengangguk apabila dipujuk suaminya itu. Jam hampir menunjukkan pukul lapan pagi. Hati mereka berdua berdegup kencang. Sudah sampai masanya mereka menyaksikan pemergian anak kesayangan mereka itu. Doktor melakukan beberapa prosedur terlebih dahulu. Mereka berdua memerhatikan dengan penuh debaran. Air mata keduanya sudah berjuraian. Puan Maria memanggil nama Akhil beberapa kali.
”Akhillll....Akhil anak ibu... Akhil anak ibu..” Rintih Puan Maria beberapa kali.
Tom yang sedang meletakkan sarapan untuk Jurina di atas meja terasa seperti seseorang memanggilnya. Tom dapat merasakan sesuatu. Belum sempat dia hendak berlalu, Jurina muncul dengan wajah ceria.
”Sedapnya, dari atas dah bau.” Jurina terus mencapai pinggannya dan makan dengan berselera. Tom pula masih tercegat di situ. Hatinya seperti ditarik-tarik ke sesuatu tempat.
”Jerry, kejap ye. Tom ada benda nak kena buat.”
”Ok!” Ujar Jurina tanpa rasa sangsi. Tom terus menghilangkan diri dan menuju ke tempat namanya di seru.
”Akhilll...” Tom melihat wanita itu menangis sambil dipeluk oleh seorang lelaki. Dia melihat pula pada tubuhnya. Doktor dan beberapa orang nurse seperti mahu memutuskan mesin hayat yang disambungkan ke tubuhnya. Tom menjerit....
”Jangannnnnnnnnnnnnnnnnn................” Serentak dengan itu, mesin tersebut telah dimatikan oleh doktor. Tom terasa tubuhnya ditarik masuk.
”Arggggghhhh....” Akhil menjerit kuat dengan mata terbeliak dan bangun dari pembaringannya setelah setahun dia berada di dalam keadaan koma. Kemudian dia terbaring semula. Semua yang ada di situ juga turut terkejut dengan tindakbalas dari Akhil setelah mesin hayatnya dimatikan. Doktor dan nurse cepat-cepat memeriksa keadaan Akhil. Keajaiban terjadi dan Akhil hidup semula. Ibu dan bapanya masih tercengang dan terkejut dengan kejutan yang mereka terima tadi. Puan Maria mendekati Akhil. Jika tadi dia menangis kerana terlalu sedih, kali ini dia menangis kerana terlalu gembira.
”Tahniah Puan, anak Puan sudah kembali. Kami akan membuat pemeriksaan lanjut sebentar lagi.” Puan Maria dan Encik Akram memandang Akhil seperti tidak percaya. Akhil memandang ibunya.
”Ibu....Ayah..” Puan Maria menangis lagi. Dia mencium dahi dan pipi anaknya berkali-kali. Encik Akram juga memeluk Akhil dengan erat. Air mata mereka sudah bertukar menjadi air mata kegembiraan. Beberapa kali mereka bersyukur ke hadrat illahi kerana telah mengabulkan permintaan mereka.
Sementara itu, setelah merasakan Tom pergi terlalu lama, Jurina memanggilnya beberapa kali.
”Tom!!”
”Tom... Awak kat mana??”
”Tom...” Jurina sudah mula panik setelah beberapa kali Tom tidak menyahut panggilannya. Selalunya dua kali sahaja, Tom sudah menunjukkan muka. Jurina berlari ke tingkat atas. Dia mencari di segenap ruang yang ada. Apabila tiada di atas, dia turun pula dan mencari sehingga ke laman rumah. Juga tiada. Hatinya merasa sakit hati dan sedih. Sakit hati kerana Tom pergi tanpa meninggalkan sebarang pesan. Sedih kerana Tom benar-benar meninggalkannya.
”Tom...” Jurina memanggil Tom dengan nada sendu. Dia mengusap pipinya yang sudah bergenang dengan air mata dari tadi. Jurina sudah terjelepok di lantai. Di satu sudut, ada seseorang yang sedang menangisi kedatangan semula anaknya dan di satu sudut, ada seseorang menangis kerana kehilangannya.
******           
Setahun kemudian...
Jurina menghadap televisyen sendirian. Di tangannya semangkuk besar ais krim kegemarannya yang selalu disediakan oleh Tom. Dia menonton siri kartun Tom and Jerry dengan linangan air mata. Sepatutnya kartun itu kelakar tapi entah kenapa hatinya langsung tidak digeletek melihat episod kejar mengejar antara Tom dengan Jerry.
”Kenapa Tom tinggalkan Jerry, Tomkan dah janji akan balik semula. Ini dah hampir setahun, tak balik-balik pun. Tom tipu!!” Air mata Jurina mengalir dan masuk ke dalam mangkuk ais krim yang dipegangnya.
”Sekurang-kurangnya, pulangkanlah dulu album dengan kain pelikat tu!” Ngomel Jurina lagi dalam tangisan.
***** 
”Haha...Hahhaaaa.... Bongok punya Tom, asyik kena je dengan Jerry tu. Badan je besar, otak kecik! Jerry!!!!Meh lah tengok Tom and Jerry ni!” Akhil menjerit. Kemudian dia mengerutkan dahi, aku panggil siapa? Lama dia berfikir tapi dia tidak mendapat jawapan. ”Ah..biarlah!” Desis hati kecilnya dan terus menumpukan perhatian semula pada siri kartun itu. Sudah setahun berlalu sejak dia bangun dari koma. Selama setahun itu jugalah dia membuat terapi untuk menguatkan otot-otot tubuhnya supaya dapat berfungsi semula seperti sebelum kemalangan. Selepas dia tersedar dari koma, kakinya langsung tidak dapat digerakkan. Tangannya juga tidak mampu memegang sebarang benda. Berkat kesabaran, akhirnya dia dapat berjalan dan memegang sebarang benda walaupun mengambil masa yang lama. Walaupun dia masih mengingati semua kejadian sebelum kemalangan, namun dia langsung tidak mengingati sebarang kejadian tentang kemalangan yang menimpanya itu. Dan lagi, dia tidak sedar yang sebenarnya, dia juga lupa akan sesuatu yang penting. Dia lupa tentang Jurina yang telah ditinggalkan sendirian. Dia langsung tidak mengingati kejadian yang berlaku semasa dia berada di dalam koma.

***** 
Sudah hampir dua tahun selepas ketiadaan Tom disisinya, kini Jurina sudah menerima hakikat yang Tom sememangnya khayalannya sahaja.
”Ju!!!” Natalia memekik dari seberang jalan memanggilnya Jurina yang baru turun dari keretanya. Jurina menoleh. Dia juga turut merasa teruja melihat kawan karibnya itu sudah pulang. Natalia melambai laju. Jurina turut sama melambai. Natalia memandang ke kiri dan kanan sebelum melintas jalan. Mereka berpelukan.
”Wow..kau dah makin ayu jelita aku tengok sekarang? Apa rahsia? Ada teman baru ke?” Natalia tergelak. Dulu dia sering mengejek dialog iklan tersebut. Baginya, jika semakin cantik, tak semestinya kerana ada teman baru.
”Well! Kau baru tahu ke aku cantik?” Natalia berpura-pura bergaya seperti model kereta. Jurina tergelak kecil. Perasan betullah minah ni.
”Dah. Perasan lebih. Mana mamat Australia yang kau janji nak bawa untuk aku?”
”Excuse me? Bila masa pula aku janji nak bawa mamat Australia untuk kau. Sorry sikit, kalau aku bawa pun confirm-confirmlah untuk aku. Barulah aku boleh menunjuk sikit kat kau.. Haha..”
“Ceh! Tak apa.. tak apa.. Aku tak bawa kau balik! Pergi naik teksi sendiri.” Jurina sengaja berpura-pura merajuk.
”Ala..Ala .. bucuk... Meh, aku nak tunjuk ole-ole untuk kau. Ish..tak sabar ni nak buat suprise untuk parents aku. Eh, cepatlah masuk kereta.” Jurina mencekak pinggang.
”Amboi, siapa yang patut bagi arahan sekarang!” Natalia tersengih.
”Ampunkan saya penunggu gua.. Ampunkan saya penunggu gua...”Natalia sengaja membuat suara Aziz Satar dan Samsudin di dalam cerita Nujum Pak Belalang untuk mengusik Jurina.
”Haha..Kau ni kalau tak buat lawak memang tak sah. Dah, jom balik.” Jurina membantu Natalia memasukkan bagasi ke dalam but kereta.
”Kau ni, naik kapal terbang ke naik lori tadi? Banyak betul barang!”
”Gila wei, aku ni tak tahu lagi bila nak sampai luar negara lagi. Masa nilah aku nak memborong sakan.”
”Aku tahu aku punya ole-ole mesti mahal dan cantik. Kalau setakat fridge magnet, aku tak nak!”
”Amboi, berkira betul. Eii.. Fridge magnet pun kira baik tau. Aku ingat nak belikan kau cincin yang orang buat tikam-tikam tu je tau! Banyak songeh!” Jurina menjelirkan lidah mendengar kata-kata Natalia. Sepanjang perjalanan, mereka berborak pelbagai topik. Terasa tidak habis topik untuk mereka ceritakan sehingga sampai ke rumah Natalia. Seperti yang dirancang, ibu bapa Natalia begitu terkejut sekali melihat kepulangan Natalia yang secara mengejut itu. Ibu Natalia sehingga menangis kerana terlalu gembira. Puas Natalia memujuk ibunya yang sememangnya sensitif itu. Tidak lama, Natalia mula mengeluarkan ole-ole yang dibawanya. Untuk ibunya, dia membelikan seutas gelang opal yang cantik. Untuk bapanya, dia menghadiahkan topi koboi dan baju t-shirt istimewa. Jurina menjerit apabila melihat patung koala dikeluarkan dari beg tarik Natalia. Dia memeluk Natalia gembira kerana sememangnya dia menginginkan patung itu dan setiap kali mereka berhubungan, Jurina tidak lupa memesan Natalia untuk membelikannya patung Koala untuknya. Natalia juga menunjukkan patung yang sama yang dibelikan untuk dirinya sendiri.
Jurina sudah berjanji untuk tidur di rumah Natalia malam ini. Baju juga sudah siap-siap di bawa. Sewaktu Jurina mengeluarkan pakaiannya, begnya dibiarkan terbuka. Natalia yang kebetulan mahu mencari barangnya ternampak buku nota di dalam beg tersebut. Dia mengambilnya dan membelek-belek buku nota itu. Oh, rupanya buku lakaran Jurina. Jurina memang pandai melukis, sejak dari kecil lagi dia memang gemar melukis di mana sahaja. Asal ada kertas dan pensil di tangan sahaja, pasti ada lukisan yang terhasil. Natalia menyelak-nyelak. Mula-mula gambar pemandangan biasa, kemudian banyak sekali potret seorang lelaki yang agak tampan. Natalia pelik, siapa lelaki ini? Sepanjang dia mengenali Jurina, dia mengenali semua lelaki yang dikenali Jurina. Jurina pasti akan menceritakan padanya jika dia mempunyai hati pada seseorang.
Jurina keluar dari bilik air, Natalia menoleh.
”Ju, siapa lelaki ni? Pakwe baru kau ye? Kau tak pernah kenalkan pada aku pun?”
”Tak ada siapa-siapalah!” Jurina buat endah tak endah sahaja pertanyaan Natalia dan terus mencapai sikat.
”Handsome tu Ju, kalau kau tak nak kat dia, kau bagi jelah kat aku, boleh?” Jurina menjeling. Dia mengambil semula buku nota yang dipegang Natalia tadi.
”Tak boleh! Lagipun dia ni bukannya wujud pun.” Jurina menyimpan semula buku nota tersebut ke dalam beg.
”Tipu, kalau tak wujud macam mana kau boleh lukis gambar dia sesempurna itu. Kan..Kan... Hai, sejak bila kau pandai berahsia dari aku ni! Baik kau cerita sekarang!” Natalia menunjukkan jari telunjuknya kepada Jurina.
”Tak ada apa-apa, betul ni.”
”Jangan nak tipu, kalau kau tipu....... aku tarik tuala kau ni!” Berlakulah adegan tarik menarik antara mereka. Mereka bergelak sepuas-puasnya. Lupa sudah persoalan Natalia tadi.
***** 
Malam itu, sebelum tidur mereka berborak lagi. Dari tadi mereka langsung tidak berhenti bercakap. Ada sahaja topik yang diutarakan. Tiba-tiba Natalia teringat lakaran potret yang dilukis Jurina di dalam buku notanya tadi.
”Ju, kau tak cerita lagi siapa lelaki yang kau lukis tu.” Tanya Natalia yang sudah memeluk bantal peluknya. Mereka berbaring terlentang sambil memerhatikan ’glow in the dark’ berbentuk bulan dan bintang yang mereka sama-sama pasang semasa berada di tingkatan lima lagi.
”Kalau aku cerita pun bukan kau percaya pun.”
”Ala, kau ceritalah dulu. Barulah aku tahu nak percaya ke tak. Kenapa kau cakap lelaki tu tak wujud?” Natalia mengiring menghadap Jurina yang mengira bintang-bintang di dinding.
”Kalau aku cerita ni, kau dengar je ok.. Percaya tak percaya lain cerita.” Natalia mengangguk.
“Ok.. Sebenarnya lelaki tu, aku tak tahulah kategori roh ke hantu..” Terbeliak mata Natalia memandang Jurina. Biar betul kawannya seorang ni boleh tengok hantu.
”Kenapa kau cakap macam tu? Kau nampak dia sebagai hantu ke?” Jurina mengangguk.
”Eh kau ni, seram akulah macam ni. Malam-malam ni kau jangan cerita macam-macam pula. Seriau aku macam ni.”
”Tu aku malas nak cerita, belum apa-apa lagi kau dah histeria. Malaslah aku cerita macam ni.” Natalia menggaru kepalanya yang tidak gatal.
 ”Yelah..yelah... Sambunglah cerita. Aku tak cakap apa-apa lagi.”
”Kau tahu tak, lepas abang aku meninggal. Lepas Auntie Elena dengan Uncle Bad balik, lepas kau pergi sambung belajar, kau tahu tak, aku tertekan sangat. Berminggu jugalah aku tak keluar rumah, diri aku tak terurus, hidup aku tertekan.” Natalia memegang tangan Jurina yang sudah berubah nada.
”Aku minta maaf sebab aku tak ada nak temankan kau masa tu.” Jurina menggelengkan kepala.
”Aku faham, kau janganlah rasa bersalah pula.”
”Lepas tu..”
”Tiba-tiba je lelaki ni muncul untuk sedarkan aku.”
”Ha, dari mana pula dia muncul?” Jurina menggelengkan kepala.
”Aku sendiri pun tak tahu, tapi cuma aku seorang je boleh nampak dia.”
”Entah-entah tu abang kau tak?”
”Aku pun syak juga dia abang aku, tapi bukan.”
”Kenapa kau kata bukan?”
”Entah, perwatakan mereka kalau kita tengok betul-betul, lain sebenarnya. Dia tu pembersih, cermat, suka membebel, teratur. Abang aku mana macam tu. Dua kali lima je dengan aku. Yang paling berbeza sekali, dia pandai masak”
”Hah! Dia masak untuk kau ke? Mak aih, aku pun naklah macam tu. Siap masak, khadam... bagi saya jus tembikai satu!!!” Jurina menepuk tangan Natalia sambil tertawa kecil.
”Aku tak pernah cerita pada sesiapa pasal ni, kau nak percaya ke tak percaya ke itu terpulang. Tapi aku nak beritahu kau, dialah yang tolong aku masa aku tertekan dulu.”
”Habis, mana dia sekarang?” Jurina menggelengkan kepala.
”Entah, lepas setahun kami bersama, dia tiba-tiba je hilang. Puas aku cari dia.”
”Ish...meremang bulu roma aku ni kau tau tak. Macam siri bercakap dengan jin karya Tamar Jalis pula.”
”Kau ingat aku tak fikir macam tu, samalah aku pun.”
”Kau tak takut ke? Aku ni selalu tengok-tengok cerita seramkan, selalunya pendamping ni meniduri teman pendampingnya. Kau ada dara lagi tak ni?”
”Ish! Apa kau mengarut ni! Tak adalah macam tu. Gila ke apa! Dia bukan pendampinglah, dia cuma... cumaa... erm, kira pendatang kot.” Natalia tersengih.
”Sebenarnya aku pernah nak buang dia, tapi tak berjaya. Ada-ada je halangannya. Last-last aku biarkan dia ikut aku. Lagipun dia tak menganggu pun, temankan aku yang kesunyian ni adalah..”
”Aku tak tahulah nak percayakan kau ke tak, sebab ni kali pertama aku dengar cerita kau ni.”

”Aku pun tak suruh kau percaya cerita aku ni, dahlah, jom tidur. Esok kau kata nak jalan-jalankan.” Natalia bangun untuk mematikan lampu. Cerita mereka tamat di situ sahaja, selepas itu, Natalia tidak pernah mengungkit lagi tentang lelaki itu.

Percaya Padaku 10

Sudah hampir setahun Tom tinggal bersama Jurina. Dia sendiri tidak tahu kenapa dia langsung tidak berminat untuk ke tempat lain atau mencari dirinya yang sebenar. Hatinya sememangnya ada di sini, menemani Jurina. Dia tidak sanggup melihat Jurina bersedih kerana dia menghilangkan diri seperti dahulu.
            Tom bersandar di pintu kereta menunggu Jurina yang sedang masuk membeli barang-barang runcit di kedai seberang. Setelah lama menunggu, akhirnya Jurina keluar sambil melambai-lambai beg plastik yang dipegangnya. Tom membalas lambaiannya. Jurina tersenyum lebar. Dia berjalan tanpa memandang kiri dan kanan. Tanpa disedari, sebuah kereta sedang meluncur laju. Tom yang baru menyedari keadaan itu tidak sempat memberi amaran kepada Jurina dan eeeeeeeeeeeeekkkkkkk!!! Boommmm!! Tom terpaku di hadapan Jurina yang sedang dilanggar. Kakinya lemah dan tidak mampu berjalan. Tangannya masih tergawang di udara.
”Jerry..” Ungkapnya perlahan. Jurina sudah terlentang di atas jalan. Pemandu kereta itu terburu-buru keluar dari kereta dan memeriksa keadaan Jurina. Mujur Jurina tidak mengalami cedera yang teruk. Cuma siku, tangan dan kaki dan lututnya sahaja yang cedera akibat bergeser dengan jalan raya yang kasar. Pemandu itu menawarkan diri untuk menghantarnya ke hospital untuk membuat pemeriksaan lanjut, bimbang jika terdapat implikasi dalaman. Jurina sempat memandang Tom yang masih berdiri tegak di tempatnya tadi. Tom memandangnya dengan pandangan mata yang sayu.
Sepanjang berada di hospital, Tom hanya memandangnya dari jauh. Hati Jurina tertanya-tanya, kenapa Tom menjauhkan diri darinya. Selepas selesai membuat pemeriksaan dan tiada apa masalah, Jurina dibenarkan pulang. Cuma Jurina dikehendaki datang semula untuk pemeriksaan lebih mendalam dan membuat temujanji terlebih dahulu. Pemandu yang melanggarnya tadi menawarkan untuk membawanya pulang ke rumah namun Jurina enggan. Cukuplah jika dia sudi menghantarnya ke hospital tadi, dan sementelah lagi tadi memang kesalahannya kerana melintas tanpa melihat kiri dan kanan.
”Kenapa Tom tak tolong tadi?” Tom hanya memandangnya dengan pandangan sayu.
”Sorry, Tom tak mampu nak tolong awak. Tom tak dapat buat apa-apa...”
”Tom..kenapa ni?”
”Saya lemah..”
”Apa ni Tom, apa masalahnya?”
”Saya hanya mampu tengok awak sakit...Saya tak mampu nak dekat dengan awak masa awak sakit” Tiba-tiba Jurina teringatkan sesuatu. Mata Jurina sudah berkaca. Ingatannya terulang pada sesuatu peristiwa semasa dia masih kecil.
Kreekkkkkk...Bom!!! ”Adikkkkkk!!!” Ibu dan ayah sudah menjerit melihat Jurina sudah terlentang di atas jalan raya. Basikalnya sudah tercampak entah ke mana. Jufri hanya berdiri di tepi jalan sambil menangis. Pemandu kereta yang melanggar Jurina tadi keluar dengan takut-takut sambil meminta maaf berulang-ulang kali. Darah mengalir di kepalanya. Ibu sudah meraung, ayah cuba bertenang dan mengambil kunci kereta. Cepat-cepat mereka membawa Jurina ke klinik berdekatan. Jufri juga turut dibawa sekali. Tapi dia langsung tidak mendekati Jurina. Dia hanya duduk di di tempat duduk hadapan sambil memandang Jurina dengan mata berkaca. Mujur Jurina hanya cedera ringan sahaja. Selepas di bawa pulang, Jurina di baringkan ke katilnya. Jufri hanya berdiri di tepi pintu semasa ibu membetulkan selimutnya. Jurina memandang abangnya di pintu.
”Kenapa abang tak masuk?” Ibu turut memandang sambil menggamit Jufri supaya masuk. Muka Jufri sayu.
”Abang bersalah.. sebab abang tak dapat tolong Adik tadi.” Mata Jufri sudah berkaca. Ibu mendekati Jufri.
”Abang, bukan salah abang. Benda dah nak jadi, kita elak macam mana pun tetap akan terjadi.” Ibu mengusap lembut kepala Jufri.
”Tapi, Abang tak layak jadi Abang Adik sebab Abang tak lindungi Adik.” Ibu memeluk abang, mata ibu juga sudah berkaca.
”Bukan salah Abang... Adik lagi sedih tengok Abang tak nak dekat dengan dia.” Ibu memujuk Jufri dengan lembut. Jufri menoleh pada Jurina. Jurina mengangguk, tangannya menggawang supaya Jufri datang padanya dan duduk di sisi katil. Jufri menyambut tangan Jurina.
”Abang janji, Abang akan jadi power rangers kuning Adik.” Adik ketawa mendengar kata-kata Jufri.
”Adik nak jadi power rangers pink!” Jufri dan ibu juga turut tertawa.
*****
”Jerry..” Tom memanggilnya. Serta merta kenangan itu hilang.
”Abang...” Jurina menyebut dengan mata berkaca. ”Ni...abang ke?” Tom mengerutkan dahi.
”Apa maksud Jerry?”
”Abang tak sanggup tengok Jerry cedera, Abang kata dia sedih tak dapat melindungi Jerry. Sama macam awak, Tom.. Awak... sebenarnya Abangkan?” Air mata Jurina sudah mengalir. Tom tidak dapat menjawab soalan Jurina itu. Dia hanya mampu merenung Jurina....Dia sendiri tiada jawapan untuk itu.
*****
”Doktor cakap apa? Ada masalah? Ada tulang retak ke? Darah beku kat kepala ke?” Tanya Tom bertubi-tubi sebaik sahaja Jurina keluar dari bilik. Jurina hanya menggelengkan kepala perlahan.
”Betul ke ni?” Jurina mengangguk laju.
”Lain kali jangan buat macam ni, kalau nak melintas tengok kiri kanan. Jangan nak meluru keluar je. Tau tak?” Jurina mengangguk-angguk beberapa kali sambil tersengih.
”Tu tak ambil serius lah tu apa orang cakap. Suka macam ni tau, buat endah tak endah je. Kali ni tak teruk, kalau lain kali patah tangan ke, patah kaki ke, siapa nak jaga? Suka buat orang risau... bla..bla..bla....” Tom membebel tidak henti-henti.
”Tom, stop! Boleh tak kalau berhenti membebel. Orang tak sakit pun boleh jadi sakit tau kalau dengar orang bercakap banyak sangat. Please..please.. and please.”
”Membebel? What! Saya bagi nasihat pada awak tapi awak cakap saya membebel!” Jurina mengangkat tangannya dan matanya memandang ke atas.
”Whatever..” Jurina terus berlalu dari situ. Tom mengekori Jurina sambil bercakap lagi. Jurina menekap telinganya dengan tangan.
”Jerry! Tengok, degil tak nak dengar orang cakap langsung. Kalau jadi apa-apa siapa susah! Hei, perempuan ni...” Tiba-tiba Jerry terpandang seorang perempuan yang berselisih dengannya. Hatinya tiba-tiba merasa sesuatu. Dia seperti mengenali perempuan itu tetapi dia langsung tidak mengingati di mana dia berjumpa perempuan itu. Dia mengekorinya untuk mencari jawapan. Perempuan yang dalam kiraannya sudah mencecah umur 50-an itu masuk ke sebuah bilik. Bilik itu tidak ditutup, Tom hanya berdiri di depan pintu.
”Morning sweetheart...Ibu datang ni.” Perempuan itu berkata. Rupanya dia datang melawat anaknya. Perempuan itu mengarahkan seorang perempuan yang sedia ada di dalam bilik itu untuk mengambil sebesen air. Melihat dari pakaian perempuan yang di suruh tadi, mungkin dia merupakan jururawat peribadi anaknya itu. Setelah meletakkan besen di sebelah perempuan itu, jururawat itu pun keluar. Perempuan itu mencapai tuala bersih di dalam almari dan mula mengelap badan anaknya.
”Akhil sayang... please wake up..Wake for me.. I miss you so much honey..” Perempuan itu berkata dengan nada sendu. Setitis air matanya mengalir di pipi walaupun tangannya masih tidak berhenti mengelap badan anaknya. Tom yang dari tadi hanya memerhati dari luar, tergerak hati untuk masuk ke dalam bilik. Perlahan kakinya melangkah masuk. Dia tidak dapat melihat wajah anak perempuan itu kerana wajahnya terlindung dengan tubuh perempuan itu yang sedang menunduk. Tubuh perempuan itu beralih buat seketika. Mata Tom terbeliak, halkumnya bergerak apabila dia menelan air liurnya tatkala melihat lelaki yang terlantar di atas katil itu. Wajah itu.... dia baru teringat...
***** 
Tom duduk di kerusi di sebelah katil Jurina dan melihat sahaja Jurina berbaring di atas katil. Jurina membuka matanya, mata mereka bertemu. Lama mereka bertentang mata.
”Kenapa Tom pandang Jerry macam tu?” Jurina mengerutkan dahi. Tadi dia masih mamai, tapi entah kenapa dia terasa ada orang memandangnya, sebab itu dia membuka mata. Apabila membuka mata, pandangan mereka terus bertentang. Tidak pernah Tom merenungnya begitu membuatkan dia merasa pelik.
Tom tersenyum tawar.  Dapat dilihat dari riak wajahnya yang Tom seperti merisaukan sesuatu. Jurina bangkit dari pembaringannya dan duduk menghadap Tom.
”Tom, kenapa ni? Ada masalah ke?” Tom menggelengkan kepala.
”Habis tu?”
”Tak ada apa-apa. Sambunglah tidur lagi.”
”Tom, Jerry tak boleh tidur kalau Jerry tak tahu masalah sebenarnya. Tom kena beritahu Jerry juga.” Tom menarik nafas panjang.
”Jerry...” Panggil Tom perlahan.
”Ermm..” Jurina menunggu penuh kesabaran.
”Kalau satu hari nanti saya hilang, awak kena percayakan saya.” Dahi Jurina berkerut.
”Apa Tom cakap ni?” Wajahnya sudah berubah. Seperti mahu menangis.
”Tom nak tinggalkan Jerry ke? Apa salah Jerry? Kenapa nak tinggalkan Jerry?” Air mata Jerry sudah mengalir.
”Jerry..Jerry.. Dengar sini... Jerry kena kuat, saya tak tahu sampai bila saya boleh temankan awak. Saya cakap kalaukan.. kita tak tahu masa depan. Jadi Tom cakap ni sebagai persediaan. Sekurang-kurangnya Jerry dah bersedia lebih awal. Walau apa pun yang jadi, Jerry kena ingat.. Tom sayangkan Jerry.” Tangisan Jurina semakin kuat apabila mendengar kata-kata Tom itu. Sesungguhnya, dia juga amat menyayangi Tom ketika ini. Tom memeluk Jurina dengan erat. Dia sendiri hampir mengeluarkan air mata melihat Jurina menangis teresak-esak dihadapannya. Dia sendiri tidak mahu pergi dari sisi Jurina. Tapi dia takut, sampai masanya dia perlu pergi. Tubuhnya yang baru ditemui pagi tadi membawa satu perasaan yang dia akan kembali pada tubuh itu pada bila-bila masa sahaja.
*****
Sejak malam itu, Tom tidak pernah lekang dari pandangan Jurina. Jurina akan memastikan Tom sentiasa di sisinya, jika seminit dia tidak nampak kelibat Tom, dia pasti akan menjerit memanggil Tom semula ke sisinya. Sehingga Tom pula merasa rimas. Tapi Jurina hanya tersengih sahaja jika Tom membebel kepadanya. Baginya, bebelan itu lebih bermakna dari dia langsung tidak melihat kelibat Tom. Namun, hatinya tetap merasa takut seandainya Tom benar-benar pergi dari sisinya. Sewaktu hendak tidur juga, selagi dia tidak melelapkan mata, dia akan memastikan Tom tidak jauh darinya.
”Tom...” Jurina bersuara ketika dia sudah berbaring santai di atas katilnya. Tom yang sedang membaca dihadapannya menoleh.
”Ermm..” Tom menyahut. Jurina hanya memandang tanpa kata. Mata mereka saling merenung antara satu sama lain dalam jangka masa yang agak lama. Entah kenapa, Jurina lebih selesa merenung Tom begitu tanpa berkata apa-apa.
”I miss you..” Jurina berkata tiba-tiba. Tom tersenyum.
”Sayakan kat sini je, kenapa rindu kat saya pula?” Jurina menggelengkan kepala. ”Tak tahu, tiba-tiba je rasa rindu kat Tom.” Tom bangun dan duduk di sisi Jurina. Dia mengelus lembut kepala Jurina.
”Pergi tidur, esok ada kelas kan?”Jurina mengangguk. Tom membetulkan selimut yang menyelimuti tubuh Jurina. Apabila Tom mahu bangun, Jurina sempat menarik tangan Tom.
”Tom...” Jurina memangggil lembut. Tom duduk semula.
”Ye sayang..” Pertama kali Tom memanggilnya begitu membuatkan Jurina tersipu.
”Janganlah panggil macam tu, malulah..” Jurina menutup wajahnya dengan selimut. Tom tergelak kecil. Dia menarik selimut Jurina semula. Jurina menekup mukanya pula dengan tangan. Tom menarik tangannya pula.
”Muka awak dah merah. Haha..” Tom sengaja mengusik Jurina yang sedang tersipu-sipu malu.
”Tom..please jangan tinggalkan Jerry ok?” Tawa Tom terhenti. Dia menarik nafas panjang. Tom mencapai kedua-dua tangan Jurina dan digenggam erat.
”Jerry... Walaupun satu hari nanti Tom hilang, Tom janji, Tom akan cari Jerry semula. Tom janji, ini janji Tom pada Jerry. Just.. trust me..” Pandangan mereka beradu lagi. Kali ini ada sendu di mata masing-masing


Percaya Padaku 9

Jurina hanya memerhatikan sahaja telatah Tom yang sedang membetulkan kedudukan perabot yang sengaja diubah oleh Jurina ketika Tom sedang sibuk di dapur tadi. Sebenarnya sudah lama dia memerhatikan, kali ini sengaja dia mahu memastikan yang sangkaannya adalah betul. Tom adalah seorang yang sangat teratur, pembersih dan sangat teliti. Jurina perasan apabila suatu hari dia dengan tidak sengaja teralih gelas di atas rak. Apabila dia masuk semula, dia perasan gelas itu telah kembali semula seperti mana sebelum dia teralih tadi. Itu satu, ada satu ketika, dia melihat Tom membetulkan kedudukan pasu bunga yang senget dari kedudukannya. Esoknya dengan sengaja Jurina mengubah semula pasu tersebut supaya senget seperti semalam. Balik dari kuliah, pasu itu sudah dibetulkan semula. Sejak Tom hadir dalam hidupnya juga, dapurnya sentiasa bersih walaupun dapur tersebut selalu digunakan oleh Tom.
”Tom, awak ni telitikan.” Tom menoleh. Dia tersenyum.
”Saya pun tak tahu, kalau ada yang tak betul macam biasa tu, rasa macam digaru-garu je hati ni nak betulkan balik.”
”Habis tu, kenapa awak tak pernah tukar baju awak tu. Asyik pakai sweater orange grey tu je.” Tom menelek baju yang dipakainya.
”Baju ni selesa. Lagipun mana boleh saya pakai baju lain. Karang orang lain terkejut tengok baju bergerak.”
”Ha’ah ek, saya lupa pula awak ni halimunan.”
”Dah, pergi tidur. Esok ada kuliahkan? Awak tu dahlah tidur mati. Bom kat sebelah pun tak sedar.” Jurina tersengih. Malu apabila diperli.
”Yelah, tapi awak jangan pergi mana-mana tau.” Memang itu yang akan dipesannya setiap malam sebelum tidur. Takut sangat Jurina jika Tom meninggalkannya lagi.
”Iye..risau sangat.” Jurina tersenyum. ”Good night.” Ungkap Jurina sebelum dia berlalu naik.
”Good night..” Tom membalas. Setelah memastikan Jurina sudah betul-betul masuk ke dalam bilik, Tom mematikan semua lampu dengan satu petikan di jari. Dia duduk di satu sudut dan mula membaca buku. Kelebihan menjadi ’orang ghaib’ digunakan sepenuhnya. Dia boleh membaca dalam gelap, boleh ke mana sahaja dalam sekelip mata, boleh ’mengintai’ Jurina ketika sedang mandi (ini rahsia, teruk dikenakan oleh Jurina jika diketahui.)
Ketika sedang asyik membaca buku, tiba-tiba Tom terdengar bunyi pelik di luar rumah. Dia terus menghilangkan diri dan muncul semula di luar rumah. Seorang lelaki berpakaian serba hitam mahu memecah masuk ke dalam rumah Jurina. Tom menghilangkan diri semula dan muncul di bilik Jurina.
”Jerry..” Kejut Tom dengan perlahan. Tidak mahu membuatkan Jurina terkejut. Jurina bangun sambil mengusap-usap matanya. Dia cuba membuka lampu tapi ditegah oleh Tom.
”Kenapa?” Jurina bertanya pelik.
”Ada pencuri kat luar, telefon polis sekarang.” Jurina panik dan hampir menjerit.
”Ada pencuri?”
”Shh.. jangan bising. Nanti perompak tu lari. Telefon sekarang.” Tom mengarah. Dia sudah bangun dan mahu beredar dari situ.
”Nak pergi mana tu? Orang takut.” Tom duduk semula.
”Jangan risau, telefon polis dan duduk sini diam-diam. Jangan buat sebarang bunyi. Pegang kayu ni buat pelindung kalau takut.”
”Tapi..” Namun Tom sudah bersedia untuk menjalankan rancangannya. Dia mematahkan-matahkan jarinya sehingga berbunyi.
”Showtime!” Terus dia menghilang tanpa sempat Jurina berkata apa-apa. Cepat-cepat Jurina menelefon polis dan kemudian menyorok di bawah katil dengan memegang kayu.
Sementara itu, Tom sudah bersedia menerima tetamu tidak diundang di hadapan pintu. Berpeluh-peluh pencuri itu cuba membuka pintu. Tom menunggu dengan sabar. Sebaik sahaja pencuri itu masuk, Tom mengunci semula pintu tersebut dan membuat seperti ada angin yang menolak pintu tersebut. Pencuri tersebut mula panik. Walaupun begitu, dia masih cuba mencuri barang-barang berharga di dalam rumah Jurina. Tom hanya memerhatikan sahaja tanpa membuat apa-apa tindakan. Pencuri itu membuatkan Tom tergelak apabila terkial-kial mahu merompak televisyen yang lebih besar dari dirinya itu. Perompak bangang! Macam mana nak bawa benda-benda besar kalau diri sendiri pun sekeping. Curi  jelah barang yang senang nak bawak. Bukan kau bawa lori nak angkut semua.
Apabila Tom melihat pencuri itu mahu naik ke atas, Tom mula bertindak. Dia cuba menghalang pencuri itu supaya tidak dapat mencari tangga atau jalan keluar. Tom membuatkan pencuri itu berjalan di tempat yang sama dari tadi. Sekejap-sekejap pencuri itu menggaru kepalanya. Mungkin dia pelik, tadi seperti dia menuju ke tempat lain, tetapi mengapa dia masih lagi di tempat yang sama.
”Lah, mana sih tangganya. Tadi sepertinya di sini, kok jadi lain. Apa..tempat ini berhantu. Ihh... seram aku.”
”Mana sih pintunya, gue mahu keluarrrr!”  Pencuri itu sudah berpeluh-peluh. Tom hanya menggelakkan tingkah pencuri itu yang sudah menggelabah.
”Aduh... aduh.. kok masih bingung deh aku!”
Polis tiba-tiba menyerbu masuk ke rumah Jurina. Pencuri itu melutut dengan sendiri.
”Tolong Pak, bawa saya keluar dari sini. Saya mahu keluar, saya mahu keluar. Tolong tangkap saya Pak! Saya mahu keluar!! Tempat ini angker!!” Kata pencuri itu dalam keadaan terketar-ketar.
Pegawai polis yang sedang mengacukan pistol di hadapan pencuri itu terpinga-pinga dan memandang satu sama lain sebelum memberkasnya. Tom mengarahkan Jurina turun supaya senang pihak polis membuat siasatan. Semasa polis itu sedang menyoal siasat, Tom menghampiri pencuri yang sedang kumat-kamit seorang diri di dalam kereta. Sengaja dia menghembuskan angin ke arah pencuri itu membuatkan pencuri itu menggigil ketakutan sambil menutup matanya rapat-rapat. Tom tergelak guling-guling nelihat pencuri itu berpeluh-peluh menahan ketakutan.
”Tolong Pak! Cepat bawa saya ke kantor polisi! Saya sudah enggak tahan dikacau aja dari tadi. Cepetan Pak!” Polis yang berada di tempat memandu menggaru-garu kepalanya dan merasa pelik, tidak pernah dalam sejarahnya seorang pesalah minta cepat-cepat di bawa ke balai polis. Ini sudah kes terbalik. Pegawai polis itu terus memasukkan gear dan berlalu pergi dari situ walaupun dia masih kehairanan. Sempat Tom melambai-lambaikan tangannya pada pencuri itu walaupun dia tahu pencuri itu bukan boleh melihatnya.
”Seronoknya kenakan orang!” Ujar Jurina dari belakang. Tom menoleh sambil tersengih.
”Apa Tom buat pada dia sampai dia jadi takut sangat macam tu?” Jurina bercakap perlahan, tidak mahu membuatkan pegawai polis yang masih ada di halaman rumahnya merasa pelik melihatnya bercakap sendirian.
The best part to be a ghost.” Tom tersengih lagi. Jurina menggelengkan kepala sebelum berlalu kerana dipanggil oleh pegawai polis yang menyoal siasatnya tadi.
***** 
Tom masih memerhatikan Jurina yang sedang nyenyak tidur. Sejak kejadian rumah mereka dimasuki pencuri itu, Jurina menyuruh Tom menemaninya tidur dan tidak membenarkannya ke mana-mana pun. Tom terpaksa menurut kerana Jurina hanya akan tidur jika dia duduk disebelahnya. Jika Tom tidak mahu, Jurina akan merengek-rengek sehinggalah Tom bersetuju. Nak tak nak, memang Tom perlu mengikuti kehendak Jurina yang akan membuat mimik muka kucing Shrek jika permintaannya tidak dipenuhi. Berat hatinya melihat Jurina menangis lagi dan Jurina seperti tahu untuk menggunakan kelemahannya itu.
Dia teringat, waktu itu..
”Abang...” Tom yang sedang berdiri di hadapan bilik mayat menoleh apabila mendengar suara sayu itu. Dilihatnya, seorang perempuan sedang menangis dan menggigil sambil memanggil abangnya. Di sisinya, seorang perempuan yang mungkin sebaya dengannya sedang memeluknya erat sambil memberinya kekuatan. Tom mengekorinya. Pegawai polis yang mengiringi mereka membuka sebuah peti dan menarik tray. Dihalang kawannya dari mengikutinya apabila dia mahu membuka kain putih yang menyelimuti tubuh mayat dihadapannya. Tom masih mengekori, hatinya tertanya-tanya, siapakah orang yang mahu dilihatnya itu. Sewaktu perempuan itu  membuka kain penutup itu, dia terus rebah. Tindakan refleksi Tom membuatkan dia mahu menyambut tubuh perempuan itu dari jatuh ke tanah namun anehnya tubuh itu tembus dari tangannya. Mujur pegawai polis itu sempat menahannya dari jatuh. Tom memandang kedua-dua tangannya dan memandang perempuan itu berulang-ulang kali. Tom cuba menyentuh tubuh pegawai polis itu namun masih dapat ditembusi. Tom menyentuh pipinya, tidak terasa apa-apa. Tom bersuara, cuba memanggil pegawai polis itu namun pegawai polis itu langsung tidak menoleh ke arahnya. Sudah matikah dia? Tom keluar dari bilik mayat itu dengan rasa tidak percaya. Tubuhnya menggeletar hebat. Dia melutut sambil melihat tangannya. Aku sudah mati.. Aku sudah mati... Aku masih tidak mahu mati, aku mahu hidup...Tidakkkkkkkkkkk!!!
Tom meraup mukanya. Dia tidak tahu mahu berbuat apa-apa lagi. Tiba-tiba dia terpandangkan perempuan tadi sedang menangis di kerusi panjang. Dia menghampiri.
“Abang, sampai hati abang tinggalkan Adik”
”Abang? Aku abang dia? Kalau tak, kenapa aku hanya fokus pada perempuan ini dan langsung tidak perasan orang lain dari tadi?” Tom duduk di sebelah perempuan itu sambil memerhatikannya. Kenapa hatinya merasa sedih melihat dia menangis begini. Adakah dia adikku?

“Abang, sampai hati abang tinggalkan Adik” Sayu perempuan itu berkata. Tom cuba mengusap pipi perempuan itu yang sudah basah dengan air mata. Mungkin aku ada hubungan dengannya, jika tidak kenapa hati aku ni rasa sedih melihatnya menangis. Tom mengekori langkah perempuan itu dan temannya sehingga mereka sampai ke rumah. Hatinya tidak dapat menahan sedih apabila perempuan yang sering dipanggil Adik dan Jurina itu asyik meratapi pemergian abangnya. Dia melihat gambar yang dikatakan abangnya itu, namun dia sendiri tidak mampu mengingati paras wajahnya, bagaimana dia mahu mengesahkan bahawa dialah abang kepada Jurina. Melihat keadaan Jurina yang agak teruk itu membuatkan dia terpanggil untuk membantunya. Malah dia yakin yang sebenarnya dia mempunyai hubungan dengan Jurina iaitu abangnya. Kerana itu, dia memunculkan dirinya di hadapan Jurina, demi membantunya pulih. Sebab itu juga dia tidak mahu berganjak apabila Jurina mahu menghalaunya dahulu. Kerana dia mahu menemani Jurina, melindungi Jurina dari kesedihan.

Percaya Padaku 8

Dua hari Jurina demam, Dua hari itu jugalah Tom tidak dibenarkan ke mana. Sebaik sahaja Jurina bangun dari tidur dan didapati Tom tidak berada di sisinya, dia akan bangun dan mencarinya. Jurina takut Tom akan menghilangkan diri sekali lagi.
”Tommm..” Panggil Jurina perlahan. Tubuhnya masih lagi tidak bermaya namun digagahkan juga untuk bangkit. Tom cepat-cepat mendekati Jurina.
”Jangan bangun, Tom masak tadi. Kejap lagi Tom datang balik ok.” Pujuk Tom dengan lembut. Jurina mengangguk.
”Jangan pergi tempat lain tau..” Ujar Jurina bimbang. Tom menarik selimut Jurina semula. Tidak lama, Jurina sudah terlena semula. Tom tersenyum sendiri. Manja betul budak ni..
Masuk hari ketiga, demam Jurina sudah agak kebah. Tom menarik nafas lega. Dia amat bimbangkan keadaan Jurina ketika dia masih lagi sakit. Jurina asyik meracau memanggil-manggil nama Tom dan abangnya berselang-seli. Kadangkala dia akan menangis teresak-esak ketika sedang tidur menyebabkan Tom terpaksa mengejutkannya. Sebaik sahaja dia terjaga, pasti dia akan memeluk Tom sambil menangis. Hati Tom sayu melihat keadaan Jurina yang tidak stabil. Lebih teruk dari keadaannya apabila Jurina meratapi kematian abangnya. Untuk dia meminta Jurina menceritakan perkara sebenarnya mengapa dia begitu bersedih hati, dia tahu sekarang bukan masa yang sesuai. Tom tahu, pasti ada sesuatu yang terjadi padanya sehingga semangatnya menjadi lemah semula.
Jurina turun dengan berkelubung selimut dan duduk di sofa ketika Tom sedang memasakkan bubur untuknya. Tom menjenguk dari dapur.
”Kenapa turun?” Tanya Tom.
”Bosanlah asyik duduk kat bilik je. Nak tengok tv.” Ujar Jurina sambil menekan alat kawalan jauh untuk mencari siaran menarik. Tom datang dengan membawa semangkuk bubur dan ubat.
”Makan dulu, kemudian makan ubat ni.”
”Tak ada makanan lain ke? Asyik bubur je, nak KFC..” Tom mengetuk kepala Jurina perlahan. Ada hati mahu makan KFC walaupun belum baik sepenuhnya. Jurina mengaduh. Mulutnya memuncung. Tom meniup bubur yang masih panas itu sebelum menyuapkan ke mulut Jurina. Sudah tiga hari Jurina makan bersuap. Bukan dia yang mahu, Tom sendiri yang sukarela mahu menyuapkannya. Jurina apa lagi, sudah ada yang mahu memanjakannya lagi mahu ditolak. Inilah nikmat dunia. Bermanja pada yang sudi.
”Nanti nak makan benda lain boleh tak? Orang dah baiklah..” Sejak Jurina demam, mereka sudah menghilangkan perkataan aku dan kau. Kini Jurina lebih selesa menggunakan perkataan ’orang’ atau ’Jerry’. Begitu juga dengan Tom. Dia akan menggelarkan dirinya Tom dan tiada lagi beraku dan berengkau di antara mereka. Perkara ini juga sudah dipersetujui antara dua kedua-dua pihak.
”Erm..nak makan apa?”
”Nak makan nasi betul, tak nak makan bubur dah.” Tom mengangguk faham.
”Ok, nanti Tom masak sedap-sedap ye. Sekarang makan bubur ni dulu.” Jurina dan Tom sama-sama tersenyum.
”Awak pergi mana Tom? Kenapa tinggalkan orang?”
”Erm..bercuti..” Ujar Tom serba salah.
”Bercuti???” Bulat mata Jurina mendengar penjelasan Tom.
”Ya.. sebab...dulu...kan..kita..” Tersekat-sekat Tom mahu memberi penjelasan.
”Sampai hati..bercuti ke mana?”
“Pulau Tioman, ikut jiran kita pergi bercuti.”
”Apa??” Ternganga mulut Jurina. Pulau Tioman??
”Ye, saya tahu saya melampau. Tapi manalah saya tahu awak nak sakit. Kalau saya tahu awak nak sakit, tak adanya saya nak tinggalkan awak.” Mulut Jurina muncung.
”Sorry, betul..betul.. lepas ni Tom tak tinggal Jerry dah.”
”Yelah, lain kali janji tau jangan tinggal Jerry macam tu tanpa berita. Lain kali bagi note. Taklah orang tercari-cari.”
”Ok boss!” Mereka berdua terdiam. Mata masing-masing melekat di kaca tv.
”Jerry..” Tiba-tiba Tom bersuara perlahan. Tangannya masih menyudukan bubur ke mulut Jurina.
”Erm..” Mata Jurina masih terpaku di kaca televisyen.
”Apa yang terjadi sebenarnya?” Jurina menoleh.
”Jadi apa?” Tom menarik nafas panjang.
”Saya tahu, mesti ada sesuatu yang terjadi sampai awak jadi seteruk ini.” Giliran Jurina pula menarik nafas panjang.
”Sebenarnya, ini semua sebab Omar.”
”Omar?” Tom menaikkan sebelah keningnya. Jurina mengangguk.
”Dia hina orang depan khalayak ramai sebab tak mahu buatkan assignment dia. Orang sedih tau.”
”Dia hina awak?” Jurina mengangguk lagi.
”Dia kata apa?”
”Dia kata..” Jurina menarik nafas panjang. ”Hei perempuan! Kau ingat kau tu cantik sangat ke sampai aku kena merayu-rayu dengan kau ni. Muka kau ni, satu sen pun tak laku tahu tak! Kalau aku tak kutip kau jadi makwe aku, Mat bangla tu je yang sanggup ambil kau jadi makwe dia. Kau sedar diri tu sikit. Muka kau ni langsung tak layak nak bergandingan dengan aku. Setakat muka kau yang macam kucing tersepit kerusi ni, buat malu aku je nak kenalkan dengan member. Buat kena caci orang je. Blahlah kau! Perasan cantik! ingat aku suka kau betul-betul ke? Jangan haraplah! Setakat muka kau ni melambaklah tepi jalan! Muka macam kau ni layak jadi pengelap kaki aku je tau tak!” Tercetus ketawa Tom apabila mendengar Jurina mengulangi kata-kata Omar. Kucing tersepit kerusi?? Hahaha... Jurina membulatkan mata.
”Tommm!!! Sampai hati gelak!” Sampai berair mata Tom menggelakkan kata-kata Omar itu membuatkan Jurina sakit hati.
”Tak naklah kawan macam ni. Penat je orang cerita. Alih-alih kena gelak!” Jurina membuat muka masam. Tom mengelap air matanya dan cuba menghentikan tawanya yang masih bersisa.
”Ok..ok.. Hahaha..”
”Tom!!!!” Jurina mencekak pinggang.
”Please.. itulah cacian paling kelakar sekali pernah Tom dengar tahu tak!” Jurina sudah memuncung.
”Tapi orang malu tahu tak, kena hina macam tu sekali depan orang ramai.” Tom menongkat kepala dan bersandar di kepala sofa sambil menghadap Jurina.  Tom mencuit hidung Jurina yang sedang cemberut.
”Hei.. ” Jurina menoleh. ”Buat dia menyesal sebab malukan awak, Jerry.” Tom memberikan pendapat.
”Tapi, macam mana?” Jurina seakan berminat dengan rancangan membalas dendam itu. Dia turut sama menongkat kepala dan duduk bertentangan dengan Tom. Tom membuat mimik muka seperti berfikir.
”Awak tahu, awak dah buatkan semua assignment dia untuk semester ni?”
”Mana tahu?”
”Erm...Tahulah.”
”Jadi, kenapa pun kalau semua assignment tu orang yang buat?” Jurina mengerutkan dahi.
“Apa akan jadi kalau semua assignment dia tu kena buat semula.” Jurina mula berfikir. Tapi dia masih lagi tidak dapat menangkap rancangan Tom yang sebenarnya.
”Nak mampus, bukan senang tahu nak buat. Orang ni pun macam nak pecah kepala fikir dalam masa beberapa minggu, ni kan pula kalau ada masa beberapa hari je. Exam pun nak dekat dah. Kalau nak kena buat semula memang cari nahaslah. Tapi.. apa kena mengenanya dengan rancangan balas dendam kita ni?”
”Well...” Tiba-tiba Jurina seperti dapat menangkap idea Tom yang sebenarnya.
”Hah! Jerry faham. Kita buatkan semua pensyarah tahu yang selama ni bukan Omar yang buat semua assignment tu! Hahaha! Syabas mere bete!”
”Ha! Faham pun.”
”Tapi.. macam mana nak buatkan semua pensyarah tu percaya Jerry yang buat semua tu. Mesti kena ada bukti.”
”Bukti? Erm..masalah juga tu. Jerry pernah bagi soft copy tak semua assignment tu?” Jurina menggeleng.
”Tak sebab selalunya pensyarah nak hard copy je.”
“Tu pun dah boleh dijadikan bukti. Tunjukkan semua soft copy tu pada mereka dan suruh mereka minta soft copy dari Omar jika mereka tidak percaya.”
”Huihh.. pandainya! Esok juga Jerry pergi!” Ujar Jurina penuh semangat.
”Duduk dulu, habiskan bubur ni dan makan ubat. Lepas tu pergi tidur. Esok banyak kerja kita nak buat.” Jurina tersenyum.
”Yess boss!!”
Keesokannya Jerry membuat seperti apa yang dirancang. Sanggup dia menapak dari satu bilik ke satu bilik untuk berjumpa dengan semua pensyarah Omar semester ini. Sakit hati punya pasal, dia sanggup melakukan apa sahaja janji tidak memudaratkan diri Omar. Diterangkan dengan penuh keyakinan dan bukti-bukti yang kukuh bagi memastikan pensyarah-pensyarah itu percaya dengan kata-katanya. Akhirnya dia berjaya. Semua pensyarah itu berjanji akan menyiasat perkara sebenar. Jika didapati benar, mereka tidak teragak-agak akan memberi hukuman kepada Omar. Hatinya sangat girang. Jika dia tidak memalukan Jurina di khalayak ramai, tidak mungkin dia akan memulakan operasi membalas dendam ini. Siapa suruh menjolok sarang tebuan, memang sakit akibatnya selepas itu!
”Sudah?” Tom yang menunggu di luar bilik pensyarah bertanya. Sengaja Jurina tidak membenarkan Tom turut serta dalam perbincangan mereka kerana dia mahu berusaha sendiri. Dia tidak mahu kehadiran Tom membuatkan dia sebak atau pun menganggu konsentrasi ketika sesi meluahkan perasaan itu.
Jurina tersenyum lebar sambil mengangguk. Tom turut tersenyum.
”That’s my girl.” Jurina seperti tersentak dan memandang Tom dengan pandangan pelik.
”Kenapa?” Jurina menggeleng mendengar pertanyaan Tom. Tom memeluk bahu Jurina dan berjalan beriringan menuju ke kereta.
”Tahu tak, orang rasa lega sangat-sangat sebab dapat luahkan apa yang orang simpan selama ni.” Ujar Jurina ketika mereka sudah berada di dalam kereta.
”Awak menangis ke?”
”Hurm.. saya teremosi sikit masa saya luahkan perasaan dengan Prof. Sufiah tadi.”
”Apa yang awak cerita sampai awak menangis ni?”
”Saya ceritalah, saya dah insaf. Dulu saya ikutkan sangat perasaan jiwa muda saya. Bila boyfriend cakap apa semua nak ikut. Sebab tu saya nak Omar insaf dan tak nak dia terus hanyut. Sebab tu juga saya suruh mereka beri semula tugasan pada dia.”
”Bagus, itulah balas dendam yang terbaik sekali. Kita bukan sahaja dapat puaskan hati kita, kita juga dapat ajar dia supaya berusaha lebih. Jangan nak ambil jalan pintas je.” Jurina mengangguk.
”Kita pun dah berusaha, selebihnya kita serahkan pada yang pakar. Tapi kalau Omar buat sesuatu kat orang macam mana?” Jurina meluahkan kebimbangannya.
”Saya ada, saya akan lindungi awak selagi boleh. Jangan risau.” Jurina menarik nafas. Bukan dia tidak percayakan keupayaan Tom, namun dia tetap juga risau. Takut jika diapa-apakan oleh Omar ketika Tom tiada seperti hari itu.
Dont worry...trust me!” Tom menyentuh hidung Jurina membuatkan Jurina tersenyum.
”Okey..”
***** 
”Jurina!! Jurina!!!!” Laung Omar dari jauh. Ketika itu Jurina baru keluar dari dewan kuliah.
”Rileks, tunggu je dia datang. Jangan lari.” Tom menasihatkannya ketika wajah Jurina berubah ketakutan melihat Omar datang kepadanya dengan wajah yang marah. Omar semakin mendekatinya, kaki Jurina melangkah ke belakang sedikit demi sedikit.
”Apa pun yang terjadi, hadapi! Jangan lari!” Tom cuba memberi kata-kata semangat  pada Jurina. Jurina mengangguk perlahan walaupun sebenarnya debaran di hati hanya dia seorang yang tahu.
”Apa kau beritahu semua lecturer pasal assignment aku!” Tiada lagi perkataan sayang pada tiap patah perkataan yang dituturkan, berganti dengan kau dan aku. Huh! Masa nak mempergunakan aku, bukan main lagi sayang-sayang. Bila dah tak perlu, aku dan kau je yang aku terima. Teruk betul!
”Apa?” Jurina berpura-pura tidak mengerti.
”Kau jangan nak berpura-pura dengan aku! Aku tahu semua ni angkara kau. Kalau tak, takkan semua lecturer suruh aku buat semula semua assignment yang aku suruh kau buat dulu. Kau ni memang perempuan sial kau tahu tak! Menyesal aku jadikan kau awek aku. Satu sen pun tak guna!”
”Aku rasa aku lagi malang sebab kau pernah jadi boyfriend aku.” Ujar Jurina tenang. Dia berpusing mahu melangkah pergi namun Omar menarik lengannya. Dia masih lagi tidak berpuas hati.
”Hei perempuan bodoh, kau jangan ingat kau akan terlepas lepas kau buat semua ni pada aku! Kau akan terima akibatnya, aku akan pastikan kau akan menyesal!”
”Apa yang kau boleh buat? Apa, kau ingat aku ni bendul sangat nak lepaskan kau lepas kau hina aku dengan mulut busuk kau tu!” Omar tidak dapat menahan marah, tangannya sudah dinaikkan dan sedikit lagi mahu mengenai muka Jurina. Tom sudah mendekat untuk menghalang Omar dari memukul Jurina tapi..
”Kau nak pukul aku? Kau nak pukul aku??? Apa hak kau nak pukul aku! Kalau betul kau pukul aku tadi, memang kau jantan paling tak berguna sekali dalam dunia ni sebab kau hanya tahu mempergunakan perempuan. Malang siapa yang jadi makwe kau sebab kau ni memang tak guna satu sen pun! Hidup hanya mahu menyusahkan perempuan!!!” Tengking Jurina sebelum dia berlalu pergi. Omar terpaku mendengar tengkingan Jurina dan hanya melihat sahaja dia berlalu pergi. Omar melihat keadaan sekeliling, kedengaran bisikan-bisikan dan pandangan yang memberi isyarat bahawa mereka merasa jelik dengan perlakuan Omar apabila mendengar kata-kata Jurina tadi. Omar meraup wajahnya sebelum dia sendiri berlalu dari situ dengan perasaan malu.
Di dalam kereta, Jurina mula menangis. Sebenarnya dia sangat berdebar ketika Omar mahu menamparnya tadi.
”Hei, kenapa menangis ni?” Tom bertanya pelik.
”Sob..Sobb.. Tahu.. tak.. orang takut..sangat..tadi.. Kenapa ..tak selamatkan..orang!” Ujar Jurina dengan teresak-esak. Tom tergelak kecil.
”Awak tahu tak, tadi awak sangat.. awesomeee!!!” Tom menunjukkan kedua-dua ibu jarinya pada Jurina.
”Awesome.. apa! Tahu tak jantung ..orang macam.. nak tercabut ni.” Tom tersenyum.
”Hei, that’s my girl. Give me five!” Tom mengunjukkan tangannya pada Jurina. Jurina membalas dengan senyuman kepuasan.
”Saya tahu awak boleh pertahankan diri awak, sebab tu saya tak risaukan awak dah. Awak dah berani, kalau saya tak ada awak boleh berdikari sendiri.” Jurina menoleh.
”Apa maksud Tom?” Cepat-cepat Tom menggelengkan kepala.
”Tak ada apa-apa. Jom balik.” Tom terus menukar topik membuatkan Jurina tidak jadi untuk bertanya dengan lebih lanjut. Apa maksud Tom tadi?