CLICK HERE FOR BLOGGER TEMPLATES AND MYSPACE LAYOUTS

Monday, October 24, 2011

Syurga Cinta 11

Medina tersenyum sambil mendapatkan Emil yang sedang menunggunya di tepi kereta

”Sorry, lama ke tunggu Med?” Tanya Medina dengan suara yang sengaja dibuat manja. Emil menggelengkan kepala.

”Taklah, abang pun baru sampai. Med sibuk ke? Sorry sebab tiba-tiba je ajak Med keluar.”

”Tak adalah. Med tak buat apa-apa pun. Kebetulan memang Med tengah bosan sangat. Mujur abang telefon Med, kalau tak agaknya Med dah mati kebosanan dah.” Untukmu abang, mestilah apa pun sanggup ditinggalkan. Lagi mahu tanya!

”Jom masuk..” Mereka berjalan beriringan. Emil membukakan pintu dan menarik kerusi untuk Medina membuatkan dirinya rasa begitu dihargai. Setelah memesan makanan, mereka kembali bersembang. Ketika itu, Medina perasaan mata Emil asyik memandang ke satu arah sahaja. Dia menoleh ke arah yang sama. Seorang perempuan cantik sedang tersenyum memandang Emil. Rasa cemburunya mula meruap-ruap di hatinya. Dia cuba bersabar. Medina memandang Emil dengan perasaan yang membungkam. Tangannya cuba mencapai gelas di atas meja, namun entah apa silapnya gelas tersebut terjatuh dan air mengenai bajunya. Kelam kabut dia bangun bagi mengelakkan bajunya lebih basah. Emil juga turut membantunya dengan menghulurkan tisu.

”Kejap abang, Med nak pergi ladies.” Emil mengangguk.

Setelah pasti kesan kotoran tadi sudah hilang, Medina kembali ke meja mereka. Dilihatnya, Emil sudah tiada di meja mereka. Mata Medina melilau ke seluruh restoran. Emil sedang duduk di sebelah perempuan yang dilihatnya tadi. Serta merta perasaan cemburu dan marah Medina kembali bertaut. Nafasnya berdegup laju. Laju langkahnya menuju ke arah mereka yang sedang bergelak ketawa. Tak habis-habis dengan perangai kasanova dia!

”Abang, Med nak balik!” Suara Medina kedengaran mendatar. Emil menoleh.

”La, nak balik dah? Tunggu kejap boleh? Abang ada hal nak bincangkan dengan cik adik ni.” Cik adik?? Huh!

”Kalau abang tak nak balik tak apalah, Med balik seorang!” Bentak Medina dan terus menuju keluar. Emil cuba mengejar Medina yang seperti sudah merajuk itu. Sempat lagi dia memberikan bisnes kadnya kepada wanita yang baru dikenalinya tadi.

”Med, kenapa ni? Tadi ok je mood. Tiba-tiba je berubah.”Emil menarik tangan Medina yang masih berjalan laju.

”Kenapa abang buat Med macam ni?”

”Buat apa?” Emil bertanya pelik. Medina mendengus kasar.

”Abang memang tak tahu atau sengaja tak nak ambil tahu, abang tahukan Med sukakan abang dari dulu lagi. Kenapa abang buat Med macam ni?”

”What? Nonsense!”

”Nonsense abang cakap! Abang tahu tak dari dulu lagi Med sayang kat abang. Abang cakap Med nonsense!” Suara Med ditekan. Sepertinya Medina mahu menangis.

”Sorry, sorry.. abang tak berniat nak cakap macam tu. Tapi, abang cuma anggap Med ni macam adik abang je. Tak lebih dari tu.”

”Adik? Adik abang cakap? Hah!” Medina berpaling untuk meninggalkan Emil. Hatinya terasa remuk mendengar kata-kata Emil yang hanya menganggap Medina sebagai adiknya. Adik? Adik??? Hanya adik???

”Med, janganlah macam ni. Kita bincang elok-elok,”Emil mengejar dari belakang.

”Apa lagi nak dibincangkan? Oo.. lepas ni abang nak cakap, sebagai adik Med kena dengar cakap abang. Blaa.. blaa..blaa.. Nonsense!”

”Medina!” Emil menjerit namanya dengan agak kuat membuatkan Medina agak tersentak dan berhenti melangkah. Emil berada di belakangnya dan memusingkan tubuh Medina supaya berhadapan dengannya.

”Abang tak ada hak untuk sukakan Med. Med tahukan, dari dulu lagi ada seseorang yang sukakan Med.”

”Sukakan Med? Siapa?”

”Med betul-betul tak tahu atau sengaja tak nak ambil tahu?” Emil merenung tepat ke mata Medina.

”Med cuma anggap dia sebagai abang Med je dan Med pun rasa dia anggap Med pun macam tu juga.” Emil menarik nafas panjang.

”Tapi dia sukakan Med dari dulu lagi, takkan Med tak boleh terima dia langsung?”

”Habis tu, abang takkan tak boleh terima Med langsung. Hati Med hanya untuk abang, bukan untuk Abang Kal. Sebab Abang Kal ke abang tak boleh terima Med? Sebab Abang Kal ke abang tak boleh sayang Med?”

”Med..”

”Cukup! Med tak nak dengar apa-apa lagi!” Ujar Med dan terus berlalu meninggalkan Emil. Hatinya benar-benar rasa marah sekarang. Sebarang perbincangan hanya akan menimbulkan rasa kemarahan di hatinya.

*******

”Hari ni jangan lupa, kemas rumah bersih sikit. Tandas cuci sampai berkilat. Ha satu lagi, ukiran-ukiran tu lap sampai kilat.” Arah Raikal sebelum berlalu keluar. Julita mencebik. Aku tahulah! Sibuk je!

Baru Julita mahu menutup pintu, loceng berbunyi menandakan suratkhabar sudah dihantar. Julita membuka pintu semula dan mengambil suratkhabar yang dicampak betul-betul dihadapan pintu.

”Komposer terkenal bakal berkahwin!” Headline sebesar-besar alam terpampang di muka depan akhbar dan gambar Raikal dan bayangan seorang perempuan yang digelapkan menjelaskan siapa komposer terkenal itu. Juga terdapat gambar cincin yang dikatakan cincin yang digunakan Raikal untuk melamar perempuan tersebut. Raikal nak kahwin? Tak tahu pun aku. Tak ada tanda-tanda pun dia nak mendirikan rumah tangga. Ada ke perempuan nak pada lelaki cerewet macam dia tu. Yuckkksss! Malanglah perempuan itu. Julita meletakkan semula suratkhabar di atas meja sebelum meneruskan kerja-kerjanya.

Seperti arahan Raikal tadi, Julita mengelap ukiran-ukiran di dinding satu persatu dengan perasaan yang jengkel.

”Kenapalah ayah reka benda ni!” Keluh Julita. Tiba-tiba telefon berdering.

”Hello!”

”Hello! Saya dari akhbar Metro. Boleh saya bercakap dengan Encik Raikal?”

”Encik Raikal tak ada di rumah buat masa ni. Kalau Cik nak tinggalkan pesanan, saya boleh sampaikan.”

”Ha, bagus juga kalau macam tu. Saya nak buat interview dengan Encik Raikal, kalau dia setuju, boleh tak dia tinggalkan pesanan pada nombor ni.” Julita menyalin nombor yang diberikan sebelum meletakkan telefon.

Baru dia meletakkan ganggang, telefon berdering lagi. Juga bertanyakan soalan yang sama. Hampir sepuluh panggilan dijawabnya dan semua masih bertanyakan soalan yang sama. Julita merasakan bahawa dia sudah bertukar kerja sekarang menjadi pembantu peribadi Raikal. Famous sangat ke mamat ni sampai semua akhbar kat Malaysia ni semua nak interview dia. Julita mencebik dan menyambung semula kerjanya.

Selesai mengemas bahagian ruang tamu, dia masuk pula ke dalam bilik Raikal untuk mengemas mana-mana yang patut di kemas. Cadar ditegangkan dan dikemas rapi. Baju-baju kotor di dalam bakul di bawa ke bilik basuh. Akhir sekali dia mengambil bakul sampah. Sebuah kotak kecil terjatuh betul-betul di kakinya apabila Julita menuangkan isi di dalam bakul ke dalam plastik hitam. Julita membuka kotak tersebut. Dia ternganga. Wow! Cantiknya cincin ni. Julita menyarungkan cincin tersebut di jari manisnya. Muat-muat! Blink! Blink! Blink! Julita tersenyum, cantik betul cincin ni, sesuai sungguh dengan jari aku.

Julita membuka semula cincin itu dan memasukkannya ke dalam kotak semula. Dia akan bertanya pada Raikal nanti tentang cincin itu. Betulkah dia tidak mahu cincin ini lagi, jika dia tidak mahu, aku mahu.

Deruman enjin kedengaran masuk ke kawasan rumah. Julita menjenguk. Raikal sudah pulang. Wajahnya kelat menunjukkan ketensionannya. Dia mencampakkan kunci kereta di atas meja kopi dan duduk bersandar. Kepalanya di letakkan di atas dahi seolah-olah mempunyai masalah yang amat besar. Telefon yang terletak di atas meja berdering. Tanpa berlengah, dia mencabut wayar telefon dan kemudian naik ke atas untuk menukar baju. Julita yang memandang hanya mampu mencebik. Buang tebiat ke apa, ke salah makan ubat pagi tadi. Tadi pergi elok je, balik-balik terus bad mood. Mengalahkan perempuan, mood tak tentu hala.

Ha! Tadi ada pesanan.. lupa nak beritahu. Julita berpura-pura mahu mengelap meja kopi apabila Raikal turun dan duduk semula di sofa untuk membaca akhbar.

”Tadi...” Julita cuba melihat respon Raikal sebelum meneruskan kata-katanya. Raikal menjeling sebelum matanya tertumpu semula pada surat khabar yang dibaca.

”Ada banyak orang dari surat khabar telefon, Mereka kata nak interview awak. Mereka kata lagi kalau awak setuju, mereka akan call semula petang ni.” Raikal masih seperti tadi, tidak berkutik langsung dari tempat duduknya.

”Kalau awak nak call mereka semula pun boleh, ni nombornya.” Julita mengeluarkan sekeping nota kecil dari poket apronnya dan meletakkan di atas meja. Bukan sahaja tidak menjengah, menoleh dan menjeling pun tidak.

”Aku rasa macam aku cakap dengan dinding.” Mulut Julita kumat-kamit memarahi Raikal yang membuat Julita berasa dirinya bercakap dengan ukiran yang direka ayahnya yang dibersihkannya separuh mati tadi.

Julita menyambung kerjanya dengan hati yang agak menjengkelkan. Tiba-tiba matanya terpandang headline yang dibacanya tadi.

”Betul ke awak nak kahwin?” Tanya Julita. ”Dengan siapa ye? Sienna ke? Sebab gosip awak yang terbaru ni dengan Sienna jekan? Ke ada orang lain? Ermm...Eh, bukan ke baru-baru ni ada gosip kata awak keluar dengan seorang pramugari? Dengan dia ke?” Raikal hanya mendiamkan diri. Melihat pertanyaannya tiada sambutan, Julita bertanya lagi.

”Aaa..awak tahu, kawan saya pernah nampak awak makan dengan Juliana Evans, awak ada apa-apa ke dengan dia? Tak sangka ye, orang macam awak ni ramai peminat. Kalaulah mereka tahu perangai sebenar awak macam mana, mereka tentu tak berani nak dekat. Perangai tengin macam awak ni siapalah boleh..”

”Hei! Pagi-pagi lagi dah ada lalat hurung telinga. Pergi basuh tandas!” Marah Raikal.

”Dah basuh dah tadi..”

”Kalau dah basuh, pergi buat kerja lain.”

”Siap dah semua, tinggal ni je tak siap lagi. Tengok ni, banyak sangat habuk. Awakkan tak suka kalau nampak habuk-habuk ni, kan..kan..” Ujar Julita sambil tersenyum mengejek.

”Huh! Kenapalah aku tak boleh hidup dengan tenang sejak akhir-akhir ni. Ada je pengacau!” Raikal membawa surat khabar ke luar dan duduk di atas buaian.

”Eleh, orang tanya sikit pun nak marah. Sentap betul!” Julita mencebik.

Dengan perasaan jengkel, Julita mengambil penyapu di dalam bilik stor dan terus ke ruang tamu. Hatinya menjadi marah melihat kertas-kertas dan sampul surat bertaburan di atas meja.

”Kata tak boleh tahan tengok sepah-sepah. Dia buat sepah tak apa, busuk punya orang.” Kutuk Julita. Tangan Julita pantas menyusun kertas-kertas dan sampul yang berselerakan. Tiba-tiba matanya terpaku pada satu sampul berwarna putih yang mempunyai logo Arakian, syarikat penerbitan terkenal di Malaysia. Wow! Jemputan VIP lagi. Bila ni, malam ni? Inilah peluang aku untuk berjaya! Yes!! Yes!! Aku akan minta kebenaran Raikal untuk ikut sama. Perasaan Julita bertukar menjadi berbunga-bunga. Dia menyimpan semua sampul-sampul tadi ke dalam almari dan menepuk-menepuk sampul itu dengan senyuman yang gembira. Peluang..peluang... Inilah peluang keemasan aku. Dapatlah aku bayar semua hutang aku kat monyet tu dan lepas tu bolehlah aku tebus balik rumah ni. Julita berlari mendapatkan Raikal.

”Awak..awak..” Raikal menjeling.

”Apa lagi?” Tanya Raikal dengan nada sengaja ditekan untuk menunjukkan bahawa dia sememangnya tidak mahu diganggu sekarang.

”Ni..ni...boleh tak kalau saya nak ikut majlis ni.”

”Majlis apa?” Raikal bertanya pelik.

”Arakian..” Wajah Raikal berubah, dia membuka semula suratkhabar yang dilipat tadi.

”Boleh tak?” Desak Julita lagi.

”Tak boleh!” Jawab Raikal acuh tak acuh.

”Bolehlah, saya nak cari peluang untuk terbitkan novel saya. Kalau novel saya dah diterbitkan, saya bolehlah tebus rumah ni dan takkan menyusahkan awak untuk selama-lamanya lagi. Boleh ye..” Julita membuat gaya seperti kucing shrek untuk meminta simpati.

”Tak boleh!”

”Kenapa!”

”Menyusahkan..”

”Saya janji kalau saya terserempak dengan awak nanti, saya buat-buat tak kenal. Anggaplah saya ni makhluk asing pun saya tak kisah. Saya cuma nak masuk je. Lepas tu awak buatlah hal awak, saya dengan hal saya, bolehlah.....bolehlaaaahhhhhh....” Rayu Julita lagi.

”Bising betul, pergi buat kerja kat dalam!” Raikal menekan suaranya lebih dalam, menahan geram.

”Nak bawa saya ke tak nak!”

”Tak nak! Takkan! Never!” Julita menjeling Raikal yang tidak mengendahkannya lagi sebelum berlalu pergi. Kerana terlalu geram, dia berpatah balik lalu menyepak kaki Raikal dan masuk semula ke dalam rumah. Raikal pula menjerit kesakitan sambil menyumpah-nyumpah Julita.

”Kedekut! Macamlah aku teringin sangat nak ikut kau. Perasaan famous! Huh!” Julita mencampakkan towel yang disangkutkan di bahunya tadi ke atas meja. Tapi...dia bukan boleh buat apa pun kalau aku pergi ke sana. Kalau aku terserempak ke dengan dia kat sana, aku akan buat-buat tak kenal. Janji ada kad jemputan, orang tak boleh halau aku.. Hahaha... tanduk di kepala Julita sudah muncul. Dia ketawa jahat sendirian.. Ops! Julita menjenguk untuk melihat Raikal, dia masih ada di tempatnya tadi. Cepat-cepat dia membawa sampul berisi kad jemputan itu masuk ke dalam biliknya. Lupa sudah dia dengan kerja-kerjanya tadi. Kini dia sudah berdiri di hadapan cermin sambil menggayakan beberapa helai pakaian yang mahu dipakainya malam ni.. Hatinya berbunga-bunga. Selepas ini tiada lagi kerja-kerja rumah, bangun pagi dan masak-memasak. Rumah ini Julita yang punyaaaa.. Hai, senangnya dalam hati~~ Lalaaallaa.. Hati Julita berbunga riang.

Sunday, September 19, 2010

Syurga Cinta 10

Julita pulang ke rumah dengan langkah yang longlai. Hancur hatinya diperlakukan begitu. Tak sangka mereka begitu kejam dan melarikan diri semula. Mood dia sudah hilang untuk membeli belah. Julita duduk di perhentian bas sambil melayani perasaannya yang sudah terbang melayang jauh.

Sementara itu, Raikal sedang bersiap sedia untuk menemui Medina di sebuah restoran eksklusif ternama di ibu kota. Dia sudah menempah strawberi coklat kesukaan Medina dan pemain piano untuk mendendangkan muzik sebaik sahaja dia menerima lamaranku.
Aku akan memberikan isyarat khas pada pemain piano untuk dia memainkan piano. Raikal duduk dengan tenang di atas kerusi walaupun sebenarnya hatinya berdegup kencang menunggu ketibaan Medina. Tidak lama kemudian, Medina datang dengan senyuman penuh kemesraan. Anggun sekali dia malam ini. Aku membalas senyuman dengan hati berdebar. Aku bangun dan menarik kerusi untuknya duduk di hadapanku.

”Wow..romantiknya Abang Kal malam ni. Ajak Med makan kat tempat eksklusif pula tu. Ada apa-apa yang kita nak celebrate ke ni?” Aku terbatuk-batuk kecil mendengar pertanyaannya.

”Tak ada apa-apa..Cuma..malam ni, rasa macam nak..makan..erm..berdua dengan Med..” Tergagap-gagap aku melafazkan kata-kata yang sememangnya sudah ku hafal dari semalam jika Medina bertanyakan tujuan makan malam ini.

”Really? Medina tak sangka pula..” Aku memanggil pelayan yang sememangnya sedang menunggu isyaratku dari tadi untuk mengambil pesanan. Pelayan tersebut menyerahkan buku menu kepada kami. Setelah mengambil pesanan, pelayan tersebut beredar dan kami berborak-borak kosong sementara menunggu pesanan sampai.

Tiba-tiba telefon bimbitnya berdering, cepat-cepat Medina menekan butang.

”Assalamualaikum Abang...” Medina tersenyum gembira dihadapanku. Emilkah itu? Gembiranya dia mendapat panggilan dari Emil.

”Nak datang butik? Med ada kat luar ni, bagi Med 15 minit boleh?” Hatiku panas mendengar kata-kata Medina. Medina meletakkan telefon sambil memandangku. Wajahnya girang sekali.

”Sorry Abang Kal, Abang Emil telefon dia kata nak jumpa Med. Med balik dululah ye.” Ujarnya dan terus berlalu keluar.

”Med! Tunggu!” Raikal mengejar dari belakang. Dia menarik tangan Medina.

”Penting sangatkah Abang Emil berbanding Abang Kal?” Medina menolak tangan Raikal yang masih memegangnya.

”Abang Kal kan tahu, dari dulu lagi Med memang sayangkan Abang Emil..”

”Siapa Abang Kal di hati Med?”

”Abang Kal, Med anggap Abang Kal macam abang Med sendiri. Abang ni, macam tak tahu pula!” Sebaris ayat itu membuatkan Raikal terkedu dan membiarkan Medina keluar dari restoran. Hatinya pedih sekali. Raikal bersandar di dinding. Kakinya lemah sekali. Kasih yang diimpikan selama ini lebur begitu sahaja. Abang sendiri??

*****

Raikal terserempak dengan Julita di tepi jalan, langkahnya lemah sekali kelihatan. Raikal membunyikan hon dan memberhentikan kereta di sebelahnya. Kelihatan dia terkejut mendengar bunyi honku lalu menoleh. Dia menjenguk melalui cermin, aku menurunkan cermin kereta.

”Naiklah..”Aku mengarahnya naik. Dia hanya setuju tanpa banyak soal. Barang-barang yang dibawanya di letakkan di tempat duduk belakang dan kemudian dia membuka pintu kereta disebelahku. Wajahnya muram sekali, sama seperti hatiku ketika ini.

”Bahaya awak jalan kaki malam-malam macam ni. Kenapa tak ambil teksi je?” Aku bersuara memecahkan keheningan.” Dia memandangku sekilas dan kemudian memandang ke hadapan semula.

”Saya mana ada duit, lagipun saya dah biasa dengan tempat ni.” Jawabnya ringkas. Aku memikir-mikir sesuatu apabila mendengar rentak nadanya yang lemah.

”Kenapa awak pun macam tak ada mood je?” Aku bertanya.

”Saya memang tak ada mood hari ni, jadi saya syorkan awak jangan buat saya marah hari ni, boleh?”

”Dah makan?” Dia menggelengkan kepala perlahan. Aku berfikir sejenak.

”Kita makan dululah.” Serentak dengan itu, aku memutarkan stereng dan keluar semula dari jalan untuk pulang ke rumah. Julita tidak berkata apa dan hanya bersetuju sahaja walaupun pada mulanya dia memandangku seperti tidak percaya bahawa aku akan mengajaknya keluar.

Aku membawanya ke sebuah restoran yang biasa aku kunjungi. Kami duduk di bahagian yang agak tersorok sedikit kerana mahukan privasi. Aku memesan nasi goreng USA dan air milo kesukaanku, Julita pula memesan nasi goreng pattaya dan limau ais. Sementara menunggu hidangan sampai, kami hanya terdiam. Aku memandang Julita, dia mengulit-ulit sudu yang diletakkan di atas meja dan memandangnya tanpa sebarang perasaan. Selalunya Julita seorang yang banyak cakap dan suka bergaduh denganku, apakah yang menyebabkan moodnya begitu teruk sekali malam ini. Terlupa pula aku dengan kesedihanku tadi apabila melihat Julita yang juga seperti sedang bersedih.

”Awak ni kenapa?” Tidak betah melihatnya berkeadaan begitu, aku menegurnya. Dia memandangku terkejut.

”Tak ada apa-apa.” Ujarnya sambil menggelengkan kepala. Tidak lama kemudian, makanan pun sampai. Kami mula menjamah makanan masing-masing tanpa sebarang bunyi. Aku masih lagi memerhatikan Julita. Dia menguis-nguis nasi di pinggannya tanpa menyedari aku masih memerhatikannya.

”Tak sedap ke nasi tu?” Aku menegurnya lagi.

”Aa..sedap..sedap.” Terus dia menyuap nasi ke mulutnya. Aku menyambung makan. Sebenarnya aku juga sudah kehilangan selera lebih-lebih lagi apabila mengenangkan peristiwa yang aku anggap memalukan tadi. Nasi Julita hanya luak suku sahaja apabila aku menyudahkan nasiku yang sengaja kutinggal sedikit lagi baki di dalam pinggan kerana sudah tidak lalu untuk menelannya. Aku mengambil gelasku dan menghirup sambil mataku masih lagi memandang Julita. Dia menguis-guis nasinya seperti tadi.

”Tak lalu ke?” Julita memandangku, dia mengangguk lemah.

”Kalau tak lalu, sudah..tak payah makan. Saya bayar dulu ye.” Serentak dengan itu, Julita menolak pinggannya ke tengah. Aku bangun dan menuju ke kaunter. Apabila aku kembali ke meja, ku lihat Julita sedang termenung lagi. Sadis dia ni, mesti ada sesuatu yang menganggu fikirannya ketika ini, jika tidak takkanlah dia bersikap muram seperti ini. Mesti masalah yang menimpanya sangat berat. Seberat-berat masalahku, aku masih lagi mampu menanggungnya, tapi dia..

”Jom..” Aku mengajaknya keluar dari restoran. Dia bangkit dari kerusi dan mengekoriku. Kami beriringan menuju ke kereta. Di dalam kereta, Julita masih senyap dan hanya termenung memandang keluar. Melihatnya masih bersedih, aku memberhentikan kereta di hadapan deretan kedai yang masih beroperasi.

”Kunci kereta, saya nak beli barang sekejap.” Julita mengangguk tanda faham. Aku menuju ke Secret Recipe untuk membeli kek. Makan benda-benda yang manis ketika tekanan mungkin boleh mengurangkan tekanan yang dihadapi. Dan mungkin juga dia akan menyukainya. Aku juga singgah di seven eleven untuk membeli minuman ringan.

Aku mengetuk cermin pintu apabila Julita tidak menyedari kehadiranku. Termenung lagi..Dia nampak terkejut namun apabila melihatku, dia terus menarik kunci pintu. Aku meletakkan bungkusan kek di bahagian belakang.

Kami meneruskan perjalanan namun aku tidak menuju ke rumah, tetapi ke dataran Perdana.

”Kita nak pergi mana ni?” Julita bertanya apabila menyedari aku tidak menuju ke rumah.

”Jalan-jalan sekejap.” Aku memakir kereta ditepi sebuah bangku panjang. Kami berdua keluar serentak. Aku melihat sekeliling, ramai orang masih berkeliaran di dataran tersebut. Ada yang bersama keluarga, ada juga yang datang berpasangan. Julita duduk di bangku, aku pula ke belakang mengambil bungkusan kek yang ku beli tadi di tempat duduk belakang. Aku duduk di sebelah Julita, kek tadi diletakkan di tengah-tengah antara kami.

”Awak beli kek?” Dia bertanya sambil tangannya membuka kotak kek tersebut.

”Ermm..makanlah, makan benda manis mungkin boleh mengurangkan stress.” Aku berkata dengan nada mendatar sambil memandang tingkahlaku orang yang lalu lalang di hadapan kami.

”Awak pun tak ada mood ke malam ni?” Aku membetulkan dudukku dan berdehem, tidak senang dengan pertanyaan Julita. Aku tidak mahu dia mengetahui bahawa aku sedang kecewa. Julita menjengulkan muka dihadapanku. Aku berpura-pura memandang ke tempat lain. Tidak mahu dia mengesan riak wajahku yang sudah berubah apabila tekaannya memang betul.

”Jangan rasa malu untuk pamerkan yang kita sebenarnya sedang kecewa. Tengok macam saya, saya sekarang memang tension, tension sangat.”

”Kenapa awak tension malam ni?” Aku bertanya. Julita memandangku sekilas.

”Saya kena tipu..” Kena tipu? Apa maksudnya?

”Saya kena tipu dengan kawan sendiri..mereka..”Mukanya mula berubah menjadi suram tiba-tiba. Aku tidak mahu mencelah, cuma kubiarkan sahaja dia menyambung kata-katanya.

”Mereka kawan baik saya, sampai hati mereka buat saya macam ni..”Mengalir air mata di pipi. Aku memandang sekeliling, takut dituduh membuat seorang gadis menangis di tempat umum.

”Hei.. jangan menangis. Karang orang lain tengok, mereka fikir saya buat sesuatu pada awak.” Aku cuba menghalangnya dari berterusan menangis. Julita menoleh ke arahku. Bukan dia berhenti menangis malah tangisannya bertambah laju. Di tambah esakannya yang semakin kuat membuatkan aku tidak senang duduk. Tidak tahu apa yang patut kulakukan. Akhirnya aku mencapai tin minuman yang ku beli tadi, ku buka dan kuserahkan padanya.

”Minum ni, dah jangan nangis.” Julita menyambut dengan tangisan yang masih bersisa di pipinya. Dia mengelap air matanya dengan belakang tangan.

”Ingat saya budak kecik ke, bagi air boleh terus diam.” Aku tersengih. Aku menyeluk saku dan mengeluarkan sapu tangan yang memang sentiasa ku bawa ke mana-mana lalu ku serahkan padanya.

”Ambil ni, lap air mata tu.” Julita mengambil tanpa banyak soal dan terus mengelap air matanya. Tidak cukup dengan itu, dia juga turut mengeluarkan mukus-mukusnya dan kemudian dia menyerahkan semula padaku. Uh! Sapu tangan aku sudah tercemar dengan anasir-anasir yang tidak diingini.

”Tak apalah..awak ambil terus.” Kataku dengan muka kurang senang. Aku menghirup air tin di tangan. Kami berdua bersama-sama memandang ke hadapan. Diam melayan perasaan masing-masing. Lama kami berdua begitu.

”Kita balik jom..” Tiba-tiba Julita bersuara.

”Awak dah ok ke?” Dia mengangguk. Dia mengemas sisa kek yang tidak habis di makan dan membungkusnya kembali. Aku menghidupkan enjin kereta. Selesai Julita memasukkan semua barang ke dalam kereta, aku terus memulakan perjalanan.

”Thanks...” Aku menoleh. Julita tersenyum, manis sungguh wajahnya. Ini kali pertama aku melihat senyumannya yang manis padaku. Selalunya kami sibuk bertengkar dan aku tidak pernah menyedari kemanisan wajahnya. Aku berdehem untuk mengurangkan rasa terpanaku.

”Hurm...apa salahnya bawa orang gaji jalan-jalan.” Julita menjengilkan mata mendengar kata-kataku.

”Ceh! Saya ingat betullah awak dah jadi baik tadi. Monyet betul!” Aku menjengilkan mata apabila mendengar perkataan monyet.

”Apa awak cakap?”

”Monyet! Bwekk!!” Julita menjelirkan lidah.

”Hei...saya belanja awak makan tau, suka-suka awak je panggil saya monyet! Bayar balik!”

”Tak nak..siapa yang kata nak belanja, saya tak suruh pun!”

”Memang nak kena betullah..orang buat baik tak bersyukur..” Gumamku perlahan.

”Kalau saya tahu, tak payah belanja pun tak apa! Huh! Kedekut..suka mengungkit!”

”Ish! Perempuan ni...” Nasib baik kami sudah sampai ke rumah waktu itu, kalau tak sampai lagi, lama dah aku tinggal, biar dia naik bas balik rumah. Sebaik kereta berhenti, Julita terus keluar dari kereta dan melulu pergi.

”Oi Makcik, jangan nak bersenang lenang, kek kat belakang tu bawa masuk.”

”Malas! Monyet taulah uruskan sendiri!” Balasnya tanpa memandang dan meneruskan perjalanan.

”Ish dia ni kang..kang...dahlah panggil aku monyet! Sabar..sabar..Raikal..” Aku mengurut dadaku yang semakin hilang sabar. Dengan malas, aku mengambil bungkusan kek yang tidak habis di makan tadi dan meletakkan di atas meja makan. Aku mengambil sebotol air mineral dan meneguknya dengan rakus. Aku memandang kek di hadapanku. Gaduh lagi! Tak faham aku perempuan ni, asyik nak marah je..datang bulan agaknya.

Aku menolak sedikit kek tadi ke tepi, tidak berpuas hati! Baik aku naik atas, mandi kemudian tidur. Tak payah serabut-serabut!

Selesai mandi, aku mengelap rambutku yang basah menggunakan towel kecil yang memang ku minta Julita sediakan setiap hari di dalam bilik air. Tiba-tiba aku terdengar bunyi di dapur. Aku menjenguk sedikit ke bawah. Julita rupanya, sedang memasukkan lebihan kek tadi ke dalam bekas sebelum memasukkannya ke dalam peti sejuk. Botol kosong yang ku minum tadi, di buang ke dalam tong sampah sebelum mengelap meja. Erm..nampaknya, keras-keras hati dia pun, ada juga lembutnya. Tadi nampak macam marah sesangat. Aku tersenyum. Julita..Julita..

Aku memerhatikan tindak-tanduknya sehingga dia menghilang semula, barulah aku masuk ke dalam bilik. Aku mencapai bekas cincin yang kuletakkan di atas meja dan di buka. Aku menyentuh cincin yang terletak kemas di dalamnya. Urm...Sabarlah hati....Aku menutup semula bekas tersebut dan terus mencampakkannya ke dalam tong sampah. Piunggg...tepat sekali masuk. Tamatlah sudah riwayat kesan degil. Aku berbaring terlentang di atas katil. Bermacam-macam yang difikirkan sehingga tanpa disedari, aku terlena dan dibuai mimpi.

Tuesday, January 12, 2010

Kotak Hati 3

Kakiku laju menuju ke taman, tempat aku dan Adrian selalu berjumpa. Sudah dua hari aku tidak menemuinya, memang hari ini kami berjanji untuk bertemu. Dari jauh aku sudah melihat Adrian sedang duduk di bangku yang selalu aku duduki jika ke taman ini.
”Hai..lama tunggu?” Aku menyapanya. Adrian berdiri mendengar suaraku.
”Tak, baru saja sampai.” Aku tersenyum mendengar jawapannya, yakin dia menipuku. Mesti sudah lama dia menungguku dari tadi.
”Betul ke ni? Ke dah lama awak tunggu saya ni?” Adrian tersenyum, kacak sekali wajahnya apabila tersenyum begitu.
”Taklah lama sangat. Awak dari kelas ke?”
”Yup! Mmm..apa kata hari ni kita jalan-jalan. Bosanlah asyik duduk sini je. Kita pusing taman ni nak?” Adrian mengangguk, bersetuju dengan cadanganku. Kami berjalan beriringan dengan tangan Adrian memegang lenganku seperti biasa. Dalam perjalanan, kami berborak-borak kosong. Adrian memang seorang yang kelakar, tidak henti-henti dia membuatku ketawa dan tersenyum. Ada sahaja ideanya untuk membuatkan aku ketawa. Tiba-tiba Adrian berhenti melangkah,.
”Hana, baik kita berteduh sekarang. Sekejap lagi nak hujan.” Aku memandang langit, taklah gelap sangat, cuma keadaan agak berangin sedikit. Bagaimana dia mengetahui sebentar lagi hujan akan turun.
”Macam mana...”
”Saya dapat rasakan.” Belum sempat aku bertanya lanjut, Adrian memotong kata-kataku. Seolah-olah dia tahu apa yang bermain di mindaku.
”Belum nak hujan lagi ni...” Sebaik sahaja aku habis mengatakan begitu, hujan turun dengan tiba-tiba. Adrian ketawa. Aku pula ternganga, terkejut kerana tekaan Adrian begitu tepat sekali. Aku menarik lengan Adrian dan kami berlari-lari anak ke pondok kecil yang kebetulan berada berhampiran dari tempat kami berhenti tadi. Habis basah lencun baju kami berdua. Aku mengibas-ngibas bajuku, Adrian pula mengibas-ngibas rambutnya yang basah. Kacak sekali melihatnya dalam keadaan begitu.
”Awak patut jadi peramal cuaca, tekaan awak memang tepat. Macam mana awak tahu hujan akan turun?” Ujarku seraya membantunya mengibaskan bajunya yang sudah lencun.
”Itu senang je, bila hujan nak turun..saya rasa bau awak lagi kuat.”Aku pelik, apa kena mengena bau badan aku dengan hari nak hujan. Aku menghidu badan dan ketiakku, mana ada bau.
”Apa kena mengena cuaca dengan bau saya?” Adrian tergelak mendengar kata-kataku.
”Percaya?” Terbeliak mataku mendengar kata-katanya, mati-mati aku percaya dengan kata-katanya tadi.
”Adrian!!” Jeritku sambil memukul lengannya. Adrian tergelak besar.
”Janganlah marah, saya bergurau sahaja. Macam mana saya tahu, entahlah...sejak saya buta ni, saya banyak belajar mengenai alam. Tentang perubahan-perubahan cuaca..contohnya macam tadi. Saya dapat rasakan hari nak hujan tadi, sebab saya dapat rasakan perubahan tekanan udara sekeliling saya. Mungkin betul kata orang, orang buta ni lebih sensitif dengan keadaan sekelilingnya.” Aku mengangguk-angguk, memahami kata-katanya tadi.

”Awak banyak kelebihan sebenarnya.” Kataku memuji.
”Ye ke? Tidak sebenarnya, saya terpaksa belajar banyak benda untuk sesuaikan diri saya dengan keadaan sekitar. Untuk memudahkan saya juga sebenarnya.” Adrian cuba menafikan kebolehan yang dimiliknya.
Aku terdiam, takut jika kata-kataku mungkin akan membuatnya kecil hati pula. Orang buta mungkin akan menjadi sensitif jika perkara tentang kecacatannya ini dibincangkan selalu. Aku memandang keluar, memandang hujan yang semakin lebat.
”Nampak gayanya, hujan makin lebatlah.” Sengaja aku menukar topik. Tanganku menadah air hujan. Aku mengangkat tangan Adrian supaya tangannya juga menadah air hujan sepertiku. Supaya dia dapat merasai betapa lebatnya hujan turun. Adrian tersenyum.
”Tak apa, hujan macam ni taklah lama sangat, dalam 15 minit berhentilah.” Aku memandangnya kagum.
”Ok...saya tak nak dah kagum pada awak, saya nak tengok je betul ke tak kata-kata awak, baru saya akan kata saya kagum.”
”Awak dengar tak?” Ujar Adrian tiba-tiba.
”Dengar apa?” Aku memandang tepat pada wajahnya.
“Irama...irama yang dihasilkan dari air hujan.” Aku mengerutkan dahi, cuba mencari irama yang dikatakan Adrian tadi.
“Tak ada pun...” Aku bersuara.
“Shh...jangan bercakap. Cuba dengar betul-betul.” Aku menuruti kata-kata Adrian, namun masih gagal mengesan sebarang bunyi selain bunyi air hujan yang terkena bumbung pondok kecil tersebut.
“Dengar tak?” Adrian bertanya.
“Mm....tak dengar apa-apa pun.” Aku berterus terang dengannya. Adrian memegang bahuku dan memusingkan aku supaya membelakanginya, kemudian dia menyuruhku memejamkan mata dan melarangku bersuara. Dia menyuruhku bertenang dan menarik nafas panjang. Kemudian dia menyuruhku memberi perhatian dan fokus. Adrian menyuruhku mendengar dengan teliti akan keadaan sekeliling. Aku cuba fokus, makin lama duniaku hanya mendengar bunyi yang dihasilkan oleh air hujan seperti yang dikatakan oleh Adrian.
“Cuba awak dengar betul-betul titisan air hujan tu..bila awak fokus betul-betul, awak akan dengar irama yang terhasil dari air hujan tu…tik..tik…tik…” Adrian bersuara perlahan di cuping telingaku. Aku mulai mendengar kebenaran kata-katanya, jika didengari betul-betul..titisan air hujan itu membentuk satu irama yang menarik. Aku tersenyum apabila dapat mendengar ritma dan rentak yang terhasil dari titisan-titisan air hujan yang semakin lebat itu. Aku membuka mataku dan terus menoleh ke arah Adrian. Terkejut aku apabila wajah Adrian betul-betul berada dekat dengan wajahku. Aku beranjak sedikit darinya, Adrian melepaskan tangannya di bahuku.
“Kenapa?” Adrian bertanya.
“Mmm...saya tak selesa.” Aku cuba berterus terang dengannya.
”Tak selesa, oh..saya faham, awak mesti tak selesa sebab bukan ahli keluarga awak yang pegang awakkan, apa tu..bukan muhim.” Hai, pandai pula Adrian ni bercakap tentang agama.
”Muhrim, bukan muhim.” Aku membetulkan perkataan yang salah dituturkan padanya.

”Ha, saya nak cakap yang itulah tapi saya lupa. Baiklah, saya takkan sentuh awak sesuka hati lagi. Asalkan awak selesa dengan saya.” Aku memandangnya, tidak sangka dia sangat memahami isi hatiku.
“Awak, jom balik. Hujan dah redha sikit.” Adrian tersenyum, aku hairan melihatnya tersenyum.
”Sekarang awak dah kagum belum?” Aku pelik mendengar pertanyaannya, kagum? Kenapa aku perlu kagum?
”Kagum, kenapa saya nak kagum pula?” Tiba-tiba aku teringatkan kata-kataku tadi, jika hujan berhenti dalam masa 15 minit, barulah aku akan kagum dengan kebolehannya.
“Ok! Ok! Awak memang hebat.” Aku tergelak kecil apabila teringatkan kata-kataku tadi, tidak sangka dia boleh mengingati ayatku tadi. Dia juga tersengih nakal.
******
Malam itu aku dan Sofia bertengkar lagi. Kali ini pertengkaran kami bertambah hebat, Sofia berterusan menghinaku dan mengatakan aku seorang anak yatim piatu yang tidak berguna, miskin dan tidak layak berkawan dengan orang yang mempunyai standard. Aku cuba melawan kata-katanya namun akhirnya aku mengalah. Kata-katanya lebih pedas dan menyakitkan hatiku. Air mataku mengalir deras buat sekian kalinya, malam itu juga aku mengemas pakaianku dan keluar dari rumah tersebut. Kebetulan Iman tiada untuk menyokongku kerana dia tidur di rumah rakan sekuliahnya untuk menyiapkan. Aku nekad untuk berpindah dari rumah itu tanpa memberitahu Iman terlebih dahulu. Sebelum aku keluar dari rumah, Sofia hanya menjelingku dan apabila aku keluar dari rumah, Sofia sempat menghinaku lagi dan menghempas pintu dengan kuat tanda betul-betul tidak menyukaiku. Sepanjang jalan, air mataku mengalir tidak berhenti. Akhirnya aku berhenti di taman yang selalu aku kunjungi untuk bertemu Adrian. Lama aku duduk di situ sambil memikirkan di manakah tempat yang patut aku tuju untuk berteduh malam itu. Tiba-tiba aku teringatkan tawaran Adrian untuk menyewa bilik untukku. Kebetulan rumahnya memang terletak tidak jauh dari situ. Aku bingkas bangun dan menarik begku menuju ke rumah Adrian. Rumah Adrian gelap. Ada orang tak ni?
“Tok!Tok!Tok!” Aku mengetuk pintu rumah Adrian. Tiada jawapan. Mungkin dia tiada di rumah agaknya. Aku duduk mencangkung di tepi pintu sambil menggigit kuku jari. Memikirkan destinasi lain yang harus ku tuju jika Adrian tiada di rumah. Tiba-tiba pintu rumah Adrian terbuka.
”Siapa?” Cepat-cepat aku berdiri menghadapnya.
”Hana?” Adrian bertanya, aku menundukkan kepala. Berfikir bagaimana dia mengetahui bahawa akulah yang datang ke rumahnya tengah-tengah malam ini.
”Macam mana awak tahu saya yang datang?” Aku menyoalnya, pelik buat sekian kalinya.
”Saya tahu bau awak, lavender..ingat apa yang saya cakap di taman tempohari?”
”Saya ingat.” Aku terdiam selepas itu.
“Kenapa awak datang ke sini malam-malam ni, sekarang dah pukul...” Adrian meraba jam tangan yang dikhaskan untuk orang buta di tangan kirinya.
”Pukul 11.30.” Adrian menyambung kata-katanya yang tergantung tadi.
”Mmm...Sebenarnya saya nak sewa bilik rumah awak, tawaran awak masih terbuka?”
”Sudah tentu, mari masuk.” Adrian membantuku dengan mengangkat beg yang ku bawa tadi. Aku cuba melarangnya namun dia bertegas mahu menolongku membawanya, akhirnya aku membiarkan sahaja dia mengangkat begku. Aku melangkah masuk ke dalam rumah, terpana aku seketika melihat susun atur rumah yang nampak mewah dan kemas apabila Adrian memetik suis lampu.
”Betul ke awak tinggal seorang diri?” Aku bertanya pada Adrian.
”Ya..kenapa?”
”Rumah awak nampak kemas, awak kemas sendiri ke?” Adrian tergelak mendengar pertanyaanku. Aku merasa pelik, kelakar ke pertanyaanku tadi?
”Kenapa awak gelak?”
”Mestilah bukan saya yang mengemasnya, saya tak tahu pun rumah ni bersih atau bersepah.”
”Habis tu? Rumah awak memang nampak kemas. Mesti ada seseorang yang mengemasnya..”
”Kan saya dah beritahu awak, pembantu saya baru berhenti. Jadi sebelum dia berhenti, saya minta dia kemaskan dulu rumah saya ni. Sebab tu rumah saya kemas dan bersih.”
”Ooo...Macam tu.”
”Mari saya tunjukkan bilik awak.” Adrian meraba-raba untuk mencari tanganku. Kemudian, dia menarik tanganku. Aku menariknya semula. Tidak selesa dipegang olehnya.
”Kenapa?” Aku mendiamkan diri, tidak tahu bagaimana mahu menerangkan padanya bahawa sentuhan kulit antara bukan muhrim adalah haram.
”Oh! Maaf, saya terlupa. Awak tak suka...” Dia menarik lenganku, dan sememangnya Adrian tahu aku tidak pernah memakai baju lengan pendek jika aku keluar ke mana-mana. Adrian membawaku menuju ke sebuah bilik. Dia membuka sebuah pintu.
”Ini bilik awak.” Aku menjenguk ke dalam bilik. Mataku terbeliak, bilik tersebut sangat cantik, dilengkapi perabot dan kemudahan yang lengkap. Tandas juga turut disediakan di bilik tersebut. Katil yang disediakan bersaiz king dan tilam empuk yang tebal turut disediakan. Aku mengusap-usap cadar katil, lembut..pasti dari kain yang mahal. Meja solek yang antik buatannya dan sangat besar tersergam di tepi katil. Permaidani tebal yang sangat lembut dihamparkan di atas lantai. Tebal sehingga kakiku tenggelam apabila melangkah.
”Awak pasti ini bilik saya, bukan bilik awak?” Adrian mengangguk.
”Bilik saya bertentangan dengan bilik awak. Saya memang sediakan bilik ini khas untuk awak. Perabot ni semua memang saya beli untuk awak, harap menepati citarasa awak.” Aku mengusap-usap lenganku sambil berfikir.
”Woo...mesti sewa dia mahal, saya tak mampu. Lagipun saya tak harapkan bilik seperti ni, kalau ada tilam nipis pun dah mencukupi bagi saya. Janji saya ada tempat berteduh dan tempat untuk belajar dengan tenang.”
”Mari kita bincang di luar.” Adrian meninggalkanku terkedu keseorangan di bilik tersebut. Aku memandang sekeliling buat sekian kali, aku rasa aku tidak akan mampu membayar sewa bilik ini, lebih baik aku mencari bilik lain.
”Adrian..”Aku mengekorinya. Adrian duduk di sofa. Dia menyuruhku duduk di sofa di hadapannya.
”Saya rasa saya tak mampu bayar sewa bilik awak tu. Saya fikir baik saya cari bilik lain, awak tak marahkan kalau saya tak jadi sewa bilik awak?” Adrian terdiam.

”Awak marah ke?” Adrian masih lagi mendiamkan diri. Aku merasa serba salah, dia terasa ke aku tak jadi nak sewa.
”Saya minta maaf ganggu awak malam-malam ni. Saya rasa tindakan saya datang ke sini adalah silap saya.” Ujarku seraya terus bangun. Rasa bersalah kerana menganggunya malam-malam begini.
”Tunggu..” Tiba-tiba Adrian bersuara. Tangannya meraba-raba mencariku. Dia menarik lenganku dan menyuruhku duduk semula. Aku menurutinya. Adrian duduk di sofa kembali.
“Siapa kata yang saya nak letak bayaran sewa bilik tinggi-tinggi?” Aku mengerutkan dahi.
“Habis tu, tengok bilik pun saya dah boleh agak dah, mesti bayaran sewa yang awak akan kenakan mahal.”
“Saya tak cakap pun. Saya tak akan kenakan bayaran untuk sewa bilik tu?”
“Ha? Betul ke?” Aku terkejut bercampur keliru mendengar kata-katanya.
”Ya..Tapi..”
”Tapi?” Aku memotong cakapnya.
”Awak kena bayar dengan tubuh awak.” Cepat-cepat aku bangun dengan perasaan marah.
”Saya dah agak dah bila awak kata awak tak kenakan bayaran untuk bilik tu, tapi saya tak sangka awak sanggup anggap saya seperti pelacur. Saya benci awak!” Ungkapku dengan keadaan marah sambil membaling dua bantal kusyen ke arahnya. Dia menepis lontaranku. Aku ingin segera berlalu namun sempat di tahan oleh Adrian.
”Bila masa pula saya anggap awak pelacur.” Aku memandangnya dengan perasaan marah. Adrian memegang lenganku. Takut jika aku melarikan diri.

”Tadi, awak kata awak nak saya bayar sewa dengan tubuh saya. Awak jangan cakap saya salah faham. Perkataan yang awak gunakan tu dah terang lagi bersuluh mengatakan awak nak saya jadi pelacur.” Adrian tergelak kecil.
”Awak dah salah sangka, bukan itu maksud saya. Ya, memang saya mahu awak bayar dengan tubuh awak, tapi bukan dengan melacur. Maksud saya, saya nak awak bayar dengan perkhidmatan awak.”
”Ha tu...bukan ke itu maksud awak, perkhidmatan tu samalah dengan melacur.” Aku merentap lenganku dari terus di pegangnya namun gagal, Adrian enggan melepaskannya.
”Dengar dulu saya cakap, janganlah marah-marah macam ni.” Aku terdiam. Ingin mendengar apa yang ingin dikatakan Adrian.
”Saya nak awak bayar dengan perkhidmatan tu maksudnya, saya nak awak jadi pembantu saya. Tolong saya kemas rumah, sediakan makanan untuk saya, bersihkan apa-apa yang patut, bukan nak awak jadi pelacur.” Aku menutup mulutku dengan sebelah tangan, mukaku berubah serta merta.
”Ooo...Kenapa awak tak cakap awal-awal.” Aku tersenyum malu, malu kerana memikirkan yang bukan-bukan tentang Adrian.
”Dah awak tak bagi saya peluang untuk terangkan, tahu-tahu awak dah mengamuk.” Aku menutup mulut untuk menutup gelak.
”Manalah saya tahu, awak patut gunakan ayat yang betul. Ni awak gunakan perkataan yang salah, memanglah saya salah sangka. Aku tersengih.
“Dah..mari saya angkatkan barang awak masuk dalam bilik.” Adrian menawarkan diri. Aku menolak.
”Eh..tak apa..tak apa..saya boleh angkat sendiri.” Ujarku lalu dengan cepat mengangkat barangku sendiri. Aku tidak mahu menyusahkan Adrian lagi. Adrian mengekoriku sehingga ke pintu bilik.
”Harap awak dapat duduk dengan selesa di rumah saya. Oklah..mesti awak dah penat, saya pun nak masuk tidur dah ni, esok saya kena kerja. Selamat malam..” Ucapnya sebelum berlalu. Sempat dia menutupkan pintu untukku.
Aku memandang beg-begku di tepi pintu, aku menarik begku menghampiri katil lalu membukanya luas-luas. Malam itu juga aku mengemaskan semua barang-barangku sehingga ke pukul dua pagi barulah selesai semuanya. Selepas itu, aku tertidur lena sehingga ke pagi, langsung tidak sedar keadaan sekeliling. Mungkin kepenatan mengemaskan barang di tambah tekanan perasaan yang ku alami membuatkan aku merasa letih sekali.
*******
Tidurku yang lena terganggu apabila sinar matahari menyilaukan mataku, aku menutup mataku dengan tangan. Kacaulah matahari ni, nak tidur pun tak senang!
Tiba-tiba aku teringatkan sesuatu, spontan aku terbangun dan duduk. Aku melihat jam tangan di tanganku, pukul 8!! Aku kena kerja ni, mampus aku!! Mujur sekarang aku sedang bercuti, kalau tak mesti terlepas sembahyang subuh. Cepat-cepat aku membasuh muka dan menggosok gigi. Tergesa-gesa aku membuka pintu bilik. Buka sahaja pintu, aku melihat Adrian sedang duduk di sofa sambil mendengar radio. Aku mendekatinya.
”Sorry..saya terlambat bangun. Saya buat sarapan sekarang.” Aku cepat-cepat pergi ke dapur.
”Hana..” Adrian memanggilku, membuatkan langkahku terhenti.
”Saya dah belikan sarapan tadi, makanan ada di atas meja.” Aku menggaru-garu kepalaku yang tidak gatal. Kali pertama aku bekerja di sini, tapi nampaknya aku telah gagal menjalankan tugasku.
”Adrian..saya betul-betul minta maaf, saya tak sedar tadi. Terlupa nak set jam malam tadi.”
”It’s ok..never mind. Ada kelas ke hari ni?” Adrian bertanya. Aku mendekatinya semula.
”Ada, pukul 10 nanti. Kalau saya tak sempat habis kemas, boleh tak saya sambung lepas saya balik kelas?” Aku cuba meminta keizinan padanya.
”Boleh, awak janganlah fikir saya ni diktator sangat. Yang penting pelajaran awak tu dulu. Dah, pergi makan sarapan.”
”Tak apalah, saya nak kemas rumah dulu.” Ujarku sambil berlalu ke dapur untuk mencari penyapu. Pukul sembilan lebih, aku bersiap untuk ke kuliah.
”Adrian, saya sambung kemas nanti tau. Saya pergi kelas dulu.” Adrian yang masih duduk di sofa hanya menganggukkan kepala. Tiba-tiba aku teringatkan kata-katanya malam tadi.
”Eh, awak kata malam tadi, awak nak pergi kerja?”
”Aa..Oo...saya sengaja ambil cuti tadi.” Ujarnya tergagap-gagap. Aku pelik namun kerana sudah terlambat, aku tidak jadi hendak bertanya dengan lebih lanjut lagi tentang perkara tersebut.
”Tak apalah, saya pergi dulu.” Ujarku lalu menutup pintu. Keadaan sunyi seketika.
Setelah memastikan Raihana benar-benar pergi, Adrian mencapai telefon bimbitnya.
”Anne..I think I’ll be here for a long time, but can you stop hire someone to clean my house..” Adrian terdiam seketika.
“Don’t worry, I meet someone..” Adrian tergelak kecil selepas itu.
“Just do your work, busybody girl!” Adrian tersenyum sebelum menekan punat off.
Senyuman Adrian masih terukir di wajahnya. Hari ini memang Adrian berasa senang hati, senang hati apabila Raihana kini di sisinya, menjaga makan minumnya..Adrian gembira sehingga dia mengambil cuti sempena kedatangan Raihana.
“Raihana…” Sebut Adrian perlahan sambil mengurut-urut dagunya yang licin.
Tepat pukul dua petang, Raihana sudah sampai ke rumah.
”Saya dah balik!” Katanya memaklumkan padaku. Aku tersenyum padanya, buku bertaip braille di peha kututup dan diletakkan di sebelah.
”Awak dah lapar? Kejap ye saya masak.” Raihana meninggalkanku dan berlalu ke bilik. Mungkin untuk menukar baju agaknya. Tidak lama kemudian, dia keluar semula dan menghampiriku.
”Awak nak makan apa?”
”Apa saja awak masak untuk saya, saya makan..” Aku dengar tapak kaki Raihana menuju ke dapur, tidak lama kemudian bunyi periuk berlaga kedengaran di dapur. Aku tersenyum lagi, terasa bahagia saat ini. Seolah-olah kami adalah sebuah keluarga, Raihana memasakkan makanan untukku dan aku menunggu di sofa sementara menunggu Raihana memasak.
Setelah selesai, Raihana memanggilku untuk makan.
”Awak..Ermm..nak tanya sesuatu boleh tak?” Raihana bertanya ketika aku sedang menyuap makanan. Aku mengangguk.
”Bilik saya tu memang macam tu ke?”

”Macam apa?” Aku bertanya pelik.
“Yelah, perabot-perabot semua tu. Ke ada orang pernah duduk di situ?”
“Tak ada, bilik tu memang saya hiaskan untuk awak sejak awak beritahu awak nak pindah rumah hari tu.”
“Memang untuk saya?” Aku menganggukkan kepala lagi.
“Ohh..Ok..” Kedengaran suaranya seperti tidak yakin dengan kata-kataku namun dia tidak meneruskan pertanyaannya lagi. Aku meneruskan suapanku. Perbualan kami tentang bilik itu terhenti sampai di situ.
Tiba-tiba telefon bimbitku yang terletak di meja sofa berbunyi nyaring, aku berlari-lari anak mengambil telefon tersebut. Iman! Cepat-cepat aku menjawab panggilannya.
“Assalamualaikum Iman..”
“Waalaikumsalam..Hana, kenapa Hana keluar dari rumah tak beritahu Iman?” Iman terus memarahiku sebaik sahaja aku menyapanya.
“Maaf Iman, Hana betul-betul tak tahan dengan Sofia, Hana minta maaf sangat-sangat sebab tak beritahu Iman.” Aku menjelaskan seringkas mungkin padanya.
“Tapi Hana..Hana tinggal kat mana sekarang, beritahu alamat Hana, Iman pergi jemput sekarang.”
“Tak apalah Iman, Hana dah jumpa bilik sewa baru. Iman jangan risau tau. Iman jaga diri baik-baik. Jangan risaukan Hana lagi.”
“Hana...janganlah macam ni. Iman dah janji pada Hana akan lindungi Hana..Hana duduk sini balik ye.” Iman cuba memujukku namun aku sudah nekad tidak mahu pulang kembali ke rumah itu. Hatiku memang benar-benar sudah terguris.
“Tak apalah Iman, Hana tak nak duduk sana lagi dah. Iman..Hana ada kerja sikit ni, karang Hana telefon Iman semula ye, bye..” Klik! Terus aku memutuskan talian. Aku tidak mahu terpujuk dengan rayuan Iman untuk pulang semula ke rumah sewa lama.
“Kenapa, Hana?” Adrian bertanya padaku. Aku memandangnya.
“Nothing..” Ujarku dan terus berlalu masuk ke dalam bilik. Tidak mahu Adrian menyedari kesedihan hatiku di saat ini. Makanan yang tadi sedang ku jamah kutinggalkan begitu sahaja.

Friday, October 30, 2009

Syurga Cinta 9

Alarm lagu ”Dancing Queen” kedengaran di subuh yang hening, aku membuka sebelah mata untuk melihat jam di telefon bimbit. Pukul 6.35! hah! Mampus aku! Sarapan tak siap lagi. Terkocoh-kocoh aku bangun. Selimut dan bantal tercampak merata. Aku mencapai tudung yang terletak di tepi pintu dan menuju bilik air di dalam rumah. Belum sempat aku keluar, barulah aku menyedari bahawa aku hanya memakai pijama sahaja. Alamak! Tukar baju dulu. Tak cukup lantai aku rasakan sekarang ini. Baru hari pertama bekerja sudah lewat. Ah! Tak sempat nak gosok gigi ni, tinggal beberapa minit je ni, masak nasi dulu baru pergi toilet. Jahat gila, rasakanlah nasi yang aku masak tanpa menggosok gigi..Haha..

Setelah membasuh dan meletakkan periuk ke dalam periuk nasi, barulah aku ke bilik air. Membersihkan apa-apa yang sepatutnya dibersihkan dan bersolat subuh. Setelah itu, aku kembali semula ke dapur. Sejak dari malam tadi aku sudah memikirkan untuk memasak sesuatu yang ringkas supaya tidak menyusahkan hidupku. Hari ni masak sardin, esok masak telur, esok lagi, masak ikan bilis, hari berikutnya, masak telur lagi, kemudian sardin lagi..dan ia akan berulang sekali lagi dan lagi dan lagi..Nasiblah, siapa suruh bela orang gaji yang ’pandai gila’ memasak..Hehe...

Ye, menu utama hari ini, sardin berkuah...erkk..macam mana nak masak ni yek. Mmm..belasah je lah. Aku memotong 2 ulas bawang besar dan kemudian ditumis. Selepas itu, aku memasukkan sardin dalam tin. Macam ni kot caranya. Betullah ni agaknya. Kemudian, aku memasukkan air supaya kuahnya tidak terlalu pekat. Alamak! Terlebih airlah pula. Macam mana ni, keluarkan sikit air dia. Tunggu sampai dia mendidih, lepas tu masukkan dalam mangkuk. Siap kerja aku. Haha.. Senang rupanya masak sardin ni, dulu masa aku duduk seorang, aku beli je kat kedai makan depan tu. Mana pernah masak. Kalau masak pun selalunya masak air je. Kalau Nina datang dengan Nazim, barulah dapur tu berasap.

Selesai sahaja aku memasak, Raikal turun dari biliknya dengan berpakaian lengkap untuk ke tempat kerja. Dia duduk di meja makan.

”Sardin je?” Dia bertanya. Aku menganggukkan kepala dan terus duduk di hadapannya.

”Ni sardin ke masak bawang ni?” Dia memerliku apabila melihat masakanku penuh dengan hirisan bawang.

”Masakan ini dinamakan sardin ala bawang..” Aku membalas pertanyaannya selamba. Dia menggelengkan kepala, pelik dengan masakanku. Dia menceduk sedikit sardin ke dalam pinggannya. Baru makan sesuap, dia tersedak.

”Ada lori garam terbalik ke kat luar tu?” Aku yang mendengar kata-katanya terus menjenguk ke luar tingkap untuk melihat samada terdapat lori terbalik di hadapan rumah kami.

”Mana ada?” Aku memandangnya sambil mengangkat kening tanda hairan. Mana ada lori accident pagi-pagi buta ni. Kalau ada mesti aku ada dengar dah! Aku menjenguk semula untuk memastikan tiada lori accident..

Raikal menepuk dahinya melihat kelurusan dan kebendulan Julita.

”Maksud saya, apasal sardin awak ni masin sangat. Ada lori baru terbalik ke kat luar tu sampai banyak sangat garam awak bubuh ni. Ish...apalah bendul sangat awak ni.” Aku menggaru-garu kepalaku yang tidak gatal sambil tersengih malu, barulah aku memahami maksud lori terbalik itu yang sebenarnya.

”Lupa..” Raikal menggeleng-gelengkan kepala.

”Awak ni tahu memasak ke tak?” Aku menggelengkan kepala. Raikal mengeluh.

”Awak tu perempuan, takkan tak tahu masak langsung? Mak awak tak ajar?” Raikal memerliku.

”Mak saya tak sempat nak ajar...” Aku menundukkan wajahku, sedih apabila nama ibuku disebut-sebut dan cuba dipersalahkan. Raikal terdiam sejenak, mungkin dia menyedari keterlanjuran kata-katanya padaku tadi.

”Lain kali belajar masak! Dahlah cair, masin pula tu. Masak sardin pun tak lepas.” Tiba-tiba Raikal memerliku lagi. Merah mukaku menahan malu..

”Satu lagi, baru masak sardin, dapur dah macam tongkang pecah. Ni baru masak sardin, tak jadi pula tu. Kalau masak yang berat-berat, saya tak tahu apa nak jadi dengan dapur ni. Lain kali lepas masak terus kemas..Rimas saya tengok dapur ni bersepah.”

”Baikk..” Aku menjawab perlahan sambil memuncungkan muka padanya. Nasib baik dia tidak memandangku ketika itu, jika tidak mesti panjang leterannya.

Raikal cuba menjamah nasinya sehingga habis walaupun sardin tersebut tidak sedap. Usai bersarapan, Raikal terus menuju ke kereta. Aku mengekorinya. Sebelum bertolak, sempat dia memberi list tugasan padaku supaya mengemas rumah, mencabut rumput di taman, membersihkan longkang, menyiram pokok bunga, lap cermin, kemas dapur..

”Mak aih! Banyak gila..mahu aku pengsan malam ni!” Terbelalak mataku melihat senarai tugasannya yang panjang.

”Jangan malas!” Sempat dia berpesan padaku sebelum memecut keretanya laju meninggalkan asap kereta kepadaku. Kurang asam betul! Dahlah bagi list panjang gila, bagi asap pula tu. Teruk betul manusia ni. Nanti kau, ada lori ada bas, ada hari aku pula yang bebas! Desis hatiku geram sambil mengacukan penumbuk pada kelibat Raikal.

******
Raikal mengurut-urut lehernya yang lenguh akibat terlalu fokus bekerja. Dia memandang radio yang terletak di penjuru bilik lalu mengambil alat kawalan dihadapannya seraya menghidupkan.

Tuhan kirimkanlah aku..
Kekasih yang baik hati...
Yang mencintai aku..
Apa adanya...

Lirik dari lagu ’Munajat Cinta’ ini bermain-main difikiranku walaupun selepas lagu ini habis didendangkan di radio. Aku mengetuk-ngetuk pen di tanganku sambil otakku memikirkan sesuatu...Bolehkah Medina mencintai aku, apa adanya aku? Aku mencapai telefon bimbitku di atas meja. Aku membelek-belek telefon tersebut sambil memutuskan samada mahu menelefonnya atau tidak. Akhirnya aku memutuskan untuk memberi mesej padanya terlebih dahulu.

”Sibuk ke?”

”Tak..kenapa?” Balas Medina. Aku terus memutuskan untuk menelefonnya terus.

”Hello..”Lembut suara Medina menyahut panggilanku.

”Hello...Mmm...Ganggu ke?” Aku bertanya.

”Tak...untuk Abang Kal tak apa, semua bereh!” Gurau Medina.

”Abang nak jumpa Med boleh?”

”Kenapa Abang Kal nak jumpa Med, ada hal penting ke? Kalau tak berapa nak penting, datang je butik Med.” Medina memberi cadangan.

”Tak mahu..Abang nak jumpa Med kat tempat lain. Abang nak jumpa Med esok malam. Abang jemput Med malam esok kat butik boleh?”

”Tak apalah Abang Kal, Med datang sendiri sebab Med ada temujanji dengan pelanggan Med. So, lepas jumpa dia, Med datang jumpa Abang terus, ok?” Aku terus bersetuju dengan cadangan Medina.

Sebenarnya sudah beberapa hari aku berfikir untuk melamar Medina. Malah aku sudah pun membelikan sebentuk cincin berlian untuknya. Aku mengeluarkan kotak cincin dari beg sandangku dan mengeluarkan cincin yang berada di dalamnya. Aku membelek-belek cincin tersebut. Tak tahulah samada dia menyukai citarasaku ataupun tidak. Kali ini aku nekad untuk melamarnya. Mustahil dia akan menolak lamaranku. Malah aku tidak nampak apa sebabnya dia akan menolak lamaranku. Dia tidak mempunyai kekasih, juga tidak mempunyai orang yang diminatinya. Betul ke dia tidak meminati sesiapa? Desis hatiku. Aku meletakkan semula cincin tersebut ke dalam kotak dan menyimpannya semula ke dalam beg sandangku. Aku kembali fokus kepada kerja yang aku tinggalkan tadi. Namun lirik lagu munajat cinta tadi masih lagi bermain-main difikiranku.

Tuhan kirimkanlah aku, kekasih yang baik hati, yang mencintaiku apa adanya....

Berdebar rasanya hatiku menunggu hari esok. Tak sabar meluahkan segala perasaan yang terpendam di hatiku selama ini.

******

Kerana terlalu berdebar, aku langsung tidak dapat melelapkan mata. Terasa panas pula cuaca hari ini. Aku bangkit dari katil dan menghampiri beg sandang yang ku letak di atas kerusi. Aku mengambil kotak cincin dan terus berlalu keluar. Terasa ingin lepak pula di buaian bulat yang berada di tepi rumah.

Aku duduk di atas buaian sambil melihat langit. Bintang-bintang bertaburan di angkasa. Nampaknya cuaca elok hari ini. Lama aku termenung di situ sambil merenung cincin di tanganku. Bermacam-macam bermain di fikiranku. Adakah dia akan menerima lamaranku? Adakah dia sudah ada kekasih tanpa pengetahuanku?

Mm..esok cemana nak buat ayat nak lamar dia ye...fikir-fikir!

”Med..abang dah lama suka pada Med, sudikah Med jadi isteri abang?” Ish! Skemanya ayat.

”Med..abang cintakan Med, Med nak jadi isteri abang tak?” Ayat macam tak seriuslah pulak. Aku menggaru-garu kepalaku yang tak gatal.

”Yo..Med! Be my wife and you’ll be happily ever after..yeah!!”

”Apa awak buat kat sini?”

”Ha! Argggghhhh!!!” Terkejut aku melihat Julita berada di tepiku sehingga aku jatuh terduduk, lebih terkejut lagi apabila melihatnya memakai bedak sejuk bertempek di muka. Aku mengurut-urut dadaku.

”Kenapa? Macam nampak hantu!” Marah Julita sambil menyuruhku ke tepi. Aku yang masih terkejut terkebil-kebil melihatnya duduk di hadapanku.

”Hei...lain kali jangan buat macam tu boleh tak. Nasib baik tak gugur jantung saya tahu tak?”

”Haha..itu pun takut! Pengecut...” Aku duduk semula di atas buaian.

”Apa awak buat kat sini malam-malam ni. Apa tadi? Be my wife and happily ever after? Lirik lagu baru ke? Macam ayat budak-budak. Happily ever after..” Julita menempelakku. Aku memandangnya dengan perasaan geram.

”Berapa lama awak kat situ tadi? Apa lagi yang awak dengar?”

”Baru je..saya dengar ayat tu je..apa nama lagu baru tu? Bahagia selamanya?” Aku menjeling Julita.

”Sibuk!” Ujarku pendek.

”Ni apasal malam-malam kat luar lagi ni? Pergilah tidur! Tak takut ke?”

”Saya pergi toiletlah..takkan itu pun tak boleh?” Aku kehilangan kata-kata mendengar perkataan toilet. Takkanlah nak tahan orang pergi toilet, karang dapat batu karang pula minah ni.

”Ehemm...lain kali maghrib tu terus buang apa yang patut. Malam tak payah nak keluar-keluar lagi.”

”Awak gila ke?” Julita menjelingku.

”Gila kenapa pula?”

”Boleh ke awak ramal bila awak nak buang air besar, bila awak nak buang air kecil, manalah saya nak tahu bila saya nak membuang.” Aku berfikir sejenak, haah ek. Betul juga apa dia cakap.

”Ah..saya tak kira, yang saya tahu awak tak berkeliaran masa malam-malam macam ni. Bahaya tahu, kalau orang lain nampak, dia report pula kat JAIS, ha tak pasal-pasal kita kahwin free!”

”Kahwin free?? Oh tidak sama sekali. Simpang malaikat empat puluh empat. Rela saya kahwin dengan Pak Usop Jongang tu dari kahwin dengan awak. Dahlah tengin, bengong pula tu!” Selamba katak je dia ni mengutuk aku depan-depan. Aku menuding jari telunjukku ke arahnya, mahu membalas kata-katanya namun tak terucap. Tak tahu apa yang ingin aku katakan padanya lagi.

”Apa!” Ujarnya sambil menjeling.

”Ni, nak tanya..awak kalau cipta lagu memang lagu jiwang-jiwang ke? Lagu cintan-cintan je? Lagu lain awak tak tahu cipta ke?”

”Kenapa? Awak tak suka?” Aku menggerakkan buaian perlahan.

”Taklah..saja tanya. Sebab lagu awak semua lagu berkarat je.” Berkarat! Ciss! Budak ni memang mulut tak ada insurans.

”Berkarat! Hei..selalu masuk carta hotfm nombor satu tahu!” Julita mencebik memandangku.

”Memanglah masuk carta, tengoklah siapa yang nyanyi, Siti Nurhaliza, Ziana Zain, Faizal Tahir...Cuba kalau Hetty Koes Endang yang nyanyi. Dengar sebelah telinga pun orang tak nak!”

”Amboi, sedapnya mengutuk orang..dah lama hidup!” Julita tersengih.

”Awak tak sumbangkan lagu untuk drama-drama ke? Filem ke?”

”Ada...kenapa, sekarang pun memang saya tengah cipta lagu untuk cerita baru.”

”Lagu tadi tu ke? Yang childish tadi?” Julita tersengih nakal. Aku mencekak pinggang.

”Ok..ok..tak kutuk lagi. Awak tak nak berlakon ke? Kalau awak berlakon mesti box office. Tapi tulah, cerita sekarang ni semua sterotype..sama je. Cuba jadi macam saya, cerita yang saya hasilkan lain dari yang lain. Orang lain je tak tahu nak hargai cerita saya.”

”Awak buat cerita apa?”

”Awak nak dengar?” Aku menganggukkan kepala.

”Cerita ni pasal si hero, hero ni cinta sangat kat heroin ni sejak dari kecil lagi. Mereka memang membesar bersama-sama. Lama dah hero ni memendam rasa. Heroin ni pula, hero ni memang tahu, dia tak ada sesiapa pun kawan lelaki selain dari hero ni. Aaa...lupa nak cakap, hero ni ada sepupu, ni pun berkawan dari kecil juga.” Julita berhenti seketika. Aku memandangnya penuh minat.

”Teruskanlah, kenapa berhenti.”

”Satu hari, Hero ni rasa, dia patut luahkan perasaan dia pada heroin ni. So, dia planlah nak lamar hero ni. Tapi sayang..bila hero ni lamar heroin ni, heroin tu tolak mentah-mentah. Dia kata dia sayang kat hero ni macam seorang abang. Lagipun dia kata dia cintakan sepupu hero ni. Ha..apa lagi, si hero ni frust gila. Awak rasa, kalau awak jadi hero tu, apa awak buat?”

”Mm...cuba tawan hati heroin tu semula.” Aku meneka berdasarkan situasiku sekarang. Sama cerita dia dengan kisah aku.

”Tettt! Salah! Lelaki tu bawa diri. Dia pun pergi satu tempat ni untuk cari ketenangan. Dia terjumpa satu tempat tu, cantik sangat..sebab dia dah lama tak mandi, dia pun mandi kat sungai tu. Tengok-tengok, rupanya sungai tu ada ikan piranha, macam kat sungai Amazon tu. Entah macam mana entah ikan piranha tu boleh tersesat kat sungai tu. Dia pun berenang nak selamatkan diri ni. Tiba-tiba ada orang menjala ikan piranha tu, ikan tu pun terperangkap. So selamatlah si hero ini. Rupa-rupanya yang selamatkan dia adalah seorang perempuan yang cantik rupawan. Tapi dia tak tahu, sebenarnya perempuan tu bunian, cantik sangat, ala macam nora danish yang berlakon cerita sumpah bunian tu. Ha, macam tulah cantiknya. Akhirnya hero tu kahwin dengan bunian tu dan hero ni tak dijumpai sampai sekarang...tamat!”

Melongo aku mendengar ceritanya. Ciss!!Tertipu aku, ingatkan cerita serius. Cerita mengarut macam ni tak ada siapa nak tengok. Buang karen aje aku dengar.

”Pergi tidur!” Arahku geram. Tak sangka aku mendengar penuh minat cerita mengarut dia.

”Tak best ke cerita saya?” Tanyanya dengan serius.

”Lain kali jangan buat cerita macam tu lagi. Buang masa je dengar. Dah, pergi tidur. Ingat, lepas ni saya tak nak awak berkeliaran!” Julita bangun sambil mulutnya merungut-rungut namun aku tidak dapat mendengar butir-butir percakapannya dan terus berlalu masuk ke kotejnya.

Aku memerhatikannya masuk ke dalam sambil tersenyum. Ada-ada je budak ni. Boleh pula dia buat cerita mengarut macam tu.

*****

Julita membelek-belek majalah di hadapannya, hajat hatinya ingin membeli barang keperluan dapur yang telah dipesan oleh Raikal sebelum dia pergi keluar bekerja tadi. Alang-alang, singgah sekejap di kedai buku.

”Kita kena banyak baca buku tentang cara menjaga bayi. Kitakan baru pertama kali jadi papa dan mama.”

”Ye..ye..kita beli buku ni, buku ni, buku ni...ha satu lagi abang, buku tu.”

Aku macam kenal suara dua ekor ni. Kejap nak check! Aku mengintai sedikit di celah-celah rak. Memang tepat sekali jangkaanku. Dua ekor monyet yang telah membuatkan aku susah selama ini berada di hadapanku. Aku menghampiri mereka.

”Bahagianya aku tengok korang berdua, so sweeeettttt.....” Ujarku memerli mereka dengan mencekak pinggang. Serentak kedua-duanya memandang ke belakang. Jatuh buku-buku yang mereka sedang pegang di tangan. Kedua-duanya seperti menggelabah.

”Lari sayangggg......” Nazim terus menarik tangan Nina. Sekelip mata mereka berdesup melarikan diri.
”Kurang asam! Sampai hati korang buat Julita macam ni!” Aku mengejar mereka dengan sepenuh tenaga namun mereka lebih pantas. Termengah-mengah aku mengejar mereka. Mereka terus keluar dari kedai buku dan melarikan diri seperti lipas kudung. Tapi mereka lupa, ini Julita..ratu pecut di sekolah dulu. Aku akan kejar mereka sampai lubang cacing. Kali ini, mereka takkan terlepas..ada perhitungan yang perlu diselesaikan.

Adegan kejar mengejar masih berlangsung. Sambil aku mengejar mereka, sambil itu mulut aku bising menyumpah seranah mereka. Tiba-tiba Nazim terlanggar tong sampah dan membuatkannya terjatuh. Peluang itu tidak aku lepaskan, aku terus mengambil botol yang terkeluar dari tong sampah yang dilanggar Nazim tadi dan memukulnya bertubi-tubi. Nina cuba menyelamatkan suaminya namun apabila melihat pandangan mataku yang garang, membantutkan usahanya. Hanya mulutnya yang tidak berhenti-henti menyuruhku menghentikan pukulan kepada suaminya. Nazim hanya mampu mengelak dengan menggunakan tangan. Aku menarik telinga Nazim untuk membawanya ke balai polis.

”Menjawablah kau berdua dengan polis nanti. Ha! Jahat sangat! Dengan kawan pun makan kawan! Nina! Kau tak nak temankan laki kau kat balai polis sekali!” Marahku apabila melihat Nina masih berdiri tegak dan tidak mengikut kami.

Tiba-tiba Nina rebah membuatkan kami berdua terkejut. Aku mendapatkan Nina, begitu juga Nazim.

”Nina! Nina! Nina...kau kenapa ni! Bangunlah...” Aku menggerakkan badannya namun tiada respon.

”Kita bawa Nina ke hospital, cepat! Takut jadi apa-apa kat kandungan dia.” Tanpa banyak soal, Nazim mengangkat Nina dan kami berlari menuju ke hospital yang tidak jauh dari tempat kami sekarang.

”Cepat-cepat...”Aku memandang ke belakang. Tiba-tiba mereka lesap. Aku mencari mereka di sekeliling. Tiada! Aku mencekak pinggang. Tiba-tiba air mataku mengalir tanpa dapat ditahan lagi. Mereka menipu lagi! Aku meneruskan perjalanan dengan langkah yang longlai dan air mata yang mengalir tidak berhenti-henti. Sedih kerana diperdayakan lagi buat sekian kalinya.

Wednesday, September 2, 2009

Kotak Hati 2

Sewaktu aku pulang, aku terdengar Sofia merungut-rungut dengan Iman tentangku di dapur. Malah dia mengatakan mahu menghalauku dari rumah jika masih tidak mampu membayar sewa rumah untuk bulan depan. Iman hanya mampu menasihati Sofia supaya memberikanku sedikit masa lagi. Hatiku terguris mendengar kata-kata Sofia, tergamak dia mahu menghalauku keluar dari rumah. Air mataku menitis lagi, senyap-senyap aku memasuki bilik dan terus berbaring di atas katil. Iman memasuki bilik tidak lama kemudian, dahulu teman sebilikku adalah Sofia, namun setelah Sofia berubah sikap denganku, dia meminta Iman untuk bertukar bilik dengannya. Iman pula hanya menurut, dia tidak mahu mengeruhkan lagi keadaan yang sedia ada. Iman menghampiriku.

”Hana...”Aku memakukan diri.

”Hana..Iman tahu Hana tak tidur lagi.” Barulah aku mengesotkan badan dan duduk menghadapnya.

”Hana menangis ke?” Iman bertanya.

”Taklah Iman, mata Hana masuk habuk.” Alasan lapuk, namun aku tidak tahu apa lagi alasan yang patut diberikan pada Iman.

”Jangan nak tipu Imanlah, Iman tahu Hana dengar apa yang Sofia cakap tadikan. Hana jangan risau, Iman akan cuba pertahankan Hana. Iman sendiri tak tahu apa masalah Sofia dengan Hana sebenarnya tapi percayalah, Iman yakin Hana tak bersalah sebenarnyakan?” Aku mengangguk.

”Hana sendiri tak tahu apa salah Hana pada Sofia, tiba-tiba sahaja dia buat Hana ni macam musuh. Dia langsung tak beri Hana peluang minta penjelasan kenapa dia berubah. Hana nak tak tahu juga apa salah Hana, kalau betul salah Hana, Hana akan minta maaf.” Air mataku mula mengalir lagi.

”Sabarlah Hana, mungkin dia ada masalah lain. Nanti Iman akan cuba risik. Buat masa ni, Hana kena sabar je dengan kerenah Sofia, ok?” Aku mengangguk lagi.

”Tapi, kalau berterusan macam ni, Hana rasa baik Hana pindah rumah saja.”

”Hana, janganlah macam ni, kita akan cari jalan penyelesaian. Kalau Hana pindah rumah, hubungan Hana dengan Sofia takkan pulih. Lagipun mana Hana nak cari duit untuk cari rumah sewa baru.” Aku terdiam. Mengakui kebenaran kata-kata Iman. Memang aku langsung tidak mempunyai duit sekarang.

”Dahlah, Hana jangan fikir banyak-banyak. Iman akan sokong Hana, Sofia takkan boleh halau Hana kalau Iman tak setuju. Jangan risau ye, dah..Hana sambung tidur, jangan fikir banyak-banyak tau.” Iman memujukku.

”Baiklah Iman..terima kasih..”

*******

”Hana...” Seseorang melaungkan namaku dari jauh, aku menoleh untuk mengetahui siapa gerangannya yang memanggilku tadi. Burhan rupanya, aku tersenyum.

”Ha.. Burhan, kenapa panggil Hana dari jauh ni ada hal penting ke?” Burhan merupakan orang pertama yang menyapaku setibanya aku di sini. Ketika itu, kami berada di lapangan terbang, pertama kali menjejakkan kaki di bumi asing membuatkan aku takut dan bingung. Bingung bagaimana caranya mahu ke Univesiti. Mujur Burhan yang ketika itu juga ingin ke tempat yang sama mengajakku menyertainya. Aku yang memang memerlukan bantuan tidak melepaskan ajakannya dan sejak dari hari itu kami berkawan rapat.

”Saja panggil, rindu dah lama tak nampak muka Hana yang comel ni.”

”Pandailah, puji-puji ni mesti ada sesuatu nak minta dari Hanakan?” Aku meneka. Burhan menggeleng.

”Mana ada, tak baik tau Hana cakap macam tu. Burhan bukan apa, lama dah tak bercakap dengan Hana. Susah betul nak jumpa Hana sekarang, busy memanjang.”

“Mestilah, kitakan dah tahun akhir sekarang ni. Mestilah kena struggle lebih, kalau tak mcam mana nak dapat keputusan cemerlang, betul tak?”

”Yelah, semua apa ayang cakap semua betul.” Sengaja Burhan mengusikku. Wajahku merona merah di panggil ayang.

”Burhan ni, suka-suka panggil Hana, ayang. Nanti orang lain dengar malulah Hana.”

”Ala..mereka bukan tahu cakap melayu, buat apa nak risau. Kita berdua je. Hana dah makan?” Aku menggelengkan kepala.

”Kalau macam tu, biar Burhan belanja Hana makan.”

”Betul Burhan nak belanja? Wahh..banyak duit Burhan, Hana makan banyak tau, tak menyesal.”

”Ala..kalau setakat badan macam Hana ni berapa banyak sangatlah yang Hana makan, Burhan tak risau langsung. Jomlah...”

”Yelah...jom.” Aku menerima pelawaannya.

Tanpa aku sedari, sepasang mata yang marah sedang merenung tajam ke arah kami. Perasaan marah yang membuak-buak mula menular dalam diri.

*******
Sofia menghempaskan beg tangannya ke katil. Perasaan marah yang membuak-buak tidak mampu di tahan lagi. Dia merasa sangat geram apabila melihat kemesraan Burhan dan Raihana tadi. Sudah lama dia menyimpan perasaan terhadap Burhan, sejak di tahun pertama lagi namun Burhan tidak pernah menyukainya. Di matanya hanya melihat Raihana sahaja.

”Aku mesti singkirkan Hana tak kira apa juga cara. Burhan hanya milik aku seorang sahaja. Jangan harap kau nak dapatkan dia. Mampuslah kau..” Desis hatiku jahat.

Memang tujuan utama aku mendekati Raihana adalah untuk mendapatkan Burhan. Aku sendiri tidak tahu apa kelebihan Burhan yang membuatkan aku tergila-gilakannya. Dia tidaklah kacak, sedap mata memandang orang kata tapi itu bukan sebab utama aku meminatinya, kaya? Mmm...mungkin sebab inilah aku memujanya. Aku melihat sendiri ibu bapa Burhan ketika mereka menghantar Burhan dua tahun lepas. Bapanya orang ternama, wajahnya sering terpampang di muka-muka akhbar tentang kejayaan syarikat miliknya. Tapi aku agak pelik, tiada siapa yang tahu dia adalah anak orang kaya di sini. Burhan juga lebih suka bersikap low-profile, pakaiannya juga tidak menunjukkan dia adalah orang berada. Mungkin aku seorang sahaja yang tahu agaknya. Itupun secara kebetulan aku terserempak dengan mereka di lapangan terbang, kalau tidak mungkin sekarang aku tidak akan memandang sebelah mata pun pada Burhan.

Sejak itu, aku memang menetapkan target untuk memikatnya namun tidak berjaya. Jika kami bertemu, dia hanya akan memandang Raihana sahaja. Hanya tuhan yang tahu betapa sakitnya hatiku apabila diabaikan walhal aku ikut sekali dalam pertemuan itu. Dia hanya bercakap denganku jika ada hal yang penting sahaja. Itu pun selalu berkaitan dengan Raihana.

Aku mula memasang rancangan untuk menyingkirkan Raihana, mm...tapi yang pasti rancangan ini hanya boleh dilakukan jika Iman tiada, kalau tidak..mesti Iman akan menyokong Raihana dan tidak membenarkan aku menghalaunya. Aku melihat kalendar, teringat akan kata-kata Iman tempohari yang dia terpaksa bermalam di rumah Lucy, rakan sekuliahnya minggu hadapan untuk menyiapkan tugasan mereka. Aku menanda kalendar tersebut supaya aku akan sentiasa mengingati hari tersebut.

”Masa nilah yang sesuai untuk aku halau Raihana...” Ujarku dengan pandangan mata yang menyeramkan. Terimbas diingatanku peristiwa di mana aku meluahkan perasaanku pada Burhan beberapa bulan yang lepas.

”Hai Burhan..” Aku menyapa Burhan yang tidak perasan akan kehadiranku di situ kerana khusyuk melihat papan kenyataan. Burhan menoleh, wajahnya berubah.

”Hai..Sofia rupanya. Hana mana?” Wajahku berubah apabila Burhan bertanyakan Raihana.

”Mm...dia sibuk kot, tak apalah..Hana tak ada, Sofiakan ada.” Aku mengusiknya. Burhan tersengih.

”Sofia nak pergi mana ni?” Burhan bertanya.

”Tak ada pergi mana-mana, saja nak jumpa Burhan kat sini.”

”Oh, ye ke..kenapa nak jumpa Burhan kat sini.” Burhan mengerutkan wajah. Pelik kerana selama ini Sofia tidak pernah mengajaknya berjumpa atau keluar, tiba-tiba sahaja dia mahu menemuinya di sini.

”Kat sini tak bestlah nak cerita, kita pergi cafe nak? Sofia belanja Burhan minum.” Burhan mengangguk tanda setuju. Sofia tersenyum lebar, sudah lama dia menyimpan rancangan untuk meluahkan perasaannya. Kali ini dia mesti meluahkannya tidak kira apa terjadi.

Aku memilih tempat yang agak terceruk untuk memberikan aku lebih ruang privasi bagi meluahkan perasaanku. Setelah membeli dua gelas minuman, aku memberikan satu kepada Burhan dan satu lagi aku letakkan di hadapanku.

”Ada apa Sofia nak jumpa Burhan?” Burhan bertanya seraya menyedut air di hadapannya. Aku memandangnya lalu menarik nafas panjang.

”Sebenarnya Sofia sukakan Burhan.” Tersedak Burhan apabila mendengar kata-kataku. Aku mengeluarkan tisu dan memberikan padanya. Burhan memandangku seperti tidak percaya.

”What!!” Aku menganggukkan kepala tanda mengiakan kata-kataku tadi.

”I don’t think i can accept you more than friend.” Kata-katanya membuatkan wajahku berubah.

”What do you mean?” Aku bertanya kebingungan kerana luahanku ditolak mentah-mentah.

”I love Raihana..” Ujarnya pendek. Aku bengang apabila dia mengatakan begitu. Begitu berterus-terang tanpa menjaga hati dan perasaanku langsung. Aku terus mencapai begku dan berlalu dari situ. Perasaan marahku tidak dapat di kawal lagi. Burhan memanggilku namun oleh kerana hatiku sudah terguris, aku tidak mengendahkan panggilannya dan terus berlalu dari situ. Sejak itu aku memusuhi Raihana walaupun dia tidak mengetahui kenapa aku berubah sikap. Sengaja aku menyakiti hatinya dan melontarkan kata-kata pedas padanya supaya dia terluka. Puas hatiku setiap kali dia menangis kerana perbuatanku.

*******

”Hana makin manislah sekarang..” Burhan memandangku membuatkan aku menjadi tidak keruan.

”Kenapa pandang Hana macam tu?” Aku bertanya padanya, malu kerana ditenung sebegitu. Burhan tersenyum manis.
“Salah ke kalau Burhan pandang awek sendiri?” Aku menjelirkan lidah. Pandai-pandai dia sahaja mengaku aku aweknya.

“Bila masa entah Hana jadi awek Burhan.” Aku meneliti buku menu di tanganku, malas melayan usikannya lagi, kalau di layan makin menjadi. Pelayan mendekati kami, aku memesan makanan kesukaanku. Apabila pelayan tersebut mahu mengambil pesanan Burhan, dia hanya menggeleng-gelengkan kepala tanda tidak mahu memesan apa-apa.

“Tak nak makan ke?” Aku menyerahkan menu kepadanya. Burhan menggeleng-geleng, pelayan tersebut mahu pergi namun aku sempat menahannya.

“Kalau Burhan tak nak makan, Hana pun tak nak makan. Mesti Burhan tak ada duit tapi nak belanja Hana makan juga, kan? Kalau macam tu, jomlah balik.” Aku mengambil beg sandangku dan berura-ura mahu keluar. Burhan menarik begku dan menyuruhku duduk semula.

”Yelah..yelah, Burhan order juga ni. Pandai je kata Burhan tak ada duit, berkepuk tau duit Burhan dalam dompet ni.” Ujar Burhan berseloroh.

”Betul ni..jangan sampai tak makan dua tiga hari sebab nak belanja Hana.” Burhan menggeleng-gelengkan kepala sambil tersenyum.

”Tak ada mananyaa...” Setelah mengambil order dari Burhan, pelayan tersebut pun berlalu. Kami terdiam, Burhan hanya memandangku tanpa sebarang kata-kata. Aku rimas apabila di pandang begitu.

”Burhan ni...” Aku mencampakkan napkin di atas meja ke mukanya. Burhan tersengih nakal.

”Ala..biarlah Burhan tengok pujaan hati Burhan ni lama sikit. Lama tau Burhan tak nampak. Busy memanjang..nak ajak dating pun susah.” Aku mencebik mendengar kata-katanya.

”Dahlah Burhan, hari ni tak habis-habis mengusik Hana tau. Tak sukalah Hana.” Ujarku berterus-terang.

”Ok..ok..Burhan tak kacau lagi, tapi nak tanya satu soalan boleh tak?” Aku mengangkat kening, sebagai tanda memberi kebenaran padanya untuk bertanyakan soalan yang hendak ditanyakannya.

”Hana...nak tak jadi makwe Burhan?” Terbeliak biji mataku mendengar pertanyaannya.

“Burhan!!” Aku menjengilkan mataku, berpura-pura marah dengan pertanyaannya tadi. Burhan tergelak kecil sambil mengangkat kedua tangannya tanda tidak mahu mengusikku lagi.

“Tak boleh ke?” Sempat lagi dia mengusikku, aku mencubit lengannya. Burhan menjerit kesakitan.

”Ha..usik Hana lagi. Gatal!” Burhan menyeringai kesakitan dan mengusap-usap lengannya yang berbekas kerana cubitanku tadi.

”Hana ni, garang betul.” Aku tergelak melihat mukanya yang mencerut menahan sakit. Makanan yang kami order sampai ke meja.

”Ok..ok...Sori, Hana tercubit kuat sikittt je...Sebagai tanda minta maaf, Hana akan layan Burhan makan. Burhan nak letak sos tak?” Wajah Burhan kembali ceria mendengar kata-kataku. Dia mengangguk. Aku meletakkan sos di atas makanannya dan melukis gambar ikon senyum dan menyerahkan padanya.

”Special untuk Burhan..” Kataku sambil meletakkan air di sebelah kanannya. Kami makan sambil berbual-bual tentang banyak perkara. Bersama Burhan memang seronok, dia selalu membuat kelakar dan sering membuatkanku ketawa apabila bersamanya. Namun, aku tak pernah jatuh hati padanya, entahlah..mungkin aku belum berjumpa dengan orang yang bisa mengocakkan hatiku lagi. Burhan memang lelaki yang baik, tapi hatiku tidak pernah terpaut padanya. Aku cuma melayannya seperti rakan-rakan yang lain namun bezanya dia ku anggap rakan baikku. Aku tidak pernah menganggap lebih dari itu.

Selesai makan, Burhan menghantarku sehingga ke depan pintu. Sempat kami berborak-borak sebelum aku masuk ke dalam rumah. Tanpa ku sedari, Sofia melihat saja perbuatan mesra kami melalui tingkap dengan perasaan marah yang makin membuak-buak.

”Mesra nampak?” Perli Sofia apabila aku memasuki rumah. Aku memandangnya sekilas dan terus berlalu masuk ke dalam bilik. Malas untuk berbual dengannya lebih lama, mungkin kami akan bergaduh lagi. Tanpa ku sedari, Sofia mengekoriku masuk ke dalam bilik. Sambil bercekak pinggang, dia bertanya padaku.

”Bila nak bayar duit sewa rumah, bil api, bila air semua tu?” Angkuh sekali dia bertanya. Aku tidak menghiraukan pertanyaannya dan terus membuka tudung yang meliliti kepalaku.

”Kalau rasa tak mampu nak bayar, Sofia syorkan..pindah rumah jelah…taklah menyusahkan orang.”Aku tersentak dengan kata-kata Sofia. Pedih hatiku apabila kawan sendiri menghalauku dari rumah. Selesai berkata begitu, Sofia terus keluar dari bilikku sambil menghadiahkan jelingan yang tajam. Aku terduduk di atas katil. Setitis air mataku mengalir jua.

”Sofia…” Desis hatiku sedih melihat perubahan demi perubahan sikapnya yang semakin hari semakin jelik melihatku. Jika memang itu keinginanmu untuk melihatku keluar dari rumah ini, aku akan tunaikan Sofia…

******
”Ada tak bilik untuk disewakan sekitar rumah-rumah awak tu?” Tanyaku, aku menghayunkan buaian dengan perlahan, Adrian berdiri di sebelahku.

”Kenapa, awak nak pindah rumah ke? Rumah sewa awak sekarang tak ok ke?” Lelaki tersebut bertanya. Aku terdiam sejenak, memikirkan alasan yang patut diberikan demi mengelakkan lelaki itu tahu masalah sebenarku.

”Taklah, ok je cuma saya nak cari tempat tinggal yang lebih dekat dengan kawasan kampus. Lagipun sekarang saya selalu balik malam untuk siapkan tugasan, bahaya kalau saya balik seorang diri, jauh pula tu.”

”Oh..bilik untuk di sewa...Mmm...Saya rasa tak ada jiran-jiran saya yang nak sewakan bilik. Awak terdesak ke?”

”Mm..taklah terdesak, tapi kalau boleh lagi cepat lagi bagus. Kalau boleh lagi, nak yang murah sebab saya tak cukup duit nak bayar bilik sewa tinggi-tinggi.”Adrian kelihatan seperti berfikirkan sesuatu.

”Mm..Rumah saya ada bilik kosong, awak nak?”

”Rumah awak?” Aku mengerutkan dahi lalu menghentikan hayunan buaian.

”Kenapa?”

”Tak ada apa-apa, cuma rumah awak tu ada siapa lagi?”

“Saya tinggal seorang diri je.”

“Ish, bahaya..tak bolehlah macam tu.”

“Kenapa?” Dia bertanya lagi.

“Mm...sebab awak lelaki. Bahaya bagi perempuan macam saya duduk rumah lelaki.”

“Awak jangan salah faham, saya takkan buat apa-apa pada awaklah, kalau awak di rumah tu, saya taklah sunyi. Lagipun saya memang cari orang untuk uruskan rumah saya, awak tahulah, sayakan buta. Saya perlukan seseorang untuk membantu saya. Orang yang uruskan saya dulu dah berhenti.” Aku memikirkan sejenak pelawaannya tadi.

“Berapa sewa bilik yang awak kenakan?”

“Itu boleh dibincangkan kemudian, sekarang awak nak ke tak nak?”

“Beri saya tempoh untuk fikir dulu, kalau saya nak, saya beritahu awak, boleh?” Bukan aku sengaja mahu menolak niat baiknya namun aku harus berhati-hati, walaupun dia buta namun dia masih seorang lelaki. Aku harus menimbang buruk baiknya sekiranya aku mahu tinggal dengannya.

“Awak boleh bagi tahu saya bila-bila masa yang awak suka. Tapi sebelum tu, boleh saya tahu nama awak?” Aku memukul dahiku, lupa langsung untuk bertanya namanya.

“Ha’ah, dah beberapa kali kita jumpa tapi asyik lupa nak tanya nama awak. Nama saya Raihana, panggil sahaja saya Hana.”

“Hena..Mm...Hena..” Ucapnya dengan slanga Inggerisnya memanggil namaku.

“Ha..na..” Aku membetulkan sebutan yang sedikit kelakar apabila dia menyebut Hana, perkataan tersebut bertukar menjadi Hena.

“Ha..na..nice..” Aku tersenyum.

“Nama awak?”

“Adrian, Carl Adrian..”

Syurga Cinta 8

Raikal memerah tuala yang dibasahkan dengan air suam dan meletakkan di atas dahi Julita bertujuan untuk mengurangkan demam yang di alami oleh Julita. Berulangkali dia meletakkan tuala basah itu di dahi Julita dan menggantikannya apabila tuala tersebut sudah hampir kering dan membasahkannya semula. Tudung yang masih dipakainya dilipat sedikit supaya tuala tadi tidak membasahkan tudung tersebut. Tidak berani aku menanggalkan tudungnya, tak pasal-pasal aku kena pelangkung kalau dia sedar nanti.

”Ibu..ibu...” Julita mengigau. Lemah sekali suaranya.

”Awak mana ada ibu lagi, buat apa panggil ibu. Ish...Masalah apa yang menimpa aku ni!” Aku mencampakkan tuala basah ke dalam besen berisi air di depanku. Aku menyandarkan badan ke sofa. Aku mengurut-urut kepalaku yang berserabut.

”Ibu..Huk..huk..huk...” Julita mengigau lagi sambil menangis. Aku lihat setitik air matanya mengalir melalui tepi matanya. Aku terkedu. Mungkin dia benar-benar merindukan ibunya agaknya. Aku mengeluh lalu mencapai semula tuala basah yang kucampak tadi. Ku perah dan meletakkan semula di atas dahi Julita. Akhirnya aku juga tertidur di sofa tanpa ku sedari. Sakit belakangku apabila bangun keesokan hari kerana tidur secara duduk di sofa single.

*******

Julita terjaga dari tidur apabila terdengar suara yang kuat, seperti sedang memarahi seseorang.

”Kalau tak ada masalah, benda ni tak jadi macam ni. Kenapa tak siasat dulu sebelum jual pada saya!” Marah benar suara Raikal sedang bercakap di dalam telefon. Garang betul! Aku menjengulkan kepala sedikit untuk melihat Raikal yang berada beranda.

”Saya tak peduli, kalau ada apa-apa masalah yang timbul kelak..saya akan saman syarikat awak.” Tengkingnya lagi dan terus memutuskan talian telefon. Cepat-cepat aku berbaring semula dan berpura-pura tidur. Raikal menghampiriku, aku berlagak seperti masih tidur lagi. Raikal meletakkan tangannya di dahiku. Ish! Apa pegang-pegang ni, haram tahu! Desis hatiku jengkel. Namun aku hanya berdiam diri sahaja apabila dia menyentuh dahiku.

”Dah kurang sikit dah.” Ujar Raikal perlahan. Seketika kemudian, Raikal menggoyangkan bahuku perlahan. Aku membuka mata perlahan, berpura-pura baru sedar dari tidur.

“Saya nak keluar sekejap, ada hal sikit. Saya dah sediakan bubur untuk awak. Awak makan eh.” Aku hanya mengangguk lemah tanda faham apa yang dikatakannya.

“Jangan lupa makan, lepas tu makan ubat.” Aku mengangguk sekali lagi tanpa bersuara. Masih berpura-pura kononnya betul-betul dalam keadaan lemah. Sebaik sahaja aku mendengar enjin kereta Raikal menderum laju, aku terus bangkit dari sofa. Aku memegang dahiku..Mmmm...dah sihat dah ni.

”Waaa..lapar gila ni. Macam tahu-tahu je.” Aku terus mengambil mangkuk bubur di atas meja dan terus menyuapkan ke mulut dengan lahapnya. Seperti orang kebuluran sepuluh hari. Memang pun, dah beberapa hari aku tak makan nasi. Setelah habis semangkuk bubur, perutku masih lagi terasa lapar. Aku menuju ke dapur. Waahhh..ada peti sejuk besarlah. Aku membuka peti sejuk, banyak makanan tersimpan di dalamnya. Buah, kek, air twister..sungguh menyelerakan. Aku membuka penutup botol air twister dan terus meneguknya dengan rakus sehingga air tersebut hanya tinggal separuh. Ni kalau Raikal tengok aku minum macam ni, mesti dia tak minum dah air ni. Hehe..aku tersengih sendirian. Aku meletakkan botol air dan mengambil buah pisang, kemudian buah epal, diikuti kek coklat moist dan hirisan buah tembikai. Kalah orang Somalia. Semasa aku sedang enak menjamah buah tembikai, kedengaran bunyi kereta Raikal masuk ke halaman rumah. Ketika itu jugalah aku tercekik mungkin kerana terkejut. Alamak! Mampus aku!!

Aku mengemaskan semula kulit-kulit buah yang telah aku makan tadi sambil terbatuk-batuk kerana masih tercekik. Aku menepuk-nepuk belakang badanku. Aku tidak punya masa, kerana takut tidak sempat, aku hanya mencampakkan sahaja kulit-kulit buah tersebut ke dalam tong sampah. Kelam kabut aku mengutip sisa-sisa makanan yang masih, ada yang terjatuh ke lantai. Ah! Gasaklah.. Aku terus berlari untuk berbaring semula ke sofa, belum sempat aku sampai ke sofa, aku tergelincir dan jatuh seperti nangka busuk. Aku mengusap-usap punggungku yang sakit. Terpaksa aku merangkak untuk sampai ke sofa. Nasibku baik, sebaik sahaja aku berselimut, Raikal membuka pintu rumah.

Kedengaran Raikal mencampakkan kunci di atas almari dan terus menuju ke tingkat atas. Aku menarik nafas lega. Tidak lama kemudian, Raikal turun semula dan menuju ke dapur. Aku menjadi gabra dan memejamkan mata, takut perbuatanku sebentar tadi terbongkar.

******

Raikal mencampakkan kunci kereta sambil memandang Julita yang masih terbaring kaku, sama seperti semasa aku meninggalkannya tadi. Aku terus menuju ke atas untuk menukar baju dan selepas itu turun semula untuk mengambil air di dapur. Terkejut aku apabila dapurku nampak bersepah dengan kulit-kulit buah bersepah di atas lantai. Aku membuka peti sejuk. Sebiji epal dan kulit tembikai jatuh betul-betul jatuh di hadapanku. Sah! Dia makan makanan dalam peti ais ni. Aku menuju ke ruang tamu dengan perasaan marah.

”Bangun!” Kataku tegas. Julita masih lagi kaku tidak bergerak membuatkan aku semakin panas.

”Jangan nak berpura-pura, saya tahu awak dah sembuh. Bangun!” Tengkingku dan terus menarik selimutnya lalu mencampakkan ke tepi. Julita bangun perlahan-perlahan dan terus menundukkan kepalanya. Aku menjeling mangkuk bubur yang kusediakan untuknya sebelum aku keluar tadi, kosong! Memang sah dia dah sihat, berselera je makan.

”Ikut saya...” Arahku dalam nada suara yang sengaja kutegaskan. Aku menuju ke dapur dan duduk di salah sebuah kerusi meja makan yang memang tersedia berada di dapur. Julita sengaja ku suruh berdiri di hadapanku.

”Maafkan saya...saya lapar sangat, sebab tu saya makan makanan awak dalam peti ais tu.” Aku mengetuk mejaku dengan jari. Tidak tahu apa yang patut aku lakukan padanya ketika ini.

”Awak ni pengemis ke? Tidur depan rumah orang, makan makanan orang lain..” Kasar sekali kata-kataku tapi sekarang memang aku sangat marah kerana sudah beberapa kali ditipu. Julita hanya tunduk dan terdiam mendengar kata-kataku. Mungkin dia menyedari bahawa dia memang bersalah dalam hal ini. Aku menyeluk poket dan mengeluarkan sekeping sampul lalu menyuakan padanya.

”Apa ni?” Julita bertanya kehairanan namun tangannya tetap mengambil sampul tersebut dan membukanya.

”Duit? Kenapa awak bagi saya duit.” Dia bertanya kehairanan. Aku menarik nafas.

”Bukan salah saya rumah ni saya beli, malah semua dokumen jual beli adalah sah. Saya tahu awak tak ada tempat lain yang boleh awak pergi. Saya juga tahu awak tak ada duit. So, saya beri awak duit tu untuk awak cari rumah sewa dan lebihnya awak boleh buat makan sementara awak belum dapat kerja ni. Anggaplah itu saguhati dari saya, kalau ikutkan saya tak payah beri awak apa-apa pun. Tapi sebab saya kasihankan awak, saya tolong awak. Lepas ni jangan ganggu saya lagi.”

”Ambil balik duit awak ni! Saya cuma nak rumah ni, saya tak nak duit awak!” Ujarnya marah dan mencampakkan semula sampul tersebut di atas meja. Julita memandangku dengan pandangan yang tajam. Takut aku memandangnya. Aku tidak mahu mengalah. Aku berdehem sebelum membalas kata-katanya.

”Awak jangan nak berlagak, awak tu dahlah tak ada duit. Untung-untung saya sedekahkan awak duit buat belanja. Kalau saya tak bagi, awak nak merempat?”

”Awak betul-betul anggap saya ni macam pengemiskan? Awak ni teruk! Saya lebih rela mati tepi jalan dari terima duit busuk awak tu!” Herdik Julita sebelum dia berlalu membuatkan aku terkebil-kebil memandangnya. Julita mengambil begnya dan terus menuju ke pintu keluar.

”Jangan menyesal kalau awak tak ambil duit ni, saya offer sekali je! Kalau awak mati tepi jalan bukan salah saya.” Sempat aku melaungkan ayat tersebut sebelum Julita sempat keluar, Julita membalas tanpa menoleh padaku.

”Pergi jahanamlah dengan duit awak!” Katanya kasar.

”Huh! Berlagak..kita tengok boleh ke ego awak tu buat awak kenyang!” Jeritku lagi tidak hati. Panas hatiku apabila dia menolak apabila aku ingin berbuat baik padanya. Tak sedar diuntung. Aku mengambil semula sampul yang dicampakkan tadi dan melihat semula isi di dalam sampul tersebut. Melampau sangat ke aku tadi. Ish..Pusing betul perempuan ni. Aku mencampakkan semula sampul surat tersebut di atas meja. Aku menyandar lemah di kerusi. Berfikir samada betul tindakanku memberikan dia duit.

”Ah! Kenapa aku nak susah-susah pasal dia, lantaklah..bukan aku yang susah pun. Untung-untung aku dah offer duit. Dia yang tak nak. Apa aku nak peduli lagi.” Desis hatiku. Namun sebenarnya aku sangat bimbangkan keadaan Julita, mungkin dia belum pulih sepenuhnya. Kalau dia demam lagi, bagaimana?

Akhirnya aku memutuskan untuk melihat ke mana dia mahu pergi, sekiranya betul dia sudah mempunyai tempat tinggal, barulah hatiku akan lega. Aku menaiki kereta, mungkin dia masih lagi berada di perhentian bas berdekatan. Memang tepat jangkaanku, dia masih lagi berada di situ menunggu bas. Aku memberhentikan kereta agak jauh dari perhentian, kedudukanku agak tersorok sedikit dari pandangan Julita namun aku masih boleh melihatnya dari keretaku. Aku menunggu dengan sabar, sebuah bas berhenti di perhentian tersebut namun Julita tidak menaiki bas itu. Aku pelik. Bas tersebut berjalan setelah mendapati Julita tidak berhajat untuk menumpang bas tersebut. Aku menunggu lagi. Setengah jam kemudian, sebuah lagi bas muncul. Dia masih lagi tidak menaiki bas tersebut. Aku mengurut-urut daguku yang licin, berfikir sebenarnya, kenapa dia tidak menaiki bas-bas yang melalui perhentian tersebut. Mungkinkah dia masih berfikir arah tujunya ataupun memang dia tidak mempunyai tempat lain untuk dituju? Aku menunggu lagi. Bas yang ketiga juga begitu, dia tidak menaikinya. Aku menghidupkan enjin kereta dan menghampiri perhentian bas. Betul-betul berada di hadapannya. Aku menurunkan cermin kereta. Julita pada mulanya nampak tertanya-tanya siapakah kereta yang menghampirinya, namun setelah melihatku, wajahnya berubah dan terus memalingkan muka.

”Naik kereta.” Aku mengarahkannya. Dia tidak mengendahkan kata-kataku dan memandang tempat lain. Aku keluar dari kereta, kemudian bersandar di pintu kereta sambil menyeluk poket.

”Naik kereta.” Ulangku lagi.

”Saya gila ke? Buat apa nak naik kereta awak tu?” Ciss! Dia kata aku gila! Aku ni punyalah baik nak tolong dia. Sabar Raikal! Sabar...Pujuk dia balik.

”Awak ada tempat nak dituju ke?” Aku bertanya lagi.

”Suka hati sayalah, awak sibuk kenapa!” Julita menjawab dengan kasar. Rasa ingin marah namun disebabkan aku serba salah kerana menghulurkan dia duit tadi, aku bersabar. Perempuan ni banyak songeh betul!

”Bila awak nak bayar duit saya?” Pertanyaanku kali ini membuatkan dia tersentak. Dia berdiri.

”Bu..Bukan saya tak nak bayar..cuma, saya minta tempoh dulu boleh?” Suaranya bertukar menjadi lembut. Aku membuka pintu kereta.

”Masuk, kita bincang kat rumah.” Berjaya juga akhirnya aku membawa Julita pulang semula. Sebenarnya aku sudah merancangkan sesuatu untuknya. Julita masih berdiri di perhentian bas.

”Masuklah, apa lagi awak tunggu.” Tergesa-gesa dia menaiki keretaku.

“Sorry, bukan saya tak nak bayar, cuma saya memang tak ada duit sekarang ni.” Aku menjelingnya. Dah tu, marah bila aku bagi duit tadi.

“Biasalah, pinjam pandai..pulang tak pandai. Bila saya bagi duit, berlagak..tak nak pula tu.” Pedas aku memulangkan kata-katanya. Sengaja aku membalas dendam kerana dia mengatakan aku gila tadi. Dia menjelingku dan selepas itu dia mendiamkan diri sehingga kami sampai ke rumah. Aku mempersilakannya duduk di sofa yang masih berbungkus plastik.

“Saya dah fikirkan sesuatu untuk awak, saya risau awak akan lari dari bayar hutang saya kalau awak pergi ke tempat lain.”

“Awak ingat saya ni penipu ke? Saya akan bayarlah..” Aku memandangnya sinis.

“Bukan betul ke awak tu penipu?”

“Bila saya tipu awak?” Dia bertanya dengan geram.

“Kat Bali dulu..awak kata awak makwe Emil.” Berubah mukanya apabila aku menyebut nama Emil.

“Itu..itu...” Dia kehilangan kata-kata untuk membalas. Aku tersenyum sinis padanya.

”Sebab tu saya nak awak jadi orang gaji saya. Hutang awak akan ditolak dari gaji bulanan. Gaji awak.. kalau ikut gaji orang indon, dalam 500 sebulanlah. Itu pun saya rasa dah banyak dah tu. Kalau ikutkan hati saya, saya bagi 300 je.” Mata Julita terbeliak.

”Orang gaji awak? Tak naklah saya..Dahlah samakan saya dengan orang gaji dari Indon. 500 je pula tu. Tak berbaloi langsung.”

”Terpulang, kalau awak ada cara lain untuk membayar duit saya?” Aku memerlinya, berlagak betul perempuan ni! Demand pula tu.

”Tak ada cara lain ke?”

” Itu saja cara yang saya ada untuk membantu awak. Lagipun rumah ni memang tengah bersepah, saya kan baru pindah rumah. Tak ada masa nak kemas rumah ni lagi, sebab tu saya offer awak jadi orang gaji saya. Lagipun, awak mesti tak nak berpisah dengan rumah ni kan?” Lama dia terdiam, memikirkan tawaranku. Aku menyambung ayatku.

”Kerja awak tak susah..pagi, awak buat sarapan. Tengahari, saya akan beritahu samada saya balik makan ke tak, kalau saya kata saya balik, baru awak masak, kalau saya kata saya tak sempat balik, awak hanya perlu masak untuk makan malam je. Kemudian kemas rumah, pastikan rumah dalam keadaan bersih sentiasa. Saya ingatkan awak, saya seorang yang cerewet. Saya tak mahu tengok rumah dalam keadaan yang bersepah, saya nak awak mop satu rumah dua hari sekali. Cermin-cermin tingkap dan sliding door saya nak awak lap selalu. Saya tak nak tengok cap jari pun melekat pada cermin. Tandas, saya nak awak bersihkan hari-hari. Saya geli tengok tandas yang kotor. Kemudian, laman rumah..sapu selalu, saya nak pokok-pokok tu semua bersiram setiap hari, rumput pastikan dicabut. Lagi..Mmm...ha dapur pula, pastikan selepas menggunakan pinggan mangkuk, cuci terus, saya tak suka awak longgokkan pinggan mangkuk kotor tu lama-lama dalam sinki. Saya rasa setakat tu je dulu, ada apa-apa lagi yang saya ingat, saya akan beritahu kemudian.” Julita ternganga mendengar butiran tugasnya yang keluar dari mulutku.

”Banyaknya, awak nak menyeksa saya ke?” Aku tersenyum sinis.

”Saya rasa kerja yang saya bagi tu sikit je..Aaa..satu lagi, saya tak nak makan roti waktu sarapan. Sediakan nasi goreng ke, nasi lemak ke, mee goreng ke..apa-apalah, janji yang berat.”

”Ha..nak yang berat-berat..kejap, kejap..biasanya awak sarapan pukul berapa?”

”7” Jawapku ringkas, Julita mengira-ngira sesuatu. Dahinya berkerut.

“Jadi saya kena bangun pukul 6 lah? Haaa...awalnya..” Julita merungut.

”Apa saya kisah awak bangun pukul berapa, janji sarapan saya siap. Ada apa-apa masalah lagi?” Aku bertanya selamba.

”Habis tu, saya nak tinggal kat mana? Nanti kang, saya duduk rumah ni, tak pasal-pasal kita kena tangkap basah pula.” Aku membetulkan dudukku, nampaknya dia akan bersetuju dengan tawaranku.

”Tu pun saya dah fikirkan. Belakang tu ada kotej kecilkan? Saya rasa sesuai untuk awak duduk.”

”Kotej belakang tu?” Aku mengangguk.

”Mmm...bolehlah. Bila saya nak kena mula kerja?” Aku tersenyum puas, dia sudah bersetuju, hilang sudah kegusaranku.

”Sekarang!”

”Sekarang!” Julita mengulangiku ayatku.

”Ya..saya nak awak kemaskan barang-barang yang bersepah ni semua, cabut plastik sofa ni, kemas buku dan masukkan dalam rak, baju-baju saya kat atas tu kemaskan dan masukkan dalam almari. Lagi..mm...mop lantai ni. Lap cermin..cuci toilet..saya tak suka sepah-sepah. Sakit mata saya tengok. Saya tahu petang ni saya balik, semua kerja beres. Kalau tak gaji awak saya potong.” Terbeliak biji matanya mendengar arahanku. Aku tersenyum dalam hati. Gila betul arahanku. Haha...

”Banyaknya kerja saya...” Dia merungut.

”Mestilah, rumah ni berhabuk. Awak tak pernah kemas ke masa awak duduk kat sini.” Dia mencebikkan muka sambil menjelingku. Kemudian dia memandang sekeliling rumah yang masih bersepah.

”Awak tak nak tolong kemas ke?” Julita memandangku dengan muka kasihan.

”Saya sibuklah, petang ni saya ada rakaman. Mungkin dah nak maghrib baru saya balik.”

”Satu lagi, saya nak tidur dengan apa. Takkan tak ada toto ke, bantal ke?”

”Balik karang saya singgah beli toto untuk awak, bantal ada kat atas. Selimut pun ada lebih tapi saya tak ingat saya letak dalam beg mana. Awak carilah sendiri. Oklah, saya nak pergi studio. Enjoy yourself..” Aku memerlinya. Memang enjoy menyuruh orang. Haha...

****

”Enjoy yourself konon! Enjoy apa ke bendanya ni. Arrrghhhh…gila banyak barang-barang dia yang tak berkemas ni. Mampus aku, mana larat nak kemas semuanya hari ni!” Aku memegang bulu rotan sambil memandang sekeliling. Aku melihat jam di dinding. Alamak, aku dah tak banyak masa ni. Baik aku mula sekarang. Aku bermula di tingkat bawah terlebih dahulu. Dari mencabut plastik sofa, menyusun perabot, kemudian menyusun buku-bukunya yang banyak ke dalam rak buku, lap cermin, mop lantai dan membersihkan dapur. Aku beralih pula ke tingkat atas, aku mengeluarkan semua baju-baju Raikal dan menggantungkannya ke dalam almari. Banyak gila baju dia. Baju-baju t-shirtnya ku lipat dan disusun rapi. Aku mengeluarkan cadar dan memasangnya pada tilam. Kerana kelelahan, aku berbaring sejenak di atas katilnya.

“Penatnya…” Aku mengurut-urut bahuku yang sengal. Aku meneruskan misi seterusnya, membersihkan kotej di belakang yang akan menjadi bilikku selepas ini. Aku berdiri di depan pintu kotej, terimbas kenangan dulu. Kotej ini sebenarnya merupakan ofis kedua ayah. Ayah akan menyiapkan lakarannya di kotej ini kerana ibu akan bising jika ayah pulang lambat dari ofis. Ibu lebih rela ayah membawa pulang kerjanya dari selalu lambat pulang. Takut katanya tinggal seorang diri di rumah. Kerja ayah sebagai arkitek memang membuatkannya selalu pulang tidak tentu masa. Sebab itu ayah membina kotej ini untuk memudahkan ayah menyiapkan kerja tanpa diganggu olehku yang ketika itu masih kecil. Namun aku akan curi-curi masuk untuk melihat ayah bekerja. Ayah pula, apabila menyedari kehadiranku, akan menggeletek perutku dan membuatkan aku ketawa sebelum membawaku semula masuk ke dalam rumah. Ah! Kenangan itu memang manis. Masih terbayang-bayang lagi kenangan tersebut. Aku mula mengemas, barang-barang yang aku rasa tidak diperlukan aku campakkan keluar untuk dibakar nanti. Setengah jam kemudian, kotej ini sudah kemas dan sedia untuk diduduki. Aku melihat jam di dinding. Hampir ke pukul enam petang. Aku bersiap-siap untuk mandi, badanku sudah melekit kerana berpeluh. Aku perlu bersiap sebelum Raikal pulang.

Raikal pulang apabila jam sudah menunjukkan pukul 7. Sebaik sahaja aku mendengar deruman keretanya memasuki laman rumah, aku terus memakai tudung dan menghampirinya. Dia mengeluarkan sesuatu dari bonet kereta dan kemudian menghampiriku.

“Saya tak masak, sebab tak ada barang untuk di masak dalam peti ais.” Raikal menganggukkan kepala

”Saya dah beli nasi bungkus untuk awak.” Katanya dan kemudian menyerahkan beg besar yang baru dikeluarkan tadi padaku. Aku terkejut.

”Apa ni?” Aku bertanya kebodohan, padahal aku boleh melihat sendiri isi di dalam beg besar tersebut.

”Toto untuk awaklah.” Jawabnya ringkas dan terus membuka pintu.

”Toto je ke? Tilam tak ada? Sakitlah badan saya tidur atas toto je.” Raikal memandangku.

”Dah awak minta toto, saya belikanlah toto. Lagipun ok pe, orang kat luar tu tidur pakai kotak je. Awak kira bernasib baik.” Ujarnya dan terus menutup pintu. Aku mencebik. Eleh, kalau kedekut tu cakap je lah kedekut. Tak payah nak bandingkan dengan orang yang tidur dengan kotak tu. Ciss! Sempat aku menjeling pada pintu tersebut walaupun Raikal sudah memasuki rumah tanda tidak puas hati.