CLICK HERE FOR BLOGGER TEMPLATES AND MYSPACE LAYOUTS

Sunday, May 31, 2009

Syurga Cinta 4

Aku menarik-narik rambutku yang agak panjang, bingung memikirkan bagaimana caranya untuk aku pulang ke tanah air. Duit yang ada tidak cukup untuk membeli tiket kapal terbang..

”Haaaaaaaa!” Kusut rambutku apabila aku meramas rambutku yang langsung tidak bersalah apabila aku gagal memikirkan sebarang penyelesaian.

”Macam mana ni...” Aku mencapai telefon di tepi katil. masih berusaha untuk menelefon Nazim dan Nina, manalah tahu mungkin berhasil.

”Your number you have..” Pap! Aku meletakkan ganggang telefon dengan kasar. Geramnya!!! Mana mereka pergi ni. Betul-betul nak kena betullah. Siaplah nanti bila aku balik. Aku terlentang di atas katil. Memandang syiling hotel tanpa sebarang perasaan.

”Macam mana ni, fikir Julita! Fikir Julita! Fikirrr!!! Arghhhhhh!!!!!” Aku menjerit sambil menghentakkan kaki. Aku bangkit dan duduk, tangan kananku mengambil bantal lalu memeluknya.

”Kenapalah aku boleh bodoh sangat percaya cakap dua ekor tu. Kenapalah aku tak tanya aku menang apa sebenarnya. Dengar dapat melancong je terus syok. Bukan nak siasat dulu. Argghh!!! Bodoh! Bodoh!” Aku mengetuk kepalaku. Aku menyembamkan muka ke bantal. Kusut sungguh fikiranku ketika itu.

”Nak balik.....Waaaaa...nak balik...Hukhuk...” Jeritku sambil menghentakkan kaki di atas katil. Puas berfikir secara duduk aku berbaring, puas berbaring aku berjalan mundar mandir di tepi katil. Puas berjalan aku duduk kembali di atas katil.

”Oh Tuhan, bantulah hambamu ini..” Aku berdoa dalam hati setelah menemui jalan buntu. Aku tiada siapa-siapa dalam dunia ini selain Nina dan Nazim. Ibu dan ayahku merupakan anak tunggal dalam keluarga, jadi aku tidak mempunyai saudara mara. Sejak ibu bapaku meninggal dunia, keluarga Nazimlah yang banyak membantuku, malah jika hari raya atau sebarang majlis-majlis penting, ibunya tidak lupa menjemputku datang ke rumah. Malah mereka sudah menganggapku sebagai anak perempuan mereka.

Pening kepalaku asyik memikirkan masalah ini. Apa yang harus aku buat...Bantulah aku Ya Allah..bantulah aku...

Tiba-tiba aku terpandangkan sehelai baju yang tersangkut di almari. Aku mengerutkan dahi. Baju yang aku muntahkan dalam kapal terbang tu..mm...

Ligat otakku apabila terfikirkan sesuatu.

”Ha! Kenapa aku tak terfikir sebelum ni!” Cepat-cepat aku menyelongkar beg tanganku untuk mencari kad nama Emil, lelaki berwajah cina yang kacak yang aku temui di kedai semalam.

”Mana ni, tak jumpa pun.” Akhirnya aku menuang semua isi di dalam beg tangan tersebut namun kad Encik Emil tidak ku temui. Aku tidak ingat di mana aku meletakkan kad nama tersebut. Aku cuba bertenang supaya boleh mengingati tempat aku menyimpan kad tersebut.

Aku menyelongkar pula bagasiku, manalah tahu mungkin tercicir di dalam beg pula. Habis semua baju-baju di dalam beg aku keluarkan namun masih tidak menjumpai kad tersebut. Aku duduk terjelepuk di tepi bagasi. Harapan terakhirku musnah. Aku duduk termenung sambil mengenangkan nasib malangku. Tiba-tiba mataku terbeliak, kenapalah aku tak terfikir tadi. Bukankah aku tengok baju Raikal tadi, kenapa pulalah aku terfikir Emil pula. Patutnya aku ingat Raikal dulu. Aku bingkas bangun dan terus bersiap.

Ting tong...

Tiada jawapan dari orang di dalam.

Ting tong ting tong ting tong ting tong ting tong ting tong ting tong ting tong....

Aku menekan loceng beberapa kali. Tiba-tiba pintu dibuka kasar.

”Hei, tak tahu nak sabar ke? Sabarlah sikit!” Raikal menengkingku. Terkedip-kedip mataku terkejut dengan sergahanku. Lagi terkejut apabila melihat dia hanya memakai tuala sahaja. Aku memerhatikan dia dari atas ke bawah, Raikal yang melihat tindakanku mula menyedari yang dia hanya bertuala sahaja.

”Aaaaaaaaaaaa....” Kami berdua menjerit serentak. Aku memusingkan badan ke belakang. Raikal pula cepat-cepat menutup pintu semula.

”Terkejut aku..Fuhhhh!” Ujarku perlahan sambil mengurut-urut dadaku. Pertama kali melihat secara realiti lelaki yang bukan muhrimku hanya bertuala sahaja. Pintu di buka semula. Kali ini Raikal keluar dengan pakaian yang lengkap. Berbaju t-shirt dan berseluar jeans. Rambutnya masih basah lagi.

”Ha, ada apa?” Raikal bertanya garang. Aku menjelingnya.

”Assalamualaikum...” Aku memerlinya. Merah mukanya apabila aku sengaja berbuat demikian. Dia menggaru-garu rambutnya yang basah.

”Waalaikumsalam..Ha, ada apa cari saya ni?” Aku tersengih mendengar kata-katanya. Nak mintak tolong pada orang, muka mesti manis, ayat biar power..Go!go! Julita.

”Sebenarnya saya nak pulangkan baju awak yang terkena muntah dulu.” Ujarku sambil mengunjukkan bajunya yang ku lipat rapi di dalam plastik.

”Oh! Ok..Terima Kasih.” Raikal mengambil plastik yang ku pegang dan menariknya. Aku menarik semula sambil tersenyum. Raikal menarik plastik itu kembali. Kami bermain tarik-tarik di depan pintu.

”Awak ni datang nak pulangkan baju saya atau awak nak main tarik-tarik?” Aku tersengih dalam keterpaksaan, akhirnya aku melepaskan beg plastik yang ku pegang.

”Thanks sebab tolong basuhkan. See you again..” Sempat Raikal tersenyum kambing sebelum menutup pintu.

”Aaa...” Belum sempat aku mengatakan sesuatu, pintu sudah tertutup rapat. Aku menghentakkan kaki, kecewa kerana tidak sempat menyuarakan permintaanku. Akhirnya aku duduk mencangkung di depan pintu. Aku meraup wajahku yang mencerut.

”Macam mana ni?” Aku memandang ke atas. Memandang ke suis loceng pintu. Tiba-tiba aku mendapat satu idea. Cepat-cepat aku bangun dan menekan suis loceng semula.

Raikal membuka pintu.

”La…Awak lagi ? Awak nak apa lagi ? ” Aku tersengih.

”Saya..saya nak mintak maaf.” Aku memberanikan diri.

”Itu je? Ok saya maafkan..” Ujarnya dan terus menutup pintu semula. Aku bengang, tak sempat lagi! Aku menekan jam loceng semula.

”Nak apa lagi ?” Jerkah Raikal ketika membuka pintu. Aku tersengih. Namun di hatiku menggerutu apabila dijerkah begitu. Muka kacak tapi kasar! Nasib baik aku tengah susah ni.

”Sebenarnya....Mmmm...Apa kata kita pergi minum-minum dulu ke?”

”Maaf, saya sibuk!” Sebelum Raikal sempat menutup pintu semula, cepat-cepat aku menahan pintu.

”Sebenarnya saya nak pinjam duit awak!” Terbeliak mata Raikal mendengar kata-kataku.

”No!” Sambil tersenyum sini dia terus dia menutup pintu. Kedudukan pintu tersebut begitu hampir dengan hidungku.Aku yang masih terpaku di depan pintu terkebil-kebil. Terkejut dengan tindakan Raikal tadi.

Aku masih tidak putus asa dan terus menekan loceng semula.

”Kalau awak berani tekan loceng lagi siap awak!!” Dengan muka garang dia memarahiku dan terus menutup pintu. Aku mengeluh. Belum sempat aku mengeluarkan hujah-hujah padatku lagi. Macam mana nak mintak, tak sempat aku cakap apa-apa lagi dia dah tutup pintu. Aku putus asa. Akhirnya aku duduk termenung di depan pintunya lagi. Nampaknya aku menemui jalan buntu lagi.

****

Masuk kali ni sudah lima kali dia menekan loceng. Dahlah aku tak kenal dia, boleh pula pinjam duit. Tak munasabah langsung.

”Kan saya dah kata jangan tekan loceng lagi!!” Aku memarahinya kasar. Perempuan di hadapanku tersengih. Dari tadi itu sahajalah yang dia tahu, tersengih, tersengih dan tersengih lagi.

”Kalau tak nak bagi pinjam tak apalah, tapi boleh tak saya minta nombor telefon Emil.”

”Emil?”

”Ye, Emil.” Aku pelik, bagaimana perempuan itu tahu tentang Emil dan bagaimana dia tahu aku mengenali Emil.

”Awak kenal Emil? Macam mana awak tahu saya kenal Emil?” Aku bertanya padanya.

”Owh..Panjang ceritanya. Dia pernah sebut nama awak dulu.” Ujar perempuan tersebut sambil mengusap-ngusap lengan bajunya.

”Dia sebut nama saya?” Aku mengerutkan dahi.

”Kenapa pula dia sebut nama saya?” Aku bertanyanya lagi.

”Mmm..Saya pun tak ingat sangat. Ada tak nombor Emil, saya dah terhilangkan kad dia.”

”Emil dah balik Malaysia, kalau awak telefon dia pun tak guna.”

”Apa? Dia dah balik??” Perempuan itu separuh menjerit. Wajahnya tiba-tiba berubah, seperti mahu menangis. Aku serba salah. Akhirnya aku mempersilakannya supaya masuk ke rumah.

”Siapa nama awak?” Tanyaku setelah kami berdua duduk di sofa.

”Julita.” Jawabnya pendek. Kami berdua terdiam selepas itu, perempuan yang mengenalkan dirinya sebagai Julita tadi bermain-main dengan jari jemarinya. Aku memerhatikan tingkahlakunya. Aku memicit-micit kepala, tidak tahu topik apa yang sesuai untuk diperbualkan.


”Boleh saya tahu apa hubungan awak dengan Emil?”

”Ha?” Julita memandangku.

”Hubungan awak dengan Emil..”

”Mmm..Panjang ceritanya...”

”Cuba awak pendekkan...”

”Apa hubungan awak dengan Emil?” Julita bertanya.

”Kami sepupu.” Aku menerangkan padanya.

”Sepupu?” Aku mengangguk mengiakan.

”Oh, jadi awak rapatlah dengan Emil.” Dia bertanya lagi.

”Biasa je, tak adalah rapat sangat.”

”Takkan awak tak ada nombor dia?”

”Dia kata dia balik Malaysia hari ni, tapi tak tahulah samada dia terus balik Malaysia atau pun ke Jepun dulu. Sebab tu saya tak berani nak beri nombor telefon dia. Apa hubungan awak dengan dia?” Julita mengeluh setelah mendengar kata-kataku.

”Mm...Tak apalah kalau macam tu, saya balik dulu.” Tanpa menjawab pertanyaanku, dia meminta izin untuk pulang. Wajahnya suram sekali.

”Nanti dulu..” Julita tidak jadi untuk melangkah.

”Kalau awak beritahu saya apa hubungan awak dengan Emil, mungkin saya boleh pinjamkan awak duit.”

*****

Aku tidak jadi melangkah keluar setelah mendengar kata-kata Raikal. Mataku bulat sambil bibirku tersenyum nakal. Aku memusingkan badanku menghadapnya, berpura-pura sedih. Dengan muka tak malu, aku duduk semula di sofa.

”Saya tak tahu samada saya patut cerita pada awak ke tak..” Aku cuba berlakon sedih, demi pulang ke Malaysia, aku sanggup berbuat apa sahaja janji dapat memenuhi hasratku. Raikal mengusap-usap dagunya.

”It’s ok, cerita sajalah pada saya.”

”Sebenarnya...Emil dulu adalah kekasih saya..” Terbeliak biji mata Raikal mendengar kata-kataku.

”Kekasih awak?” Ulangnya. Aku mengangguk.

”Ye..Kekasih lama saya, cuma baru-baru ni kami bertemu semula.” Nampak gaya seperti Raikal mempercayai kata-kataku. Aku tersenyum. Apabila dia memandangku, cepat-cepat aku mengubah wajahku menjadi sedih semula.

”Mungkin kami sudah tiada jodoh, hubungan kami tak panjang. Jika tidak, mungkin kami sudah mempunyai 2 orang anak yang comel sekarang. Tak pun anak kembar..” Ungkapku hiba. Raikal mengerutkan dahi dan memandangku pelik.

”Dia pernah berjanji dengan saya, dia mahu mengadakan majlis perkahwinan kami di taman. Lalu bawah pedang, diiringi pengiring-pengiring yang comel. Majlis kami akan dihiasi bunga-bunga ros merah. Saya masih ingat lagi kata-kata dia..Sampai bila-bila saya akan ingat..Huuuuhuuuuuu....” Aku berpura-pura mengelap air mata walaupun sebenarnya tiada air mata yang keluar. Raikal mengambil tisu yang kebetulan terletak di meja sebelahnya, aku mengambil tisu dari tangannya. Terlebih sudah penipuanku. Haha..Hatiku terasa digeletek kerana lucu mendengar kata-kata rekaanku sendiri. Bawah pedang tak tahan...Bunga ros merah..Huhu..Kaya sangat ke nak buang duit beli bunga ros, mengarut sungguh!

”Dah lama ke awak dengan Emil bercinta?” Aku mengangguk lesu.

”Kenapa kamu berdua putus?” Raikal bertanya lagi.

”Macam yang saya katakan tadi, mungkin kami tiada jodoh..Kenapa kami berpisah biarlah ia menjadi rahsia kami. Huuuuhuu..awak janganlah tanya banyak-banyak lagi. Hati saya bertambah sedih bila terkenangkan percintaan agung kami yang tak kesampaian. Hukhukhuk...” Sengaja aku berpura-pura mengelap mata lagi, sempat aku menjeling Raikal yang termenung mendengarkan kisahku.

Aku cuba menahan gelak apabila Raikal percaya dengan penipuanku. Sengaja aku menguatkan suara tangisanku yang mendayu-dayu. Raikal menggaru-garu kepalanya kemudian dia bangun dan mengambil dompetnya di meja tepi katil. Aku menjenguk tingkahnya, sebaik sahaja dia menghampiriku, cepat-cepat aku membetulkan dudukku. Masih lagi berpura-pura mengelap air mata. Siap menghembus hingus lagi untuk membuatkan dia betul-betul percaya yang aku sedang menangis kesedihan.

”Saya pinjamkan awak duit, lepas saya balik ke Malaysia saya akan hubungi awak. Saya nak nombor telefon, alamat rumah dan salinan ic awak.” Katanya sambil mengeluarkan beberapa keping not biru kehijauan. Aku mengeluh lega, tak sia-sia aku berlakon penuh perasaan.

Aku pulang ke hotel dengan perasaan gembira dan lega. Lega kerana aku dapat pulang ke Malaysia akhirnya dan menyelesaikan masalahku. Siaplah mereka selepas aku sampai di Malaysia nanti. Sampai hati tipu kawan baik sendiri! Memang cari nahas...

Setibanya di hotel, aku terus mengemas semua barang-barangku dan bersedia untuk balik. Mujur penerbangan ke Malaysia masih lagi dibuka dan aku sempat menaiki penerbangan terakhir pada hari itu. Setibanya aku di Malaysia, benda pertama yang aku cari adalah telefon awam kerana telefon bimbitku tiada kredit.

”Nazim! Nina! Siaplah kalian aku kerjakan! Berani tipu Julita ye! Tunggulah penerajang sulung dari Julita Mohd Jufri!” Dengan kasar aku meletakkan ganggang telefon. Hatiku membara kerana terasa dipermainkan. Siaplah kau dengan bini aku! Aku berkata sendirian, mengulangi ayat di dalam sebuah iklan sabun basuh. Ye..Siaplah korang dengan Julita!!

Friday, May 1, 2009

Syurga Cinta 3

“Errkk….Gelinya.” Melihat muntah di bajuku ini membuatkan aku pula yang seperti mahu muntah. Tak senonoh punya perempuan. Ni dah kali kedua dah ni. Aku membuka bajuku. Mujur aku memakai baju t-shirt di dalam. Kalau tak mana nak cari baju tengah-tengah penerbangan ni. Ish! Tak lalu aku nak basuh. Geli geleman pula aku, karang tak pasal-pasal aku pula yang muntah.

Aku menghidu tanganku, takut berbau lagi walaupun sudah beberapa kali aku membasuhnya menggunakan sabun. Siaplah dia nanti. Berapa banyak baju aku dia nak kotorkan. Melampau! Aku keluar dari tandas dengan perasan yang sebal.

Setibanya aku di tempat duduk, perasaan marahku bertukar menjadi hampa. Mana tak hampanya, dia boleh tertidur. Siap ternganga lagi tak tahan. Aku menggelengkan kepala.
Tu lah, makan banyak sangat, lepas tu muntah. Dah tu penat muntah, tidur. Dah kotorkan baju aku, tidur ternganga macam tu..Ha! Elok sangatlah perangai perempuan macam ni. Macam budak kecil betul! Malang betul laki dia. Ngomelku sendirian. Aku meletakkan baju kotor tersebut di bawah kerusi. Tak kuasa aku hendak menyimpannya lagi.

Penerbangan yang mengambil masa beberapa jam sahaja sebenarnya ku rasa amat jauh. Dengan perasaan geram yang berbuku di hati membuatkan aku mahu turun dari pesawat ini secepat mungkin. Geram aku melihatnya tidur dengan nyenyak sekali.

”Nasib baik kau perempuan!” Desis hatiku sambil menjelingnya.

Pesawat sudah mendarat, penumpang-penumpang lain mula sibuk bersiap untuk turun. Aku mahu mengejutkan perempuan tersebut, namun tatkala tanganku hampir menyentuh bahunya, hatiku membantah tindakanku. Akhirnya aku membiarkan sahaja perempuan tersebut tidur nyenyak. Tahulah dia bangun sendiri nanti…

*****

“Cik..Cik..” Aku terkejut lantas menggosok-gosok mataku. Aku melihat pramugari di hadapanku tersenyum manis.

”Kita dah sampai Cik.” Aku terkejut lagi dan memandang sekeliling. Sudah kosong. Aku melihat kerusi di sebelahku. Kosong! Ciss!! Bukan nak kejutkan aku sekali sebelum dia turun.

”Hmm...Terima kasih sebab kejutkan saya.” Aku cuba mengawal diriku yang malu. Pramugari tadi mengangguk dan tersenyum sebelum meninggalkan aku yang masih terpinga-pinga. Aku mencapai begku di bawah kerusi.

“Eh! Ni baju mamat tu. Kenapa dia tinggalkan je baju dia kat sini?” Aku berfikir sejenak. Tiba-tiba aku mengetuk kepalaku.

”Macam mana aku boleh lupa, tadi aku muntahkan baju dia. Memanglah dia tinggal. Eh! Dia nak suruh aku basuh baju dia ke?” Setelah berfikir lama, akhirnya aku mengambil keputusan untuk membawanya sekali bersamaku. Kalau terjumpa dia ke kat sini, boleh aku pulangkan. Lagipun aku tak minta maaf lagi kat dia. Huhu..

Sempat aku mengucapkan terima kasih pada pramugari sebelum aku turun dari pesawat. Sebaik keluar dari balai berlepas, aku terpinga-pinga. Apa yang patut aku lakukan sekarang? Siapa yang akan jemput aku? Aku melihat sekeliling jika ada sebarang papan tanda tentang orang yang akan menjemputku. Lupa aku nak tanya pada Nina tadi, aku akan duduk di hotel yang mana. Tulah! Excited sangat..Aku mengetuk kepalaku sendiri. Geram dengan kecuaian sendiri.

Setelah lama menunggu tetapi tiada siapa yang menjemputku, aku nekad untuk bergerak dan mencari tempat penginapan sendiri. Apa nak jadi pun jadilah, janji aku tak tidur kat airport ni.

Aku menahan teksi yang banyak bersidai di tepi-tepi jalan. Setelah berbincang serba sedikit tentang tempat yang aku ingin pergi, pemandu tersebut mengangguk tanda bersetuju dengan permintaanku. Lega aku. Pemandu teksi tersebut membawaku ke sebuah hotel murah atas permintaanku. Aku mengucapkan terima kasih sebelum pemandu teksi tersebut berlalu pergi. Mujur bahasa di sana masih aku fahami lagi. Kalau di bantainya cakap jawa pekat, mahu aku melongo..huhu..

Aku menyewa sebuah bilik, nasib baik bilik tak penuh hari ini. Setelah menunjukkan bilikku, pelayan tersebut pun keluar meninggalkan aku sendirian di dalam bilik. Aku melihat keadaan sekeliling..Mmm...Boleh tahanlah, taklah buruk sangat. Janji aku selesa. Aku mencapai telefon di sebelah katil. Mula mendail nombor telefon bimbit Nina. Tidak berangkat. Aku mencuba pula mendail nombor Nazim, juga tidak berangkat. Setelah mencuba beberapa kali tapi tidak berangkat, aku putus asa. Mungkin mereka sedang sibuk agaknya. Aku terlentang di atas meja. Tak sangka aku akan sampai ke sini. Tanpa disedari, hampir 2 jam aku tertidur.

*****

”Rumah ni ok Encik, Encik tengok..Walaupun agak bersepah sikit tapi semua dalam keadaan yang baik. Lampu, tingkap, air...Pasti pelanggan Encik akan berpuas hati kalau Encik syorkan rumah ni pada dia. Saya boleh jaminlah. Saya nak jual rumah ni cepat bukan apa, saya memang sangat perlukan duit sekarang, Encik boleh tengok, segala dokumen ini semua sah.” Nazim menyakinkan ejen hartanah itu supaya bersetuju membeli rumah tersebut dalam masa yang singkat. Setelah membelek-belek geran tanah di tangannya, ejen tersebut meminta izin untuk menelefon pembeli yang sebenar untuk meminta pendapatnya.

”Dia nak beli tak abang?” Nina bertanya pada Nazim sambil menjenguk-jenguk ejen tersebut yang sedang bercakap dalam telefon.

“Entahlah, harap-harap dia percaya dan tak ada masalah jual rumah ni dalam masa yang singkat.” Nina menggangguk. Ejen tersebut mendekati mereka setelah habis berbincang.

“Ok, pelanggan saya bersetuju dengan harga yang Encik Nazim cadangkan. Encik sila datang ke pejabat saya pagi esok, kita uruskan segala urusan yang perlu di buat di sana. Cuma saya nak awak uruskan semua perabot lama dalam rumah ni, pelanggan saya mahu rumah ni dikosongkan secepat mungkin.” Nazim mengangguk-angguk tanda faham. Sebaik sahaja ejen hartanah tersebut menaiki kereta, mereka berdua melonjak-lonjak gembira sambil berpelukan.

“Akhirnya abang, kita terlepas dari bahaya, kita dah boleh hidup dengan tenteram!” Nina menangis kegembiraan.

“Akhirnya anak kita hidup dengan selesa.” Mereka berdua berpelukan lagi. Tiba-tiba Nina ternampak potret Julita di atas almari. Dia meleraikan pelukan mereka dan mengambil frame gambar tersebut.

”Sorry Julita, kami memang sangat memerlukan duit.” Ujar Nina sambil mengusap-usap wajah Julita yang sedang tersenyum gembira di dalam potret tesebut. Nazim mengusap-usap bahu Nina yang sedang bersedih.

”Abang pun sedih juga ni, Julita..Maafkan kami.” Kemudian mereka berpelukan lagi. Mereka melihat potret Julita semula.

”Huaaa.....” Mereka sama-sama meratapi nasib mereka.

”Maafkan kami Julita!”

Sementara itu, Julita di Bali mulai risau. Dari petang tadi, telefon Nina dan Nazim off pula. Tidak pernah mereka begini. Ke aku salah tekan nombor. Aku memeriksa semula nombor yang di dail tadi, betul!

“Angkatlah Nina! Nazim!” Risau aku apabila mereka tidak mengangkat telefon. Aku mahu bertanyakan tiket kapal terbang untuk aku pulang, tidak disediakan ke? Di manakah urusetia yang sepatutnya menguruskan percutianku di sini? Aku terlupa bertanyakan kepada mereka sebelum aku bertolak dahulu. Akibat terlalu excited, semua perkara penting terlupa untuk ditanyakan. Sudahnya aku seperti orang bingung di sini. Tidak tahu apa yang patut dilakukan.

Setelah sekian lama aku cuba menghubungi mereka tetapi tidak dapat, aku mula berasa bosan.

”Alang-alang dah sampai sini, redah jelah!” Desisku dalam hati cuba menghilangkan keresahan di dalam hati. Aku mencapai tuala yang disediakan dan terus berlalu ke bilik air. Lega apabila air sejuk mengenai kulitku. Lama aku mandi seolah-olah sudah lama aku tidak menjumpai air bersih. Usai mandi aku bersiap-siap untuk keluar bersiar-siar. Dengan berpakaian seluar jeans dan blaus berwarna koko di padankan dengan tudung warna senada, aku melangkah penuh keyakinan walaupun sebenarnya hatiku gerun. Gerun kerana ini kali pertama aku bersiar-siar tanpa teman di luar negara! Berseorangan dan perempuan, sebenarnya bukan satu perkara bijak jika difikirkan. Terlalu bahaya, lebih-lebih lagi orang yang langsung tidak pernah keluar dari negara sendiri. Macam-macam perkara boleh terjadi.

Sebelum melangkah keluar dari bilik, sempat aku membaca doa untuk keselamatan diri dan juga ayat kursi. Semoga tuhan melindungi dan memudahkan segala urusanku..Aminn..Aku meraup wajahku.

Aku melihat gerai-gerai barang hiasan yang menjual pelbagai jenis produk yang tidak pernah ku lihat di Malaysia. Unik sekali. Memandangkan harganya boleh tahan, aku hanya mampu membelek-belek dan bertanyakan harganya. Duit tak ada jangan mimpilah nak beli Julita..Huhu..

“Miss..How much this bracelet?” Tiba-tiba seorang lelaki yang amat kacak menegurku. Aku terbeliak, adoiiii…cun-cun begini pun orang sangka penjual. Tapi salah aku pun, dari tadi tercegat di situ.

“Sorry, this is not my shop. I’m just her customer.” Kataku sambil menunjukkan seorang perempuan yang tersengih memandang lelaki tersebut. Hendak tergelak aku, nampak sangat perempuan tersebut tergedik dan berminat untuk mengurat lelaki tersebut. Muka lelaki tersebut berubah, mungkin malu tersalah orang.

“Oh! I’m so sorry miss.” Aku tersenyum.

“Never mind.” Ujarku sambil pergi ke bahagian lain untuk memberi peluang mereka berurus niaga. Perempuan tadi mula melayani lelaki tersebut dengan sengih yang tidak hilang. Aku pula tersengih melihat kegatalan perempuan tersebut. Nampak sangattt..

Setelah melihat tiada yang berkenan di hati, aku keluar dari kedai tersebut.

”Miss...Miss..” Aku menoleh belakang apabila terdengar seperti seseorang memanggilku. Oh! Rupanya abang kacak memanggilku. Hehe..

”Yup!” Aku mengangkat keningku.

”Just want to give you this.” Ujarnya sambil menyerahkan sebuah kotak kecil. Aku mengerutkan dahiku.

“What for?” Aku bertanya, pelik apabila tiba-tiba dihadiahkan sesuatu. Lelaki tersebut menggosok-gosok lehernya.

“Nothing, I think it’s suitable with you.” Aku membuka kotak tersebut. Gelang yang serupa dengan gelang yang ditunjukkan padaku tadi.

“I can’t accept your present without any reason.” Aku menyerahkan semula kotak tersebut kepadanya.

”No..No..Mm..Macam mana ye nak terangkan.” Lelaki tersebut bercakap bahasa melayu tiba-tiba. Aku terkejut, laaa…orang melayu rupanya…Penat aku speaking berterabur.

“Awak boleh cakap bahasa melayu? Saya ingat awak orang cina tadi.” Mana tidaknya, kulit wajahnya lelaki kacak tersebut putih melepak dan mata sepetnya membuatkan aku menyangka dia orang cina. Orang cina yang kacak!

“Ya..Saya orang Malaysia. Awak pun ke?” Lancar bahasa melayu dia, aku mengeluh lega sambil mengangguk mengiakan.

”Saya tak boleh terima hadiah ni, tiada sebab saya mesti terima.”

”Sebenarnya saya nak minta maaf pasal tadi, saya ingatkan awak penjual kat situ.” Aku tersenyum.

”Tak apa, salah saya yang tercegat lama kat kedai tu. Mestilah orang ingat saya penjual.”

”Ya, penjual yang comel.” Waaaahhhh...Dia kata aku comel! Kembang hidung aku.

”Tak apalah awak, saya nak pergi dah ni.” Ujarku sambil menyerahkan semula kotak kecil itu kepadanya.

”Ambillah, saya memang nak belikan gelang tu untuk awak.” Aku mengeluh, terpaksa juga aku mengambilnya setelah dia menolak beberapa kali.

”Thanks..” Aku tersenyum manis.

”Awak nak pergi mana?” Dia bertanya padaku.

“Jalan-jalan.”

“Seorang ke?” Aku mengangguk.

“Bahaya awak, apa kata saya temankan awak jalan-jalan.” Dia menawarkan diri. Uh! Takut aku. Dahlah aku tak kenal. Walaupun kacak tapi kita tak boleh pandang pada rupa sahaja. Mungkin dialah penjahat paling dikehendaki abad ini, manalah tahu..Huhu..

”Mmm...Tak apalah..Saya rasa tak ada apa-apa kot. Setakat jalan-jalan sini saya rasa selamat lagi.” Aku tersengih, cuba menutupi apa yang bermain-main di fikiran.

”Awak takut saya ni orang jahatkan?” Tanyanya..Hehe..Mana tahu ni? Perlahan aku mengangguk. Dia tergelak kecil. Sweetnyaa.....Gelak pun kacak!

”Jangan risau, saya bukan orang jahat.”

”Orang jahat takkan kata diri dia jahat, awak.” Dia tergelak lagi.

”Sangat berterus terang..Haha..Jangan risau, kalau awak tak percaya, ni kad saya.” Ujarnya sambil menyeluk poket bajunya dan menyerahkan sekeping kad kepadaku. Aku membaca namanya.

”Oh..Emil Nasriq Bin Azmil..Pengurus Besar Arakian Sdn. Bhd... Eh! Bukan ni syarikat penerbitan yang terkenal kat Malaysia ke?” Dia menganggukkan kepala.

”Panggil saja saya Emil. Sekarang percaya tak?” Aku tersengih.

”Tak percaya lagi ke?” Aku mengangguk.

”Haha..tak apalah, saya tak boleh nak paksa awak. Tapi boleh saya tahu nama awak?”

”Julita.” Ujarku pendek.

”Wow! Nama yang sangat istimewa.” Pujinya. Aku tersenyum, sudah acapkali dipuji sedemikian rupa membuatkan aku lali. Perbualan kami terputus apabila Emil menerima panggilan telefon.

”Hello..”

”Ha, Raikal..” Raikal? Raikal yang aku duduk di sebelah aku masa naik kapal terbang tu ke? Aku memasang telinga.

”Ada kat Bali, buat apa kat sini?” Emil bertanya.

”Oo..dengan komposer terkenal tu.” Sah!

“Ok, nanti aku datang hotel kau. Di mana?”

“Hotel Horizon, bilik nombor 521. Ok! Roger!” Emil menyimpan telefon bimbitnya semula. Oo…Dia tinggal di Hotel Horizon rupanya. Emil memandangku semula.

”Sorry, saya ada hal sikit. Awak pun tak mahu saya temankan kan?” Aku mengangguk.

”Tak apa, kawan awak dah panggilkan, lama pula dia tunggu nanti.”

”Harap boleh jumpa awak lagi.” Dia tersenyum sebelum meninggalkan aku yang masih terpaku melihat senyuman manisnya tadi. Sempat dia melambai tangannya padaku. Kacak sungguh ciptaan tuhan ini. Huhu...