CLICK HERE FOR BLOGGER TEMPLATES AND MYSPACE LAYOUTS

Saturday, July 18, 2009

Kotak Hati 1

Raihana menyandarkan kepala di kerusi batu yang memang disediakan di taman tersebut. Lelah memikirkan masalah yang menimpanya. Sofia, kawan baiknya tiba-tiba berubah laku. Langsung tidak mempedulikannya, malah seperti mahu memusuhinya pula. Setiap kali mereka bertemu di rumah, pasti ada kata-kata sindiran diucapkan kepadanya. Raihana tidak faham apakah kesalahannya. Selama ini dia berusaha untuk menjaga hati Sofia, dia sendiri tidak tahu apakah punca sebenar Sofia bersikap dingin padanya. Dia sedar, dia orang susah dan tidak berduit. Selama ini Sofia banyak membantu dari segi kewangan sekiranya duitku tidak mencukupi, namun aku tidak pernah memintanya,dia sendiri yang menawarkan bantuan. Namun kata-katanya tengahari tadi benar-benar menyakitkan hatinya.

“Kalau dah miskin, miskin juga. Nak bayar bil elektrik seciput pun tak mampu” Ujarnya dengan nada selamba. Aku hanya terkedu mendengar ayat-ayat sindiran yang keluar dari mulut Sofia. Sebelum ini tidak pernah dia mengata tentang kemiskinanku. Iman, rakan serumahku memandangku. Aku hanya mampu tersenyum memandang iman yang menunjukkan riak muka bersalahnya padaku.

“Tak apalah Iman, saya bayar duit tu malam nanti.” Ujarku sambil berlalu keluar. Merah mukaku menahan tangis. Tidak sangka kata-kata itu keluar dari mulut seorang teman yang amat aku sanjungi selama ini.

”Hana, tak apa..pinjam duit Iman dulu.” Iman cuba memujukku semula. Langkahku terhenti. Aku tersenyum pada Iman.

“Tak apa, saya ada duit sikit lagi. Cukup untuk bayar duit tu.”

”Baguslah, lagipun tak baik berhutang-hutang ni.” Sinis sekali ayat yang terkeluar dari mulut Sofia. Aku terus berlalu keluar. Sebaik menutup pintu, tanpa dapat di tahan-tahan lagi, air mataku mengalir laju.

”Apa salah Hana? Kenapa Sofia berubah sikap, Hana betul-betul tak faham.” Aku mengelap air mataku dan meneruskan perjalanan untuk ke kelas. Usai kelas, hatiku terasa berat sekali untuk pulang ke rumah, sebenarnya mahu mengelakkan diri dari bertemu Sofia. Seboleh-bolehnya aku tidak mahu mendengar kata-kata sinis darinya lagi. Ia amat menyakitkan lebih-lebih lagi diucapkan oleh kawan baik sendiri.

Aku menuju ke taman rekreasi tidak jauh dari kawasan kampus dan duduk di salah sebuah kerusi batu yang disediakan di situ. Ramai pengunjung datang beriadah di taman tersebut. Ada juga yang di temani ibu bapa masing-masing. Ada yang berbasikal, ada yang bermain papan luncur dan ada juga yang hanya berjogging mengelilingi kawasan taman. Melihat tingkahlaku orang yang lalu lalang membuatkan aku lupa akan masalahku sendiri. Lucu melihat tingkah mereka yang kadang-kadang mencuit hati.

”Prangg!!!!” Aku terkejut mendengar bunyi tersebut lantas menoleh ke arah bunyi itu datang.

Rupa-rupanya seorang lelaki di langgar oleh seorang remaja yang sedang berbasikal. Aku segera mendapatkan mereka.

”Are you ok, Sir?” Aku bertanya sambil mengangkat basikal yang menindihnya.

”Are you stupid or blind!! Can u see me?” Marah penunggang basikal tersebut. Lelaki tadi meraba-raba tanah seolah-olah mencari sesuatu.

“What are you looking for?” Aku bertanya pelik.

“My glasses.” Aku bertambah pelik, cermin mata hitam tersebut ada di hadapannya. Kenapa dia tidak menyedarinya. Atau…..

“I think you are stupid and blind. Can you see that!” Aku memarahinya sambil menunjuk ke arah lelaki tersebut. Berubah wajah budak lelaki tersebut setelah memahami apa yang cuba aku katakan. Ya, lelaki tersebut memang buta. Kerana itulah dia meraba-raba untuk mencari cermin mata yang berada di hadapannya.

“I’m so sorry madam, this is my fault.”

“You have to say sorry to this man, not me.” Budak tersebut bersungguh-sungguh meminta maaf pada lelaki tersebut kerana melanggar dan memarahinya tadi.

Aku mencapai cermin mata yang masih tidak dijumpai lelaki tersebut dan menyerahkan padanya.

“It’s ok,that my fault.” Ucap lelaki tersebut. Mudahnya lelaki tersebut memaafkan budak tersebut. Aku membantu lelaki tersebut bangun. Budak lelaki tadi terus berlalu setelah menyedari kesilapannya sendiri.

”Are you ok?” Aku bertanya sambil menepuk-nepuk habuk kotoran yang melekat di seluarnya.

“Yes, i’m ok. Thank you…I think you are not local, you are from Asia, isn’t?” Lelaki tersebut bertanya.

“Yaa..how do you know? I’m from Malaysia.” Aku mengerutkan dahi, pelik dengan pertanyaan.

“Ohh…Orang Malaysia rupanya, saya dengar dari loghat awak.” Aku terkejut mendengar lelaki tersebut boleh bertutur bahasa melayu walaupun slanga orang putihnya masih jelas kedengaran.

“Awak boleh cakap melayu?” Lelaki tersebut mengangguk. Aku juga turut menganggukkan kepala tanda mengerti.

“Bahaya awak jalan seorang diri kat taman ni. Terlalu ramai orang, lagipun kalau awak terjatuh dalam tasik tu siapa yang susah.” Aku mengomel. Lelaki tadi tersenyum.

”Saya dah biasa dengan taman ni, rumah saya tak jauh pun dari sini.”

”Habis tu awak nak balik macam mana?” Aku bertanya.

“Tak apa, saya dah biasa. Saya balik dulu. Terima kasih sebab tolong saya tadi” Ujar lelaki tersebut sambil berlalu pergi.

Aku memerhatikan lelaki tersebut dengan perasaan sangsi. Bolehkah dia sampai ke rumah. Hatiku tertanya-tanya. Kerana rasa tidak percaya, aku mengekori lelaki tersebut senyap-senyap. Memang lelaki tersebut sekali pandang tidak seperti orang buta, langkahnya lancar dan tidak teragak-agak. Tiba-tiba lelaki tersebut terlanggar tong sampah dan terjatuh. Cepat-cepat aku menghampirinya.

”Kan saya dah kata tadi, bahaya awak jalan seorang diri macam ni. Habis semua benda awak langgar.” Aku membangunkannya untuk kali kedua.

”Saya salah buat kiraan, lagipun sepatutnya tong sampah ni bukan kat sini.” Aku melihat tong sampah tersebut, memang ada tanda tong sampah tersebut telah dialihkan.

”Marilah saya hantar awak balik. Saya risau tengok awak.”

“Eh, tak apa. Lagipun rumah saya bukan jauh pun. Awak pun mungkin ada urusan lain lagikan. Saya tak nak kacau awak.” Lelaki tersebut menolak.

”Tak apa, saya baru habis kelas. Lagipun saya memang tak ada apa nak buat pun sekarang.”

”Tak menyusahkan awak ke?” Lelaki tersebut bertanya. Aku mengangguk. Aku tersengih sendiri kemudiannya. Lupa, lelaki tersebut bukan dapat melihat aku menganggukkan kepala.

”Semestinya tidak menyusahkan saya, lagipun saya yang tawar diri nak tolong awakkan. Mestilah tak sibuk.”

”Kalau macam tu, terima kasih sekali lagi.”

”Tak apa, tak susah pun..” Aku memegang lengan lelaki tersebut. Mujur lelaki tersebut memakai lengan panjang, tidaklah kulit kami bersentuhan.

”Saya rasa baik saya yang pegang tangan awak. Rasa kekok kalau awak yang pegang saya. Lagipun kalau awak yang pegang saya, macam saya pula yang pimpin awak.”

”Ha..Mmm..ok.” Balasku perlahan. Aku menarik tangan lelaki tersebut dan meletakkan di lenganku. Kemudian kami berjalan seiringan.Aku bertanyakan kawasan rumahnya supaya mudah aku mencari lokasi dan merancang arah tuju kami.

”Macam mana awak boleh bercakap bahasa melayu?” Aku bertanya lelaki itu.

”Ibu saya ajar, tapi saya taklah berapa fasih sangat.” Aku menganggukkan kepala.

”Ooo..Ibu awak orang mana?”

“Ibu saya orang Malaysia, orang Selangor.”

“Tapi muka awak tak macam orang Asia pun?” Memang benar, lelaki tersebut lebih mirip pada wajah orang Eropah berbanding orang Asia. Cuma rambutnya berwarna hitam dan tidak berwarna perang seperti kebanyakan orang-orang di sini.

”Saya lebih mirip wajah ayah saya, ayah saya orang sini.” Patutlah..

”Pernah balik Malaysia?”

”Pernah tapi jaranglah, lebih-lebih lagi sejak ibu bapa saya sudah meninggal dunia, saya langsung tak pernah ke sana lagi.”

”Ada saudara mara lagi di sana?”Sibuk aku bertanya. Hehe..

“Ada, malah kami masih berhubung sehingga sekarang.”

“Mm..boleh saya tanya awak satu soalan..” Ragu-ragu aku bertanya, takut jika tersalah tanya.

“Tanyalah..”

“Awak muslim atau kristian?” Soalan sensitif untuk ditanyakan, tapi hatiku melonjak-lonjak untuk mengetahuinya.

“Saya muslim..” Jawabnya pendek.

“Ooo..Ok..Kita dah sampai dah. Rumah no. 15 kan?” Lelaki tadi mengangguk.

“Terima kasih.” Ucapnya sambil tersenyum.

“Benda kecil je. Saya balik dulu ye.” Ujarku seraya berpusing untuk pulang.

“Nanti…Esok awak datang ke taman tu lagi ke?” Langkahku terhenti mendengar pertanyaannya.

“Mm…tengok dulu, kalau saya tak sibuk saya datang.”

“Ok, jumpa awak lagi esok.” Ucapnya dan terus masuk ke dalam rumah tanpa sempat aku menahannya.

“Erkk…Awak..” Lelaki tersebut menutup pintu. Dia tak dengar ke aku cakap tengok dulu aku sibuk ke tak esok tadi? Tak apalah...Mungkin dia tak berapa dengar agaknya tadi. Aku mengangkat bahuku tanda pelik dengan tingkah lelaki tadi dan meneruskan perjalananku.

**********

Dua hari selepas peristiwa Sofia menyindirku tentang ketidakmampuanku membayar bil elektrik, kami bertengkar hebat. Sindiriannya yang pada mulanya tidak ku layan akhirnya menjadi-jadi dan mula mencetuskan kemarahanku.

“Awak ni kenapa Sofia? Saya ada buat salah ke pada awak? Kalau ada beritahu apa masalahnya. Kenapa awak buat saya macam ni?”

”Memang kau ada buat salah dengan aku, kau perampas! Aku takkan maafkan kau selama-lamanya.” Aku pelik, aku merampas apa dari dia.

”Apa yang saya rampas dari hidup awak sampai awak nak jadikan saya musuh awak. Saya tak pernah ambil apa-apa dari awak.” Aku mempertahankan diriku.

”Jangan nak berpura-pura jadi baik pula. Aku dah muak tengok muka baik kau tu!”

“Sofia!!! Saya tak pernah nak berpura-pura jadi baik depan awak, apa yang selalu awak tengok itulah diri saya, saya tak pernah jadi hipokrit.”

“Sudahlah, tak payah nak berlakon depan aku, tak ada siapa pun nak tengok. Dahlah miskin, kalau dah miskin tu buatlah cara orang miskin, tak payah nak berlakon dan cari simpati pada orang lain pula.”

“Saya tak sangka, inikah Sofia, kawan baik saya? Tak sangka awak buat saya macam ni.” Air mataku terus mengalir laju. Aku mengelap air mataku yang masih berlinang di pipi dan terus berlari keluar, tidak mahu pertengkaran ini makin berlanjutan. Dan aku sendiri tidak mahu menyakitkan hatiku lagi.

Aku berjalan tanpa arah tuju. Akhirnya kakiku berhenti melangkah di taman. Aku mengambil tempat duduk yang aku duduki tempohari. Lama aku termenung seorang diri, memikirkan kesilapan yang mungkin telah menyakiti hati Sofia namun aku gagal memikirkan sebarang kemungkinan. Aku mengeluh...

”Panjang mengeluh.” Aku terus menoleh ke arah suara yang menyapaku tadi. Rupanya lelaki buta tempohari. Terkejut aku.

”Awak..Terkejut saya. Macam mana awak tahu saya ada di sini?” Aku bertanya pelik. Bagaimana dia tahu aku yang duduk di situ.

”Saya ingat bau awak...” Aku bertambah pelik dan terus menghidu bau badanku, takut bau ketiak dan bau peluhku yang dibaunya.

”Bau apa? Saya tak ada bau apa-apa pun?” Lelaki tadi tergelak.

”Bukan bau badan awaklah, jangan takut. Awak tak busuk pun. Saya ada deria bau yang kuat. Tuhan tarik deria penglihtan saya, tapi dia kurniakan saya deria bau yang sensitif.”

”Ooo...Macam tu..” Ujarku faham.

“Ye, saya ingat bau awak, minyak wangi yang awak pakai, saya suka sebab bau dia lembut. Kelmarin awak tak datang pun, lama saya tunggu.” Lelaki tersebut duduk di sebelahku.

”Kelmarin..Mm...kelmarin saya ada kelas ganti. Sebab tu saya tak dapat datang. Kenapa? Awak cari saya ke?” Lelaki itu mengangguk.

”Kan saya dah kata, kalau saya sibuk saya tak datang.”

”Saya ingat awak akan datang.” Ujarnya sedih.

”Sorry, saya memang sibuk kelmarin. Tak apa, kalau saya tak sibuk saya akan datang ke taman ni, saya janji.” Lelaki tadi tersenyum, manis sekali wajahnya. Aku merenungnya, lama sekali.Wajahnya agak kacak cuma satu kekurangannya, dia buta. Kalau dia normal, pasti lelaki ini menjadi rebutan wanita.

“Kenapa awak pandang saya macam tu.” Tiba-tiba dia bertanya. Merah mukaku menahan malu apabila dia menyedari perbuatanku.

”Macam mana awak tahu saya tengah pandang awak.” Pelik sungguh lelaki ini.

”Saya dengar bunyi hembusan nafas awak menghala ke saya.” Aku menutup mulutku, dia boleh dengar nafas orang ke? Unik sungguh dia ni.

“Awak baru lepas menangis ke?” Dia bertanya lagi. Aku mengerutkan dahi, macam mana dia boleh tahu ni?

“Macam mana awak tahu?” Aku bertanya buat sekian kalinya.

“Suara awak, ada perubahan pada suara awak. Suara seperti orang baru lepas menangis.” Aku terus berdehem, konon untuk menghilangkan perubahan suara yang dikatakan tadi.

“Tak payah nak berselindung, saya dah tahu.” Aku memuncungkan bibir tanda tidak puas hati, semua dia tahu.

“Tak payah nak muncungkan bibir..” Aku bertambah dan bertambah serta bertambah pelik dengan lelaki tersebut. Dia ni buta atau tak? Macam mana dia boleh tahu semua apa yang aku lakukannya.

“Saya tahu, awak nak tanya macam mana saya tahukan. Walaupun saya buta tapi hati saya celik.”

”Eleh..yelah tu..” Lelaki tadi tergelak kecil.

”Memuncungkan bibir adalah salah satu sikap yang biasa dilakukan oleh wanita apabila di tegur ataupun tidak puas hati. Betul tak?”

”Tak betul! Mana fakta awak ambil ni?” Dia tersenyum.

”Fakta yang saya kaji sendiri.”

”Oo..tentu awak ni playboy dulukan. Sebab tu sampai boleh kaji tingkahlaku wanita.” Aku membuat andaian.

“Haha..mana awak tahu. Mm...Sebelum saya buta, saya memang playboy. Bila saya dah buta, semua perempuan tu lari.”Lelaki tersebut terdiam selepas itu. Mungkin sedih memikirkan nasib sendiri.

“Boleh saya tanya satu soalan.” Lelaki tadi mengangguk.

”Kenapa awak buta? Maaf kalau soalan saya ni menyinggung hati awak.” Lelaki tadi menggeleng-gelengkan kepala.

“Tak..tak..Saya dah boleh terima hakikat yang saya buta, mungkin ini balasan tuhan pada saya agaknya. Dulu saya nakal, suka permainkan perempuan. Saya buta sebab terlibat dengan kemalangan empat tahun yang lepas. Kemalangan yang sangat dahsyat, ibu bapa saya turut meninggal dunia akibat kemalangan itu. Mereka kata, mereka sendiri tidak menyangka yang saya masih hidup jika melihat kemalangan tersebut. Kereta yang kami naiki remuk teruk, saya buta sebab terkena serpihan kaca kereta.” Aku mendengar dengan khusyuk.

”Ooo..Saya bersimpati pada ibu bapa awak, ada tak kemungkinan awak boleh melihat semula?”

”Boleh, tapi saya kena tunggu sekiranya ada kornea yang sesuai untuk saya, barulah pembedahan boleh dilakukan.” Aku mengangguk faham.

”Tak dapat lagi sampai sekarang?”

”Belum, masih lagi kena tunggu.” Aku kehabisan kata-kata, akhirnya kami terdiam. Aku melayan perasanku sendiri.

”Salah ke awak, kalau kita miskin?” Aku bertanya padanya tiba-tiba.

“Kenapa awak tanya macam tu?” Dia bertanya.

“Tak adalah...Cuma...Saya...”

“Sebab tu ke awak menangis tadi?” Aku terdiam.

”Awak harus jadi diri awak sendiri. Jangan peduli dengan apa yang orang lain kata. Awak selesa dengan diri awak sekarangkan? Jadi kenapa nak ambil hati dengan kata-kata orang lain. Mereka tak berada pada situasi awak, sebab tu mereka boleh sesuka hati mengata awak. Awak harus lawan perasaan mengalah awak tu.” Lelaki itu menasihatiku. Jadi diri sendiri.. Aku berfikir sejenak.

”Jadi diri sendiri?” Aku berkata sendirian.

”Ye..awak perlu yakin dengan diri awak, walaupun awak miskin atau tak mampu, awak yakin awak mampu lakukan yang terbaik untuk diri awak. Lebih baik dari orang yang mengata diri awak tu.”

”Bolehkah saya buat?” Aku berkata perlahan.

”Boleh, dulu saya juga macam awak, langsung tak berkeyakinan. Tapi sekarang saya dah tak takut apa-apa dah. Apa orang nak kata pun katalah, janji saya sendiri bahagia.”

”Awak lain...”

”Ye, memang saya lain..Saya buta tapi inilah penyebab saya tak mahu mengalah. Awak patut bersyukur, walaupun awak tak punya apa-apa tapi awak normal macam orang lain. Awak boleh buat sesuatu jauh lebih baik dari saya.” Aku menarik nafas panjang, mengakui kebenaran kata-katanya. Dia yang hilang deria penglihatan pun boleh jadi tabah, inikan pula aku yang normal.

”Baik, saya tak akan mengalah pada anasir-anasir luar yang cuba pengaruhi hidup saya.” Ujarku dan terus berdiri tanda semangat dan keyakinanku mulai kembali dalam diri.

”Bagus! Bagus! Inilah yang kita cari.” Lelaki tadi juga turut berdiri di sampingku.

”Jom balik, saya hantar awak balik, ok?” Aku mempelawanya. Dia mengangguk. Seperti tempoh hari, aku meletakkan tangannya di lenganku untuk memudahkan dia mengekoriku dan supaya mudah aku mengawal perjalanannya. Takut dia tersandung apa-apa semasa aku memimpinnya.

Sepanjang perjalanan kami berborak-borak kosong, dia memang seorang yang berpengetahuan luas. Setiap yang aku tanyakan padanya pasti di jawab dengan penuh keyakinan berserta fakta-fakta berkaitan.

”Awak kerja apa?” Aku bertanya lagi.

”Kerja? Mmm..Saya tukang cuci sahaja.”

”Oh..Ok apa kerja tu.. janji pekerjaan awak halal.” Lelaki tersebut tersenyum dan mengangguk.

”Ok, dah sampai dah, awak masuklah, saya pun nak balik dah ni.” Dia mengangguk dan terus berlalu masuk. Aku memerhatikannya masuk ke dalam rumah sebelum aku berlalu pergi. Mahu memastikan dia benar-benar selamat masuk ke dalam, risau jika dia terhantuk pintu atau terjatuh dari tangga.

Syurga Cinta 6

”Arggggghhhh!!!!!!” Suasana pagi yang hening di ’Syurga Cinta’ tiba-tiba dikejutkan dengan suara jeritan Julita. Julita bangkit dari pembaringan, beg pakaian yang dijadikan bantal di pukul-pukul. Baju sejuk yang dijadikan selimut di campak ke tepi. Geram kerana tidak pasal-pasal semua yang dimiliki hilang sekelip mata, tidurnya juga terganggu dek sakit belakang akibat tidur di lantai semalaman. Badannya terasa lenguh dan sengal-sengal. Julita mengurut bahunya.

”Siaplah mereka kalau aku jumpa, aku karate dengan kepala lutut aku ni. Aduh...sengalnya badan.” Julita merungut sendirian.

Tiba-tiba telefon bimbit Julita berbunyi nyaring, terkejut Julita mendengar lagu rancak dendangan kumpulan Fabulous Cat yang kedengaran dari corong bunyi telefon bimbitnya sendiri. Julita mengurut-urut dadanya.

”Terkejut aku, siapa pula pagi-pagi buta ni telefon orang!” Marah Julita.

”Hello, siapa ni!” Sapa Julita garang.

”Hello..Saya Raikal..” Berubah wajah Julita ketika itu kerana teringatkan hutangnya pada lelaki itu.

”Ha..Raikal, ada apa telefon saya?” Terus berubah lembut suaraku ketika itu.

”Saya nak jumpa awak, di restoran Suria dekat sebelah Maybank tu pukul 4 petang ni. Datang tepat pada masanya.” Ujar Raikal memberi arahan.

”Tapi...”

”Tutt..tut..tut...” Belum sempat aku meneruskan kata-kataku, telefon telah diletakkan oleh Raikal. Aku memandang telefon bimbitku dengan perasaan jengkel.

”Kot iye pun, bagilah Julita habis cakap dulu. Pakai letak aje.” Rungutku. Aku termenung.

”Alamak, macam mana aku nak ganti duit dia ni. Aku mana ada duit langsung. Nak makan pun tak lepas, macam mana nak bayar hutang.” Aku menggaru-garu rambutku yang tidak gatal.

“Masalah-masalah..” Ujarku sambil berbaring semula di atas lantai beralaskan beg yang ku pukul tadi. Aku mengambil roti yang masih bersisa malam tadi lalu memakannya dengan berbaring. Mengunyah sambil berfikir apakah alasan yang patut ku berikan pada Raikal nanti.

“Lantaklah, dia nak report polis pun reportlah. Aku memang dah pasrah. Apa yang nak jadi pun jadilah. Aku memang tak ada duit langsung. Tapi..” Aku terus duduk.

“Tak naklah duduk jail. Ish!! Alah..lantaklah apa nak jadi pun!” Ngomelku sendirian.

Aku menemuinya tepat pukul empat petang, setibanya aku di sana, Raikal sudah sedia menunggu.

****
Raikal melihat jam tangannya, hampir pukul empat. Mana dia ni tak datang-datang lagi. Seorang pelayan menghampiriku.

”Raikalkan?” Pelayan itu menegurku. Aku tersenyum dan mengangguk.

”Wahhh!!!! Woi betullah ni Raikal!” Jerit pelayan tersebut kepada rakan-rakannya. Terkejut aku apabila dia menjerit begitu. Tiba-tiba keluar beberapa orang pelayan wanita berpusu-pusu menghampiriku. Aku menelan air liur, terkejut dengan kehadiran mereka yang mengejut.

”Abang, nak sign.” Kata salah seorang dari mereka. Aku mengangguk sambil tersenyum paksa.

”Abang, nak ambil gambar dengan abang.” Kata seorang lagi.

”Handsomelah abang ni, nak cium boleh?” Aku terkejut dengan kata-kata seorang dari mereka. Belum sempat aku menghentikan kegilaan mereka, pengurus restoran tersebut datang memarahi mereka. Lega aku, tak pasal-pasal aku kena cium percuma. Fuh!! Aku mengurut dada. Beransur-ansur mereka kembali ke tempat asal dengan muka yang mencuka kerana tidak mendapat apa yang mereka hajatkan. Aku amat berterima kasih pada pengurus mereka kerana menyelamatkanku. Pengurus tersebut menghampiriku.

”Maaf encik terhadap kebiadapan pekerja-pekerja kami.” Aku mengangguk.

”Tak apa, biasalah tu.” Pengurus wanita tersebut mengangguk sambil tersenyum manis.

”Kalau tak menjadi masalah, boleh tak saya minta tandatangan encik dan ambil gambar.” Kata pengurus tersebut sambil menunjukkan kamera digital di tangannya. Aku melongo. Ingatkan pengurus tersebut tidak sama dengan pekerja-pekerja yang lain, rupanya lebih teruk lagi. Siap bawa kamera sendiri lagi.

Aku mengangguk-angguk tanda setuju walaupun sebenarnya aku hendak ketawa. Dia halau orang, dia lagi yang lebih. Pelayan-pelayan yang lain nampak tidak puas hati dengan tindakan pengurus tersebut. Pengurus tersebut berlalu dengan senyuman yang tidak lekang di bibir.

Tidak lama kemudian, kelibat perempuan yang meminjam duitku semasa di Bali muncul. Aku memandangnya dari atas ke bawah. Seluar jeans dan t-shirt lengan panjang. Sangat simple. Bagaimana aku mahu membawanya berjumpa dengan Emil dan Medina kalau dia berpakaian begini. Kalau begini caranya, tentu Medina tidak percaya dia adalah bekas kekasih Emil.

”Assalamualaikum..Encik Raikal” Dia mengucapkan salam.

”Waalaikumsalam..mm..Juwita, sila duduk.”Aku menjawab salamnya dan mempersilakan dia duduk di hadapanku.

”Julita, bukan Juwita..Sebenarnya saya datang ni nak berbincang dengan Encik Raikal pasal duit yang Encik pinjamkan tempoh hari. Saya minta tempoh sikit sebab ada masalah.” Dia memulakan perbualan.

”Hmm..saya dah agak dah, pinjam laju, suruh bayar balik banyaklah alasannya.” Aku memerlinya. Merah mukanya apabila aku mengatakan begitu.

”Saya boleh bayar balik cuma berilah saya masa sikit lagi. Tak pun saya serahkan hak cipta novel saya pada awak. Kalau awak terbitkan, mesti laku.” Hak cipta novel? Apa dia mengarut ni. Aku mengetuk meja dengan jariku. Berfikir apa perlu aku buat untuk mengubah penampilannya supaya menjadi elegan. Tujuan utama aku mahu berjumpanya bukan mahu mengutip hutang, tetapi mahu menunjukkan pada Medina kekasih hati Emil dan juga mahu membuatkan Medina berputus asa padanya.

”Mari ikut saya.” Aku bingkas bangun. Terpinga-pinga dia melihatku bangun.

“Nak ke mana?” Aku tidak menjawab soalannya. Kelam kabut dia mengikutiku. Selesai membayar wang minuman, aku terus menuju ke keretaku. Julita masih terpacak di depan restoran. Aku menyuruhnya masuk ke dalam kereta.

“Saya tak nak ikut awak kalau awak tak beritahu kita nak ke mana!” Tegasnya, aku mengusap-usap leherku.

“Kita nak beli baju untuk awak, malam ni saya nak awak temankan saya ke satu tempat.” Ujarku berterus terang. Nampaknya dia berpuas hati dengan peneranganku lalu menghampiri kereta.

“Beli baju buat apa?” Dia bertanya setelah kami berada di dalam kereta. Aku tidak menjawab pertanyaannya.

“Pasang tali pinggang, saya tak nak bayarkan saman untuk awak.” Muka Julita mencerut apabila aku tidak menjawab soalannya. Dia menarik tali pinggang keledar dan memasangnya, selepas itu dia hanya mendiamkan diri dan lebih banyak memandang keluar.

Kami berhenti betul-betul di sebuah butik terkenal di ibu kota. Aku memilihkan sehelai blaus yang nampak eksklusif dan menarik berwarna ungu, seluar berwarna putih dan tudung bunga-bunga warna senada dengan baju tersebut lalu menyerahkan pada Julita.

“Pergi cuba!” Arahku. Tanpa banyak soal, dia menuruti kata-kataku walaupun wajahnya jelas terukir perasaan ingin tahu tapi dia enggan bertanya lagi. Mungkin dia tahu aku tak akan menjawab soalannya.

Tidak lama kemudian, Julita keluar dengan memakai baju yang kuberikan tadi. Sesuai dengannya, nampak elegan. Tanpa membuang masa, aku menuju ke kaunter lalu membayar harga baju yang ku pilih tadi.

“Kita nak pergi mana ni?” Julita berdiri di sebelahku semasa aku mengeluarkan duit dari dompet.

”Adalah, saya ada suprise untuk awak.” Julita mengerutkan dahi. Aku melangkah keluar dari butik tersebut.

“Nanti, saya nak ambil baju yang saya pakai tadi.” Langkahku terhenti apabila Julita menahanku. Tergesa-gesa dia mengambil baju yang ditinggalkan di bilik persalinan tadi dan kemudian mengekoriku.

Keadaan di dalam kereta masih seperti tadi, sunyi. Sebenarnya aku tidak tahu mahu berborak apa dengannya. Dia juga seperti canggung apabila denganku. Kami sampai ke sebuah restoran mewah. Julita terpaku melihat restoran tersebut.

”Kenapa awak bawa saya ke sini? Saya tak ada duit nak bayar makanan kat restoran mahal macam ni.” Ujarnya.

”Malam ni saya belanja. Jom..mungkin mereka dah sampai.” Ucapku lalu meninggalkan Julita yang masih terpinga-pinga di tepi kereta.

”Mereka? Mereka tu siapa?” Dia berlari-lari anak untuk menyaingiku.

”Awak akan tahu juga nanti.” Aku bertanya pada pelayan di situ tempat yang telah di tempah olehku tengahari tadi. Pelayan tersebut menganggukkan kepala dan membawa kami ke sebuah meja. Pelayan tadi menarik kerusi untuk Julita di sebelahku dan kemudian menyerahkan menu.

”Awak nak saya jumpa siapa?” Julita bertanya lagi tanpa rasa bosan, seboleh-bolehnya dia mahu mengetahui siapa yang ingin aku pertemukan padanya.

“Emil..” Matanya bulat sewaktu aku menyebut nama Emil padanya.

“Saya nak balik!” Katanya tiba-tiba seraya bangun dari kerusi. Kelam kabut dia mengambil beg pakaiannya. Aku menarik tangannya.

“Kenapa?” Aku bertanya pelik.

“Tak ada apa-apa, cuma saya baru teringat, kucing saya tak makan lagi dari pagi tadi.” Julita cuba menarik semula tangannya yang ku pegang.

“What!! Tak boleh, awak kena tunggu Emil, dia mungkin on the way sekarang ni. Ha tu dia dah sampai.” Aku mengangkat tangan kepada Emil dan Medina supaya ke meja kami. Julita yang tadi kelam kabut hendak pergi terus duduk dan menutup wajahnya dengan buku menu yang di beri tadi. Aku menurunkan buku menu tersebut, Julita tiba-tiba menepis tanganku dan menaikkan menu tersebut semula. Aku bertambah pelik dengan sikapnya.

“Abang Kal dah lama ke sampai?” Medina menyapaku, dia melihat gadis di sebelahku. Emil menyalamiku sambil tersenyum.

“Ni siapa abang Kal?” Dia bertanya lagi lalu duduk di hadapanku, Emil pula duduk di hadapan Julita.

“Haah, baru nak tanya.” Emil menyampuk. Aku tersenyum, kakiku menolak-nolak kakinya. Julita tidak mengendahkan isyaratku dan masih menutup wajahnya dengan buku menu.

“Ni...Julita..” Ujarku sambil menarik buku menu di tangannya. Julita yang kelihatan terkejut terus mengambil tisu dan berpura-pura batuk.

“Julita?” Emil bertanya sambil cuba melihat wajah di sebalik tisu yang menutupi sebahagian wajahnya. Julita memandang Emil lalu menurunkan tisu yang dipegangnya. Dia tersengih. Nampaknya rancanganku akan berjaya...Yess!!! Aku bersorak dalam hati.

“Abang kenal ke Julita?” Medina bertanya. Emil mengangguk.

“Hai Encik Emil..” Pantas aku menoleh ke arah Julita yang sedang tersenyum pada Emil. Encik Emil? Apa maksudnya??? Senyuman Julita mati dan dia mengalihkan pandangannya setelah menyedari aku merenungnya. Apa ni???

Pelayan datang menghampiri kami untuk mengambil pesanan. Masing-masing memesan makanan dan pelayan tersebut berlalu pergi setelah mendapat semua pesanan.

“Macam mana abang kenal Julita?” Medina bertanya lagi.

“Masa di Bali, abang ingat Julita ni jurujual di situ. Gelang yang abang bagi pada Med tu, ha...kedai tulah. Rupanya abang salah orang.” Aku menyandarkan tubuh ke kerusi. Tidak sangka aku akan ditipu dengan mudah. Aku memandang Julita dengan pandangan yang tajam.


Aku menolak kakinya sedikit tanda tidak puas hati, dia membalas semula tolakanku. Aku mengetuk-ngetuk jari di atas meja.

”Kenapa abang Kal?” Medina bertanya, aku tergamam lantas menggeleng-gelengkan kepala. Tidak lama kemudian, pelayan tadi membawa makanan yang telah kami pesan. Aku makan dengan lahap, tidak puas hati dengan apa yang terjadi. Aku mahu makan malam ini berakhir dengan cepat supaya aku boleh berurusan dengan Julita dengan segera. Kurang asam! Dia menipu aku rupanya.

”Kenapa abang Kal banyak diam malam ni?” Medina bertanya, mungkin dia menyedari perubahan sikapku malam ini. Ketiga-tiga pasang mata memandangku serentak.

”Kau sakitkah?” Tanya Emil. Ya..Aku sakit hati.

”Ish..mana ada..Cuma ada sesuatu tengah bermain-main kat fikiran aku je..kan Julita..” Seraya aku memandangnya sambil membulatkan mata. Kakiku pula menyepak kakinya perlahan, takut disedari mereka berdua. Julita yang sedang meminum air tersedak apabila aku menyepak kakinya secara mengejut.

”Kenapa Julita?” Emil menyerahkan tisu kepada Julita. Mujur Julita menggeleng-gelengkan kepala tanda dia tidak apa-apa. Medina di sebelahnya memandang dengan pandangan cemburu. Matanya terpaku pada pergelangan tangan Julita. Sama dengan corak dan bentuk gelang tangan yang di pakai oleh Medina.

”Lain kali minum tu elok-eloklah, kan dah tersedak.” Sambung Emil lagi, Medina ku lihat tidak senang hati dengan keprihatinan Emil terhadap Julita.

”Mm..Abang, Med rasa tak berapa sihatlah sekarang.Lepas habis makan nanti, kita balik teruslah..Boleh?” Ujar Medina manja membuatkan perasaan cemburuku bertambah meluap-luap. Emil yang kelihatan serba salah memandang aku dan Julita.

”Tak apa ke Kal, Julita.. kami balik awal? Susah-susah kita berkumpul, alih-alih ’Tuan Puteri’ ni tak sihat pula.” Pantas Medina mencubit lengan Emil kerana mengusiknya. Aku yang sememangnya ada perhitungan yang perlu di buat dengan Julita selepas ini mengangguk laju. Lagipun mataku sakit melihat kemesraan mereka berdua. Rasa mahu saja aku duduk menyelit di celah-celah mereka berdua.

”Tak apa, tak apa..kami pun nak balik juga, ada hal yang perlu diuruskan.” Julita memandangku sambil tersengih paksa apabila aku mengatakan begitu. Mungkin dia tahu akan tiba masanya sesi soal jawab denganku selepas mereka pergi.

”Kalau macam tu, jomlah..” Serentak mereka berdua bangun dari kerusi. Kami juga ikut bangun, aku menuju ke kaunter untuk membayar harga makanan. Kami menghantar Emil dan Medina ke kereta. Sempat lagi Julita mengatakan kad bisnes yang diberikan Emil dahulu telah hilang. Tanpa banyak soal, Emil menyeluk poketnya dan menyerahkan kad yang baru.
Kami melambaikan tangan apabila kereta bergerak keluar dari perkarangan restoran. Julita melambai sehingga kereta langsung tidak kelihatan, aku yang di sebelahnya hanya memandangnya geram. Apabila dia memandangku, tangannya secara automatik diturunkan ke bawah.

”Kita perlu bercakap.” Ujarku tegas sambil menarik tangannya ke tempat lain.

”Kenapa awak menipu saya?” Wajah Julita berubah.

”Saya..saya...” Tergagap-gagap dia mencari alasan.

”Tak baik awak menipu tahu, habis rancangan saya!” Aku membuka butang baju yang paling atas. Terasa panas tiba-tiba. Julita mencekak pinggang.

“Ooo...jadi awak bawa saya keluar ni sebab awak dah ada plan lah?” Tanyanya garang. Aku pula yang terkedip-kedip melihatnya berubah menjadi garang. Silapku kerana tersalah kata.

”Kenapa pula awak nak marah saya, awak yang tipu saya dulu. Menghabiskan duit saya je, pulangkan duit baju yang awak pakai ni.” Aku tidak mahu mengalah.

”Saya tak minta pun awak belikan, awak yang menggatal nak belikan siapa suruh. Kalau nak rasa kena hantuk kepala tu, mintaklah balik!” Marahnya lagi.

”Awak ingat awak rendah boleh hantuk kepala saya sesuka hati, ukur baju di badan sendirilah!” Akhirnya kami bertengkar, lupa sudah agenda utama kami tadi.

”Awak ingat saya rendah tak sampai nak hantuk kepala awak, nah! Rasakan!!” Julita melompat lalu kepalanya menghantuk kepalaku. Aku mengaduh kesakitan. Tanpa menghiraukan aku yang masih kesakitan, Julita terus meninggalkanku yang masih memegang kepala akibat kesakitan.

”Hei...Kita belum habis bincang lagi..Aduh..” Julita hanya menjelirkan lidah dan terus berlalu pergi.

”Kuat betul kepala budak ni..Nantilah, kalau aku jumpa dia lagi, siaplah dia.” Aku mengusap-usap tempat yang terhantuk tadi. Masih bersisa kesan hantukan tadi.

Saturday, July 4, 2009

Syurga Cinta 5

”Saya dah balik!!” Aku menjerit gembira sebaik sahaja memasuki rumahku. Tiba-tiba kakiku merasa kaku apabila melihat rumahku kosong. Beg yang ku sandang tidak mampu untuk ku pegang lagi lalu jatuh ke lantai. Seluruh tubuhku terasa lemah. Perabot, meja makan, rak buku ayah, bunga ibu dan set sofa semuanya sudah hilang. Bala bencana apa pula yang menimpa diriku ini.

”Apa yang dah jadi ini?” Aku berkata sendirian. Tiba-tiba aku teringatkan komputerku di dalam bilik. Semua hasil kerjaku di simpan di dalam komputer tersebut. Hatiku berdebar-debar. Cepat-cepat aku naik ke tingkat atas dan meluru ke bilik tidurku.

Tubuhku terjelepuk ke lantai apabila melihat bilikku juga sudah kosong. Air mataku mengalir tanpa di minta.

”Kenapa mereka buat Julita begini, apa salah Julita pada mereka.” Aku menutup mulutku dengan kedua-dua belah tangan.

Tiba-tiba aku melihat sepucuk sampul terlekat di dinding. Aku mengambilnya, tidak sabar untuk mengetahui isi kandungan surat tersebut. Di luar sampul tersebut tertulis nama Julita. Aku membuka surat tersebut, sekeping gambar terjatuh di ribaku.

Julita sayang...

Maafkan kami, kami betul-betul terdesak sekarang ni.
Kami memang perlukan duit. Kami berhutang dengan
Ah Long dan Nina pula sedang mengandung. Kami akan
membeli semula rumah ini selepas kami kaya nanti.
Kami betul-betul minta maaf. Bersama ini kami sertakan
gambar scan bakal anak kami. Doakan kami berjaya...

Nina & Nazim

”Ya Allah, mereka jual rumah ni!!” Air mataku mengalir bertambah laju. Perasaanku ketika ini sama seperti sewaktu ibu dan ayahku meninggal dunia dahulu. Terasa kekosongan di dalam jiwa.

Aku mengeroyok surat tersebut dan terus ku baling ke dinding. Perasaan kecewa, sedih, geram dan hiba bercampur baur. ‘Doakan kami berjaya!’..Jangan haraplah mereka hendak berjaya dan menebus rumah ini kembali.

”Ibu, ayah..Maafkan Julita sebab tak dapat pertahankan rumah ni, maafkan Julita sebab tak dapat jaga ’Syurga Cinta’ ibu dan ayah..” Aku menangis teresak-esak di dalam bilik yang kosong itu. Kosong sama seperti jiwaku sekarang.

Mereka bukan tidak tahu malah lebih memahami bahawa ’Syurga Cinta’ ini merupakan satu-satunya harta yang ditinggalkan oleh ibubapaku sebelum mereka meninggal dunia. Kenapa mereka sanggup berbuat demikian. Tergamak mereka menjual rumah lambang cinta ibu dan ayah. ’Syurga Cinta’ adalah nama rumah ini, yang membawa maksud rumah ini adalah syurga bagi kami sekeluarga. Ibu yang menamakan rumah ini. Malah rumah ini di bina sendiri oleh ayah yang merupakan seorang arkitek. Masih aku ingat lagi, sewaktu ’Syurga Cinta’ masih di dalam pembinaan, ibulah orang yang paling sibuk sekali memilih dekorasi rumah yang sesuai. Ayah pula menentukan landskap halaman rumah, malah aku masih menjaga landskap hasil kreativiti ayah dan hiasan serta kedudukan perabot serta kelengkapan rumah supaya ingatanku terhadap mereka tidak akan lupus dan kekal. Tapi tak kusangka, kenangan tersebut dimusnahkan sekelip mata sahaja oleh Nina dan Nazim. Tak berhati perut betul..adakah mereka berhati binatang!

Hampir dua jam aku meratapi nasibku sendiri di dalam bilik tersebut.Hampir kering air mataku akibat terlalu lama menangis. Mataku terasa sembap. Aku mencuba untuk bangun namun gagal, kakiku terasa kebas. Aku terduduk semula, tiba-tiba aku perasan sekeping gambar yang disertakan di dalam surat Nina dan Nazim tadi di lantai. Terlupa dengan kewujudan gambar tersebut. Aku mengambil gambar scan tersebut, tidak berapa jelas tapi masih kelihatan bentuk bayi tersebut, kecil sekali. Aku menangis lagi buat sekian kali. Jika tragedi ini tidak terjadi, mungkin akulah orang yang paling gembira kerana kawan baikku bakal menjadi ibu. Aku memeluk gambar scan tersebut, kepiluanku menjadi makin bertambah. Kesedihan yang teramat sehingga tidak dapat dibayangkan. ’Syurga Cinta’ bakal menjadi hak milik orang lain, bukan milikku lagi. Segala kenangan bersama ibubapaku akan terhapus dan aku tak akan mampu membeli semula rumah ini. Sedihnya....Aku mengelap air mata yang mengalir di pipi, air mata yang tidak mampu lagi dapat ku tahan....Kekecewaan yang bersarang di hati tidak dapat ku buang pergi.

******

Raikal masih terpaku di hadapan butik MedsRose, butik ibu Medina yang kini diuruskan oleh Medina sendiri. Raikal menurunkan tingkap sedikit, memerhatikan Medina yang sibuk menguruskan pelanggannya di sebalik kaca butik. Aku tersenyum, Medina memang manis orangnya. Sebab itu aku jatuh cinta padanya, sejak sekolah lagi namun dia tidak pernah mengetahu isi hatiku padanya. Senyumannya mampu menarik perhatian pelanggan yang datang. Sejak dia yang menguruskan butik, perniagaan makin bertambah maju. Aku menarik nafas panjang, cuba mencari kekuatan sebelum menemuinya. Akhirnya aku turun dari kereta dan berjalan menuju ke butik MedsRose.

”Selamat dat..” Medina tersenyum melihatku.

”Abang Kal..bila balik dari Bali?” Medina mendapatkanku. Aku tersenyum.

”Baru je semalam, sibuk ke?” Aku bertanya padanya.

”Haah, kejap ye. Med nak layan pelanggan ni dulu. Sekejap lagi Med layan abang Kal pula ek.”
”Ok, buatlah kerja Med dulu. Anggaplah abang tak ada kat sini.” Med menunjukkan isyarat ‘ok’ sambil tersenyum manja. Senyuman itulah yang selalu tidak membuatkan aku tidak lena tidur. Medina..Medina..andai dapat ku suntingmu menjadi isteriku..Wahh...idea ni, boleh buat lagu. Aku mencapai beg sandangku dan mengeluarkan buku nota lagu dan terus menulis lirik dan irama lagu yang bermain-main di fikiranku tadi. Tidak sampai beberapa minit, sebuah lagu sudah siap ku gubah.

”Abang buat apa tu?” Kehadiran Medina di sebelahku tidak ku sedari.

”Bila Medina duduk sebelah abang?” Tanyaku terkejut.

”Baru je, Med tengok abang khusyuk sangat, tu yang Med tanya tu?”

”Ooo..Mm..Abang tengah cipta lagu.” Medina mengambil kusyen kecil lalu memeluknya.

”Mm..Nama pun komposerkan..Kat mana-mana pun boleh cipta lagu.”

”Mestilah! Abang tengah buat agu yang dicipta khas untuk Medina.” Riak wajah Medina bertukar gembira.

”Serius?” Aku mengangguk.

”Nak dengar boleh? Abang Kal nyanyilah untuk Med.” Pinta Medina sambil menggoyang-goyangkan tanganku. Perlakuan biasa yang sering dilakukan jika memintaku membuat sesuatu untuknya. Manja sekali, Medina memang manja. Maklumlah, anak bongsu dan perempuan tunggal dalam keluarga.

”Mana boleh, tunggulah betul-betul siap dulu.” Ujarku, memang aku ingin mendendangkan lagu ini ketika aku melamarnya nanti.

Medina mencampakkan kusyen kecil yang dipeluknya tadi kepadaku. Sempat aku menepisnya sambil tergelak kecil.

”Kedekut!” Kata Medina, wajahnya mencerut masam.

”Ala..janganlah buat muka masyam macam tu. Bughuk bebenor muka kamu ye.” Usikku lagi. Medina menjelirkan lidah.

”Abang bawa hadiah dari Bali, nak tak?” Wajah Medina bertukar gembira semula.

“Serius?” Ayat yang sering diungkapkan Medina, serius!

”Mestilah, takkan abang nak tipu pula.” Medina menadah tangan.

”Nak!”

”Cium pipi abang dulu.” Aku menunjukkan pipiku dengan jari telunjuk. Sengaja mengusiknya. Medina memukul bahuku.

”Suka usik Med tau, tak kira. Mana hadiah Med?” Aku menyelukkan tangan ke beg sandangku dan mengeluarkan sebuah kotak.

”Woww...Terujanya.” Medina membuka kotak tersebut. Hadiah gelang dari Bali itu benar-benar membuatkannya gembira. Sengaja di tayang-tayangkan gelang tersebut di hadapanku.

“Thanks Abang Kal, Med suka sangat. Ni sayang abang lebih ni.” Ujarnya sambil membelek-belek gelang di tangannya. Medina suka mengumpul gelang tangan, tak kira kecil, besar, bulat, segitiga semua ada di dalam koleksinya. Aku sendiri sedia maklum dengan minatnya yang satu ini. Malah jika aku ke luar negara, aku tidak lupa membelikan gelang tangan untuknya.

“Sebelum ni tak sayang ke?” Sengaja aku bertanya demikian, Medina memandangku.

”Sebelum ni sayang juga tapi taklah sayang sangat. Hehehe..” Medina tergelak kecil. Aku tersenyum, suka melihatnya ketawa begitu.

”Abang Emil dah balik Malaysia.” Aku berkata perlahan.

”Serius ke? Bila abang Emil balik?” Tanya Medina dengan nada teruja.

”Mungkin dah balik, last abang Kal jumpa dia pun masa abang kat Bali tu. Dia kata nak balik Malaysia.”

”Dia tak call Med pun, lama dah Med tak jumpa abang Emil. Dekat 5 bulan rasanya. Rindu kat dia.” Aku memandang Medina dengan perasaan cemburu.

”Med rindu kat abang Emil?” Tanyaku.

”Mestilah rindu, lama dah tak jumpa.” Ungkap Medina bersahaja.

”Dengan abang, pernah rindu tak?” Tanyaku lagi.

”Abang ni, suka tanya soalan pelik-peliklah. Dahlah, Med nak layan pelanggan dulu ye.” Katanya dan terus berlalu meninggalkanku membuatkan pertanyaanku tergantung tanpa sebarang jawapan.

Medina, Emil dan aku merupakan kenalan sejak kecil lagi. Malah ibubapaku kami kebetulan adalah kawan baik. Emil dan aku sebaya manakala Medina muda tiga tahun dari kami berdua. Walaupun begitu, kami memang rapat. Ke mana sahaja bertiga, ibubapa Medina juga tidak kisah sekiranya kami keluar bersama. Pernah ibu Medina menghalang Medina menyertai perkhemahan persatuan sewaktu di sekolah, namun apabila di pujuk dan Medina mengatakan bahawa Emil dan aku juga menyertainya, barulah ibu Medina membenarkan. Kami seolah-olah menjadi pelindung Medina, malah ibu bapa Medina meletakkan sepenuh kepercayaan pada kami berdua untuk menjaganya. Aku sendiri tidak pasti bilakah aku jatuh cinta padanya. Mungkin hubungan kami yang rapat sedikit sebanyak membuatkan perasaanku bertukar menjadi cinta tanpa di sedari.

Aku melihat jam di tangan, hampir menghampiri pukul 5. Melihat Medina yang sibuk melayan pelanggan membuatkan aku tidak mahu menganggunya lagi. Perlahan-lahan aku menghampirinya.

”Med, abang balik dulu.” Medina memandangku sekilas.

”Kejap abang Kal.” Ujar Medina sambil memberi isyarat tangan supaya menunggunya untuk seketika. Aku menunggu di depan pintu. Medina ku lihat menganggukkan kepala kepada pelanggannya sebelum berjalan menghampiriku, mungkin meminta izin daripada pelangganya untuk menemuiku.

”Cepatnya abang nak balik, tak sempat nak borak panjang.” Aku mengenepikan rambut Medina ke telinga. Medina menarik tanganku, malu diperlakukan begitu di depan pelanggan dan pekerjanya. Raikal tersenyum.

”Abang tak sembahyang asar lagi, lagipun Medina pun tengah sibuk layan pelanggankan. Malaslah abang Kal nak kacau.”

”Yelah..tapi lain kali jangan lupa singgah kat butik Med ni tau.” Raikal mengangguk. Masakan dia lupa untuk singgah di tempat gadis pujaannya.

”Abang Kal takkan lupa punya.” Ujarku sambil membuka pintu.

”Aa..Thanks bagi gelang ni tau.” Sempat Medina mengucapkan terima kasih sambil melambaiku di depan pintu. Aku membalas lambaiannya sambil tersenyum. Gembira kerana dapat bertemu buah hati pengarang jantung. Tersenyum sendirian sehingga ke kereta. Orang yang lalu lalang melihatku pelik. Biarlah orang lain nak kata apa, janji hati aku tengah bahagia. Desis hatiku.

Aku menghidupkan enjin kereta. Tiba-tiba sebuah kereta mewah melintasi keretaku dan berhenti betul-betul di hadapan butik Medina. Aku merasa sangsi, seperti ku kenali orang yang berada di dalam kereta tersebut. Aku menunggunya keluar dari kereta, enjin kereta ku matikan.

Tepat jangkaanku, Emil rupanya empunya tuan kereta mewah tersebut. Dia keluar dari kereta dengan sejambak bunga ros merah di tangannya. Aku memerhatikan Emil sehingga dia memasuki butik Medina dengan perasaan cemburu. Kenapa Emil selalu dapat apa yang disukainya. Dari kami kecil lagi, dia selalu mendapat terlebih dahulu barang yang aku kehendaki. Sekarang perempuan yang aku cintai juga sama. Aku mengeluh hampa.

Cepat-cepat aku menghidupkan semula enjin kereta yang kumatikan, sengaja aku melalui depan butik Medina. Aku menoleh ke arah butik tersebut, kelihatan Medina sedang memukul Emil, manja, sambil tangan sebelahnya memegang bunga yang di bawa oleh Emil tadi. Emil pula mengelak dari dipukul Medina sambil tergelak-gelak. Aku memandang ke hadapan semula, tidak sanggup melihat mereka bermesraan lagi. Hatiku terasa panas melihat mereka bersama.

Aku memukul stereng kereta, geram apabila melihat aksi mereka tadi. Tiba-tiba aku teringatkan perempuan yang meminjam duitku di Bali tempoh hari. Apa entah namanya, Juwita ke Junita..terlupa pula. Ah! Gasaklah, janji rancangan aku patut dilakukan untuk membuktikan pada Medina yang Emil seorang kaki perempuan dan tidak sesuai untuknya. Dan untuk menunjukkan pada Emil supaya lebih bersikap bertanggungjawab pada perempuan yang pernah disakitinya dulu. Demi Medina, aku sanggup buat apa saja asalkan dapat memiliknya. Esok aku akan menghubungi perempuan tersebut.

*****

Julita berjalan laju ke arah balai polis. Aku tak kira, aku nak buat report polis. Mereka boleh buat Julita macam ni, takkan Julita tak boleh buat. Lantaklah mereka tu dulu kawan baik ke, kawan tak baik ke, sekarang apa nak jadi, jadilah!

Setibanya Julita di balai polis, ramai orang sedang menunggu giliran untuk membuat aduan. Julita duduk di tempat yang disediakan. Sementara menunggu, Julita memandang tingkahlaku orang di sekelilingnya. Ada yang muram, ada yang sedang termenung dan ada juga yang datang dengan muka yang sedang marah. Masing-masing dengan masalahnya tersendiri.

Mataku tiba-tiba tertancap pada seorang wanita yang sedang mendukung anaknya yang masih kecil, mungkin dalam 4 atau 5 bulan usia bayi tersebut. Bayi tersebut menangis tidak henti-henti dari tadi, ibu bayi itu berusaha untuk memberhentikan tangisan bayinya namun gagal. Aku kasihan melihat wanita tersebut bersusah payah seorang diri lalu aku menghampirinya.

”Kenapa Kak, anak akak tak sihat ke?” Wanita tersebut memandangku dengan pandangan sayu.

”Tak tahulah akak, dari tadi tak nak diam. Akak pun dah pening dah ni, tak tahu macam mana nak diamkan dia dah. Nak kata lapar, tadi akak dah bagi minum susu.”

”Biar saya cuba, boleh? Akak pun macam letih je.” Wanita tersebut tanpa banyak soal menyerahkan bayinya padaku. Sekejap sahaja berada didukunganku, bayi tersebut terus diam. Tidak lama kemudian, bayi tersebut tertidur di pangkuanku. Pelik, ibunya juga turut pelik melihat bayinya dengan mudah terlena. Berbagai-bagai usaha yang dilakukan tadi untuk menidurkannya tapi tidak berjaya, tapi denganku, cepat sahaja lenanya. Kami duduk di pangkin yang disediakan di situ. Bayi tadi masih aku dukung, tidak sampai hati untuk menyerahkan semula pada ibunya kerana aku lihat ibunya benar-benar letih.

“Kenapa akak datang ke balai polis malam-malam macam ni? Suami akak mana?” Aku bertanya. Tiba-tiba wanita tersebut mengalirkan air mata.

“Suami akak kena tahan, akak tengah tunggu dia disoal siasatlah ni.” Aku terkejut.

“Suami akak buat apa sampai kena tahan?”

“Suami akak di tuduh menipu, mereka tuduh suami akak jual rumah tanpa kebenaran tuan rumah sebenar. Entahlah dik..kalau suami akak kena penjara, akak tak tahulah macam mana dengan hidup kami anak beranak. Akak pula tak kerja. Akak tak tahulah apa nak jadi dengan hidup anak akak nanti. Apa yang akak risau, kawan-kawan anak akak nanti akan kata anak akak ni anak bekas banduan. Akak takut sangat.” Aku terkedu mendengar kata-katanya.

Aku memandang wajah bayi dipangkuanku, tenang sekali tidurnya. Aku terkenangkan Nina, jika Nazim di penjara nanti, bagaimana dengan anak mereka. Siapa yang akan mencari rezeki untuk anak mereka nanti. Apakah rakan-rakan anak mereka nanti akan menggelarnya dengan anak banduan. Oh! Aku tidak sanggup...Walaupun ibubapa mereka yang jahat, anak mereka tidak bersalah. Kesalahan lepas ibubapanya tidak patut di tanggung anak.

”Kenapa adik datang balai polis?” Wanita tersebut bertanya padaku. Aku serba salah. Tidak mungkin aku akan menceritakan kepada danya tujuan aku datang ke sini.

”Tadi saya nak buat report, tapi bila fikir-fikir balik, tak jadilah. Tak apalah akak, saya balik dulu ye.” Ujarku sambil menyerahkan semula bayinya.

Aku melangkah longlai menuju keluar. Beg tangan yang ku sandang di bahu ku buka lalu mengeluarkan gambar scan anak Nina dan Nazim. Aku memandang gambar tersebut sayu. Aku sudah nekad tidak mahu membuat report polis demi anak mereka. Kasihan anak ini jika bapa mereka di penjara. Apa pun, aku tetap kawan baik kepada ibubapanya. Aku mengeluh.

Tiba-tiba perutku berbunyi. Baru aku sedar yang aku belum menjamah apa-apa pun dari semalam. Aku mengeluarkan dompet, melihat duit dalam simpananku. Tinggal beberapa ringgit sahaja duit baki yang ku pinjam dari Raikal, hanya cukup untuk makan beberapa kali sahaja. Silapku juga, semua duit tidak ku simpan di dalam bank. Semua aku simpan di dalam laci almari. Sudahnya dengan almari-almari sekali hilang.

Sebelum pulang, aku singgah di kedai runcit dan mengambil roti coklat berharga RM0.60 dan air mineral. Setibanya di rumah, hatiku bertambah sayu melihat keadaan rumah yang kosong. Aku duduk bersila di ruang tamu, membuka plastik roti yang ku beli tadi.

Semasa menjamah roti, tiba-tiba air mataku jatuh berlinangan apabila mengenangkan nasibku yang hanya mampu menjamah roti.

”Ibu, ayah..kenapa ibu dan ayah pergi cepat sangat...”Aku memaksa diriku memakan roti tersebut walaupun aku langsung tidak berselera. Aku mengelap air mata di pipi dan cuba menjamah roti itu kembali. Namun aku gagal mengawal perasaanku, esakanku makin menjadi-jadi. Akhirnya aku meletakkan roti tadi kembali ke plastik. Cuba menenangkan fikiranku yang tertekan. Akhirnya aku terlena di dalam kesedihan yang mencengkam diri. Sampainya hati mereka.....