CLICK HERE FOR BLOGGER TEMPLATES AND MYSPACE LAYOUTS

Sunday, August 23, 2009

Syurga Cinta 7

Julita terhendap-hendap di celah-celah pintu pagar, dia melihat lampu rumahnya terbuka.

”Alamak..tuan rumah baru dah sampai ke? Mana aku nak tidur malam ni??” Aku menggaru-garu kepalaku yang tidak gatal.

”Nak masuk ke tak nak, nak masuk ke tak nak?” Aku berkira-kira sendiri. Akhirnya aku mengambil keputusan untuk masuk menemui tuan rumah ’Syurga Cinta’ yang baru.

”Ting Tong..” Tiada siapa yang membuka pintu.

”Ting Tong Ting Tong Ting Tong Ting Tong Ting Tongggggggg...” Aku menekan loceng beberapa kali.

”Sabarlah!” Tiba-tiba seorang lelaki membuka pintu dan memarahiku. Aku melongo melihat lelaki tersebut.

”Raikal!”

”Awak!” Kami berkata serentak. Bulat matanya memandangku.

”Apa awak buat kat rumah saya ni?” Aku memarahinya.

”Excuse me, ni dah jadi rumah saya!”

”Oo..jadi awaklah tuan rumah baru ye, saya nak bincang sesuatu dengan awak.” Aku menolaknya ke tepi dan terus masuk ke dalam rumah. Dia melihatku pelik. Aku terus duduk di sofa yang masih berbungkus plastik. Raikal duduk di hadapanku.

”Saya nak balik rumah ni.” Aku bersuara. Raikal tergelak.

”Kenapa awak gelak?” Aku memandangnya dengan muka yang tidak puas hati.

”Awak ni tak munasabah, tiba-tiba datang rumah saya dan terus cakap nak rumah ni. Apa, awak ni psiko ke? Kenapa awak ikut saya sampai rumah? Awak nak apa? Saya tahu awak minat pada saya, tapi tak payahlah sampai nak ikut sampai ke rumah. Awak nak autograf, saya boleh bagi, sekarang tolonglah balik..saya ada banyak kerja nak di buat.” Aku mencebik dan membuat muka meluat dengan kata-katanya, boleh dia kata aku minat kat dia. Rasa macam nak muntah darah. Tolonglah mamat ni, janganlah perasan!

”Tolonglah...jangan perasan. Sebenarnya ni memang betul-betul rumah saya. Tapi sebab sesuatu terjadi sepanjang ketiadaan saya hari tu, rumah ni dah kena jual.” Aku merendahkan suara untuk meminta simpatinya. Aku meneruskan kata-kataku.

”Ini rumah peninggalan arwah ibubapa saya, sebab tu saya tak boleh nak jual pada siapa-siapa. Saya sayang rumah ni lebih dari saya sayangkan siapa-siapa di dunia ni. Rumah ni jelah kenangan saya pada mereka.” Air mukaku berubah menjadi sebak, aku memang tidak boleh jika menyentuh hal-hal ibu dan ayah ni, mesti berjuraian air mata.

Raikal memandangku, dia menongkatkan dagunya dan memandangku.

”Betul, saya tak tipu..” Tiba-tiba Raikal menarik tanganku dan membawaku ke pintu.

”Saya tak percaya kat awak lagi, dulu pun awak tipu saya. Sekarang saya tak nak dah percaya!” Ujarnya dan terus menutup pintu.

”Aa....Bukalah dulu, saya tak tipu, betullah apa yang saya cakap tadi.” Aku mengetuk pintu semula dengan kuat. Raikal membuka pintu semula sambil tersengih nakal.

”Ambil ni, ni beg awak kan?” Dia terus mencampak beg troliku ke lantai, terbeliak biji mataku melihat dia mencampakkan begku begitu sahaja. Aku mengetuk pintu semula, kali ini bertambah kuat.

”Bukak!! Bukak!!!” Aku menjerit. Raikal membuka pintu semula.

”Awak nak menangis ke, awak nak tertonggeng ke, jangan harap saya nak percaya lagi, sekarang keluar dari rumah saya atau saya report pada polis.” Ugutnya membuatkan aku terkedip-kedip memandangnya. Dia terus menutup pintu, aku mahu mengetuk pintu lagi, belum sempat aku mengetuk, dia membuka pintu semula.

”Dan jangan ketuk pintu saya lagi, kalau tak..nahas awak saya kerjakan.” Tengkingnya dan terus menutup pintu semula.

Aku berundur ke belakang, takut sebenarnya mendengar ugutan dari Raikal yang akan menelefon polis sekiranya aku menganggunya lagi. Tiba-tiba air mataku mengalir tanpa ku sedari. Kini ’Syurga Cinta’ memang menjadi milik orang lain. Juga pilu apabila ditengking seolah-olah anjing kurap di rumah sendiri.

”Tak berhati perut!” Rungutku sambil mengutip baju-bajuku yang bertaburan apabila beg troliku di campak oleh Raikal. Aku mengelap air mataku yang masih mengalir di pipi dengan belakang tangan.

Selepas selesai memasukkan kesemua bajuku ke dalam beg semula, aku duduk termenung di tepi tangga.

”Kat mana aku nak tidur malam ni....” Ujarku sendirian sambil menongkat dagu, lutut kurapatkan ke dada. Aku mendongak melihat langit. Bulan...Ermm..bulan penuh hari ni, keadaan pun terang, tak adalah takut sangat kalau nak berjalan malam-malam ni.... Bintang pula cantik bertaburan di langit yang luas menandakan malam ni hujan tidak akan turun.

”Arrrrr....nak tidur mana malam ni! Huk! Huk! Huk!” Aku menghentak-hentakkan kaki ku lantai.

”Ibu, kalau ibu tahu anak ibu ni merempat, mesti ibu sedihkan....” Aku merintih perlahan. Setitik lagi air mataku mengalir....

*****

Pagi-pagi lagi Raikal sudah bersiap untuk keluar bersenam. Sebelum berlari, sempat Raikal melakukan regangan di depan pintu.

”Arrrrrghh!” Terkejut aku apabila aku menoleh ke kanan. Aku mengurut-urut dada, terkejut apabila sekujur tubuh berselubungkan baju sejuk berbaring di tepi tangga. Aku menghampiri tubuh tersebut dan menarik sedikit baju sejuk tersebut untuk melihat siapa orangnya di sebalik baju tersebut.

”Dia rupanya! Woii..bangun! bangun!” Aku mengejutkannya menggunakan kaki. Julita menggeliat.

”Tak malu ke tidur merempat kat rumah orang, bangun dan keluar dari sini.” Aku menunjukkan pintu pagar ke arahnya.

”Saya tak sihatlah, bagilah saya tidur kat sini sekejap.” Ujarnya dengan suara yang lemah. Ah! Aku tidak akan percaya lagi dengan tipu helahnya.

”Jangan nak berbohong dengan saya lagi, keluar, kalau tak saya panggil polis!” Gertakku! Julita bangun dengan malas, tanpa memandangku lagi, dia terus berlalu keluar dengan membawa begnya.

”Tak faham betullah perempuan ni!” Aku menggeleng-gelengkan kepala.

Raikal berjogging di sekitar-sekitar rumah barunya memandangkan dia masih lagi kurang arif dengan tempat ini. Kelelahan dia apabila berpusing semula ke rumahnya. Dia berhenti sejenak di sebuah tempat, tempat tersebut memang cantik.

Melihat matahari terbit di situ merupakan satu pemandangan yang indah pernah ku lihat. Aku terpaku melihat ciptaan tuhan yang sangat cantik itu. Subhanallah! Alangkah bahagianya jika boleh melihat keindahan itu bersama orang yang dicintai.

Raikal menarik nafas panjang, sudikah Medina mengahwiniku? Hatiku berkira-kira sendirian. Aku meneruskan perjalananku untuk pulang ke rumah. Lama tidak bersenam membuatkanku pernafasanku termengah-mengah. Aku memegang tiang di tepi tangga.

”Huh!” Terkejut aku sekali lagi apabila melihat Julita masih terbaring di situ.

”Woi...Bangun! Ingat rumah aku ni welfare apa! Bangunlah!” Aku menggerak-gerakkan bahunya, namun dia tidak berganjak.

”Bangunlah!” Aku menggerakkannya sekali lagi. Tiba-tiba aku melihat peluhnya merenik di dahi. Takkanlah dia berpeluh pagi-pagi buta ni. Aku merasa dahinya, panas! Aku menjadi panik! Tidak tahu harus berbuat apa. Cepat-cepat aku membuka pintu luas-luas dan kemudian mengangkatnya masuk ke dalam rumah. Aku meletakkannya di sofa. Segera aku ke bilik untuk mengambil selimut dan menyelimutkannya. Aku menggaru-garu kepala, pening memikirkan apa yang harus ku buat ketika ini.

Klinik! Aku kena hantar dia ke klinik!

”Awak, kita ke klinik ya. Saya hantar awak ke sana sekarang.” Aku menggerakkannya. Dia menolak tanganku.

”Tak nak.” Ujarnya dalam keadaan lemah.

”Saya takut demam awak makin teruk nanti. Jom saya hantar awak.” Aku cuba mengangkatnya semula.

”Tak nak! Tak nak! Tak naklah!!! Saya nak duduk dalam rumah ni aje. Saya tak nak ke mana-mana...Huk! Huk! Huk!” Tiba-tiba Julita meronta kuat lalu menolakku ke belakang membuatkan aku terjatuh sebelum dia sendiri menangis mendayu-dayu. Aku mengelus rambutku kasar, bengang dengan tindakan perempuan tersebut. Untung-untung aku offer hantar tau!

”Kalau awak mati kat sini siapa yang susah. Saya tak nak bertanggungjawab. Saya tak kira, mari saya bawa awak ke klinik!” Aku menghampirinya semula.

”Saya tak nak, tak naklah!awak tak faham ke!” Jeritnya sambil menarik rambutku yang ketika itu tunduk mahu mengangkatnya. Aku mengaduh kesakitan. Akhirnya aku terduduk di sisinya.

”Sakitlah!” Aku memegang kepalaku yang sakit akibat di tariknya, mujur tiada yang gugur. Julita membelakangiku dan terus menarik selimut sehingga menutupi seluruh tubuhnya.

”Ish budak ni! Mujur kau demam! Kalaulah kau sihat tadi, lama dah aku halau kau keluar.” Aku terduduk memandangnya dengan perasaan yang berbaur. Geram, jengkel, kasihan, tak sampai hati. Aku terus ke dapur bagi menenangkan perasaan.

”Adoi..apa aku nak buat ni!” Aku termenung seketika di tepi sinki. Pening seketika memikirkan bagaimana aku harus menyelesaikan masalahku dengan perempuan tersebut. Aku menjenguk Julita yang terbaring kaku di atas sofa. Aku melihat pintu hadapan masih terbuka luas, aku menghampiri pintu untuk menutup pintu. Belum sempat aku menutup pintu, aku terperasankan beg troli yang kucampak malam tadi masih diluar. Aku memandang Julita dan membawa beg tersebut senyap-senyap masuk ke dalam bilik tidurku. Mungkin di situ ada apa-apa bukti yang boleh mengesahkan kata-katanya.

Aku mula menyelongkar isi di dalam bagasi tersebut. Satu-satu aku keluarkan dengan penuh ketakutan. Mestilah takut sebab aku buka beg perempuan, takut ada sesuatu yang tak patut aku lihat. Betul sangkaanku, terpampang pakaian dalam wanita yang tak patut aku lihat. Sesak nafasku kerana tidak biasa melihat dan memegang barang tersebut betul-betul. Aku menghampiri pintu dan mengintai Julita yang berada di tingkat atas, takut juga sekiranya dia menyedari bahawa aku telah menyelongkar begnya. Aku mengurut dadaku, lega kerana dia masih terbaring di sofa. Aku berjingkit masuk semula.

“Buat apa aku berjingkit-jingkit ni, bukan dia dengar pun aku jalan. Ini kan rumah batu.” Aku tersengih sendirian. Aku mengeluarkan hampir ke semua pakaian di dalam beg tersebut. Tiba-tiba aku ternampak diari berwarna hijau yang terselit di celah-celah pakaian. Aku mengambilnya lalu menyelak-yelak helaian. Aku membaca satu persatu tulisan yang ditulis. Dalam hatiku rasa bersalah kerana telah menceroboh hak peribadinya, namun aku memerlukan bukti supaya aku tahu aku tidak di tipu lagi. Tiada apa-apa yang istimewa, aku menyelak-yelak lagi helaian lain. Tiba-tiba mataku terpaku pada tulisan yang ditulis olehnya.

”26 Januari..

Hari ini hari ulangtahun kematian ibu dan ayah..Sudah lima tahun rupanya aku hidup sendirian. Ibu..ayah..kenapa tinggalkan Julita. Kenapa ibu, ayah tak bawa Julita sekali. :’(

Julita akan sentiasa doakan ibu dan ayah di sana. Semoga ibu dan ayah bahagia di sana..Julita akan jaga Syurga Cinta ibu dan ayah ni baik-baik. Hanya ini sahaja kenangan yang Julita ada untuk ingat ibu dan ayah.. Alfatihah untuk ibu dan ayah..Amin... ”

Aku menutup diari tersebut. Kali ini aku mengakui kata-kata yang dikatakan Julita padaku malam tadi.

”Betul kali ni, dia tak menipu.” Keluhku perlahan...Aku mengemaskan semula pakaian-pakaian yang telah kukeluarkan tadi dan meletakkannya seperti keadaan asal. Kemudian perlahan-lahan aku turun dan meletakkan bagasi tersebut di sebelah sofa. Aku mengejutkan Julita perlahan. Julita membuka mata dan memandangku.

”Saya nak keluar sekejap, tak apakan awak tinggal seorang.” Dia mengangguk perlahan. Aku terus mengambil kunci kereta dan menuju ke farmasi berdekatan. Selepas itu, aku menuju ke pasar berdekatan untuk membeli sedikit sayuran dan barang keperluan dapur. Terlintas dihatiku tadi untuk membuatkan bubur untuknya. Selalunya orang sakit mesti tak selera untuk makan, mungkin jika aku memasakkan bubur, dia mampu untuk menelannya. Malah menurut ubat yang aku beli tadi, ubat mesti di makan selepas makan. Takkan nak suruh dia makan nasi bungkus pula, mesti dia tak nak makan.

Sebaik sahaja aku sampai di rumah, aku terus memasak bubur.

”Kalau awak tak nak pergi ke klinik, awak kena makan bubur ni. Lepas tu makan ubat ni.” Aku menarik selimut yang menutupi kepalanya.

”Ubat apa..” Tanyanya lemah.

”Ubat demam.” Jawabku pendek. Aku membantunya duduk dan menyuakan semangkuk bubur kepadanya. Dia mengambil tanpa banyak soal, namun baru beberapa suap jamahannya, dia meletakkan semula mangkuk tersebut.

”Sikitnya, makanlah lagi.” Aku menyuakan semula padanya. Julita menggeleng-gelengkan kepala.

”Tak lalu.” Ujarnya perlahan. Aku menyerahkan bungkusan ubat kepadanya. Dia mengambil sebiji pil. Aku memberikannya segelas air kepadanya. Julita mengambilnya lalu meneguknya dengan cepat. Kemudian dia menyerahkan gelas tersebut semula kepadaku dan terus berbaring semula sebelum menarik selimut sehingga menutupi seluruh tubuhnya. Aku menggeleng-gelengkan kepala, macam raja. Habis makan terus tidur. Nasib baik kau demam..tak apa..tak apa..sabar Raikal! Aku mengurut dada perlahan...