CLICK HERE FOR BLOGGER TEMPLATES AND MYSPACE LAYOUTS

Wednesday, September 2, 2009

Kotak Hati 2

Sewaktu aku pulang, aku terdengar Sofia merungut-rungut dengan Iman tentangku di dapur. Malah dia mengatakan mahu menghalauku dari rumah jika masih tidak mampu membayar sewa rumah untuk bulan depan. Iman hanya mampu menasihati Sofia supaya memberikanku sedikit masa lagi. Hatiku terguris mendengar kata-kata Sofia, tergamak dia mahu menghalauku keluar dari rumah. Air mataku menitis lagi, senyap-senyap aku memasuki bilik dan terus berbaring di atas katil. Iman memasuki bilik tidak lama kemudian, dahulu teman sebilikku adalah Sofia, namun setelah Sofia berubah sikap denganku, dia meminta Iman untuk bertukar bilik dengannya. Iman pula hanya menurut, dia tidak mahu mengeruhkan lagi keadaan yang sedia ada. Iman menghampiriku.

”Hana...”Aku memakukan diri.

”Hana..Iman tahu Hana tak tidur lagi.” Barulah aku mengesotkan badan dan duduk menghadapnya.

”Hana menangis ke?” Iman bertanya.

”Taklah Iman, mata Hana masuk habuk.” Alasan lapuk, namun aku tidak tahu apa lagi alasan yang patut diberikan pada Iman.

”Jangan nak tipu Imanlah, Iman tahu Hana dengar apa yang Sofia cakap tadikan. Hana jangan risau, Iman akan cuba pertahankan Hana. Iman sendiri tak tahu apa masalah Sofia dengan Hana sebenarnya tapi percayalah, Iman yakin Hana tak bersalah sebenarnyakan?” Aku mengangguk.

”Hana sendiri tak tahu apa salah Hana pada Sofia, tiba-tiba sahaja dia buat Hana ni macam musuh. Dia langsung tak beri Hana peluang minta penjelasan kenapa dia berubah. Hana nak tak tahu juga apa salah Hana, kalau betul salah Hana, Hana akan minta maaf.” Air mataku mula mengalir lagi.

”Sabarlah Hana, mungkin dia ada masalah lain. Nanti Iman akan cuba risik. Buat masa ni, Hana kena sabar je dengan kerenah Sofia, ok?” Aku mengangguk lagi.

”Tapi, kalau berterusan macam ni, Hana rasa baik Hana pindah rumah saja.”

”Hana, janganlah macam ni, kita akan cari jalan penyelesaian. Kalau Hana pindah rumah, hubungan Hana dengan Sofia takkan pulih. Lagipun mana Hana nak cari duit untuk cari rumah sewa baru.” Aku terdiam. Mengakui kebenaran kata-kata Iman. Memang aku langsung tidak mempunyai duit sekarang.

”Dahlah, Hana jangan fikir banyak-banyak. Iman akan sokong Hana, Sofia takkan boleh halau Hana kalau Iman tak setuju. Jangan risau ye, dah..Hana sambung tidur, jangan fikir banyak-banyak tau.” Iman memujukku.

”Baiklah Iman..terima kasih..”

*******

”Hana...” Seseorang melaungkan namaku dari jauh, aku menoleh untuk mengetahui siapa gerangannya yang memanggilku tadi. Burhan rupanya, aku tersenyum.

”Ha.. Burhan, kenapa panggil Hana dari jauh ni ada hal penting ke?” Burhan merupakan orang pertama yang menyapaku setibanya aku di sini. Ketika itu, kami berada di lapangan terbang, pertama kali menjejakkan kaki di bumi asing membuatkan aku takut dan bingung. Bingung bagaimana caranya mahu ke Univesiti. Mujur Burhan yang ketika itu juga ingin ke tempat yang sama mengajakku menyertainya. Aku yang memang memerlukan bantuan tidak melepaskan ajakannya dan sejak dari hari itu kami berkawan rapat.

”Saja panggil, rindu dah lama tak nampak muka Hana yang comel ni.”

”Pandailah, puji-puji ni mesti ada sesuatu nak minta dari Hanakan?” Aku meneka. Burhan menggeleng.

”Mana ada, tak baik tau Hana cakap macam tu. Burhan bukan apa, lama dah tak bercakap dengan Hana. Susah betul nak jumpa Hana sekarang, busy memanjang.”

“Mestilah, kitakan dah tahun akhir sekarang ni. Mestilah kena struggle lebih, kalau tak mcam mana nak dapat keputusan cemerlang, betul tak?”

”Yelah, semua apa ayang cakap semua betul.” Sengaja Burhan mengusikku. Wajahku merona merah di panggil ayang.

”Burhan ni, suka-suka panggil Hana, ayang. Nanti orang lain dengar malulah Hana.”

”Ala..mereka bukan tahu cakap melayu, buat apa nak risau. Kita berdua je. Hana dah makan?” Aku menggelengkan kepala.

”Kalau macam tu, biar Burhan belanja Hana makan.”

”Betul Burhan nak belanja? Wahh..banyak duit Burhan, Hana makan banyak tau, tak menyesal.”

”Ala..kalau setakat badan macam Hana ni berapa banyak sangatlah yang Hana makan, Burhan tak risau langsung. Jomlah...”

”Yelah...jom.” Aku menerima pelawaannya.

Tanpa aku sedari, sepasang mata yang marah sedang merenung tajam ke arah kami. Perasaan marah yang membuak-buak mula menular dalam diri.

*******
Sofia menghempaskan beg tangannya ke katil. Perasaan marah yang membuak-buak tidak mampu di tahan lagi. Dia merasa sangat geram apabila melihat kemesraan Burhan dan Raihana tadi. Sudah lama dia menyimpan perasaan terhadap Burhan, sejak di tahun pertama lagi namun Burhan tidak pernah menyukainya. Di matanya hanya melihat Raihana sahaja.

”Aku mesti singkirkan Hana tak kira apa juga cara. Burhan hanya milik aku seorang sahaja. Jangan harap kau nak dapatkan dia. Mampuslah kau..” Desis hatiku jahat.

Memang tujuan utama aku mendekati Raihana adalah untuk mendapatkan Burhan. Aku sendiri tidak tahu apa kelebihan Burhan yang membuatkan aku tergila-gilakannya. Dia tidaklah kacak, sedap mata memandang orang kata tapi itu bukan sebab utama aku meminatinya, kaya? Mmm...mungkin sebab inilah aku memujanya. Aku melihat sendiri ibu bapa Burhan ketika mereka menghantar Burhan dua tahun lepas. Bapanya orang ternama, wajahnya sering terpampang di muka-muka akhbar tentang kejayaan syarikat miliknya. Tapi aku agak pelik, tiada siapa yang tahu dia adalah anak orang kaya di sini. Burhan juga lebih suka bersikap low-profile, pakaiannya juga tidak menunjukkan dia adalah orang berada. Mungkin aku seorang sahaja yang tahu agaknya. Itupun secara kebetulan aku terserempak dengan mereka di lapangan terbang, kalau tidak mungkin sekarang aku tidak akan memandang sebelah mata pun pada Burhan.

Sejak itu, aku memang menetapkan target untuk memikatnya namun tidak berjaya. Jika kami bertemu, dia hanya akan memandang Raihana sahaja. Hanya tuhan yang tahu betapa sakitnya hatiku apabila diabaikan walhal aku ikut sekali dalam pertemuan itu. Dia hanya bercakap denganku jika ada hal yang penting sahaja. Itu pun selalu berkaitan dengan Raihana.

Aku mula memasang rancangan untuk menyingkirkan Raihana, mm...tapi yang pasti rancangan ini hanya boleh dilakukan jika Iman tiada, kalau tidak..mesti Iman akan menyokong Raihana dan tidak membenarkan aku menghalaunya. Aku melihat kalendar, teringat akan kata-kata Iman tempohari yang dia terpaksa bermalam di rumah Lucy, rakan sekuliahnya minggu hadapan untuk menyiapkan tugasan mereka. Aku menanda kalendar tersebut supaya aku akan sentiasa mengingati hari tersebut.

”Masa nilah yang sesuai untuk aku halau Raihana...” Ujarku dengan pandangan mata yang menyeramkan. Terimbas diingatanku peristiwa di mana aku meluahkan perasaanku pada Burhan beberapa bulan yang lepas.

”Hai Burhan..” Aku menyapa Burhan yang tidak perasan akan kehadiranku di situ kerana khusyuk melihat papan kenyataan. Burhan menoleh, wajahnya berubah.

”Hai..Sofia rupanya. Hana mana?” Wajahku berubah apabila Burhan bertanyakan Raihana.

”Mm...dia sibuk kot, tak apalah..Hana tak ada, Sofiakan ada.” Aku mengusiknya. Burhan tersengih.

”Sofia nak pergi mana ni?” Burhan bertanya.

”Tak ada pergi mana-mana, saja nak jumpa Burhan kat sini.”

”Oh, ye ke..kenapa nak jumpa Burhan kat sini.” Burhan mengerutkan wajah. Pelik kerana selama ini Sofia tidak pernah mengajaknya berjumpa atau keluar, tiba-tiba sahaja dia mahu menemuinya di sini.

”Kat sini tak bestlah nak cerita, kita pergi cafe nak? Sofia belanja Burhan minum.” Burhan mengangguk tanda setuju. Sofia tersenyum lebar, sudah lama dia menyimpan rancangan untuk meluahkan perasaannya. Kali ini dia mesti meluahkannya tidak kira apa terjadi.

Aku memilih tempat yang agak terceruk untuk memberikan aku lebih ruang privasi bagi meluahkan perasaanku. Setelah membeli dua gelas minuman, aku memberikan satu kepada Burhan dan satu lagi aku letakkan di hadapanku.

”Ada apa Sofia nak jumpa Burhan?” Burhan bertanya seraya menyedut air di hadapannya. Aku memandangnya lalu menarik nafas panjang.

”Sebenarnya Sofia sukakan Burhan.” Tersedak Burhan apabila mendengar kata-kataku. Aku mengeluarkan tisu dan memberikan padanya. Burhan memandangku seperti tidak percaya.

”What!!” Aku menganggukkan kepala tanda mengiakan kata-kataku tadi.

”I don’t think i can accept you more than friend.” Kata-katanya membuatkan wajahku berubah.

”What do you mean?” Aku bertanya kebingungan kerana luahanku ditolak mentah-mentah.

”I love Raihana..” Ujarnya pendek. Aku bengang apabila dia mengatakan begitu. Begitu berterus-terang tanpa menjaga hati dan perasaanku langsung. Aku terus mencapai begku dan berlalu dari situ. Perasaan marahku tidak dapat di kawal lagi. Burhan memanggilku namun oleh kerana hatiku sudah terguris, aku tidak mengendahkan panggilannya dan terus berlalu dari situ. Sejak itu aku memusuhi Raihana walaupun dia tidak mengetahui kenapa aku berubah sikap. Sengaja aku menyakiti hatinya dan melontarkan kata-kata pedas padanya supaya dia terluka. Puas hatiku setiap kali dia menangis kerana perbuatanku.

*******

”Hana makin manislah sekarang..” Burhan memandangku membuatkan aku menjadi tidak keruan.

”Kenapa pandang Hana macam tu?” Aku bertanya padanya, malu kerana ditenung sebegitu. Burhan tersenyum manis.
“Salah ke kalau Burhan pandang awek sendiri?” Aku menjelirkan lidah. Pandai-pandai dia sahaja mengaku aku aweknya.

“Bila masa entah Hana jadi awek Burhan.” Aku meneliti buku menu di tanganku, malas melayan usikannya lagi, kalau di layan makin menjadi. Pelayan mendekati kami, aku memesan makanan kesukaanku. Apabila pelayan tersebut mahu mengambil pesanan Burhan, dia hanya menggeleng-gelengkan kepala tanda tidak mahu memesan apa-apa.

“Tak nak makan ke?” Aku menyerahkan menu kepadanya. Burhan menggeleng-geleng, pelayan tersebut mahu pergi namun aku sempat menahannya.

“Kalau Burhan tak nak makan, Hana pun tak nak makan. Mesti Burhan tak ada duit tapi nak belanja Hana makan juga, kan? Kalau macam tu, jomlah balik.” Aku mengambil beg sandangku dan berura-ura mahu keluar. Burhan menarik begku dan menyuruhku duduk semula.

”Yelah..yelah, Burhan order juga ni. Pandai je kata Burhan tak ada duit, berkepuk tau duit Burhan dalam dompet ni.” Ujar Burhan berseloroh.

”Betul ni..jangan sampai tak makan dua tiga hari sebab nak belanja Hana.” Burhan menggeleng-gelengkan kepala sambil tersenyum.

”Tak ada mananyaa...” Setelah mengambil order dari Burhan, pelayan tersebut pun berlalu. Kami terdiam, Burhan hanya memandangku tanpa sebarang kata-kata. Aku rimas apabila di pandang begitu.

”Burhan ni...” Aku mencampakkan napkin di atas meja ke mukanya. Burhan tersengih nakal.

”Ala..biarlah Burhan tengok pujaan hati Burhan ni lama sikit. Lama tau Burhan tak nampak. Busy memanjang..nak ajak dating pun susah.” Aku mencebik mendengar kata-katanya.

”Dahlah Burhan, hari ni tak habis-habis mengusik Hana tau. Tak sukalah Hana.” Ujarku berterus-terang.

”Ok..ok..Burhan tak kacau lagi, tapi nak tanya satu soalan boleh tak?” Aku mengangkat kening, sebagai tanda memberi kebenaran padanya untuk bertanyakan soalan yang hendak ditanyakannya.

”Hana...nak tak jadi makwe Burhan?” Terbeliak biji mataku mendengar pertanyaannya.

“Burhan!!” Aku menjengilkan mataku, berpura-pura marah dengan pertanyaannya tadi. Burhan tergelak kecil sambil mengangkat kedua tangannya tanda tidak mahu mengusikku lagi.

“Tak boleh ke?” Sempat lagi dia mengusikku, aku mencubit lengannya. Burhan menjerit kesakitan.

”Ha..usik Hana lagi. Gatal!” Burhan menyeringai kesakitan dan mengusap-usap lengannya yang berbekas kerana cubitanku tadi.

”Hana ni, garang betul.” Aku tergelak melihat mukanya yang mencerut menahan sakit. Makanan yang kami order sampai ke meja.

”Ok..ok...Sori, Hana tercubit kuat sikittt je...Sebagai tanda minta maaf, Hana akan layan Burhan makan. Burhan nak letak sos tak?” Wajah Burhan kembali ceria mendengar kata-kataku. Dia mengangguk. Aku meletakkan sos di atas makanannya dan melukis gambar ikon senyum dan menyerahkan padanya.

”Special untuk Burhan..” Kataku sambil meletakkan air di sebelah kanannya. Kami makan sambil berbual-bual tentang banyak perkara. Bersama Burhan memang seronok, dia selalu membuat kelakar dan sering membuatkanku ketawa apabila bersamanya. Namun, aku tak pernah jatuh hati padanya, entahlah..mungkin aku belum berjumpa dengan orang yang bisa mengocakkan hatiku lagi. Burhan memang lelaki yang baik, tapi hatiku tidak pernah terpaut padanya. Aku cuma melayannya seperti rakan-rakan yang lain namun bezanya dia ku anggap rakan baikku. Aku tidak pernah menganggap lebih dari itu.

Selesai makan, Burhan menghantarku sehingga ke depan pintu. Sempat kami berborak-borak sebelum aku masuk ke dalam rumah. Tanpa ku sedari, Sofia melihat saja perbuatan mesra kami melalui tingkap dengan perasaan marah yang makin membuak-buak.

”Mesra nampak?” Perli Sofia apabila aku memasuki rumah. Aku memandangnya sekilas dan terus berlalu masuk ke dalam bilik. Malas untuk berbual dengannya lebih lama, mungkin kami akan bergaduh lagi. Tanpa ku sedari, Sofia mengekoriku masuk ke dalam bilik. Sambil bercekak pinggang, dia bertanya padaku.

”Bila nak bayar duit sewa rumah, bil api, bila air semua tu?” Angkuh sekali dia bertanya. Aku tidak menghiraukan pertanyaannya dan terus membuka tudung yang meliliti kepalaku.

”Kalau rasa tak mampu nak bayar, Sofia syorkan..pindah rumah jelah…taklah menyusahkan orang.”Aku tersentak dengan kata-kata Sofia. Pedih hatiku apabila kawan sendiri menghalauku dari rumah. Selesai berkata begitu, Sofia terus keluar dari bilikku sambil menghadiahkan jelingan yang tajam. Aku terduduk di atas katil. Setitis air mataku mengalir jua.

”Sofia…” Desis hatiku sedih melihat perubahan demi perubahan sikapnya yang semakin hari semakin jelik melihatku. Jika memang itu keinginanmu untuk melihatku keluar dari rumah ini, aku akan tunaikan Sofia…

******
”Ada tak bilik untuk disewakan sekitar rumah-rumah awak tu?” Tanyaku, aku menghayunkan buaian dengan perlahan, Adrian berdiri di sebelahku.

”Kenapa, awak nak pindah rumah ke? Rumah sewa awak sekarang tak ok ke?” Lelaki tersebut bertanya. Aku terdiam sejenak, memikirkan alasan yang patut diberikan demi mengelakkan lelaki itu tahu masalah sebenarku.

”Taklah, ok je cuma saya nak cari tempat tinggal yang lebih dekat dengan kawasan kampus. Lagipun sekarang saya selalu balik malam untuk siapkan tugasan, bahaya kalau saya balik seorang diri, jauh pula tu.”

”Oh..bilik untuk di sewa...Mmm...Saya rasa tak ada jiran-jiran saya yang nak sewakan bilik. Awak terdesak ke?”

”Mm..taklah terdesak, tapi kalau boleh lagi cepat lagi bagus. Kalau boleh lagi, nak yang murah sebab saya tak cukup duit nak bayar bilik sewa tinggi-tinggi.”Adrian kelihatan seperti berfikirkan sesuatu.

”Mm..Rumah saya ada bilik kosong, awak nak?”

”Rumah awak?” Aku mengerutkan dahi lalu menghentikan hayunan buaian.

”Kenapa?”

”Tak ada apa-apa, cuma rumah awak tu ada siapa lagi?”

“Saya tinggal seorang diri je.”

“Ish, bahaya..tak bolehlah macam tu.”

“Kenapa?” Dia bertanya lagi.

“Mm...sebab awak lelaki. Bahaya bagi perempuan macam saya duduk rumah lelaki.”

“Awak jangan salah faham, saya takkan buat apa-apa pada awaklah, kalau awak di rumah tu, saya taklah sunyi. Lagipun saya memang cari orang untuk uruskan rumah saya, awak tahulah, sayakan buta. Saya perlukan seseorang untuk membantu saya. Orang yang uruskan saya dulu dah berhenti.” Aku memikirkan sejenak pelawaannya tadi.

“Berapa sewa bilik yang awak kenakan?”

“Itu boleh dibincangkan kemudian, sekarang awak nak ke tak nak?”

“Beri saya tempoh untuk fikir dulu, kalau saya nak, saya beritahu awak, boleh?” Bukan aku sengaja mahu menolak niat baiknya namun aku harus berhati-hati, walaupun dia buta namun dia masih seorang lelaki. Aku harus menimbang buruk baiknya sekiranya aku mahu tinggal dengannya.

“Awak boleh bagi tahu saya bila-bila masa yang awak suka. Tapi sebelum tu, boleh saya tahu nama awak?” Aku memukul dahiku, lupa langsung untuk bertanya namanya.

“Ha’ah, dah beberapa kali kita jumpa tapi asyik lupa nak tanya nama awak. Nama saya Raihana, panggil sahaja saya Hana.”

“Hena..Mm...Hena..” Ucapnya dengan slanga Inggerisnya memanggil namaku.

“Ha..na..” Aku membetulkan sebutan yang sedikit kelakar apabila dia menyebut Hana, perkataan tersebut bertukar menjadi Hena.

“Ha..na..nice..” Aku tersenyum.

“Nama awak?”

“Adrian, Carl Adrian..”

Syurga Cinta 8

Raikal memerah tuala yang dibasahkan dengan air suam dan meletakkan di atas dahi Julita bertujuan untuk mengurangkan demam yang di alami oleh Julita. Berulangkali dia meletakkan tuala basah itu di dahi Julita dan menggantikannya apabila tuala tersebut sudah hampir kering dan membasahkannya semula. Tudung yang masih dipakainya dilipat sedikit supaya tuala tadi tidak membasahkan tudung tersebut. Tidak berani aku menanggalkan tudungnya, tak pasal-pasal aku kena pelangkung kalau dia sedar nanti.

”Ibu..ibu...” Julita mengigau. Lemah sekali suaranya.

”Awak mana ada ibu lagi, buat apa panggil ibu. Ish...Masalah apa yang menimpa aku ni!” Aku mencampakkan tuala basah ke dalam besen berisi air di depanku. Aku menyandarkan badan ke sofa. Aku mengurut-urut kepalaku yang berserabut.

”Ibu..Huk..huk..huk...” Julita mengigau lagi sambil menangis. Aku lihat setitik air matanya mengalir melalui tepi matanya. Aku terkedu. Mungkin dia benar-benar merindukan ibunya agaknya. Aku mengeluh lalu mencapai semula tuala basah yang kucampak tadi. Ku perah dan meletakkan semula di atas dahi Julita. Akhirnya aku juga tertidur di sofa tanpa ku sedari. Sakit belakangku apabila bangun keesokan hari kerana tidur secara duduk di sofa single.

*******

Julita terjaga dari tidur apabila terdengar suara yang kuat, seperti sedang memarahi seseorang.

”Kalau tak ada masalah, benda ni tak jadi macam ni. Kenapa tak siasat dulu sebelum jual pada saya!” Marah benar suara Raikal sedang bercakap di dalam telefon. Garang betul! Aku menjengulkan kepala sedikit untuk melihat Raikal yang berada beranda.

”Saya tak peduli, kalau ada apa-apa masalah yang timbul kelak..saya akan saman syarikat awak.” Tengkingnya lagi dan terus memutuskan talian telefon. Cepat-cepat aku berbaring semula dan berpura-pura tidur. Raikal menghampiriku, aku berlagak seperti masih tidur lagi. Raikal meletakkan tangannya di dahiku. Ish! Apa pegang-pegang ni, haram tahu! Desis hatiku jengkel. Namun aku hanya berdiam diri sahaja apabila dia menyentuh dahiku.

”Dah kurang sikit dah.” Ujar Raikal perlahan. Seketika kemudian, Raikal menggoyangkan bahuku perlahan. Aku membuka mata perlahan, berpura-pura baru sedar dari tidur.

“Saya nak keluar sekejap, ada hal sikit. Saya dah sediakan bubur untuk awak. Awak makan eh.” Aku hanya mengangguk lemah tanda faham apa yang dikatakannya.

“Jangan lupa makan, lepas tu makan ubat.” Aku mengangguk sekali lagi tanpa bersuara. Masih berpura-pura kononnya betul-betul dalam keadaan lemah. Sebaik sahaja aku mendengar enjin kereta Raikal menderum laju, aku terus bangkit dari sofa. Aku memegang dahiku..Mmmm...dah sihat dah ni.

”Waaa..lapar gila ni. Macam tahu-tahu je.” Aku terus mengambil mangkuk bubur di atas meja dan terus menyuapkan ke mulut dengan lahapnya. Seperti orang kebuluran sepuluh hari. Memang pun, dah beberapa hari aku tak makan nasi. Setelah habis semangkuk bubur, perutku masih lagi terasa lapar. Aku menuju ke dapur. Waahhh..ada peti sejuk besarlah. Aku membuka peti sejuk, banyak makanan tersimpan di dalamnya. Buah, kek, air twister..sungguh menyelerakan. Aku membuka penutup botol air twister dan terus meneguknya dengan rakus sehingga air tersebut hanya tinggal separuh. Ni kalau Raikal tengok aku minum macam ni, mesti dia tak minum dah air ni. Hehe..aku tersengih sendirian. Aku meletakkan botol air dan mengambil buah pisang, kemudian buah epal, diikuti kek coklat moist dan hirisan buah tembikai. Kalah orang Somalia. Semasa aku sedang enak menjamah buah tembikai, kedengaran bunyi kereta Raikal masuk ke halaman rumah. Ketika itu jugalah aku tercekik mungkin kerana terkejut. Alamak! Mampus aku!!

Aku mengemaskan semula kulit-kulit buah yang telah aku makan tadi sambil terbatuk-batuk kerana masih tercekik. Aku menepuk-nepuk belakang badanku. Aku tidak punya masa, kerana takut tidak sempat, aku hanya mencampakkan sahaja kulit-kulit buah tersebut ke dalam tong sampah. Kelam kabut aku mengutip sisa-sisa makanan yang masih, ada yang terjatuh ke lantai. Ah! Gasaklah.. Aku terus berlari untuk berbaring semula ke sofa, belum sempat aku sampai ke sofa, aku tergelincir dan jatuh seperti nangka busuk. Aku mengusap-usap punggungku yang sakit. Terpaksa aku merangkak untuk sampai ke sofa. Nasibku baik, sebaik sahaja aku berselimut, Raikal membuka pintu rumah.

Kedengaran Raikal mencampakkan kunci di atas almari dan terus menuju ke tingkat atas. Aku menarik nafas lega. Tidak lama kemudian, Raikal turun semula dan menuju ke dapur. Aku menjadi gabra dan memejamkan mata, takut perbuatanku sebentar tadi terbongkar.

******

Raikal mencampakkan kunci kereta sambil memandang Julita yang masih terbaring kaku, sama seperti semasa aku meninggalkannya tadi. Aku terus menuju ke atas untuk menukar baju dan selepas itu turun semula untuk mengambil air di dapur. Terkejut aku apabila dapurku nampak bersepah dengan kulit-kulit buah bersepah di atas lantai. Aku membuka peti sejuk. Sebiji epal dan kulit tembikai jatuh betul-betul jatuh di hadapanku. Sah! Dia makan makanan dalam peti ais ni. Aku menuju ke ruang tamu dengan perasaan marah.

”Bangun!” Kataku tegas. Julita masih lagi kaku tidak bergerak membuatkan aku semakin panas.

”Jangan nak berpura-pura, saya tahu awak dah sembuh. Bangun!” Tengkingku dan terus menarik selimutnya lalu mencampakkan ke tepi. Julita bangun perlahan-perlahan dan terus menundukkan kepalanya. Aku menjeling mangkuk bubur yang kusediakan untuknya sebelum aku keluar tadi, kosong! Memang sah dia dah sihat, berselera je makan.

”Ikut saya...” Arahku dalam nada suara yang sengaja kutegaskan. Aku menuju ke dapur dan duduk di salah sebuah kerusi meja makan yang memang tersedia berada di dapur. Julita sengaja ku suruh berdiri di hadapanku.

”Maafkan saya...saya lapar sangat, sebab tu saya makan makanan awak dalam peti ais tu.” Aku mengetuk mejaku dengan jari. Tidak tahu apa yang patut aku lakukan padanya ketika ini.

”Awak ni pengemis ke? Tidur depan rumah orang, makan makanan orang lain..” Kasar sekali kata-kataku tapi sekarang memang aku sangat marah kerana sudah beberapa kali ditipu. Julita hanya tunduk dan terdiam mendengar kata-kataku. Mungkin dia menyedari bahawa dia memang bersalah dalam hal ini. Aku menyeluk poket dan mengeluarkan sekeping sampul lalu menyuakan padanya.

”Apa ni?” Julita bertanya kehairanan namun tangannya tetap mengambil sampul tersebut dan membukanya.

”Duit? Kenapa awak bagi saya duit.” Dia bertanya kehairanan. Aku menarik nafas.

”Bukan salah saya rumah ni saya beli, malah semua dokumen jual beli adalah sah. Saya tahu awak tak ada tempat lain yang boleh awak pergi. Saya juga tahu awak tak ada duit. So, saya beri awak duit tu untuk awak cari rumah sewa dan lebihnya awak boleh buat makan sementara awak belum dapat kerja ni. Anggaplah itu saguhati dari saya, kalau ikutkan saya tak payah beri awak apa-apa pun. Tapi sebab saya kasihankan awak, saya tolong awak. Lepas ni jangan ganggu saya lagi.”

”Ambil balik duit awak ni! Saya cuma nak rumah ni, saya tak nak duit awak!” Ujarnya marah dan mencampakkan semula sampul tersebut di atas meja. Julita memandangku dengan pandangan yang tajam. Takut aku memandangnya. Aku tidak mahu mengalah. Aku berdehem sebelum membalas kata-katanya.

”Awak jangan nak berlagak, awak tu dahlah tak ada duit. Untung-untung saya sedekahkan awak duit buat belanja. Kalau saya tak bagi, awak nak merempat?”

”Awak betul-betul anggap saya ni macam pengemiskan? Awak ni teruk! Saya lebih rela mati tepi jalan dari terima duit busuk awak tu!” Herdik Julita sebelum dia berlalu membuatkan aku terkebil-kebil memandangnya. Julita mengambil begnya dan terus menuju ke pintu keluar.

”Jangan menyesal kalau awak tak ambil duit ni, saya offer sekali je! Kalau awak mati tepi jalan bukan salah saya.” Sempat aku melaungkan ayat tersebut sebelum Julita sempat keluar, Julita membalas tanpa menoleh padaku.

”Pergi jahanamlah dengan duit awak!” Katanya kasar.

”Huh! Berlagak..kita tengok boleh ke ego awak tu buat awak kenyang!” Jeritku lagi tidak hati. Panas hatiku apabila dia menolak apabila aku ingin berbuat baik padanya. Tak sedar diuntung. Aku mengambil semula sampul yang dicampakkan tadi dan melihat semula isi di dalam sampul tersebut. Melampau sangat ke aku tadi. Ish..Pusing betul perempuan ni. Aku mencampakkan semula sampul surat tersebut di atas meja. Aku menyandar lemah di kerusi. Berfikir samada betul tindakanku memberikan dia duit.

”Ah! Kenapa aku nak susah-susah pasal dia, lantaklah..bukan aku yang susah pun. Untung-untung aku dah offer duit. Dia yang tak nak. Apa aku nak peduli lagi.” Desis hatiku. Namun sebenarnya aku sangat bimbangkan keadaan Julita, mungkin dia belum pulih sepenuhnya. Kalau dia demam lagi, bagaimana?

Akhirnya aku memutuskan untuk melihat ke mana dia mahu pergi, sekiranya betul dia sudah mempunyai tempat tinggal, barulah hatiku akan lega. Aku menaiki kereta, mungkin dia masih lagi berada di perhentian bas berdekatan. Memang tepat jangkaanku, dia masih lagi berada di situ menunggu bas. Aku memberhentikan kereta agak jauh dari perhentian, kedudukanku agak tersorok sedikit dari pandangan Julita namun aku masih boleh melihatnya dari keretaku. Aku menunggu dengan sabar, sebuah bas berhenti di perhentian tersebut namun Julita tidak menaiki bas itu. Aku pelik. Bas tersebut berjalan setelah mendapati Julita tidak berhajat untuk menumpang bas tersebut. Aku menunggu lagi. Setengah jam kemudian, sebuah lagi bas muncul. Dia masih lagi tidak menaiki bas tersebut. Aku mengurut-urut daguku yang licin, berfikir sebenarnya, kenapa dia tidak menaiki bas-bas yang melalui perhentian tersebut. Mungkinkah dia masih berfikir arah tujunya ataupun memang dia tidak mempunyai tempat lain untuk dituju? Aku menunggu lagi. Bas yang ketiga juga begitu, dia tidak menaikinya. Aku menghidupkan enjin kereta dan menghampiri perhentian bas. Betul-betul berada di hadapannya. Aku menurunkan cermin kereta. Julita pada mulanya nampak tertanya-tanya siapakah kereta yang menghampirinya, namun setelah melihatku, wajahnya berubah dan terus memalingkan muka.

”Naik kereta.” Aku mengarahkannya. Dia tidak mengendahkan kata-kataku dan memandang tempat lain. Aku keluar dari kereta, kemudian bersandar di pintu kereta sambil menyeluk poket.

”Naik kereta.” Ulangku lagi.

”Saya gila ke? Buat apa nak naik kereta awak tu?” Ciss! Dia kata aku gila! Aku ni punyalah baik nak tolong dia. Sabar Raikal! Sabar...Pujuk dia balik.

”Awak ada tempat nak dituju ke?” Aku bertanya lagi.

”Suka hati sayalah, awak sibuk kenapa!” Julita menjawab dengan kasar. Rasa ingin marah namun disebabkan aku serba salah kerana menghulurkan dia duit tadi, aku bersabar. Perempuan ni banyak songeh betul!

”Bila awak nak bayar duit saya?” Pertanyaanku kali ini membuatkan dia tersentak. Dia berdiri.

”Bu..Bukan saya tak nak bayar..cuma, saya minta tempoh dulu boleh?” Suaranya bertukar menjadi lembut. Aku membuka pintu kereta.

”Masuk, kita bincang kat rumah.” Berjaya juga akhirnya aku membawa Julita pulang semula. Sebenarnya aku sudah merancangkan sesuatu untuknya. Julita masih berdiri di perhentian bas.

”Masuklah, apa lagi awak tunggu.” Tergesa-gesa dia menaiki keretaku.

“Sorry, bukan saya tak nak bayar, cuma saya memang tak ada duit sekarang ni.” Aku menjelingnya. Dah tu, marah bila aku bagi duit tadi.

“Biasalah, pinjam pandai..pulang tak pandai. Bila saya bagi duit, berlagak..tak nak pula tu.” Pedas aku memulangkan kata-katanya. Sengaja aku membalas dendam kerana dia mengatakan aku gila tadi. Dia menjelingku dan selepas itu dia mendiamkan diri sehingga kami sampai ke rumah. Aku mempersilakannya duduk di sofa yang masih berbungkus plastik.

“Saya dah fikirkan sesuatu untuk awak, saya risau awak akan lari dari bayar hutang saya kalau awak pergi ke tempat lain.”

“Awak ingat saya ni penipu ke? Saya akan bayarlah..” Aku memandangnya sinis.

“Bukan betul ke awak tu penipu?”

“Bila saya tipu awak?” Dia bertanya dengan geram.

“Kat Bali dulu..awak kata awak makwe Emil.” Berubah mukanya apabila aku menyebut nama Emil.

“Itu..itu...” Dia kehilangan kata-kata untuk membalas. Aku tersenyum sinis padanya.

”Sebab tu saya nak awak jadi orang gaji saya. Hutang awak akan ditolak dari gaji bulanan. Gaji awak.. kalau ikut gaji orang indon, dalam 500 sebulanlah. Itu pun saya rasa dah banyak dah tu. Kalau ikutkan hati saya, saya bagi 300 je.” Mata Julita terbeliak.

”Orang gaji awak? Tak naklah saya..Dahlah samakan saya dengan orang gaji dari Indon. 500 je pula tu. Tak berbaloi langsung.”

”Terpulang, kalau awak ada cara lain untuk membayar duit saya?” Aku memerlinya, berlagak betul perempuan ni! Demand pula tu.

”Tak ada cara lain ke?”

” Itu saja cara yang saya ada untuk membantu awak. Lagipun rumah ni memang tengah bersepah, saya kan baru pindah rumah. Tak ada masa nak kemas rumah ni lagi, sebab tu saya offer awak jadi orang gaji saya. Lagipun, awak mesti tak nak berpisah dengan rumah ni kan?” Lama dia terdiam, memikirkan tawaranku. Aku menyambung ayatku.

”Kerja awak tak susah..pagi, awak buat sarapan. Tengahari, saya akan beritahu samada saya balik makan ke tak, kalau saya kata saya balik, baru awak masak, kalau saya kata saya tak sempat balik, awak hanya perlu masak untuk makan malam je. Kemudian kemas rumah, pastikan rumah dalam keadaan bersih sentiasa. Saya ingatkan awak, saya seorang yang cerewet. Saya tak mahu tengok rumah dalam keadaan yang bersepah, saya nak awak mop satu rumah dua hari sekali. Cermin-cermin tingkap dan sliding door saya nak awak lap selalu. Saya tak nak tengok cap jari pun melekat pada cermin. Tandas, saya nak awak bersihkan hari-hari. Saya geli tengok tandas yang kotor. Kemudian, laman rumah..sapu selalu, saya nak pokok-pokok tu semua bersiram setiap hari, rumput pastikan dicabut. Lagi..Mmm...ha dapur pula, pastikan selepas menggunakan pinggan mangkuk, cuci terus, saya tak suka awak longgokkan pinggan mangkuk kotor tu lama-lama dalam sinki. Saya rasa setakat tu je dulu, ada apa-apa lagi yang saya ingat, saya akan beritahu kemudian.” Julita ternganga mendengar butiran tugasnya yang keluar dari mulutku.

”Banyaknya, awak nak menyeksa saya ke?” Aku tersenyum sinis.

”Saya rasa kerja yang saya bagi tu sikit je..Aaa..satu lagi, saya tak nak makan roti waktu sarapan. Sediakan nasi goreng ke, nasi lemak ke, mee goreng ke..apa-apalah, janji yang berat.”

”Ha..nak yang berat-berat..kejap, kejap..biasanya awak sarapan pukul berapa?”

”7” Jawapku ringkas, Julita mengira-ngira sesuatu. Dahinya berkerut.

“Jadi saya kena bangun pukul 6 lah? Haaa...awalnya..” Julita merungut.

”Apa saya kisah awak bangun pukul berapa, janji sarapan saya siap. Ada apa-apa masalah lagi?” Aku bertanya selamba.

”Habis tu, saya nak tinggal kat mana? Nanti kang, saya duduk rumah ni, tak pasal-pasal kita kena tangkap basah pula.” Aku membetulkan dudukku, nampaknya dia akan bersetuju dengan tawaranku.

”Tu pun saya dah fikirkan. Belakang tu ada kotej kecilkan? Saya rasa sesuai untuk awak duduk.”

”Kotej belakang tu?” Aku mengangguk.

”Mmm...bolehlah. Bila saya nak kena mula kerja?” Aku tersenyum puas, dia sudah bersetuju, hilang sudah kegusaranku.

”Sekarang!”

”Sekarang!” Julita mengulangiku ayatku.

”Ya..saya nak awak kemaskan barang-barang yang bersepah ni semua, cabut plastik sofa ni, kemas buku dan masukkan dalam rak, baju-baju saya kat atas tu kemaskan dan masukkan dalam almari. Lagi..mm...mop lantai ni. Lap cermin..cuci toilet..saya tak suka sepah-sepah. Sakit mata saya tengok. Saya tahu petang ni saya balik, semua kerja beres. Kalau tak gaji awak saya potong.” Terbeliak biji matanya mendengar arahanku. Aku tersenyum dalam hati. Gila betul arahanku. Haha...

”Banyaknya kerja saya...” Dia merungut.

”Mestilah, rumah ni berhabuk. Awak tak pernah kemas ke masa awak duduk kat sini.” Dia mencebikkan muka sambil menjelingku. Kemudian dia memandang sekeliling rumah yang masih bersepah.

”Awak tak nak tolong kemas ke?” Julita memandangku dengan muka kasihan.

”Saya sibuklah, petang ni saya ada rakaman. Mungkin dah nak maghrib baru saya balik.”

”Satu lagi, saya nak tidur dengan apa. Takkan tak ada toto ke, bantal ke?”

”Balik karang saya singgah beli toto untuk awak, bantal ada kat atas. Selimut pun ada lebih tapi saya tak ingat saya letak dalam beg mana. Awak carilah sendiri. Oklah, saya nak pergi studio. Enjoy yourself..” Aku memerlinya. Memang enjoy menyuruh orang. Haha...

****

”Enjoy yourself konon! Enjoy apa ke bendanya ni. Arrrghhhh…gila banyak barang-barang dia yang tak berkemas ni. Mampus aku, mana larat nak kemas semuanya hari ni!” Aku memegang bulu rotan sambil memandang sekeliling. Aku melihat jam di dinding. Alamak, aku dah tak banyak masa ni. Baik aku mula sekarang. Aku bermula di tingkat bawah terlebih dahulu. Dari mencabut plastik sofa, menyusun perabot, kemudian menyusun buku-bukunya yang banyak ke dalam rak buku, lap cermin, mop lantai dan membersihkan dapur. Aku beralih pula ke tingkat atas, aku mengeluarkan semua baju-baju Raikal dan menggantungkannya ke dalam almari. Banyak gila baju dia. Baju-baju t-shirtnya ku lipat dan disusun rapi. Aku mengeluarkan cadar dan memasangnya pada tilam. Kerana kelelahan, aku berbaring sejenak di atas katilnya.

“Penatnya…” Aku mengurut-urut bahuku yang sengal. Aku meneruskan misi seterusnya, membersihkan kotej di belakang yang akan menjadi bilikku selepas ini. Aku berdiri di depan pintu kotej, terimbas kenangan dulu. Kotej ini sebenarnya merupakan ofis kedua ayah. Ayah akan menyiapkan lakarannya di kotej ini kerana ibu akan bising jika ayah pulang lambat dari ofis. Ibu lebih rela ayah membawa pulang kerjanya dari selalu lambat pulang. Takut katanya tinggal seorang diri di rumah. Kerja ayah sebagai arkitek memang membuatkannya selalu pulang tidak tentu masa. Sebab itu ayah membina kotej ini untuk memudahkan ayah menyiapkan kerja tanpa diganggu olehku yang ketika itu masih kecil. Namun aku akan curi-curi masuk untuk melihat ayah bekerja. Ayah pula, apabila menyedari kehadiranku, akan menggeletek perutku dan membuatkan aku ketawa sebelum membawaku semula masuk ke dalam rumah. Ah! Kenangan itu memang manis. Masih terbayang-bayang lagi kenangan tersebut. Aku mula mengemas, barang-barang yang aku rasa tidak diperlukan aku campakkan keluar untuk dibakar nanti. Setengah jam kemudian, kotej ini sudah kemas dan sedia untuk diduduki. Aku melihat jam di dinding. Hampir ke pukul enam petang. Aku bersiap-siap untuk mandi, badanku sudah melekit kerana berpeluh. Aku perlu bersiap sebelum Raikal pulang.

Raikal pulang apabila jam sudah menunjukkan pukul 7. Sebaik sahaja aku mendengar deruman keretanya memasuki laman rumah, aku terus memakai tudung dan menghampirinya. Dia mengeluarkan sesuatu dari bonet kereta dan kemudian menghampiriku.

“Saya tak masak, sebab tak ada barang untuk di masak dalam peti ais.” Raikal menganggukkan kepala

”Saya dah beli nasi bungkus untuk awak.” Katanya dan kemudian menyerahkan beg besar yang baru dikeluarkan tadi padaku. Aku terkejut.

”Apa ni?” Aku bertanya kebodohan, padahal aku boleh melihat sendiri isi di dalam beg besar tersebut.

”Toto untuk awaklah.” Jawabnya ringkas dan terus membuka pintu.

”Toto je ke? Tilam tak ada? Sakitlah badan saya tidur atas toto je.” Raikal memandangku.

”Dah awak minta toto, saya belikanlah toto. Lagipun ok pe, orang kat luar tu tidur pakai kotak je. Awak kira bernasib baik.” Ujarnya dan terus menutup pintu. Aku mencebik. Eleh, kalau kedekut tu cakap je lah kedekut. Tak payah nak bandingkan dengan orang yang tidur dengan kotak tu. Ciss! Sempat aku menjeling pada pintu tersebut walaupun Raikal sudah memasuki rumah tanda tidak puas hati.