Sudah hampir seminggu Natalia berlepas ke Australia untuk
menyambung pengajiannya. Kini dia tinggal seorang diri. Pada Auntie Elena
dikhabarkan bahawa dirinya baik-baik sahaja. Malah suaranya sengaja diceriakan
apabila menghubungi mereka. Padahal sebenarnya hidupnya langsung tidak terurus.
Album kenangan dia dan Jufri sentiasa dipeluk kemas ke mana sahaja. Apabila
kerinduan pada Jufri datang, dia akan melihat album-album di dalamnya dengan
linangan air mata. Selepas itu dia akan tertidur. Apabila bangun, dia akan mengulangi
perkara yang sama. Makan minum langsung tidak diendahkan. Jika terasa lapar,
dia akan minum air masak sahaja. Seleranya langsung hilang. Begitu juga
kebersihan diri, seingatnya hanya beberapa kali sahaja dia mandi sepanjang
tempoh seminggu itu. Dia betul-betul mengabaikan dirinya.
Malam itu dia membuka albumnya seperti biasa. Melihat
gambar-gambar mereka semasa kecil sahaja sudah cukup merembeskan air matanya.
Belum lagi dia membuka bahagian semasa mereka bersekolah, pasti banjir
biliknya. Selepas melihat albumnya, dia akan memeluk kain pelikat Jufri. Bau
badan Jufri masih melekat di kain tersebut. Sedikit sebanyak bau itu dapat
mengubati kerinduannya pada Jufri. Jurina memeluk kain tersebut sehingga
tertidur.
“Bangun!!” Terdengar suara seseorang mengejutkan Jurina
dari tidur. Terpisat-pisat mata Jurina apabila dikejutkan secara mengejut
begitu. Dia memandang ke tingkap. Dah pagi rupanya. Jurina memejamkan mata
semula. Tiba-tiba dia terfikir, siapa yang mengejutkannya tadi. Sepantas kilat
matanya terbuka semula. Jurina terduduk. Seorang lelaki memakai sweater kelabu
oren berdiri betul-betul dihadapannya. Mata Jurina terbeliak.
“Aarrrgghhhhh!!!” Jurina menjerit sambil menyelimutkan
dirinya seluruh badan termasuk kepala.
“Kau ni siapa? Macam mana kau boleh masuk sini?
Keluar!!!” Tengking Jurina. Suasana sepi tiada balasan. Perlahan-lahan Jurina
menjengulkan kepalanya dari celah selimut. Lelaki tadi masih berada di
hadapannya. Cepat-cepat dia masuk semula.
“Keluar aku cakap! Keluar!”Tengking Jurina lagi. Juga
tiada balasan. Sekali lagi Jurina menjengulkan kepala. Lelaki tadi masih
berdiri di tempatnya tadi. Jurina bengang, dia bangun dan menyarungkan selimut
tersebut pada kepalanya untuk melindungi rambutnya dari dilihat lelaki itu.
“Tak faham bahasa ke? Aku cakap keluar! Tak faham bahasa
melayu ke?” Marah Jurina dengan wajah yang garang. Lelaki tadi masih ’steady’
dan hanya memandang Jurina sahaja. Jurina semakin bengang. Dia melompat dari
katilnya dan berlari ke dapur mencari pisau. Lelaki tadi mengekori.
“Aku cakap keluar! Kalau kau degil, aku tikam dengan
pisau ni karang. Jangan salahkan aku kalau kau cedera.” Jurina mengugut. Tapi
nampaknya lelaki tersebut tidak takut dengan ugutannya malah makin mendekati
Jurina. Jurina melangkah ke belakang dengan teragak-agak. Takut diapa-apakan.
“Jangan dekat! Kalau tak aku betul-betul tikam nanti!”
Langkah lelaki itu berhenti sejenak, sebelum dia melangkah semula mendekati
Jurina.
“Yaaaarrkkk!!” Jurina yang tiada pilihan menghayunkan
pisau tersebut sambil menjerit dan memejamkan mata. Perlahan-lahan Jurina
membuka mata. Jurina terkejut, matanya terbeliak. Pisau yang dipegangnya
terlepas dari pegangan dan jatuh ke lantai. Tidak semena-mena tubuh Jurina
rebah ke lantai.
******
Jurina menguis telinganya yang terasa gatal. Gatal lagi,
dikuis. Gatal lagi, dikuis lagi. Ish! Siapa yang gatal tangan usik telinga aku ni.
Nak kena betul! Jurina membuka matanya. Dilihatnya tiada siapa-siapa berada di
situ. Jurina melihat dirinya berbaring di sofa. Eh! Sejak bila aku tidur kat sofa
ni? Pelik betul! Macam mana aku boleh tidur kat sini? Apa aku buat sebelum aku
tidur ye? Jurina mula berfikir.Dia nampak seorang lelaki, kemudian dia pergi
dapur ambil pisau lepas tu dia cuba tikam lelaki tu. Tikam lelaki tu! Pisau tu
tembus kat badan dia. Dia bukan orang! Hantu ke? Hantu!!!! Jurina mengambil
bantal sofa dan melindungi separuh mukanya. Jurina mengengsot sedikit ke
belakang dan melihat sekeliling dengan perasaan takut-takut. Eh! Tapi mungkin
juga tu mimpi, mana mungkin ada hantu kat rumah ni. Selama aku tinggal kat
sini, tak pernah pun terserempak dengan hantu. Mimpi je tu… Haha.. Tu lah,
tidur banyak sangat sampai otak mereng. Sampai nampak hantu. Jurina tergelak
sendirian.
“Seronok ke gelak sorang-sorang?”
“Arghh!!” Jurina terjerit kecil apabila lelaki tadi
berada di sofa hadapannya. Macam mana dia boleh tak perasan tadi ada orang kat
situ.
“Kau siapa? Macam..macam mana kau boleh masuk rumah aku.
Kau ni..”Jurina menekup mukanya ke sofa dan memejamkan mata dengan hati yang
berdebar. Jantungnya berdegup kencang seperti orang sedang berlari. “Hantu…”
Jurina cuba mengingati ayat-ayat suci Al-Quran namun tidak berjaya. Dia
langsung lupa kesemuanya. Apabila dia cuba membaca Al-fatihah, akan bercampur
dengan surah Al-Ikhlas. Apabila dia cuba membaca Ayat Kursi, akan bercampur
dengan doa Qunut! Rosak otak aku ni. Surah-surah senang pun tak boleh ingat. Ya
Allah, bantulah hambamu ini…
Jurina terasa ada orang mencuit bahunya.
“Warrrrrrrrghhh!!” Jurina menjerit kuat sambil berlari
menuju ke biliknya tanpa menoleh ke belakang lagi. Dia terus mengelubungi
dirinya dengan selimut. Terasa tubuhnya menggigil-gigil seperti terkena demam
kura-kura. Dia terasa seseorang duduk di atas katilnya.
“Sampai bila kau nak buat hidup kau terseksa macam ni?”
‘Lelaki’ itu bertanya. “Terseksa”, sejak bila dia menyeksa dirinya sendiri. Mendengar pertanyaan itu membuatkan Jurina tersinggung. Jurina menyelak
selimutnya dan duduk bertentangan dengan ‘lelaki’ tadi. Hilang sudah takutnya
tadi.
“Apa maksud kau?” Kasar Jurina bertanya kembali.
“Sampai bila kau nak abaikan diri kau?”
“Excuse me! Bila masa pula aku seksa diri aku, abaikan
diri aku sendiri?” Ada riak-riak marah di wajah Jurina. ‘Lelaki’ itu mendekati Jurina.
Jurina yang sebenarnya masih takut-takut mengengsot ke belakang.
“Sampai bila kau nak meraung dan menangis macam ni.
Sampai bila kau nak meratapi kematian abang kau. Aku yang tengok ni pun dah
naik sebal sebab tengok kau asyik menangis je pagi petang siang malam. Sampai
bila kau berhenti bersedih dan teruskan hidup kau macam dulu!”
“Kau cakap senanglah!” Tiba-tiba Jurina menangis semula.
“Aku yang tanggung semuanya, kau tahu tak aku dah tak ada siapa-siapa lagi
selain dari abang aku. Kau ingat senang ke aku nak mulakan hidup baru.
Waaaaaaaa…” Lelaki itu menggaru kepalanya yang tidak gatal. Aiseh, menangislah
pula dia ni. Aku baru cakap sikit dan hujan. Karang aku bagi ceramah panjang
lebar banjir pula nanti. Lelaki tadi duduk di di kerusi di sisinya sambil
menyerahkan tisu yang di ambil dari meja solek.
“Kalau kau berterusan macam ni, macam mana abang kau nak
hidup tenang kat sana? Sepanjang tempoh ni, ada kau doakan dia? Ada?” Lelaki
itu bertanya perlahan, tidak mahu menyinggung lagi perasaan Jurina. Jurina pula
hanya terdiam mendengar pertanyaan itu.
“Berapa hari kau tak mandi? Tau tak rambut kau ni, kalau
ada kutu, lama dah kutu tu lemas sebab busuk sangat plus tak jumpa cari jalan keluar!” Jurina menjeling.
“Apahal kau ni nak sibuk-sibuk, suka hati aku lah nak
mandi ke tak nak ke. Apa kau kisah!” Tengking Jurina tidak puas hati apabila
dikritik begitu.
“Memang aku tak patut kisah! Tapi aku dah tak tahan
tengok kau macam kucing hilang anak sejak abang kau meninggal, sejak kawan kau
pergi! Kau dah lama tak makankan? Mari sini, aku nak tunjukkan sesuatu!” Lelaki
itu bangun dan berdiri tegak di satu sudut.
“Tak nak!”
“Mari sini!”
“Kau nak tunjuk apa?”
“Langsuir.”
“Bengong! Mana ada langsuir kat dalam rumah ni. Langsir
melambaklah!”
“Aku cakap mari sini!” Keras suara lelaki itu
mengarahkannya. Jurina menjeling sebelum dia bangun dan mendekati lelaki
tersebut.
“Hah! Mana dia langsuir tu! Aku pun nak tengok juga rupa
langsuir sebenar!” Perli Jurina. Lelaki itu mengunjuk ke satu arah. Jurina
menoleh.
“Makkk! Apasal rupa aku macam ni! Rambut aku! Dah macam
rambut Alleycat dah ni. Mata aku asal macam mata panda ni! Hah! Cengkungnya pipi
aku!! Kenapa aku macam zombie kampung pisang ni!” Jurina menjerit pada lelaki
disebelahnya. Lelaki itu hanya mencebik.
“Tadi aku cakap tak nak percaya!”
“Eeee… Aku nak mandi. Uh! Tak boleh jadi ni. Kena sental
satu badan!” Jurina mencapai tualanya dan terus masuk ke dalam bilik mandi.
*****
Jurina keluar dari bilik mandi dengan perasaan
takut-takut. Selepas lama berkubang di dalam bilik mandi barulah perasaan
takutnya muncul semula. Dia berhadapan dengan sesuatu yang dia sendiri tidak
pasti! Mustahil dia tidak takut..
Jurina menjenguk seketika sebelum keluar dari bilik air.
Kosong, lelaki itu tidak kelihatan di mana-mana. Lega.. Nampaknya lelaki itu
sudah pergi. Jurina duduk di hadapan meja solek. Dia tersenyum, wajahnya tidak
seperti tadi, pucat seperti hantu.
“Aku dah masakkan untuk kau, pergi makan.” Terbeliak biji
mata Jurina tatkala melihat lelaki itu berada di sebelahnya secara tiba-tiba.
Hilang sudah perasaan takutnya tadi, diganti dengan perasaan terkejut yang amat
sangat.
“Kau ni, kurang nyawa aku setahun! Boleh tak kalau kau
tak keluar secara tiba-tiba macam ni. Lemah jantung aku tau tak!” Marah Jurina.
Lelaki itu hanya mencebik sambil membelek-belek barangan kosmetik yang dipakai
Jurina.
“Boleh tahan juga pilihan kau.”
“Sibuk! Dah jangan kacau aku.”
“Jangan lupa makan! Kau tu dahlah kurus kedengking.
Karang betul-betul jadi zombie, baru tahu!” Jurina menjeling lelaki itu sebelum
dia hilang di sebalik dinding. Tiba-tiba Jurina tersedar. Meremang bulu
romanya. Adakah ini salah satu siri bercakap dengan jin seperti karya Tamar
Jalis? Betul ke aku bercakap dengan hantu ni? Macam tak percaya je! Adakah aku
masih hidup dalam khayalan. Bangun! Bangun! Jurina menampar pipinya beberapa
kali. Auw! Sakitlah! Betul-betul kejadian ni, bukan mimpi! Waahh.. Serius aku
tak nak anugerah ni. Aku tak nak tengok hatta bercakap pun dengan benda-benda
ghaib ni. Kenapa aku boleh dapat anugerah ni. Ke sebenarnya aku ni dah gila?
Hah! Aku dah meroyan ke ni? Sebab tu aku boleh bercakap dengan hantu?
“Apa kau merepek ni!” Terangkat kaki Jurina apabila
ditegur sekali lagi. Wajahnya pucat sekali lagi. Sejak bila lelaki itu ada di
atas katil sambil berbaring dan melepak santai di atas selimut busuknya yang
terlupa dilipat tadi sambil membelek-belek majalah.
“Kau ni! Asal aku sebut pasal hantu je kau keluar! Kau
boleh baca fikiran aku ke?” Jurina mengecilkan matanya sambil memandang sinis
pada lelaki itu. Lelaki itu hanya diam dan hanya membelek-belek majalah yang
dipegangnya.
“Kau mesti boleh baca fikiran akukan, sebab tu kau kata
aku merepek tadi. Kan! Kan!” Jurina berkata dalam hati. Sengaja mahu menguji
lelaki itu. Lelaki itu memandangnya.
“Pergi makan!” Jurina mencebik. Betul ke lelaki tu boleh
membaca fikirannya. Macam tak je! Jurina mencapai sikat dan menyisir rambutnya
ke belakang.
*****
“Lauk ni boleh makan ke? Entah-entah lauk ni berulat ke,
macam cerita kat TV tu. Mata kasar nampak lauk biasa tapi sebenarnya penuh
ulat, lepas tu air sirap ni pula sebenarnya air darah, kan..kan..” Jurina
menguis lauk dihadapannya. Lelaki itu mengetuknya dengan sudu.
“Boleh tak jangan banyak mengarut. Paranoid sangat dengan
cerita hantu! Makan jelah! Lagipun kalau lauk ni berulat, kuali tu takkan
panas!”
“Sakitlah, ingat kepala aku ni kau ke yang bayar zakat!
Suka-suka hati je ketuk!” Lelaki itu mencebik.
“Aku takkan ketuk kalau kau tak mengarut yang
bukan-bukan! Sekarang aku nak kau makan!” Arah lelaki itu dengan tegas. Aik,
main paksa-paksa nampak. Suka hati akulah nak makan ke tak nak, apa hak dia nak
paksa-paksa pula. Ini sudah lebih…
“Tak naklah, aku tak ada selera.” Ujar Jurina sambil
tangannya menolak pinggan nasi dihadapannya. Lelaki itu berdecit perlahan dan
kemudian mengeluh. Mengeluh pula, banyak masalah betul hantu ni. Aku tak nak
makan pun susah hati.
“Kau nak aku suapkan ke?” Jurina membuat muka meluat
sambil menjeling dengan pandangan yang tajam.
“Kau ingat aku ni baby ke sampai nak kena bersuap-suap!
Geli aku!” Jurina mencebik.
“Memang pun, baby tua! Mengalahkan budak kecil! Budak pun
senang je nak suruh makan!”
“Tak naklah aku ambil risiko, entah-entah makanan kau
ni…”
“Aku ikhlas nak tolong kau, ok! Sekarang kau pilih, kau
nak makan atau aku akan ikat kau dekat kerusi ni dan paksa kau makan!” Ugut
lelaki itu dengan pandangan mata yang tajam, menakutkan Jurina. Terbayang
Jurina ketika itu, bagaimana jika lelaki tidak semena-mena terkeluar biji
matanya, atau pun bola matanya bertukar dari putih ke merah, atau pun jika
wajahnya berubah menjadi hodoh yang amat sangat. Mahu pengsan atau tercegat je
depan dia masa dia buat make over!
Tak mungkin aku akan duduk-duduk saja sambil melihat dia bertukar seperti dalam
cerita-cerita ultraman. Bertukar! Dan aku akan bertepuk tangan sambil berkata,
Yay! Dah bertukar! Gila!! Aku memang berada dalam siri-siri bercakap dengan jin
versi Jurina ni! Bukan Tamar Jalis lagi dah ni.. Ke sebenarnya aku dalam
rancangan Bang Bom Bang!!
“Nak makan ke tak nak!” Tiba-tiba lelaki itu bertempik
sambil menepuk meja membuatkan Jurina terkejut beruk.
“Kau ni kan, kalau tak buat aku terkejut tak boleh ke!
Aku dah cakap aku tak nak makan, tak naklah! Apa hak kau nak paksa-paksa aku
pula. Menyemak je kat rumah ni, pergilah cari tempat lain. Aku nak duduk
sorang-sorang! Jangan kacau aku!” Tengking Jurina sebelum dia bangun dan mahu
beredar dari situ.
“Ok, aku minta maaf, aku takkan paksa kau makan. Tapi
kalau boleh, boleh tak kau jangan seksa diri kau dengan membiarkan perut kau
kosong. Macam mana kalau nanti kau sakit, kau sendiri tahukan aku tak boleh tolong
kau.” Langkah Jurina terhenti di hadapan pintu. Otaknya mula memikirkan semula
kata-kata lelaki tadi. Tiba-tiba perutnya berbunyi. Seolah-olah mengiyakan
kata-kata lelaki itu. Perlahan-lahan dia berpusing semula dan menuju ke meja
makan. Direnungnya lelaki dihadapannya.
“Kenapa kau baik sangat dengan aku?” Tanya Jurina dengan
kening berkerut. Lelaki itu menaikkan bahu, bermakna dia juga tiada jawapan
pada persoalan Jurina tadi. Jurina menjadi semakin pelik. Pelik, jika tiada
sebarang sebab, masakan dia begitu baik dengan Jurina. Mungkin dia ada udang di
sebalik batu terhadapnya? Walaupun kepalanya sarat dengan pelbagai andaian, dia
masih menjamah makanan yang tersedia di hadapannya. Matanya bulat!
“Sedapnya! Betul ke kau yang masak ni?” Lelaki itu mengangguk.
Laju Jurina menyuapkan makanan ke dalam mulutnya. Dia sudah tidak kira perkara
lain yang berada dalam fikirannya tadi. Sehingga licin makanan dalam
pinggannya. Lelaki itu tersenyum melihat selera Jurina sudah kembali.
0 comments:
Post a Comment